
Tular gambar seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di atas kerusi di ruang hadapan rumah seorang wanita di Kampung Rantau Panjang.
Wanita Terkejut Ada Bayi Lelaki Di Atas Kerusi

Apa yang lebih mencuit emosi apabila melihat bayi berkenaan ditemui dalam keadaan masih bertali pusat, berlumuran darah, dikerumuni semut dan lalat.
Bayi itu turut dibedung menggunakan kain lampin, dilapik dengan tuala serta sehelai baju tanpa sebarang nota ditinggalkan
Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Jue, 35, berkata, kejadian disedari kira-kira jam 10.45 pagi selepas anak keduanya berusia 12 tahun membuka pintu rumah untuk membuang sampah.
Menurutnya, sebelum itu, keadaan di rumahnya sunyi tanpa sebarang petanda mencurigakan.
“Lebih kurang pukul 9.30 pagi, suami saya keluar pergi kerja. Masa itu memang tiada apa-apa berlaku.
“Kebetulan semua anak saya tidak pergi sekolah kerana sakit tekak dan demam. Kami semua memang tidak sihat,” katanya lagi.
Jue berkata, sebelum penemuan itu, anak-anaknya ada membuka pintu rumah sebanyak tiga kali, namun tidak menyedari kehadiran bayi berkenaan.
“Anak nombor dua buka pintu untuk buang sampah, kemudian dia cakap Umi, ada bayi atas kerusi.
“Saya terkejut dan tidak percaya. Awalnya saya ingatkan anak patung sebab lihat bayi itu tidak bergerak,” katanya.
Panik Tak Tahu Nak Buat Apa!

Menurutnya, sebaik keluar memeriksa, dia mendapati bayi tersebut adalah bayi sebenar dan mula menangis apabila disentuh.
“Ketika itu, saya panik, tak tahu nak kata apa. Mujur jiran yang telefon klinik, saya pula hubungi suami dan suami kemudian menghubungi balai polis.
“Jururawat pesan supaya jangan sentuh apa-apa, jadi kami tidak berani sentuh bayi itu. Memang saya amat tersentuh hati melihat keadaannya,” katanya.

Menurutnya, polis dan pegawai perubatan kemudian tiba di lokasi untuk mengambil bayi berkenaan.
“Keadaan bayi memang sangat menyedihkan, penuh semut dan lalat. Saya ambil kipas dan halau serangga itu.
“Saya memang teringin nak bantu, nak dukung bayi itu tetapi tidak dibenarkan kerana bimbang ganggu bukti,” katanya.
Dalam keadaan sebak, Jue berkata, hatinya terdetik memikirkan siapa yang sanggup meninggalkan bayi ini dalam keadaan sebegini.
“Apa pun kejadian ini amat menyayat hati, saya dah menetap di selama enam tahun. Ini kali pertama saya berdepan kejadian seumpama itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Terdahulu, tular perkongsian di hantaran media sosial dimuat naik seorang individu berkaitan penemuan bayi di hadapan sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang di sini.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!





