Kalau sebelum ini ramai yang meluahkan pelbagai rasa terhadap drama rantaian viral Di Sebalik Permata, kini ramai pula yang tak sabar menanti sambungan kisah cinta penuh emosi dan ‘plot twist’ yang lebih menggila!
Mulai 6 Jun 2025, peminat setia musim pertama akhirnya boleh menarik nafas lega – kerana musim kedua Di Sebalik Permata kini sudah bersiaran di TikTok secara eksklusif, tiga episod setiap hari di akaun rasmi @tiktokdramamalaysia.
Natasya Kembali! Kisah Lebih Gelap & Emosi Mendalam
Membawa naratif kehidupan wanita yang berhadapan dalam situasi yang sama, watak Natasya yang sebelum ini berjaya menambat hati ramai wanita kini berdepan ujian lebih berat. Diuji hilang ingatan, diculik bekas kekasih yang obses, serta terperangkap dalam permainan emosi yang memeritkan menjadikan perjalanan musim kali ini lebih mendebarkan.
Ads
Dibarisi pelakon-pelakon berbakat seperti Putri Damia, Mizy Razuan, Umar Mukhtar dan Jeremy Bong, drama ini dijangka terus membuat peminat terikat dengan setiap episodnya. Watak Akmal yang manipulatif, Rayhan yang setia, dan kemunculan jejaka misteri baharu. Semuanya menambah lapisan drama yang buat kita tak senang duduk!
Menurut Pengarah drama ini, Faiz Munir, bahawa musim kedua akan membawakan elemen yang lebih gelap dan emosional termasuk tema cinta toksik, pengkhianatan, dendam dan permainan psikologi yang lebih mendalam.
“Kami tahu peminat sangat menanti sambungan kisah ini. Kali ini, setiap episod direka dengan ‘cliffhanger’ yang akan buat penonton tak sabar tunggu episod seterusnya,” katanya.
Dengan lebih 70 juta tontonan pada musim pertama, Faiz percaya sambutan kali ini akan lebih hebat. Malah katanya, “kalau musim pertama pun dah buat ruangan komen ‘berperang’, musim kedua ini pasti lebih menggila.”
Ads
Penghargaan Buat Peminat Setia
Menurut pihak produksi Mantayay Sdn Bhd, musim kedua ini adalah tanda penghargaan buat penonton yang setia mengikuti setiap babak sejak Januari 2024.
“Ramai yang jatuh cinta dengan watak Natasya dan Rayhan. Kali ini kami bawakan kisah yang lebih berani, lebih emosional dan lebih banyak kejutan. Harapan kami agar setiap episod bukan sekadar ditonton, tapi dikongsikan!” ujar penerbitnya.
Ads
Sinopsis: Siapa Yang Akan Miliki Hati Natasya?
Natasya kini hilang ingatan – dan dimanipulasi oleh bekas kekasihnya, Akmal, untuk mempercayai mereka masih bersama. Rayhan pula berjuang demi cinta sejati – untuk membawa Natasya pulang dan membongkar kebenaran.
Namun, segalanya jadi lebih rumit apabila muncul lelaki baharu dalam hidup Natasya. Siapakah yang akan menawan semula hati Natasya?
Musim kedua menyelami tema identiti baharu, luka lama dan rahsia yang selama ini tersimpan. Setiap episod bakal merobek emosi dan meninggalkan persoalan yang membuat kita berfikir – siapa sebenarnya yang layak disayangi?
Di dakwa di mahkamah! Anggota tentera yang videonya tular menumbuk seorang wanita di Senawang bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh dengan sengaja menumbuk dengan menggunakan tangan di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun. Kesalahan itu dilakukan pada 29 Mac 2025, kira-kira jam 10.20 malam di Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Sebelum ini tular satu klip memaparkan seorang pemandu kereta Perodua Axia wanita ditumbuk seorang lelaki dekat Taipan Senawang. Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan berang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia terbabit ketika melintas jalan.
Ikat Jamin RM2,000
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai memohon jaminan rendah berikutan tertuduh menanggung dua anak yang masih kecil dan ibu bapa serta isteri.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan perubatan penuh ditetapkan pada 19 Mei depan.
Sementara itu, keluarga pemandu wanita itu mendakwa mangsa mengalami patah rusuk akibat insiden tersebut. Perkara itu dikongsikan oleh pengguna TikTok, Syfhusnaaa, yang meluahkan rasa kecewa terhadap perbuatan lelaki berkenaan.
Malah, Syfhusnaaa turut mempersoalkan tindakan lelaki terbabit yang tidak berfikir panjang sebelum bertindak sedemikian sehingga menyebabkan tulang rusuk kakaknya patah.
Selepas digemparkan dengan insiden jenayah menimpa dua tonggak negara, seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan berhadapan detik cemas apabila diserang individu tidak dikenali, malam tadi.
Menurut sumber, pemain bola sepak bagi pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, 37, didatangi dua lelaki menaiki motosikal selepas mengambil barang di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor, kira-kira jam 10 malam tadi.
Difahamkan semasa berada di Jalan Sri Gelam menghala ke Pantai Lido, kereta Honda City dipandu Safiq dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.
“Pembonceng motosikal itu kemudian mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk cermin bahagian belakang kereta dipandu Safiq menyebabkan dia memberhentikan kenderaan.
Polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
Sementara itu, Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden pecah cermin kereta Honda City milik pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT), semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima satu laporan yang dibuat pemain tengah JDT, Safiq Rahim, 36.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 10.05 malam, 7 Mei (semalam) di kawasan sekitar Johor Bahru.
Guna Tukul Besi
“Mangsa merupakan pemain bola sepak kelab JDT berusia 36 tahun menyatakan cermin kereta yang dipandu dipecahkan dua inividu tidak dikenal dengan menggunakan alat dipercayai tukul besi.
“Suspek turut menunjukkan tukul ke arah mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raub berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan dan kerosakkan kereta pecah cermin besar di bahagian belakang.
Teruja penulis tatkala menerima undangan Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd untuk merasai sendiri percutian di atas kapal persiaran mewah, Costa Serena Lines yang menawarkan pelayaran 4 hari/5 malam yang berpatutan dari Pelabuhan Klang, Malaysia ke Phuket, Thailand sepanjang bulan Mac lalu.
Kapal pesiaran Costa Serena ini mampu memuatkan 3,780 penumpang telah berlayar dalam pelayaran empat hari/lima malam dari Pelabuhan Klang ke Phuket, Thailand, sepanjang bulan Mac lalu.
Penulis sememangnya amat teruja menyertai pelayaran ini memandangkan ini merupakan percutian pertama penulis di atas kapal persiaran dan lebih teruja apabila dimaklumkan tentang perkhidmatan yang ditawarkan untuk pelancong Muslim yang terdapat di atas kapal persiaran mewah ini.
Perjalanan kami bermula di Pelabuhan Klang, Malaysia di mana pemeriksaan Imigresen dijalankan untuk setiap penumpang yang bakal menaiki kapal persiaran ini. Usah risau jika anda datang bersama keluarga kerana perjalanan check in yang lancar dari tempat bagasi sehingga ke laluan Imigresen menjadikan perjalanan lebih selesa dan tidak serabut. Laluan khas untuk warga emas dan orang kurang upaya turut disediakan untuk melancarkan proses daftar masuk ke kapal persiaran yang tersergam indah itu.
Sebaik melangkah ke atas kapal megah Costa Serena, bersedia untuk terpesona dengan keagungan seni binaannya yang mengingatkan kita kepada zaman Rome kuno. Malah, sudut memamerkan sebuah karya seni yang megah, dengan lebih dari 5,900 hasil seni menjadi elemen dekorasi sekitar kapal, menjadikan perjalanan anda seperti melewati sebuah muzim seni yang penuh elemen kemegahan Rome!
Takut Nak Kapal Persiaran? Jangan Risau Latihan Keselamatan Turut Disediakan!
Pasti ramai yang skeptikal mengenai keselamatan apatah lagi melihat kapal persiaran yang bersaiz besar di depan mata. Mulalah terbayang kisah Titanic dan pengakhirannya. Tetapi usah risau, setiap penumpang akan menjalani latihan kecemasan yang wajib dan berkumpul sebelum beredar ke kabin atau mengambil peluang bersiar-siar di atas kapal mewah ini.
Hidangan Halal Jadi Tarikan Pelancong Muslim
Acapkali apabila memperkatakan tentang percutian di atas kapal persiaran, sudah pasti soal makanan menjadi penghalang utama bagi pelancong Muslim untuk menikmati percutian seperti ini.
Namun usah risau, Costa Serena telah mendapat persijilan halal dari JAKIM atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk memastikan pilihan makanan dan minuman mematuhi garis panduan diet Islam. Berbeza dengan kebanyakan kapal persiaran antarabangsa yang tidak mempunyai restoran halal.
Antara hidangan autentik Itali yang disajikan di Vesta
Penulis turut berpeluang menikmati pengalaman menikmati hidangan autentik Itali tanpa perlu terbang ke Itali. Mana tidaknya, penulis berpeluang merasai kuliner Itali yang autentik dengan bahan-bahan yang diimport dari seluruh Itali.
Lebih istimewa, ia disediakan oleh para juru masak Itali (*untuk pelayaran di Malaysia, Chef Eksekutif Costa Cruises, Simone Ingrosso, dan Chef Patiseri Ricardo Bellaera dari ibu pejabat di Genoa berada di atas Costa Serena). Sudah tentu kualiti makanan terbaik menjadi identiti mereka untuk disajikan kepada para pelanggan!
Selain itu, penulis juga berpeluang mencuba menu hi tea yang enak dan sambil menghirup secawan teh earl grey kegemaran penulis!
Malah, ketika pelayaran penulis baru-baru ini, terdapat penganjuran pelayaran islamik yang turut sama menyertai pelayaran kali ini dan ia sekaligus menjadikan percutian di atas kapal persiaran sebagai pilihan terbaik untuk umat Islam merasai sendiri percutian di atas kapal persiaran di samping menjadikan ia sebagai salah satu cara merapatkan ukhwah sesama umat Islam.
Penulis lebih selesa dengan percutian santai di atas kapal di mana ia membolehkan penulis meneroka segenap ruang kapal persiaran ini yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Jika anda bercuti bersama anak-anak, deck yang mempunyai kemudahan kolam renang pasti menjadi tumpuan.
Hiburan Seisi Keluarga
Anak-anak pasti teruja dapat bermain air dan water slide dengan pemandangan saujana mata memandang!
Selain itu, terdapat dua lagi kemudahan kolam renang dan jakuzi yang terdapat di atas kapal persiaran mewah ini yang menjadi lokasi kegemaran untuk bersantai dan menikmati pemandangan laut yang menawan.
Costa Serena bukan sekadar sebuah kapal, malah ia adalah taman hiburan terapung yang memenuhi setiap citarasa dan usia. Dari pertunjukan live yang memukau hingga lantai tarian yang mengasyikkan dan keseronokan yang sesuai untuk keluarga, bersedia untuk dimanjakan dengan hiburan sepanjang masa!
Nak kelihatan cantik di atas kapal persiaran? Jangan risau kerana kemudahan spa turut disediakan di kapal persiaran Costa Serena ini. Selain itu, untuk anda yang tidak boleh hidup tanpa kemudahan gimnasium, Costa Serena turut mempunyai kemudahan gym yang selesa dan menghadap laut yang terbentang luas!
Menyentuh mengenai kabin yang disediakan, Costa Serena menyediakan penginapan dari taraf Grand Suite, Suite, kabin balkoni dan kabin tanpa balkoni yang selesa mengikut bajet percutian anda.
Memandangkan Costa Serena menuju ke Phuket, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke Phuket, permata mahkota Thailand yang menjadi lokasi bulan madu penulis kira-kira 20 tahun yang lalu.
Untuk rekod, Phuket pernah dilanda Tsunami pada tahun 2004 dan mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda. Jika hendak berjalan ke beberapa destinasi menarik di Phuket, MyTours yang disediakan di atasCosta Serena menawarkan beberapa pakej yang menarik dan berpatutan.
Pantainya yang bersih, air laut berwarna turquoise, dan landskap yang hijau subur menjadikan pengalaman turun ke bumi Phuket selama beberapa jam sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Kami meninggalkan Phuket dengan seribu memori yang akan dikenang sepanjang hayat.
Seiring perjalanan kami hampir berakhir, kami kembali ke Pelabuhan Klang dengan hati penuh kenangan dan kamera sarat dengan memori yang indah. Paling tersentuh, saat menerima ucapan selamat tinggal daripada Costa Serena dan krunya yang menemani sepanjang empat hari tiga malam dengan penuh kenangan manis.
Terima kasih Hwajing Travel and Tours di atas pengalaman yang istimewa di Costa Serena!
Mingguan Wanita kongsi beberapa informasi penting supaya percutian lebih lancar:
Bawa pakaian yang tidak perlu digosok (ironless) kerana kemudahan seterika tidak disediakan di dalam bilik tetapi anda perlu menggunakan kemudahan room service.
Pilih pakaian serbaguna yang sesuai untuk acara santai dan formal.
Bawa barang-barang mandian anda sendiri seperti berus gigi dan sebagainya.
Jangan lupa bawa adapter antarabangsa. Walau bagaimanapun,Pengering rambut disediakan di setiap kabin.
Pertimbangkan untuk membeli pakej Wi-Fi jika anda memerlukan akses internet. Perlu diingat, segala perbelanjaan di atas kapal persiaran menggunakan matawang USD.
Bawa kompas manual untuk pelancong Muslim untuk menentukan arah Kiblat.
#CostaSerena #CostaCruises #HwajingTravel
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Penyakit ain, Ayda Jebat akui setiap kali muat naik video anak akan meragam. Penyakit ain adalah satu kategori penyakit bersifat ghaib. Ianya adalah satu...