
Rata-rata anak zaman sekarang memang ketagih dengan permainan video game atau permainan video. Celik-celik mata memang handphone dulu yang dicari kerana itu satu-satunya permainan yang anak-anak ada sekarang.
Sebagai mak-mak, kita tak boleh menjauhkan anak-anak daripada permainan video secara drastik. Tetapi cuba kawal sebaiknya agar anak-anak tidak ketagihan. Zaman telah berubah, mungkin dahulu kita dapat bermain macam-macam, hari ini permainan anak-anak hanyalah video game.
Ikuti perkongsian, Nora Markom
GAJET DAN ANAK-ANAK
Pernah dulu saya sangat risau bagaimana untuk menjauhkan anak-anak daripada permainan video. Hampir setiap hari mereka memujuk rayu untuk bermain melalui telefon atau komputer. Pening, memang saya pening.
Sehinggalah pada suatu hari ada seorang kakak guru senior yang memberikan kata-kata mutiara untuk saya ketika kami sedang menikmati makanan di meja kantin.
“Nora, kita tak boleh halang terus ‘video game’ daripada mereka. Dulu kita bebas bermain dari hujung kampung ke hujung kampung. Sekarang tak macam tu. Zaman mereka berbeza dengan zaman kita. Zaman sekarang, ‘video game’ tu permainan mereka.”
Saya agak terkejut mendengar jawapan kakak yang sangat saya hormati itu. Tak sangka begitu butir bicaranya ketika saya meluahkan kerisauan. Benar, zaman sudah berubah. Suasana juga jauh berbeza. Apa yang perlu dititikberatkan ialah cara tindakan dan aktiviti tersebut dilakukan.
Segalanya Bergantung Kepada Gajet
Tak mungkin saya dapat menyekat terus gajet daripada disentuh oleh anak-anak. Semua bentuk komunikasi melalui telefon. Setiap kelas, kelab dan persatuan ada kumpulan Whatsapp. Telefonlah alat penyalur maklumat. Pendaftaran kokurikulum anak-anak juga melalui ‘Google form’. Saya dapat tahu hanya dua hari diperlukan oleh guru sekolah anak saya menyelesaikan pendaftaran aktiviti kokurikulum murid-murid.
Selain itu, bukan sedikit tugasan sekolah perlu diselesaikan melalui komputer. Bukan sahaja sekolah menengah, sekolah rendah pun sama. Ada saja kuiz topikal perlu dilengkapkan. Sering kali cikgu-cikgu anak saya meminta pencarian maklumat melalui Internet dilakukan sebelum kelas dan dikongsikan semasa sesi pembelajaran. Itulah konsep Kelas Berbalik atau ‘Flipped Classroom’.
Jadi, sebagai ibu bapa apa yang perlu kita buat? Kita tiada pilihan sebenarnya. Ya, zaman sudah berubah menyebabkan kita juga perlu berubah cara pemikiran dan membuka fikiran untuk menerima perubahan.
Jangan Kesian
Perkara paling penting ialah cara kita mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak. Tetapkan masa untuk menggunakan gajet. Sekali mereka melanggar peraturan maka hukuman perlu dihadapi oleh mereka. Sesiapa yang melanggar masa akan kehilangan peluang untuk bermain pada waktu seterusnya. Untuk anak-anak saya cara ini berkesan. ‘NO KESIAN-KESIAN’.
Bukan senang nak menyesuaikan diri dengan dunia anak-anak. Sebagai orang tua terpaksalah kita mencari cara agar teknologi tidak mengkhayalkan mereka. Teknologi dan gajet banyak kelebihannya jika kita bijak menguruskannya. Sedangkan orang tua pun boleh ralit dengan gajet, apatah lagi anak-anak.
Selamat maju jaya untuk kita semua
#ceritacikgunora
Sumber: Nora Markom
MW: Sebagai mak, ayah kita perlu bijak mengawal anak dalam penggunaan gajet. Tak salah anak menggunakan handphone, namun haruslah berpada-pada dan tahu batasnya. Dalam dunia hari ini memang kita tak mampu menyekar terus penggunaan gajet kerana tak kira tua atau muda, banyak urusan bergantung pada gajet.
Ceritera 4 Beradik Melvin Dari Layar Seni Ke Dunia Bisnes

Siapa yang tidak kenal dengan adik beradik popular ini. Bukan sahaja cantik tetapi turut mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Bahkan, mereka bijak dalam mencorak kehidupan masing-masing dan peminat sentiasa ingin tahu tentang perkembangan semasa mereka.
Keakraban adik beradik ini tidak dapat dinafikan dan mereka umpama pasangan kembar, sukar untuk membezakan antara satu sama lain. Lebih teruja apabila sama-sama terlibat dan berkongsi rezeki dalam mengeluarkan produk kecantikan, Kekasih By The Melvins yang baru setahun jagung berada di pasaran.
Mingguan Wanita berpeluang menyelami cerita tentang adik beradik yang cantik ini; Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 30 tahun, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 29 tahun, Siti Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 26 tahun dan Siti Nur Syida Amirol Melvin, 23 tahun.
Boleh dikatakan sepanjang penggambaran yang diadakan di kediaman Syafiqa di Glenmarie, gamat dan meriah dengan kehadiran anak Syatilla dan Syafiqa. Manakala Syida pula sedang menunggu hari untuk bersalin dan Syifa masih lagi solo buat masa ini.
“Sentiasa Ingatkan Adik-adik, Jangan Lalai…” Datin Seri Siti Nur Syafiqa
Mungkin ramai yang hampir lupa atau tidak tahu, Datin Seri Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 30 tahun, adalah juara bagi program realiti Gadis Melayu musim kedua pada tahun 2009. Di kalangan ahli keluarga, beliau adalah orang pertama yang mula-mula berkecimpung dalam dunia hiburan.
“Selepas program tersebut, saya sempat menjadi pengacara dalam program ‘Bersamamu’. Kemudian, saya menyambung pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Sains Mikrobiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).”
“Sebelum Syatilla terlibat dalam bidang seni, saya sudah rasai dahulu. Cuma, selepas tamat pengajian, saya mula memperlahan rentak dalam dunia hiburan ditambah bila sudah berkahwin, fokus saya adalah pada rumah tangga,” katanya yang pernah terlibat dalam perniagaan pakaian pada tahun 2013.
Tambahnya, walaupun fokus pada keluarga dan perniagaan pakaian, beliau turut menjual produk kecantikan orang lain. Melalui pengalaman itulah, beliau tahu sedikit sebanyak selok belok perniagaan dan barulah mereka adik beradik berbincang untuk mengeluarkan produk sendiri.
Ditanya pendapat tentang produk yang dikeluarkan ini sebagai batu loncatan di atas populariti mereka adik-beradik, wanita anggun ini tenang mengatur bicara.
Katanya perniagaan yang dijalankan ini bukanlah bersandarkan kepada rupa atau populariti. Sebaliknya, jika tidak ada ilmu perniagaan, tidak akan ke mana-mana.
“Orang luar hanya tengok keindahan menjalankan perniagaan bersama adik beradik tetapi sebenarnya ada cabarannya tersendiri. Setiap orang kena tahu apa yang perlu dibuat dan tugas masing-masing.
“Selalunya, saya sentiasa ingatkan mereka, jangan fikirkan tentang glamor, perniagaan kita berjaya tetapi kita kena belajar dan jangan berhenti belajar. Kekayaan, kemewahan dan populariti tidak ke mana. Jangan kita lalai dengan semua itu,” katanya yang sentiasa tegas dalam membuat sebarang keputusan.
Dahulu Dua kali Seminggu, Sekarang Setiap Hari
Walaupun masing-masing mempunyai kehidupan sendiri tetapi boleh dikatakan mereka kerap bersama dan ada sahaja cerita yang ingin dikongsikan.
Kata Datin Sri Syafiqa, sejak mempunyai perniagaan bersama adik beradik, kekerapan berjumpa adalah setiap hari. Berbanding sebelum ini, mereka biasanya berjumpa dua kali seminggu. Malah, kediamannya menjadi tempat utama untuk sebarang pertemuan selain di pejabat.
“Sekarang ini, Syatilla menetap di Ampang, Syifa di Glenmarie dan Syida pula di Damansara. Bila ada perniagaan ini, mereka membeli rumah di kawasan ini untuk memudahkan kami bertemu dan berbincang. Lagi pun, bila ibu dan ayah datang dari Ipoh, rumah sayalah yang akan jadi tumpuan,” katanya. Melvina, adik bongsu mereka turut tinggal bersamanya.
Dalam kesibukan dan menjadi anchor dalam perniagaan adik beradik, itu tidak bermakna beliau menyerahkan sepenuhnya menjaga anak kepada pembantu rumah.
“Oleh kerana, anak-anak sudah mula bersekolah, tugas saya setiap pagi mengurus dan menghantar anak ke sekolah.
“Selepas itu, barulah saya mulakan kerja di pejabat. Setakat ini, saya dan anak-anak tidak pernah berenggang atau mereka tidak pernah ditinggal terlalu lama,” kata balu kepada Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang meninggal dunia pada tahun 2018 akibat kanser darah.
Berehat Dalam Dunia Hiburan – Syatilla Melvin
Dalam adik beradiknya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 29 tahun, atau lebih mesra dipanggil Syatilla paling menonjol. Sementelah selepas berkahwin dengan pelakon terkenal, Shaheizy Sam dan memperolehi dua cahaya mata, Syeriv Samheizy, 4 tahun dan Sarima Samheizy, 9 bulan.
Namun sejak kebelakangan ini, dia jarang muncul dalam mana-mana stesen televisyen. Katanya, buat masa sekarang dia lebih fokuskan pada anak-anak dan perniagaan bersama adik beradiknya.
“Buat masa ini, saya berehat sementara waktu dalam dunia seni. Saya juga terpaksa menolak beberapa tawaran kerana ingin fokus kepada Kekasih dan lebih-lebih lagi pada anak-anak yang sedang membesar,” katanya yang merupakan salah seorang finalis Dewi Remaja 2009/2010.
Adik Beradik Satu Kepala
Bertanya lebih lanjut tentang hubungannya bersama adik beradik yang lain. Syatilla tidak menafikan bahawa mereka sangat rapat. Apatah lagi semuanya perempuan, banyak yang mereka dapat berkongsi bersama.
“Sebenarnya, apabila berkumpul, baik adik beradik lelaki atau perempuan sama sahaja. Tetapi saya beruntung kerana kami saling memahami lawak dan karenah masing-masing. Syoknya, satu kepala dan boleh berkongsi pakaian, kasut dan minat yang sama.
“Bergaduh adik beradik memang lumrah, cuma tidaklah ambil masa yang lama dan tidak pernah ambil serius,” katanya yang menafikan tidak pernah bermasam muka antara satu sama lain.
Dari mata kasar kelihatan Syatilla berperwatakan kasar, malah ia diakui sendiri olehnya tetapi kena tahu membezakan.
“Saya memang seorang yang agak kasar, baik dengan keluarga atau suami. Cuma saya kena bezakan dan penyampaian itu pun berlainan. Cara dan perwatakan kasar itu memang tidak boleh dibuang tetapi hormat tetap hormat,” katanya lagi.
Suami Kawan Baik
Begitu juga apabila Syatilla dengan suaminya. Dia sendiri merasakan antaranya dengan Sam umpama langit dan bumi kerana Syatilla seorang yang suka menyakat dan jika ada masalah dia tidak suka tunjukkan.
“Selama 10 tahun bersama Sam, saya rasakan hubungan kami sangat istimewa, bukan sekadar suami isteri tetapi lebih kepada kawan baik. Dialah kawan baik saya. Contohnya, gelagat kami dalam video di media sosial, itulah hakikat kami sebenar,” katanya yang merasakan tidak perlu sorok tentang perangai masing-masing.
Bagaimana pula Syatilla menghabiskan masa bersama keluarga kerana menyedari Sam, seorang yang aktif berlakon dan baru sahaja menghabiskan penggambaran filem Polis Evo 3. Bagi Syatilla, dia lebih suka lakukan kejutan untuk Sam.
“Oleh kerana Sam sibuk di set penggambaran dan bila keluar pagi, malam baru dia balik. Jadi, dia tidak sempat untuk berjumpa dengan anak. Apa yang saya buat adalah memberi kejutan di lokasi. Pernah saya bawa anak-anak ke Sarawak semata untuk berjumpa dengannya,” katanya yang lebih rapat dengan anak-anak.
“Doakan Saya Jumpa Jodoh…” – Syifa Melvin
Siti Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 26 tahun, anak ketiga yang dikatakan mempunyai wajah mirip dengan Syatilla. Sehinggakan ada peminat yang keliru dengan mereka berdua.
Dia memulakan kerjaya sebagai instafamous solekan, bidang modelling dan selepas itu mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Baru mencipta nama dalam dunia hiburan tetapi terpaksa mengorbankan minatnya semata-mata ingin fokus kepada perniagaan yang dijalankan bersama adik beradiknya.
“Tahun lepas, saya telah menolak tiga tawaran berlakon kerana ingin serius dalam perniagaan kami. Maklum sahaja, bila kita berlakon, ia memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Jadi, saya tidak mahu ada pembahagian fokus dan lebih baik tumpukan pada satu perkara sahaja,” katanya yang ditugaskan untuk menguruskan bahagian pejabat dan sumber manusia.
Sesuai dengan dirinya sebagai instafamous yang banyak review tentang produk orang. Jadi, tibalah masanya untuk dia melangkah ke satu lagi fasa dengan membuka perniagaan bersama ahli keluarganya.
“Pada mulanya agak risau sebab kami tidak pernah lakukan dan baru mencuba. Selepas berbincang dengan yang lain dan galakan daripada kawan-kawan, kami memberanikan diri,” katanya yang tidak menyangka akan mendapat sambutan yang baik.
Ada Rezeki Lain
Menceritakan tentang hubungan adik beradik, Syifa memberitahu, mereka dibesarkan dari keluarga sederhana dan kesemuanya perempuan. Kiranya, dia yang belum mendirikan rumah tangga selain adik bongsunya yang baru berusia 15 tahun.
Dalam usia begini, agak sesuai untuk dia mendirikan rumah tangga. Jawapan Syifa cukup mudah.
“Pernah semasa berusia 23 tahun, saya agak stres bila bercakap tentang perkahwinan. Tetapi, sekarang saya sudah tidak kisah. Jika ada jodoh, adalah. Mungkin rezeki kahwin saya lambat tetapi saya diberi rezeki lain pula,” katanya yang keluarga pun tidak pernah mendesak untuk dia cepat kahwin.
Tahun 2020, tiada yang diharapkan oleh Syifa selain untuk lebih berkembang maju, baik dari segi personaliti dan perniagaan yang dijalankan. Dengan perniagaan ini boleh membantu ramai orang untuk mengubah hidup. Harap saya akan bertemu jodoh pada tahun ini,” katanya sambil tersenyum.
Bakal Bergelar Ibu Muda – Syida Melvin
Siti Nur Syida Amirol Melvin, 23 tahun, anak keempat daripada lima adik beradik ini, agak pendiam berbanding dengan yang lain. Semasa penggambaran ini dilakukan, dia hanya menunggu hari untuk melahirkan anak sulung, hasil perkahwinan bersama Mohamad Syafiq Azim Shaheen pada tahun 2019.
“Alhamdulillah, dari hari ke hari, perasaan berkobar-kobar untuk menanti kehadiran orang baru dalam keluarga kami. Sekarang ini pun, masih ada lagi membuat persiapan di saat-saat akhir,” ujarnya yang bakal melahirkan anak perempuan.
Dia juga baru sahaja menghabiskan pelajaran di MSU, Shah Alam. Pada tempoh belajar dan masa yang sama ‘membawa’ perut ke kelas. Semua ini tidak langsung memutuskan semangatnya.
“Mulanya, saya agak malu sebab saya ‘bawa perut’ untuk masuk kelas, sedangkan pelajar lain masih belum kahwin,” katanya yang mengambil berjaya menamatkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Visual Communication and Marketing.Mengakui akan cuba berpantang secara tradisional dan percaya ia sangat membantu kemudian hari.
“Saya seorang yang tidak suka berjalan dan lebih suka duduk di rumah. Jadi, tiada masalah untuk saya betul-betul berpantang. Tambahan pula, agak takut juga bila ada mengatakan jika tidak melakukan pantang dengan betul, ia boleh memberi kesan pada esok hari,” kata Syida yang akan mengambil khidmat orang untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang.
Suami Penyokong Kuat
Berkahwin dalam usia muda dengan jarak usia dengan suami lebih kurang lapan tahun. Semua itu tidak langsung membuatkan dia menyesal. Malahan, dia percaya dengan jodoh yang telah diaturkan.
Tanggungjawab yang cukup besar. Buka sahaja sebagai isteri tetapi juga pelajar dan perniagaan yang dijalankan memerlukan dia bijak dalam menguruskan masa. Malah, semua ini tidak menghalang Syida untuk berjaya.
“Agak berat pada saya, namun mujurlah kakak-kakak banyak bertolak ansur dan suami sangat memahami. Dialah penyokong kuat dan pemberi semangat untuk saya lakukan semua ini,” jelas Syida yang ditugaskan untuk menguruskan bahagian kewangan.
Kekasih by The Melvins diasaskan oleh Syafiqa, Syatilla, Syifa dan Syida yang memperkenalkan rangkaian produk krim bedak asas dan matte bibir.
Setakat ini lebih daripada 1000 ejen dan stokis di seluruh negara dan setelah 9 bulan berada di pasaran, produk ini telah terjual lebih daripada 200,000 unit. Matlamatnya adalah untuk membantu menaikkan taraf hidup dan melahirkan ramai jutawan dalam perniagaan ini.
************************************************************
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh adik beradik popular ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Mac, volume 1 yang kini telah pun berada di pasaran.
Penyelaras & Teks: Norhayati Othman
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Kelrina (Syatilla), Saidatulnisa (Syida), Mimie Romyza (Syifa), El Manda Zuhairy (Syafiqa)Penata Gaya: @Hashtagsrihartamas | Busana & Tudung: The Hashtag (@Hashtagsrihartamas);
Blancheur (@Blancheur_co); Radiusite Shah Alam (@Radiusiteshahalam)
Dicaj Lebih Murah & Diutamakan Dari Orang Lain Buat JURURAWAT Ini Menangis

Bukan sesuatu yang mudah bila seorang jururawat diuji ketika ini walaupun sekadar kereta rosak. Setelah bertungkus-lumus menyelesaikan tugas-tugas yang diamanahkan dan kemudian kereta “buat hal” memang menguji kesabaran.
Seorang jururawat, Qaseh Irfan, tidak pernah merasakan karier sebagai bebanan, sebaliknya inilah caranya dia menjana pahala.
Selain bertugas dalam tempoh agak panjang dalam keadaan sekarang dan ditambah pula ditinggalkan suami yang kini bertugas mengikut misi di luar negara bukanlah sesuatu yang mudah bila setiap kali dirundung masalah.
Tetapi Qaseh Irfan membuktikan dia mampu melalui segalanya, lebih-lebih lagi masih ramai yang menyanjung tinggi pengorbanan seorang “jururawat” yang berpenat-lelah berada di barisan hadapan. Dia sama sekali tidak menjangka dihargai sebegini sekali, malah tak terjangkau dek akalnya.
Ikuti perkongsian Qaseh Irfan ini:
Alhamdulillah…terima kasih sebab memudahkan urusan saya…
…
Terima kasih Abang Asrol Faezal sebab call beritahu pasal bateriku.com ini…
Faham kan adik mu ini tak tahu apa-apa…
…
Bateriku.com iaitu Encik Azizi… Terima kasih sebab utamakan saya tadi…
Masa call beliau untuk tanyakan boleh datang ke tidak, kebetulan beliau sudah on the way ke Alor Mengkudu untuk selesaikan urusan kerjanya…
Beliau tanya kereta di mana… Saya beritahu di Hospital Bahiyah (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar) dan berada di parking belakang hospital…
Beliau kata dalam jam 10 pagi barulah dia boleh datang selepas selesaikan kerjanya…
Saya cuba bertanya sama ada boleh awalkan atau tidak sebab sudah mengantuk sangat kerana baru sahaja selesai tugas. Sekadar mencuba nasib.
Terus dia tanya sama ada saya seorang misi (jururawat) ke? Baru nak balik kerja ke?
Saya cuma jawab ya…
…
Guess what???
Dia kata, baiklah saya pergi sekarang juga… Buat masa sekarang, saya memang utamakan misi yang kerja kuat…
Ya Allah! Terharunya…
…
Selepas dia check semua dan tukar bateri dan saya pula mahu settle kan payment…
Beliau kata RM 200 sahaja perlu dibayar padahal kos sebenar di resit adalah RM 208…
Saya kata,eh kenapa pula…
Beliau kata tidak apa-apa… Saya niat untuk bagi pada puan sebab telah bekerja keras untuk kami pada masa sekarang.
…
Allah! Allah! Allah! Serius terharu….
Saya tak mintak semua itu pun…
Saya cuma nak balik rumah untuk tidur dan berehat
Dikurangkan Harga
Ketika mahu bertukar resit dan bayaran, beliau kepilkan sekali RM 20…
Dia kata ini untuk puan, rezeki di hari Jumaat…
Ya Allah….
Saya usulkan pada dia untuk berikan pada orang lain yang lebih memerlukan…
Beliau jawab, sekarang duit ini rezeki puan… Untuk orang lain insyallah ada rezekinya selepas ini…
Rasa Dijentik Hati
Sesungguhnya, banyak sangat yang menjentik hati ini dengan kejadian pada pagi jumaat ini terutamanya. Masih ada juga insan yang menghargai kami warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Sejujurnya, saya tak pernah mengharapkan semua ini berlaku dan tak pernah terfikir pun… Tetapi setelah melalui kejadian ini, saya rasa ingin menangis…
Sumber: Qaseh Irfan
MW: Semoga Allah membalas segala kebaikan dan pengorbanan jururawat dan semua staf kesihatan di barisan hadapan. Semoga Allah sentiasa melindungi kalian. Stay strong.
Pengalaman Kedua Anak Influenza, Ibu Ini Kongsi Cara Duduk Serumah Tak Berjangkit

Memang bimbang apabila anak kita mula selesema dan demam. Apatah lagi setelah ke klinik atau hospital, doktor sahkan anak kita positif influenza. Buat mak, ayah yang pertama kali anaknya terkena influenza situasi macam ni memang buatkan hati tak senang.
Jangan bimbang, ikuti perkongsian Maryam Elyas :
ANAK POSITIF INFLUENZA A, APA NAK BUAT & CARA ELAK BERJANGKIT PADA ADIK BERADIK LAIN KALAU KUARANTIN DI RUMAH
CikYam ada pengalaman dua kali jaga anak diserang demam influenza A. Masa anak kena influenza A tahun 2017, masa tu dia belum ada adik lagi. So takde lah bimbang jangkit dekat adik. Bila tetiba dia sah influenza A kali kedua baru-baru ni, dia dah ada adik. Bila doktor kata anak boleh discaj walaupun dia masih demam, CikYam risau betul kalau demam tu berjangkit kat adik dia. Tapi alhamdulillah Salma sembuh dengan elok dan adik dia pun tak terjangkit. Sihat semuanya.
.
Musim virus influenza A sekarang ni kan? Rata-rata hospital dan klinik penuh dengan orang demam. Tak kira dewasa, warga emas atau kanak-kanak. Bayi pun ramai yang demam. CikYam nak share tip elak jangkitan influenza A bila pesakit kuarantin di rumah. Moga bermanfaat untuk mak ayah di luar sana.
.
1 Januari 2020 hari tu, anak CikYam yang sulung demam. Tapi demam dia on off. Siang nampak macam sihat. Malam layu saja dia. Malam kedua, suhu badan dia panas menggila sampai menggigil. CikYam letak kain basah kat dahi, sekejap je kain tu kering sebab panas badan dia. Tapi dia nak berselimut sebab dia kata dia sejuk.
.
Esoknya pagi-pagi pegi klinik. Hajat hati CikYam nak cek darah sebab nak tahu ada influenza atau tak. Allahu, tak nak peristiwa tahun 2017 berulang lagi iaitu anak dijangkiti influenza A sampai lembik. Berdebar dup dap dup dap tunggu result check darah. Dan debaran tu ada betulnya. Anak CikYam sah positif influenza A untuk kali kedua.
.
Memang ramai ibu bapa panik bila anak influenza A. Pengalaman dua kali anak kena influenza A, jadikan CikYam lebih rasional. Cool, relax. Hahaha. Nak tahu apa kena buat bila anak sah kena influenza A? Ini dia CikYam share.
DARI KLINIK TERUS RUJUK KE HOSPITAL
Bila anak demam dan selepas doktor di klinik sahkan anak positif influenza A, sila terus dapatkan surat daripada doktor klinik untuk terus refer ke hospital. Masa kena influenza A tahun 2017 dulu, doktor hospital sarankan kena warded. Sebabnya anak CikYam memang dah lembik, demam suhu tinggi tak turun turun, tak nak makan, susu pun kurang berselera, batuk teruk, berkahak, selesema dan dia muntah. Lapan hari tau dia warded kat KPJ Selangor.
.
Masa kena tahun 2020 ni, anak CikYam sehari je kat hospital. Lepas tu doktor suruh habiskan ubat influenza dan ubat lain di rumah. Tapi WAJIB KUARANTIN. Doktor bagi balik rumah sebab anak CikYam makan OK, susu OK, masih aktif walau demam, suhu badan OK bila makan ubat demam, selesema tak teruk, batuk tak berkahak sangat.
Jadi, parents, korang kena tahu tak semua kes inflenza A perlu warded tapi semua kes influenza wajib kena kuarantin. Walau anak nampak sihat, please jangan bawak keluar rumah jenjalan macam orang sihat. Sila duduk rumah.

BAGI AIR MASAK SEKERAP MUNGKIN
Budak yang demam influenza A kena kerap minum air. Biar suhu badan dia cepat turun dan tekak dia sentiasa basah. Jangan lah sampai kering tekak tu. Budak ni kadang bila dia demam, dia tak nak minum. Kalau dia tak demam pun kadang air masak dia tak ingat nak minum, kan? So, korang sebagai mak ayah ni kena sentiasa readykan air masak dan bagi dia minum.
.
KENA BAGI MAKAN, CARI APA MAKANAN YANG DIA SUKA
Selera makan budak ini ikut apa makanan yang dia suka. Masa anak CikYam kena influenza A teruk tahun 2017 dulu, memang dia tak lalu makan. Tapi CikYam cuba cari apa je makanan yang dia suka. Nasi memang dia tak nak. Bubur dia OK sikit. Last-last try bagi mihun sup dengan fish ball yang dihiris-hiris barulah dia nak makan.
.
Kalau tak makan, mana nak datang tenaga dia. So walaupun mereka ini susah nak makan, please bawak bersabar. Pujuk dan try cari apa dia nak makan. Masa tu umur anak CikYam 2 tahun lebih. Dia belum boleh beritahu apa dia nak makan. Kitalah kena try n error cari apa agaknya yang dia suka makan.
.
Lagipun time demam kena makan ubat. So elok bagi ubat selepas makan. Kenalah pastikan anak kita makan walau sikit. Kalau dia tak nak susu, tu lagi susah. Kena cuba tackle selera dia untuk makan dan minum susu walau sikit.

ASING TEMPAT TIDUR
Masa anak CikYam kena influenza A tahun 2017, dia belum ada adik. So takdelah risau sangat. Bila dia kena tahun ni, dia dah ada adik. Memang agak susah la bila dia kena kuarantin kat rumah sebab adik dia ada. Nak suruh pakai mask pun, bebudak manalah nak pakai. Apa yang CikYam buat adalah, hadkan diorang ini main bersama. Memang susah, tapi try la.
.
Time tidur, adik tidur dengan papa. Yang demam ni tidur dengan CikYam. Jangan bagi dua beradik ni tidur bersama. CikYam bimbang kalau kakak batuk-batuk dan terjangkit virus tu kat si adik. So the best way, yang CikYam boleh buat adalah asingkan tempat tidur.
.
JANGAN KONGSI SUDU, CAWAN
Budak biasanya suka kongsi minum. Anak CikYam kat rumah minum air masak dalam botol air yang ada straw tu. So selalunya diorang ni share je botol air tu. Bila kakak ni sah influenza, CikYam buat 2 botol asing. Botol hijau adik punya, botol oren kakak punya. Jangan share. Time suap makanan pun kena asing. Tak boleh suap sekali makan macam biasa. Bimbang berjangkit.
.
Setakat ni, inilah amalan yang CikYam buat sepanjang jaga anak demam influenza A. Alhamdulillah tak berjangkit dengan adiknya walaupun duduk serumah.
.
#WartawanMataDuitan
#SuamikuMrMama
#MaryamElyas
#RichMama
Sumber: Maryam Elyas
MW: Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat mak, ayah yang perlu menjaga anak-anak yang positif influenza. Paling penting jangan panik dan ikut saranan doktor. Walaupun anak anda tidak ditahan diwad, wajib kuarantin seperti yang telah diarahkan oleh doktor hingga anak mak, ayah benar-benar sembuh.