Selepas berpisah ayah tetap perlu tunaikan nafkah pada anak-anak. Walaupun susah berpisah dengan isteri dan bergelar suami tetapi anda masih tetap “ayah” kepada anak-anak.
Jangan sesekali terlupa tanggungjawab ayah-ayah kepada anak ya. Mereka masih berada di bawah tanggungan anda walaupun mereka di bawah jagaan mak mereka. Jangan ambil mudah dan lepas tangan bab nafkah, jika ayah-ayah culas akan disoal kelak di akhirat sana.
Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan fahami baik-baik iya:
Kita mungkin bukan lagi seorang suami, tapi kita masih seorang ayah…
Ini adalah tanggungjawab yang sering dilupakan lelaki selepas berpisah…
Nafkah anak ini, bukan hanya ketika kita hidup bersama sahaja kita kena bagi, tapi bila sudah tidak hidup bersama, sudah berpisah pun tetap kena tunaikan nafkah anak ini sebab hukumnya adalah WAJIB…
Dalam jagaan atau pun bukan dalam jagaan, nafkah ini tetap kena bagi… Apa yang dimaksudkan dengan nafkah anak?
Makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan mengikut kemampuan kita…
Tak ramai lelaki yang masih meneruskan kewajipan ini setelah berpisah… Ramai yang lepas tangan dengan beranggapan, si anak dalam jagaan ibunya, maka ibunya lah yang perlu menanggung kesemuanya…
Jangan Dilupa Tunaikan Nafkah Anak
Bila bekas isteri tidak menuntut nafkah ini, maka nafkah ini terus dilupakan si ayah…
Ada yang menuntutnya di mahkamah, sudah kluar arahan untuk tunaikan sekian-sekian nilai, tapi culas…sekejap bagi, sekejap tak bagi…
Sesuatu yang diwajibkan dalam Islam, bila tak buat, hukumnya adalah BERDOSA…
Banyak mana pun amalan yang kita buat, kalau di akhirat nanti ianya ditimbang dengan “dosa” ini, dan jika dosa tidak menunaikan nafkah anak ini lebih berat daripada amalan yang kita buat, maka agak-agaknya di manakah pengakhiran untuk kita…
Renung-renungkan…
MW: Jangan jadikan perpisahan anda dengan bekas isteri memerdekakan seorang ayah daripada tanggungjawab dalam memberi nafkah kepada anak-anak. Memberi nafkah kepada anak-anak adalah wajib dan jika tidak ditunaikan berdosa. Ingat tu!
Hati-hati. Teknologi ada banyak buruknya juga ye! Kecuaian bila menggunakannya akan membuatkan anda menyesal sepanjang hayat, juga menanggung malu yang tidak terhingga. Kadang ia menjadi penyebab pada keretakan rumah tangga yang terbina dengan penuh bahagia sekian lama.
Kecuaian apakah yang dimaksudkan itu? Ia adalah mesej WhatsApp yang tersalah hantar. Dalam asyik melayan seseorang, terkadang oleh terlalu hendak cepat, terus tekan SEND, rupa-rupanya ia pergi kepada grup WhatsApp yang mana seluruh orang dalam grup itu boleh membacanya. Bayangkan kalau mesej itu berbunyi;
‘Man memang masih sayang dengan Wawa. Kita terpisah sejak remaja, tidak bermakna Man sudah melupakan Wawa, setiap saat Man teringatkan Wawa. Man harap Wawa juga masih demikian pada Man. Walaupun kita masing-masing sudah berkahwin, tidak bermakna kita tidak boleh menjalin semula hubungan silam kita.’
Bayangkan mesej serupa ini tular dalam grup yang sama-sama disertai oleh suami dan isteri serta kawan-kawan seluruhnya. Bukankah ia bahana?
Realitinya, kehadiran teknologi WhatsApp ini telah menjadikan hubungan terlarang membiak dengan pantas lagi meluas. Berani saya mengatakan, dalam setiap grup WhatsApp pasti ada sekurang-kurangnya satu hubungan terlarang, kecuali grup itu adalah sesama ahli keluarga, selebihnya pasti akan membangkitkan nostalgia, seterusnya babak-babak cinta apabila masing-masing mula wasap peribadi.
Ia mungkin bermula daripada perkataan “Assalamualaikum.” Apabila salam ini dijawab, ayat seterusnya mungkin “Apa khabar?” Jika dijawab akan membukalah lembaran baru pada cinta lama. Mula-mula whatsApp itu kelihatan jujur; bertanyakan berapa orang anak, tinggal di mana, ibu bapa masih adakah, bekerja di mana dan sebagainya.
Tetapi apabila hari-hari WhatsApp kedua-duanya akan kehabisan modal, mulalah bertanya soalan peribadi dan sedikit demi sedikit menusukkan jarum perasaan. Jika berbalas isi-isi mesej menjadi semakin berani, daripada “You dah makan ke?” menjadi “Apa kata satu hari kita makan sama?”
Teknologi WhatsApp ini memang ‘gila’, setelah seseorang itu ketagihan dia akan whatsApp bermula sebaik sahaja bangun tidur awal pagi, hingga lewat malam. Biasanya jika hubungan kian menjadi, ayat-ayat penyudah sebelum tidur sangat daring, misalnya, “Selamat malam sayang, missed you. Moga you mimpi jumpa I,” kemudian diiringi emoji kenyit mata malah ciuman.
Dalam beberapa grup WhatsApp yang saya ditarik masuk, perihal tersalah hantar ini memang kerap berlaku. Sesetengahnya membuatkan kita tersenyum sambil membayangkan betapa gelabahnya dua insan terbabit hendak membetulkan keadaan. Sama ada salah seorang exit atau kedua-dua senyap beberapa hari ataupun cuba mempertahankan diri, misalnya, “Hai kawan-kawan, harap tidak salah sangka ye. Itu mesej saya untuk isteri saya. Maaf saya tersalah send.”
Keadaan yang sungguh memalukan juga amat berbahaya ini mestilah dielakkan. Pertama, jujurlah dalam membentuk grup wasap, bukankah niat asalnya untuk menghimpunkan kawan-kawan lama supaya silaturrahim dapat dibentuk kembali. Usah jadikan ini peluang untuk menjalin hubungan terlarang sesama ahli grup yang kini sudahpun bergelar isteri orang atau suami orang. Sejarah lama tidak usah diulang kecuali sememangnya suasana membenarkan, misalnya seorang duda, seorang lagi sudah pun janda.
Kedua, grup whatsApp adalah wadahnya untuk berkongsi ilmu juga maklumat. Ia satu teknologi yang sangat berkesan untuk menyalurkan berita terkini dengan cepat. Sesuai dengan kehidupan masa kini, WhatsApp adalah jawapan kepada kepantasan teknologi massa. Sentiasa ingat matlamat ini tatkala sudah tersasar hingga menjadi medan pencetus hubungan terlarang ‘orang lama’.
Ketiga, perhati dahulu kepada siapa sesuatu mesej itu akan pergi sebelum tekan SEND, dalam kata lain siapakah penerimanya, siapakah yang akan membacanya. Tersalah hantar hingga menjadikan rumah tangga porak peranda adalah kesalahan yang sangat bodoh.
Begitupun, tatkala membaca mesej-mesej yang sepatutnya personal itu, saya berkata dalam hati, bagus jugalah mereka ni kantoi, sekurang-kurangnya di sinilah titik mulanya mereka akan berhenti. Jika selamat sepanjang masa boleh jadi semakin melalut-lalut jadinya. Daripada hubungan luar biasa bertukar menjadi pertemuan sulit pula hingga akhirnya lahirlah zuriat yang tidak diketahui siapa bapanya.
Kisah isteri setia disamping suami ketika sakit mungkin perkara biasa. Tapi kisah suami yang setia disisi isteri disaat suri hati mempunyai penyakit kronik jarang-jarang sekali berlaku. Apatah lagi penyakit tersebut memerlukan pendermaan organ daripada seorang suami, boleh dianggap pengorbanan yang luar biasa.
Perkongsian kisah kesetiaan dan pengorbanan Mohd Hilmi Damak Kacak pada isterinya ini yang mengalami kegagalan fungsi kedua-dua buah pinggang cukup meruntun hati dan wajar djadikan inspirasi. Pasangan suami isteri ini telah selamat menjalani pemindahan buah pinggang pada 25 Julai lepas.
Dah selesai daftar untuk masuk wad. Pertama kali aku masuk wad. Rasa debar-debar pun ada.. Setelah beberapa kali tunda untuk operation.. Kali ini harap tidak tunda lagi..
Setelah selamat aku nikah dan membaca taklik aku telah menjadi suami yang sah kepada isteri aku dan bertanggungjawab untuk menjaga isteri aku walau apa jua rintangan dan dugaan. 2 tahun perkahwinan aku di uji isteri mengalami kegagalan fungsi buah pinggang keduanya. Jalan terbaik untuk menjalani kehidupan normal tanpa membuat dialisis 3 kali seminggu dengan membuat pemindahan buah pinggang.
Aku serahkan seluruh jiwa dalaman aku untuk isteri moga selepas selesai operation ini kita dapat menjalani hidup secara normal. Tiada halangan untuk dialisis. Baru tadi nurse kata.. Isteri beri buah pinggang untuk suami biasa je dema dengar. Tapi suami beri sebelah buah pinggang untuk isteri jarang-jarang dengar.. Ada tapi jaranglah dengar. Aku beri kerana tanggungjawab aku sebagai suami yang mahu melihat isteri aku kembali hidup normal.. Doakan kami berdua moga selasa ni selamat menjalani operation transplant.
Alhamdulillah syukur kepada allah s.w.t semalam telah berjalan dengan lancar operation transplant aku untuk isteri. Pukul 8 lebih masuk bilik bedah jam 3 dah siap semuanye dah balik ke wad icu. Rasa kebas-kebas di perut sebelah kiri. Sekarang organ aku dah ku berikan untuk isteri aku. Alhamdulillah isteri aku dah dapat kencing semula setelah 3 tahun tidak boleh kencing. Itu lah kejayaan yang paling gembira.. Harap aku dah isteri cepat sembuh.. Terima kasih pada kawan-kawan yang doakan untuk aku dan isteri.. Keluarga aku dan keluarga mentua aku tidak henti berdoa. Hajat aku telah tertunai.
Alhamdulillah dah 10 hari aku dan isteri selesai menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Selesai je pembedahan isteri aku dah mula boleh kencing setelah sekian lama 3 tahun tidak mampu kencing kerana kerosakkan buah pinggang.
Keputusan darah menunjukkan bacaan Creatinine buah pinggang isteri aku telah menunjukkan paras normal iaitu 69. Hanya beberapa yang kene dia perbaiki dengan pengambilan buahan, susu dan kuning telur.. Kini isteri aku sudah bebas segala tiub-tiub yang melekat di tubuhnya dan tidak lagi menjalani proses dialisis.
Kini penjagaan harus mengikut nasihat doktor untuk kekal sihat. Nasihat aku untuk rakan-rakan semua amalkanlah gaya hidup yang sihat.. Elakkkan pengambilan minuman campuran seperti 3 dalam 1. Jangan la ambil ubat-ubat yang tidak ada kelulusan kementerian kesihatan. Pesan aku ni untuk semua dapat jaga diri masing-masing.Hargailah anugerah tuhan yang di berikan pada tubuh kita dan jangan kita abainya
Buat masa ni 3 kali seminggu kene buat medical check up untuk memantau perkembangan isteri aku.
Aku pernah muram dan sangat sedih bila dapat tahu isteri aku mengalami kerosakkan kedua buah pinggang. Tersangat sedih hanya yang terdekat memahaminya diri aku.Alhamdulillah setelah bertahun menunggu tarikh untuk pembedahan akhirnye selesai segalanya. Semoga pengorbanan aku untuk isteri di terima Allah s.w.t dan moga kami sihat sentiasa dan bahagia.
MW: Pesanan buat suami isteri jadikan kisah ini sebagai satu sumber inspirasi agar tetap bersama-sama pasangan dalam mengharungi susah senang. Tempuhi saat manis dan sukar bersama, bukan hanya memerlukan dikala sihat dan ditinggalkan ketika sakit. Tahniah buat suami ini, sanggup berkorban nyawa, menempuh kesakitan menjalani pembedahan menderma organ demi mengharapkan isteri tersayang kembali sihat seperti sedia kala.
Hari ini media sosial dipenuhi dengan berita sedih penunggang motosikal RXZ dilaporkan terbabit dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Jabor.