Kekurangan diri yang terdapat padanya sejak dari lahir lagi sedikitpun tidak dijadikan alasan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Meskipun keadaan fizikal yang memerlukan Samrul Anuar, 35 menggunakan kerusi roda untuk bergerak, langsung tidak membataskannya untuk mencapai kejayaan dalam bidang jualan yang baru sahaja disertainya sejak dua tahun yang lalu.
Lebih dikenali dengan nama Anuar dikalangan keluarga dan teman-teman, berasal dari Pahang dan merupakan anak pertama daripada enam orang adik-beradik ini tidak sama sekali membebankan keluarga dalam meneruskan kehidupan. Malah Anuar yang kini merupakan Pengurus Jualan bagi sebuah jenama penapis air dari Korea ini lebih suka berdikari dan tidak menyusahkan ahli keluarga dan rakan terdekat.
“Saya memang dilahirkan tidak sempurna. Tapi saya tak jadikan itu semua penghalang untuk saya teruskan kehidupan. kalau ikutkan memang saya banyak kekurangan, dengan keadaan fizikal tidak normal membuatkan saya tidak dapat bersekolah. Struktur tulang yang tidak kuat membataskan pergerakan saya, kalau tersalah langkah boleh menyebabkan tulang saya patah. Jadi saya banyak belajar dengan arwah ibu saya dan adik-beradik yang lain untuk mengenal huruf dan sebagainya.
“Sepanjang usia saya, saya memang dengan keluarga sahaja di Jengka. Hanya pada tahun 2005 barulah saya keluar daripada kampung dan tinggal berjauhan dengan keluarga. Itupun kerana saya ingin memajukan diri dan mula belajar di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi, Selangor. Dua tahun saya belajar kemahiran di sana sehingga tahun 2006. Sejak itu saya mula berdikari dan mencari pekerjaan yang sesuai,” ujar Anuar tentang kehidupannya.
Ke bidang jualan
Sebelum memulakan karier dalam bidang jualan, Anuar pernah berkhidmat dengan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, di Pos Malaysia bahagian Pengurusan Wakaf di Putra Heights. Malah menurutnya lagi, dua minggu sebelum memulakan kerjaya sebagai ejen jualan, dia turut mendapat tawaran kerja lain. Tapi oleh kerana keadaan yang tidak mengizinkan, tawaran kerja tersebut terpaksa di tolak.
“Sebelum saya berhenti daripada kerja lama, dua minggu sebelum itu saya dapat tiga tawaran kerja. Dua kerja dalam bidang pengurusan yang memerlukan saya berada di pejabat dan satu dalam bahagian jualan. Tawaran kerja di pejabat membataskan pergerakan saya kerana berada di tingkat atas bangunan dan tidak mempunyai lif, jadi sukar untuk saya bergerak, maka saya terima sahaja kerja dalam bahagian jualan.
Ads
“ Selepas ditemuramah oleh bos saya, Encik Muiz, dia ada bertanya betul ke saya nak masuk dalam bidang ini? Saya jawab ya saya nak tapi saya tak berani nak target jualan yang tinggi macam orang lain. Sejujurnya pada awalnya memang saya ada terfikir, boleh ke saya nak yakinkan orang untuk dapatkan produk saya dengan keadaan saya yang berkerusi roda, nak bersaing dengan rakan lain yang sempurna.
“Saya fikir semasak-masaknya, dan saya kuatkan semangat serta mahu beri peluang kepada diri sendiri untuk mencuba sesuatu yang tak pernah saya buat dalam hidup. Jadi saya teruskan dan bertekad. Dari situ saya tak pandang belakang lagi dan Alhamdullilah saya berjaya sampai ke tahap ini,”cerita Anuar tentang penglibatannya dalam bidang jualan.
Bersama En.Muiz yang banyak membantu Anuar
Pengurus Jualan
Dua tahun dalam bidang jualan, dari seorang ejen biasa Anuar kini sudah melangkah setapak ke hadapan apabila berjaya meletakkan dirinya sebagai pengurus jualan untuk jenama tersebut. Malah Anuar juga mempunyai rancangan untuk mempunyai booth jualannya sendiri tidak lama lagi.
“Alhamdulilah dua tahun saya menjadi ejen, saya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Jualan. Dalam team, hanya saya seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Ads
“Nak bersaing dengan orang normal itu memang agak mencabar untuk saya. Jika rakan yang lain perlu berusaha untuk mencapai target yang telah ditetapkan dengan mudah, saya pula perlu berusaha dua kali ganda daripada mereka. Kalau mereka kerja enam jam, saya kena kerja 12 jam. Saya masih ingat hari pertama bertugas, 12 jam berkempen barulah saya mendapat pelanggan pertama saya. Tapi itu semua tidak buat saya putus asa, malah saya terus belajar untuk memperbaiki hasil jualan saya setiap hari. Masa saya mula-mula masuk dalam bidang ini, ketua saya Encik Muiz banyak membantu. Dialah yang ajar saya daripada tentang pengetahuan tentang dan sebagainya.
“Cabaran lain yang saya hadapi pada permulaan karier adalah tanggapan rakan-rakan sepasukan sendiri. Melihat kepada keadaan fizikal saya yang serba kekurangan membuatkan mereka mungkin tertanya-tanya dalam hati adakah orang seperti saya boleh berjaya dalam bidang jualan yang mencabar ini? Tapi bagi saya, saya juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain walaupun punya kekurangan daripada aspek fizikal khususnya. Jadi saya bersaing secara sihat.
“Usaha lebih, datang awal, dapatkan ilmu tentang produk yang saya jual. Saya belajar dan samakan diri dengan orang lain. Sebulan lebih saya ambil masa untuk belajar semua itu barulah saya rasa saya dapat bersaing dengan rakan-rakan lain. Syukur usaha saya itu membuahkan hasil, dan Alhamdullilah kini saya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Anuar penuh bersemangat.
Kekurangan yang ada ditambah dengan menggunakan kerusi roda untuk bergerak tidak membataskan pergerakan Anuar dalam urusan seharian. Menurut Anuar dengan adanya perkhidmatan seperti Grab memudahkan dirinya untuk bergerak dari rumah ke destinasi yang lain.
Ads
“Bila kerja dengan Cuckoo sampai sekarang saya banyak gunakan perkhidmatan Grab untuk ke Brand Store di USJ, kadang ke ofis di Kuala Lumpur dan untuk temujanji dengan pelanggan.Memang ia sangat membantu orang seperti saya.
Sentiasa bersemangat.
Tidak menafikan ada ketikanya diri terasa kerdil apabila berada di samping individu normal yang lain, namun Anuar ada cara tersendiri untuk kembalikan semangatnya.
“Tipulah kalau saya kata tak pernah rasa rendah diri dengan keadaan saya. Tapi biasanya kalau saya rasa down, saya akan cari kawan baik saya yang juga OKU. Kami berkawan sejak belajar di ILPP, sejak itu kami menjadi kawan baik. Kepada dialah saya selalu bercerita jika punya masalah dan begitu juga sebaliknya.
“Kawan-kawan yang lain juga memang banyak membantu, terutamanya kawan-kawan dalam bidang jualan. Tapi saya punya prinsip sendiri. Selagi mampu saya akan cuba lakukan sendiri tanpa meminta bantuan orang lain. Kalau betul-betul memerlukan atau terbatas barulah saya minta bantuan rakan-rakan.”
Anuar ingin jadi contoh kepada OKU lain
Ingin terus mencipta kejayaan dalam hidupnya meskipun diri tidak sesempurna insan lain, semangat dan tekad Anuar seharusnya menjadi contoh buat OKU lain untuk meneruskan kehidupan.
“Kalau boleh saya mahu lebih berjaya dalam kehidupan walaupun fizikal saya tidak sesempurna orang lain. Itu sedikitpun tidak menghalang saya untuk berusaha seperti orang lain. Saya tengah mencari ejen baru, terutamanya dari kalangan OKU seperti saya. Saya nak buktikan bahawa orang seperti kami juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain. Paling penting rajin berusaha dan tanamkan minat dalam apa yang diceburi,”akhiri Anuar menamatkan perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sudahlah isteri itu sarat mengandung, diminta pula buat macam-macam. Rasa ralat sungguh bila ada suami yang tak sayang isteri, marah-marah sebab tak puas hati dengan khidmat bakti isteri. Sampai dijaja kisah isteri di laman sosial, dikongsi pula keburukan isteri tanpa dapat isteri membela diri. Nampak saja salah isteri, tapi tak sedar empat jari lagi tertuding ke diri sendiri.
Terkesan dengan sikap suami yang berkongsi kisah rumah tangganya ini, Puan Marlia Ramlimenyuarakan pandangannya. Saranan untuk suami yang selalu saja mempertikaikan bakti isteri selama mana dia berada di bawah naungan nafkah suami.
Benar.. bukan semua lelaki bergelar suami begini. Ramai sebenarnya sudah punya kesedaran dan bertanggungjawab, cuma kisah ini jadikan ikhtibar. Agar tiada lagi wanita yang dimangsakan oleh suami sendiri.
Wanita Dimangsakan
Ini akak setuju. Kalau kita berkahwin untuk memaksa isteri berkhidmat kepada keseluruhan keluarga kita, akak fikir lebih elok kita ambil bibik uruskan rumahtangga.
Buat apa mahu beristeri? Isteri begini menyusahkan bukan? Tak mahu memerah keringat untuk keluarga kita. Tapi… Ambil bibik perlu dibayar, jika isteri dapat perkhidmatan percuma pula. Untungnya….
Sebagai kapten sebuah kapal, fahamkah kita apa tugas seorang isteri? Job scope nya apa? Termasuk mengurut ibu mertua dan menjaga anak-anak saudara ketika dia sendiri sedang mengendong zuriat kita?
Dan bila bercakap soal nafkah, bukankah hak isteri sepatutnya didahulukan? Garis panduan agama dalam soal pengurusan wang nafkah bagaimana? Muncunglah isteri jika hak nya terabai. Jika dah tunaikan nafkah, berbincanglah beritahu isteri bahawa mahu membahagiakan ibu pula. Usah mengambil hak isteri untuk diberi kepada sesiapa sedangkan terbiar hak nya pula.
Ya, akak setuju. Jika rasa mahu “membibik kan” isteri, eloklah ceraikan dia. Buat apa mahu terusan menyusahkan dia? Bukankah itu hanya membawa derita?
Duhai Suami Yang Dimuliakan
Akak malas nak bebel panjang. Sebelum mengambil anak dara orang, fahami erti bakti seorang isteri.
Kelas agama banyak. Ustaz nak rujuk pun ramai. Belajarlah… Supaya bila isteri mengandung tidak dikerah mengurut ibu dan menjaga anak-anak saudara kita pula.
Sungguh-sungguh formulanya mudah. Jika mahu dihormati sebagai ketua, ketahuilah dulu apa yang patut dan apa yang sebaliknya.
Lepas mencuci pinggan mangkuk dan kemas rumah isteri berkurung di bilik? Tak bolehkah? Selepas dia melakukan khidmat kepada keluarga mertua dia mungkin kepenatan. Penat letihnya mengemas dan mencuci pinggan mangkuk pernah ditanya? Mangkuk apakah pemikiran kita?
Ego Suami.. Sanggup Pula Pisahkan Ibu & Anak Yang Belum Bercerai Susu
Selepas isteri bersalin bercadang nak ceraikan isteri dan ambil anak? Tahniah! Sudahlah sang ibu dan anak berkongsi nafas selama 40 minggu, mahu diambil begitu saja? Tahniah kerana tidak merancang mahu menyusukan anak dengan air susu seorang ibu. Sustagen, Anmum, S-26 dan Enfagrow A+ kan ada? Peduli apa walaupun kita tahu khasiatnya tidak setanding dengan titisan susu ibu. Janji kita boleh menunjukkan kekuasaan kita sebagai arjuna.
Akak kecewa? Ya, akak sangat kecewa jika melihat WANITA DIMANGSAKAN. Ingat… Mak ayah si gadis nyamuk pun tak dibenarkan gigit, hadir arjuna dan keluarga mertua mahu menghancur lumatkan hati pula?
Eloklah mahu ceraikan isteri. Kerana isteri sebegini bakal berjumpa jodoh yang lebih baik. Lagipula, kita ambil bibik lebih mudah. Jangankan mengurut ibu dan menjaga anak-anak saudara, tandas rumah nenek kita sekali pakej mengemop lantai kitchen tok anjang pun kita boleh arahkan bibik lakukan saja.
Dan Akhirnya Ini Yang Jadi, Bila Isteri Terlalu Ditekan Tekan Emosinya
Gara-gara tidak tahan dengan sikap suami yang gemar berpoya-poya dan berperangai keji, seorang wanita nekad mengupah orang untuk mengerat kemaluan suaminya.
Wanita dikenali sebagai Ayesha, 45, ditahan bersama anak saudara, Nandini, 30 dan suaminya, Pawan Vishwakarma, 35, selepas mangsa, Dr Shafatullah Khan ditemui mati dibunuh dalam kejadian di Jabalpur, Madhya Pradesh, India pada Selasa minggu lalu.
Hindustan Times melaporkan, wanita terbabit dibantu mereka sebagai rancangan untuk balas dendam di sebuah rumah.Bagaimanapun, Pawan kemudian mengarahkan dua lelaki yang diupah melaksanakan tugas itu supaya membunuh mangsa. Dua lelaki terbabit masih bebas dan kini diburu polis.
Ditemui Dengan 12 Tikaman
Mayat mangsa ditemui dalam sebuah rumah di Jabalpur, Madhya Pradesh dengan 12 tikaman di dada manakala leher dan pergelangan tangan dikelar. Jurucakap polis, Shashikant Shukla berkata, mangsa ditemui dengan 12 tikaman di dadanya manakala leher dan pergelangan tangan dikelar.
Ayesha mengahwini suaminya pada tahun 1991 tetapi lelaki itu menggunakan kedudukannya sebagai doktor untuk menjalin hubungan dengan beberapa wanita termasuk gadis muda.Dia memperdayakan beberapa orang kononnya dengan menawarkan pekerjaan sebagai jururawat sebelum merogol mereka.
Ayesha mendakwa, suaminya pernah merogol Nandini ketika berusia 11 tahun menyebabkannya mengandung, namun perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan keluarga untuk menutup malu.
Kes bayi meninggal dunia di rumah pengasuh antara isu yang seringkali menjadi kebimbangan buat mak-mak yang bekerja.Benar ajal dan maut ditangan tuhan, tetapi jika berpunca daripada kecuaian, pasti terbit rasa kekesalan dihati.
Terbaru, kejadian yang dilaporkan berlaku di Kuantan, seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, dekat sini, hari ini.
“Sabtu lalu saya bermain dengan dia. Cucu sihat dan aktif seperti biasa. Hari ini, tiba-tiba sahaja saya dapat tahu dia sudah tiada.”
Itu luahan Hadijah Gan Abdullah, 63, nenek kepada Ahnaf Hanafi Mohd Hanif, berusia setahun, yang disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Indera Mahkota 8 di sini hari ini, selepas ditinggalkan di rumah pengasuh.
Tidak Sedarkan Diri
Hadijah berkata anaknya, Mohd Hanif Sulaiman, 28, dan isterinya Roshidah Abdullah, 30, menerima panggilan telefon daripada pengasuh cucunya sekitar pukul 2.45 petang, memaklumkan anak tunggal mereka tidak sedarkan diri.
Katanya, anaknya juga difahamkan bahawa pengasuh itu meminta jirannya untuk membawa Ahnaf Hanafi ke klinik kerana tidak mempunyai kenderaan.
“Saya juga sudah biasa di klinik itu kerana menjalani rawatan di situ. Saya diberitahu cucu sebenarnya sudah tiada apabila sampai di klinik itu dan kami diminta membuat laporan polis.
“Pengasuh mengatakan cucu merengek dan dia masukkan ke dalam buaian. Saya tanya jika cucu diberi susu, tapi pengasuh kata tidak. Sukar untuk kami terima Ahnaf sudah tiada kerana dia sihat dan dia juga sebenarnya tidak biasa dibuai kerana kami tidak menggunakan buaian.
“Ayahnya beritahu Ahnaf seperti biasa pagi ini… hanya sedikit sakit pada kulit, tapi tidak mungkin itu menyebabkan kematiannya,” katanya semasa ditemui Bernama di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
Pengasuh Baru
Hadijah yang merupakan pesara guru menambah cucunya baharu sebulan lebih ditinggalkan di situ, selepas pengasuh lama di Kampung Tiram di sini, mengambil dua bayi, menjadikan mereka khuatir bagaimana beliau mahu menjaga begitu ramai kanak-kanak dalam masa yang sama.
Justeru itu, Mohd Hanif, seorang akauntan dan isteri yang merupakan kerani sebuah syarikat swasta di Indera Mahkota mencari pengasuh baharu dan difahamkan pengasuh itu turut menjaga empat kanak-kanak lain, katanya.
“Ahnaf baharu menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada 9 Disember lalu. Saya tak sangka perkara ini boleh berlaku kepada kami kerana sering membaca kejadian seumpamanya di surat khabar.
“Bila saya baca tentang kanak-kanak terjatuh, tersedak susu atau kejadian lain melibatkan bayi, saya akan mengingatkan anak-anak supaya sentiasa berhati-hati dengan anak mereka,” katanya.
Tindakan Undang-Undang
Hadijah yang menetap di Bukit Setongkol di sini menambah Ahnaf adalah cucu kedua bongsu daripada lima cucunya dan sedang aktif merangkak dan cuba bertatih.
Beliau menambah mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Indera Mahkota sekitar pukul 4 petang tadi dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu, jika wujud unsur kecuaian. Jenazah Ahnaf Hanafi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini esok, kerana mereka menunggu keluarga Roshidah dari Marang, Terengganu.
Ibu bapa kanak-kanak itu enggan ditemuramah dan Roshidah difahamkan enggan menjamah makanan sejak kejadian berlaku dan perlu ditenangkan beberapa anggota keluarga dan rakan sekerja.
Klasifikasi Mati Mengejut
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis Mohamad Noor Yusof Ali semasa dihubungi berkata,punca kematian belum dapat dipastikan dan ibu bapa bayi itu dimaklumkan pengasuh bahawa anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam buaian dengan mata terbuka.
“Bapa bayi itu sudah membuat laporan di Balai Polis Kuantan berhubung kejadian itu,” katanya.
Mohamad Noor berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut.
“Kita akan mendapatkan bantuan dan laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui punca kematian,” katanya lagi.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga bersabar diatas segala ujian dan dugaan yang menimpa. Alfatihah.
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...