Kitaran haid dan menopaus merupakan proses biologi semulajadi bagi seorang wanita. Ramai wanita takut untuk menghadapi saat menopaus, atas pelbagai faktor kesan sampingan yang akan dialami selain perubahan hormon dan tidak lagi subur.

Namun kini, atas teknologi perubatan dan kesuburan, wanita dikatakan boleh menangguhkan menopaus sehingga 20 tahun dengan adanya prosedur baharu yang membuat jam biologi mereka berasa lebih muda daripada usia sebenar.

Diilhamkan pakar kesuburan yang menerajui kaedah persenyawaan in vitro (IVF), prosedur pembedahan selama 30 minit itu dikatakan berupaya merubah kehidupan ribuan wanita yang mengalami kesan sampingan teruk akibat menopaus seperti osteoporosis dan masalah jantung.

Bekukan Tisu Ovari

Menerusi prosedur baharu itu, tisu ovari diambil dan dibekukan lalu disimpan dalam bank ais.Apabila seseorang wanita itu mencapai masa menopaus, tisu berkenaan dinyahsejuk-beku dan dimasukkan semula di bahagian ketiak, mencetuskan hormon semula jadi yang menangguhkan menopaus.

Dengan kos antara £3,000 (RM15,222) dan £7,000 (RM35,514) bagi mengeluarkan dan menyimpan tisu ovari dan tambahan £4,000 (RM20,294) bagi memasukkannya semula, prosedur terbabit buat waktu ini hanya boleh didapati menerusi syarikat swasta, ProFam (Protecting Family and Menopause) di Birmingham.

Ia dikendalikan oleh Profesor Simon Fishel, seorang peneraju prosedur IVF yang terlibat dalam kelahiran Natalie Brown, adik perempuan kepada bayi tabung uji pertama, Louise Brown.

9 Wanita Telah Jalani Prosedur

Menurut Sunday Times, sembilan wanita Britain berusia antara 22 dan 36 tahun telah menjalani prosedur tersebut yang ditawarkan kepada wanita Britain sehingga umur 40 tahun.

Dixie-Louise Dexter, seorang guru berusia 33 tahun yang telah menjalani prosedur berkenaan berkata, dia tidak lagi mengalami kesan sampingan menopaus seperti kesakitan, perubahan emosi dan kesukaran tidur pada waktu malam.

Dixie-Louise Dexter

MW: Macam-macam iya teknologi perubatan sekarang sehinggakan menopaus pun boleh ditangguh! Sebaiknya, usah ubah aturan kejadian tuhan. Setiap yang diciptakan pasti ada tempoh waktunya, terimalah seadaanya.

Sumber: Sinar Harian, The Guardian

Jangan Lupa Komen

komen