Multiple Sclerosis (MS) atau sklerosis berbilang ialah sejenis penyakit neurologi autoimun berbilang yang menyebabkan keradangan sistem saraf pusat. Sistem imun menyerang mielin, yang merupakan lapisan perlindungan yang menyelaputi serat saraf.
Serangan ini menyebabkan keradangan dan parut pada tisu. Lantas menyukarkan otak menghantar isyarat kepada bahagian lain tubuh. Secara beransur-ansur, sklerosis berbilang menyebabkan kemerosotan otak yang seterusnya menimbulkan kerosakan mental dan kehilangan upaya dari segi fizikal.
Dianggarkan kira-kira 2.5 juta orang di seluruh dunia mengalami sklerosis berbilang. Di Malaysia pula seramai 767 orang mengalaminya. Wanita lebih kerap mengalami sklerosis berbilang jika dibandingkan dengan lelaki. Kebanyakan pesakit sklerosis berbilang mengalami gejalanya antara usia 19.1 dan 38.9 tahun.
Pakar Runding Neurologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Shanthi Viswanathan menjelaskan ramai pesakit sklerosis berbilang diberikan diagnosis yang tidak tepat kerana tanda-tanda tertentu mungkin kurang jelas atau serupa keadaan lain.
“ Anda perlu memantau dan menerangkan jenis dan corak gejala terperinci kepada doktor atau pakar secara terperinci kepada doktor atau pakar neurologi anda.
Gejala-gejala sklerosis berbilang tidak boleh diramalkan dan berbeza-beza dengan ketara antara pesakit, dan dari masa ke masa, berbeza bagi pesakit yang sama.”
Jelas Dr Santhi lagi, jika anda disahkan menghidap sklerosis berbilang, kaji dan bincangkan pilihan rawatan dengan doktor anda.
Bukti semasa menunjukkan bahawa pengesanan awal dan rawatan yang mengubahsuai penyakit (DMT) penting untuk mengelakkan penyakit berulang dan kehilangan upaya bertambah teruk yang memberi kesan ketara terhadap kualiti hidup pesakit.
Bagi pesakit sklerosis berbilang, mereka perlu mempelajari tentang penyakit dan berbincang dengan pakar kesihatan mereka jika tidak dapat menahan kesan sampingan dengan baik, mengalami penyakit yang berulang, mendapati gejala bertambah teruk dan perubahan dalam keupayaan fizikal.
Pesakit juga digalakkan untuk mematuhi rawatan dan jika mereka melihat corak penyakit semakin teruk, mereka perlu berunding dengan doktor untuk mencari pilihan alternatif.
Penggunaan ubat perlu digabungkan dengan amalan gaya hidup aktif dan diet untuk menangani komorbiditi dan gejala-gejala sklerosis berbilang.
Semak senarai-senarai berikut bagi mengenalpasti sama ada ada mengalami sklerosis berbilang.
Jika anda mencatatkan markah 4 daripada 5 dalam senarai semak gejala-gejala sklerosis berbilang ini, digalakkan agar mendapatkan bantuan perubatan.