Suami jangan ingat, dengan melepaskan isteri ketika hamil dengan talak, dia boleh lari dari tanggungjawab terhadap anak-anaknya. Biar pun anak berada di bawah jagaan ibu, nafkah anak tetap perlu ditanggung sepenuhnya oleh si bapa.

Ini yang dinasihatkan oleh Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli kepada isteri yang diceraikan ketika hamil. Jangan terlalu meratapi nasib, kerana ‘vitamin’ nya ada untuknya. Bangkitlah agar menjadi lebih baik.

‘Vitamin’ Buat Isteri Yang Diceraikan Ketika Hamil

“Saya masih lagi merasai isu minggu lepas (ketika status dimuat naik), pendakwah ceraikan isteri ketika hamil. Ini sangat tidak boleh diterima dan sikit sebanyak mencalarkan imej agama Islam di mata masyarakat khususnya bukan Islam.

Cuma, mungkin mata orang masih tertumpu pada pendakwah tersebut, tapi pandangan saya memikirkan tentang nasib isteri yang diceraikan tersebut berbanding vitamin isteri baru. Saya percaya, ramai pihak khasnya wanita, berada bersama-sama dengan si isteri tersebut.

Saya rasa macam nak bagi nasihat ‘vitamin’ kepada nasib isteri-isteri lain yang mungkin alami situasi yang sama macam kes tu, cuma tak viral sahaja. Harap-harap, ‘vitamin’ ni dapat kuatkan semangat untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.”

1. Move On Dan Fokus Pada Anak-anak

Hidup ni orang kata macam roda, kadang kita diatas, kadang di bawah. Pada saya, hidup ni hanya persinggahan sementara yang masing-masing ada jalan cerita sendiri. Mungkin liku kehidupan ni cuma ujian kecil pada kita.

Sekurangnya, kita tahu, bagaimana sifat Imam yang kita pernah sanjung sebelum nikah dahulu. Dan, percayalah, ramai di kalangan wanita yang pernah diceraikan ketika ini, sudah Move On. Bahkan, ada yang kehidupannya lebih bahagia bersama anak-anak atau bersama orang yang masih menyayangi iaitu ibu, bapa dan saudara mara.

IKLAN

Jangan resah atau takut bergelar janda. Ramai masyarakat di Malaysia yang berada dibelakang mereka yang teraniaya sebab ini lumrah keadilan. Jadi, Move On! dan fokus pada nak bantu orang lain supaya hidup kita yang sementara ni dapat memberi manfaat pada insan lain.

2. Jangan Bimbang Tentang Anak

Walaupun bergelar ibu tunggal, tapi anak-anak masih mempunyai bapanya. Jangan risau, hak jagaan anak memang akan dapat pada ibu selagi layak di sisi Syarak dan Undang-undang. Tak ada siapa-siapa boleh rampas anak tersebut daripada anda.

Ada orang cakap, ibu tak layak dapat jaga anak sebab suri rumah, tak ada duit nak beli kelengkapan. Pesan kat orang itu, sila jangan tidur masa kursus kahwin. Inilah peluang terbaik untuk anda dapat luangkan lebih masa untuk anak. Nafkah anak juga akan perlu ditanggung sepenuhnya oleh si bapa.

3. Anda Berhak Terima Saguhati Yang Besar

Pernah dengar tentang Mutaah? Ia adalah saguhati selepas perceraian. Wanita yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah, layak terima Mutaah dengan sewajarnya. Pengorbanan kita sebagai isteri dan malunya keadaan kita selepas perceraian diambil kira.

IKLAN

Islam ada bagi hak ini pada wanita. Ini sebagai medium untuk seseorang wanita tersebut dapat Move On hidup dengan lebih baik. Pada saya, wanita yang dicerai di luar Mahkamah, sewaktu bersalin memang patut dan layak untuk terima habuan yang paling setimpal.

4. Kekal Positif

Mungkin nak set mind positif ni bukan mudah. Tapi, pelan-pelan ia mungkin tercapai. Saya pernah terbaca artikel, untuk bangun daripada kegagalan dalam rumahtangga bagi seorang wanita, ia mungkin ambil masa. Tapi, sekali dah tinggal luka, tak mungkin luka tu dapat dipadam.

Cuma, luka luaran tu hanya tanda sahaja sebagai peringatan. Tapi, hati wanita dan minda mereka akan mampu untuk positif kalau sentiasa ada family dan kawan yang positif. So, jangan sedih lama-lama. Cuba banyakkan selawat, ibadah dan luahkan kepada kawan-kawan yang sentiasa positif dan bagi support. Insya allah, mesti boleh punya lah.

IKLAN

5. Sentiasa Percaya Dengan Keadilan Mahkamah Allah

Ingatlah, walaupun mungkin tak ada orang yang nampak dan alami macam mana kehidupan kamu semasa di dalam rumahtangga, dan sememangnya payah nak diceritakan pada orang lain selagi tidak ada bukti, tapi, itulah tujuannya Mahkamah Allah wujud. Ketika itu, tak ada lagi senyuman manis seorang suami yang menafikan di dunia terlepas di akhirat.

Akidah ini jangan sesekali terpadam. Mungkin betul takdir telah ditetapkan bahawa kita hanya bersama pasangan sementara sahaja, tapi tak mustahil takdir juga untuk Allah pertemukan dengan insan yang lebih 19 kali baik daripada sebelumnya.

Ramai ibu-ibu tunggal lain di luar sana, yang pernah alami nasib yang lebih teruk. Percayalah, banyak ibu tunggal yang diceraikan oleh suaminya dalam keadaan mengandung, mampu bangkit dengan lebih baik. Bahkan, mereka tak rasa rugi diceraikan sebaliknya bahagia dengan kehidupan baru. Dan ada juga yang menjadi usahawan berjaya disamping berjaya membesarkan anak-anak tanpa perlu pun bantuan si lelaki.

Ini kuasa wanita, ini kuasa ibu tunggal yang cekal setelah ditolak. Saya doakan dipermudahkan untuk bersalin buat wanita yang diceraikan semasa mengandung.

Setiap Wanita Berhak Untuk Bahagia

Sumber/Foto : Fahmi Ramli

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI