“ Sehingga sekarang sudah 6 kali pembedahan dijalankan terhadap Qhayla. Semasa usianya 28 hari dan sebulan lebih, pembedahan untuk membuang air lebih dalam kepala telah dilakukan,” cerita Che Siti Nor Azreen bt Che Ishak membuka bicara.

Cahaya mata sulungnya normal. Oleh itu apabila disahkan mengandung, Che Siti amat berharap anak keduanya ini juga sihat dan normal. Namun apa yang diimpikan itu tidak kesampaian.

Anak perempuan keduanya disahkan menghidap penyakit hydrocephalus with dandy walker malformation. Atau dalam bahasa mudahnya, terdapat lebihan air dalam kepala anaknya yang boleh menyebabkan kepala menjadi besar.

Cerita ibu berusia 23 tahun ini, masalah kesihatan anaknya yang diberi nama Nur Qhayla Rania Mohamad Firdaus ini telah dikesan semasa usia kandungannya enam bulan. Doktor memberitahu terdapat benjolan pada kepala bayi.

“ Qhayla dilahirkan secara pembedahan di Hospital Tanah Merah, Kelantan. Ketika dilahirkan lilitan kepalanya tidak normal iaitu 39 sentimeter.

“ Semasa saya mengandungkan Qhayla, saya juga disahkan lumpur separuh badan. Masa itulah doktor telah mengesan Qhayla sakit.”

Usia Baru Tiga Tahun, Tapi Sudah Enam Kali Jalani Pembedahan

Alahan Sangat Teruk

Kata Che Siti semasa dirinya lumpuh itu, kandungannya berusia dua bulan. Dia mengalami alahan yang sangat teruk.

“ Secara tiba-tiba saya tidak boleh berjalan. Saya juga tidak dapat rasa apa-apa. Akibatnya saya ditahan di dalam wad selama 11 hari.

“ Masa itu kaki saya rasa kebas. Doktor kata potassium saya rendah. Kemudian doktor bagi ubat untuk potassium. Selama lima hari saya makan ubat itu. Selain ubat itu, banyak lagi ubat yang diberikan kepada saya.

“ Selepas saya keluar wad, saya ada buat fisioterapi dan baik pulih cara kerja. Saya lumpun sehingga Qhayla lahir. Setelah usia Qhayla sebulan, perlahan-lahan kesihatan saya makin baik,” ceritanya.

Mula-Mula Susah Jaga

Kini usia Qhayla telah hampir masuk 3 tahun. Banyak perubahan telah berlaku dalam hidup keluarga ini. Che Siti mengakui masa mula-mula anak keduanya ini lahir, agak susah juga untuk dirinya menjaganya kerana diri dia sendiri masih belum pulih sepenuhnya daripada penyakitnya.

“ Alhamdulillah sekarang saya pulih sepenuhnya. Saya bersyukur diberi kesihatan dan kudrat yang baik untuk menjaga anak syurga saya ini.

“ Menjaga Qhayla tidak susah sebab dia faham apa yang kita cakap. Cuma masa dia sakit memang susah saya hendak buat kerja.

“ Sehingga sekarang sudah 6 kali pembedahan dijalankan terhadap Qhayla. Semasa usianya 28 hari dan sebulan lebih, pembedahan untuk membuang air lebih dalam kepala telah dilakukan.

“ Kemudiannya apabila dia berusia 5 bulan, dibuat pula pembedahan untuk memasukkan v.p shunt dari kepala sampai ke perut.

“ Pada usianya setahun lapan bulan, v.p shunt telah dijangkiti kuman. Perlu pula dibuat pembedahan untuk membuang shunt dan dipakaikan evd di kepala selama sebulan.

“ Selepas itu pembedahan untuk memasukkan v.p shunt baru yang diberi secara percuma dari sebuah syarikat untuk Qhayla.

“ Beberapa bulan sahaja ia bertahan. Pada bulan Januari 2019, shunt itu mengalami masalah dan terpaksa dibuang dan diganti dengan yang baru,” cerita Che Siti panjang lebar.

Berhenti Niaga Jaga Anak

Che Siti menjaga Qhayla sepenuh masa. Sebelum ini dia berniaga makanan ringan dengan ais blended. Namun disebabkan kesihatan Qhayla yang tidak mengizinkan sekarang, dia terpaksa berhenti berniaga.

“ Keadaan Qhayla sangat aktif sebelum dijangkiti kuman. Aktif dia itu walaupun tidak sama seperti kanak-kanak lain, dia boleh minum susu menggunakan botol. Dia boleh makan nasi. Malah dia juga pandai bergurau senda. Ketika itu dia cuba juga hendak bercakap walaupun agak pelat.

“ Tetapi selepas Qhayla dijangkiti kuman, semuanya berubah sekelip mata sahaja. Dia kerap mengadu sakit kepala.

” Dia juga selalu menangis, merengek, tidak mampu hendak senyum dan menyusu pun menggunakan ryles tiub sahaja. Sepenuhnya bergantung pada susu dan carborie.

“ Kalau dia sihat, Qhayla mampu menyusu 100 ml setiap 3 jam. Kalau dia tidak sihat, 40 ml sejam setengah saja. Kalau diberi banyak dia akan muntah.

” Sekarang ini berat badan Qhayla semakin susut. Selepas terkena jangkitan kuman juga Qhayla selalu sangat diserang sawan,” luahnya.

Usia Baru Tiga Tahun, Tapi Sudah Enam Kali Jalani Pembedahan

Mahu Lihat Anak Sihat

Demi Qhayla, ibu muda ini perlu kuat semangat. Dalam kepalanya dia tidak fikir benda lain. Hanya mahu jaga Qhayla dan mahu lihat anaknya itu sihat.

“ Saya mahu dia sihat walaupun tidak macam kanak-kanak lain. Kekuatan saya adalah Qhayla. Saya percaya bila Qhayla Nampak saya kuat, dia juga akan kuat dan lawan segala rasa sakitnya itu.

“ Sebagai seorang ibu yang memiliki anak sebegini, bagi saya kesabaran itu penting. Anak sakit kita tidak boleh cuai. Kita betul-betul kena jaga dia tidak kiralah dari segi memberi susu pada waktu malam. Ubat juga tidak boleh ditinggalkan.

“ Kita juga perlu sabar dengan perangai agresif anak yang suka tarik buang ryles tiub. Saya ini pada waktu malam pun selalu berjaga. Kesabaran itu amat penting,” ujarnya.

Bukan Orang Senang

Che Siti dan suaminya Mohamad Firdaus bin Abdullah bukannya orang senang. Suaminya hanya melakukan kerja kampung. Suami dia jugalah yang membanting tulang menyara keluarga.

“ Kami bergantung sepenuhnya pada pendapatan dia. Namun sejak Qhayla sakit, kami perlu membeli susu khas dan carborie yang mencecah empat ratus lebih dalam sebulan. Nasib baik kos rawatan Qhayla di hospital adalah percuma kerana menggunakan kad OKU Kebajikan Masyarakat.

“ Sebulan sekali kami akan membawa Qhayla untuk berjumpa doktor pakar kanak-kanak dan pakar bahagian kepala. Fisioterapi pula dilakukan seminggu sekali. Semua itu dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.”

Luahnya lagi, keluarganya juga daripada golongan orang susah. Mereka tidak mampu membantu dirinya dari segi kewangan.

“ Namun keluarga saya tetap membantu saya bergilir menjaga Qhayla ketika di wad. Keluarga saya memang banyak memberi sokongan kepada saya.”

Bantu Ringankan Beban

Jika ada yang ingin menghulurkan bantuan kepada Che Siti bolehlah menyumbang kepada akaun Maybank 503051529082 (Che Siti Nor Azreen).

 

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI