Usah asyik bersusah hati dan terlalu memikirkan pelbagai perkara yang belum lagi berlaku dalam hidup. Selalu tak terlintas dalam fikiran, ‘Siapa akan jaga aku bila aku tua nanti? Sekarang tak temui jodoh lagi, macam mana nak ada anak, macamana nak ada cucu? Siapa akan jaga bila dah tua nanti, takkan ke rumah orang tua pula nanti?’
Sebelum terus bersusah hati, pernah tak terfikir, ada orang dah berkahwin tapi belum dapat-dapat juga anak. Tiap hari makan sindir dan perli suami, mentua dan kawan-kawan rapat. Rasanya lebih baik tak payah kahwin kalau memang tau tak dapat anak.
Usah Terlalu Banyak Fikir
Oleh situasi yang begini, dia juga kerap bersusah hati dan berfikir, ‘Siapalah yang akan jaga aku bila tua nanti. Kalau suami tinggalkan aku atau dia meninggal dulu, siapalah yang akan ambil kisah tentang aku? Memang terbiarlah aku dalam rumah usang, seorang diri.’
Nanti dulu, sebelum terus-terusan bersusah hati, kenang-kenang orang yang anaknya semua lelaki. Dia lagi berasa parah apabila memikirkan takkanlah menantu perempuannya sanggup menjaganya setelah tua nanti. Sedangkan anak sendiri ramai yang tak kisah, inikan pula hanya menantu. Dia berasa sangat susah hati seolah-olah hari depannya sememangnya gelap gelita.
Nampaknya kalau anak perempuan tentu masalah itu selesai. Mari tengok orang yang anaknya semua perempuan, sama juga. Terfikir, ‘Kalaulah semua tu nanti ikut suami masing-masing, siapalah yang nak jaga aku…’
Usah Risau, Jangan Letakkan Masa Depan Di Tangan Manusia Lain
Apa masalah kita sebenarnya? Masalahnya kita letakkan hari depan pada tangan manusia; anak-anak, suami, walhal kita lebih patut pasrah pada ALLAH yang mengaturkan semua itu buat kita. Bukankah ALLAH yang jaga itu semua?
Lihatlah berapa ramai orang yang anak ramai, cukup nisbah lelaki dan perempuan, namun masih terabai hidupnya. Hidup terkontang-kanting seorang diri hingga matinya juga seorang diri.
Setiap orang ada jalan ceritanya masing-masing, jalan cerita itu cukup tersendiri, ia pasti berbeza-beza dan tidak pernah sama antara satu dengan yang lain. Setiap sesuatu itu adalah rezeki yang ditentukan.
Kita menyangka untung tetapi sebenarnya rugi pada penghujung, begitu juga kita menyangka rugi tetapi rupa-rupanya untung pula pada hari kemudian.
Hakikatnya tiada siapa tahu apa yang sebenarnya telah disediakan untuknya dalam hidup. Kita berhak berusia sekeras mungkin, berharap seteguh mungkin, berdoa semahu-mahunya saban waktu, namun sama ada dapat ataupun tidak itu berada pada hak ALLAH pula.
Ads
Siapa kita untuk memaksa kita mesti diberikan sekian-sekian kononnya itu alasan bahagia, tetapi sebenarnya kita tidak tahu apakah sesuatu yang berkilau cemerlang pada hari ini akan kekal begitu sampai hujung.
Manusia Mudah Berkeluh Kesah
Memanglah kita ini manusia mudah berkeluh-kesah. Kita mudah tercuit oleh kata-kata orang. Apabila orang kata, ‘Kau tak kahwin, esok dah tua siapa nak jaga kau,’ kita terus menjadi murung. Kita mula menyalah-myalahkan nasib kenapa menjadikan kita lambat bertemu jodoh.
Hidup penuh dengan misterinya yang tidak terungkap oleh manusia. Bagaimanapun kita cuba meramal kita mungkin tersasar. Kita hanya boleh berusaha merubah nasib kita, namun ketentuan sebenarnya masih tetap berada di tangan ALLAH SWT.
Usah bersusah hati sangat dengan kehidupan, sebab kita tidak tahu apa sebenarnya yang telah disediakan buat kita sepuluh dua puluh tahun akan datang. Bukan semua keputusan A yang kita buat hari ini, hujungnya nanti adalah Z, ia mungkin huruf-huruf yang tidak pernah kita jangkakan, mungkin K, L, C, AQ, FZ dan lain-lain.
Reda, Berusaha Dan Bersyukur
Yang betul, reda sahajalah dengan hidup kita hari ini, sambil berusaha keras untuk apa-apa yang diingini, syukur apabila mendapat, sabar apabila terhalang.
Tidak dapat hari ini tidak bermakna tidak baik untuk kehidupan kita seterusnya, mendapat hari ini mungkin di situlah punca petakanya tiba, tiada siapa yang tahu. Reda, sabar, pasrah – pasti okey.
Potong Rambut Di Salon, Betul Ke Muslimah Kena Bawa Balik Tanam
Potong rambut di salon, apa yang anda perlu buat dengan lebihan rambut yang sudah dipotong itu? Paling tidak kita biarkan tukang gunting uruskan.. betul tak? Rupanya sebaik dipotong, rambut perlu ditanam ya mak-mak. Hadam penjelasan yang dikongsikan oleh pendakwah bebas, yang juga penulis buku, Ustaz Mustafar Mohd Suki.
Apatah lagi rambut itu sendiri adalah aurat bagi wanita. Yang mana ia ialah bahagian wajib yang perlu dipelihara daripada dilihat oleh mereka yang bukan mahram. Namun, bagaimana cara yang sesuai malah terbaik untuk membuang atau melupuskan rambut yang telah dipotong supaya aurat wanita ini tak dilihat oleh sesiapa pun.
MEMOTONG RAMBUT BAGI WANITA ASALNYA ADALAH DIHARUSKAN OLEH SYARAK. TETAPI MESTILAH TIDAK MENYERUPAI LELAKI, MENIRU ORANG KAFIR DAN SELAINNYA.
Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim yang mana Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pernah memotong rambut mereka. Para ulama berbeza pandangan dan pendapat berkenaan hukum rambut wanita yang telah dipotong sama ada ia dikira sebagai aurat atau tidak.
Mazhab Syafie menyatakan, ia ialah aurat dan wajib dipelihara daripada pandangan bukan mahram. Sementara itu, Mazhab Hanbali tidak menganggapnya sebagai aurat kerana ia perkara yang sukar dielakkan seperti rambut, bulu dan selainnya.
Cara Urus Lebihan Rambut Yang Dah Dipotong
Adapun, cara menguruskannya yang paling terbaik adalah dengan menanamnya dan ia termasuklah kuku dan bulu-bulu seperti pandangan Imam al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj dalam Mazhab Syafie.
Selalu kita dengar orang berkata yang jika mahu dihormati maka kita perlu terlebih dahulu menghormati. Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
Kita Hormat Orang…Orang Homat Kita
Pada saya, ia sangat benar. Kita perlu belajar untuk sentiasa menghormati orang lain biar setinggi mana kedudukan kita. Semakin tinggi kedudukan kita dan semakin pula kita menghormati orang lain maka hormat yang datang kepada kita semakin banyak.
Sudah namanya manusia, rasa mahu dihormati dan diberi penghormatan tinggi pasti ada walaupun hanya sekelumit dalam hati. Kita boleh sahaja mendapatkan penghormatan secara paksa apabila kita mempunyai wang dan kuasa tetapi apabila salah satu atau kedua-duanya hilang maka lenyaplah juga rasa hormat orang kepada kita.
Kalau Dipaksa, Takkan Kekal
Rasa hormat yang datang secara paksaan tidak akan kekal lama. Ia juga merupakan rasa hormat yang tidak mempunyai roh. Pada saya rasa hormat ini datang dalam dua bentuk. Pertama, orang menghormati kita kerana kita perlu dihormati. Apabila kita berada di hadapannya maka kita akan dihormati. Tetapi di belakang kita boleh jadi dikeji. Apatah lagi setelah mati, terus sahaja dilupai.
Rasa hormat yang kedua pula datang setelah wujudnya sayang. Pada saya ia datang setelah sayang dan bukan sebelum sayang. Maksudnya begini… seseorang yang dihormati haruslah terlebih dahulu disayangi. Apabila kita menyayangi seseorang maka kita secara automatik akan menghormatinya.
Dihormati Belum Tentu Disayangi
Kita sering merasakan yang seseorang yang dihormati akan disayangi. Hakikatnya ialah seseorang yang dihormati belum tentu disayangi. Namun seseorang yang disayangi sudah tentu disayangi. Rasa sayang itu adalah roh kepada hormat. Jika kita disayangi maka kita akan dihormati.
Ini kerana apabila seseorang itu yang menyayangi maka dia akan meletakkan orang yang disayangi di tempat paling istimewa dalam hatinya. Maka secara tidak langsung dia akan memberi penghormatan yang tinggi kepada orang disayangi.
Apabila wujud rasa sayang kepada seseorang maka kita tidak mahu dia disakiti. Kita juga tidak mahu dia kecewa. Bahkan kita sentiasa mahu dia bahagia hingga kita sanggup melakukan apa sahaja asal dia menjadi ceria. Kita tidak akan merasa terbeban dengan kehadirannya. Biarpun pun kehadirannya merantai kita kepadanya.
Semakin kuat rasa sayang, semakin kuat pula ikatan peraturan yang wujud hingga kita menjadi takut untuk hatinya tercalar walau sedikit. Kita menjaganya ibarat kereta yang baru kita terima dari kedai. Menjaga hati itu datang daripada perasaan sayang. Menjaga hati itu juga adalah tanda hormat kita kepadanya. Nah, jelaslah yang apabila wujud rasa sayang maka datanglah rasa hormat.
Diragui
Orang yang mengaku menyayangi tetapi tidak menghormati maka sayangnya itu boleh diragui. Ini kerana sayang dan hormat itu adalah satu pakej. Ia datang bersama dan pergi bersama. Orang yang menghormati dengan kasih sayang tidak akan merengus dan terbeban untuk menghormati.
Bagi mereka menghormati itu adalah satu perkara penting dalam kasih sayang. Tetapi jika kita rasa terbeban maka ketahuilah yang ada yang tidak kena dengan perasaan sayang yang diluahkan.
Justeru, jika kita mahu dihormati sememangnya kita perlu menghormati. Langkah awal untuk menghormati ialah menyayangi. Kita perlu ada banyak rasa kasih dan sayang dalam diri untuk dialirkan keluar agar dirasai oleh orang sekeliling kita.
Jika kita sudah menyayangi dan menghormati tetapi kemudian kita disakiti dan dikhianati, usah kita risau dan sedih kerana itu tidak bermakna kita sudah tiada yang menghormati. Mereka yang tidak pandai menghormati orang lain akan sentiasa mahu dihormati.
Hukum Alam
Mereka sentiasa akan sakit hati dan kecewa apabila rasa hormat tidak diberi. Tetapi mereka lupa hukum alam yang sering diceritakan oleh orang bijak bestari…beri sebelum diberi. Orang yang disayangi akan dihormati dan penghormatan yang diberi itu tidak akan diungkit.
Namun mereka yang hanya mahu dihormati akan dihormati ketika mereka tegap berdiri. Tetapi apabila mereka sudah layu tidak mampu menguasai maka hilanglah hormat timbullah benci. Semoga kita sentiasa menghormati, tidak menyakiti jauh sekali mengkhianati.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap orang memiliki impian dan cita-cita sama ada untuk berjaya dalam karier, mengumpul harta atau menjelajah dunia. Sebaiknya setiap daripada kita harus bijak menyeimbangkan antara keutamaan duniawi dan juga akhirat agar hidup kita diredhai Allah selalu.
Kisah kali ini berkisar tentang seorang bapa yang angkuh dengan kemewahan yang diperolehinya selama hidupnya. Menurut anaknya, Zaim, ayahnya merupakan kontraktor berjaya di utara tanah air. Tidak dinafikan sejak kecil Zaim sendiri dilambakkan dengan kesenangan, setiap permintaan anak-anak pasti ditunaikan.
Ayahnya sangat disenangi anak-anak kerana jarang memarahi anak-anak dan pemurah dalam membeli jiwa anak-anak. Keempat-empat anaknya juga berjaya dalam bidang akademik dan kesemuanya lulusan universiti. Satu kekurangan bapa Zaim ialah dirinya tidak mahu menunaikan perintah agama.
Bukan hanya tidak mahu mendirikan solat yang merupakan tiang agama, malahan dia tidak menunaikan kewajipannya untuk berpuasa, apatah lagi membayar zakat. Ketika masih mentah, Zaim tidak nampak kekurangan ayahnya daripada mata kasar.
Setelah makin meningkat usia, Zaim mula belajar agama di sekolah dan ustaz-ustaz, membuatkan dia sedar bahawa betapa jauh bapanya dari agama Islam. Zaim cuba menasihati bapanya secara halus dengan langkah mengajak ayahnya menunaikan umrah.
Tetapi hampa, bapanya sekeras-kerasnya menolak permintaan Zaim dan membuat keputusan untuk membawa keluarganya bercuti ke luar negara sahaja. Ayahnya makin menjadi-jadi apabila kematian ibu. Ayahnya seolah-olah hilang malu apabila bercinta dengan wanita yang terlalu muda.
Hilang Punca
Akibat terlalu cintakan wanita yang hanya mahukan wang dan harta ayah, mereka berdua ditangkap khalwat di sebuah hotel mewah. Sebagai anak, Zaim merasa malu dan mula mencari alternatif lain untuk mengubah bapanya.
Akhirnya Zaim berjumpa imam masjid di kawasan perumahannya dan meminta dia bersemuka dengan ayah. Tetapi malangnya imam itu diherdik dan dihalau bapa Zaim kerana mencampuri urusannya.
Paling menggusarkan hati Zaim apabila ayahnya mempersendakan kehidupan imam yang hidup sederhana biar pun menjaga solat lima waktu serta taat dengan setiap perintah agama. Bagi ayah Zaim, sepatutnya orang yang alim hidupnya senang bukannya susah.
Walhal, dirinya dengan bongkak mengakui bahawa tidak pernah solat sepanjang hidup, apatah lagi menunaikan zakat dan bersedekah, tetapi Allah tetap kurniakan kemewahan dan kesenangan yang tidak berbelah bahagi di dunia.
Balasan Sekelip Mata
Siapa sangka tidak lama selepas bapa Zaim memaki imam, dirinya tiba-tiba diserang strok. Sepanjang dia sakit, dia langsung tidak mahu bertemu anak-anak. Dia lebih rela tinggal bersama isteri mudanya daripada dijaga anak-anak.
Selaku anak sulung, hati Zaim dilanda resah apabila tidak mengetahui tentang perkembangan kesihatan ayahnya. Setelah berbincang bersama adik-adiknya mereka ingin ke rumah isteri muda ayahnya dan akan membawa balik bapa mereka.
Setibanya mereka di sana, amat mengejutkan apabila mereka mencium bau yang amat busuk. Setelah berkali-kali memberi salam tidak menjawab, mereka cuba memecah pintu dan bau yang busuk itu datang daripada dalam rumah.
Lebih menyedihkan apabila mereka melihat jenazah ayah mereka yang mulai membusuk dan berulat berada di dalam bilik tidur utama. Rupa-rupanya ibu muda meninggalkan bapa sendirian dan tidak sedar bahawa suaminya telah meninggal dunia.
Ternyata kekhilafan bapa Zaim membuatkan pengakhiran hidupnya amat menyedihkan. Bayangkan tidak ramai jemaah yang ingin turut serta ketika solat sunat jenazah ditunaikan akibat tak tertahan bau busuk. Zaim sendiri hampir termuntah, namun ditahan kerana inilah penghormatan terakhir buat ayahnya.
Oleh itu sebagai hamba-Nya, kita harus ingat kekayaan dan kemewahan tidak menjanjikan apa-apa di mata Allah. Sebaliknya amal soleh yang menjadi bekalan kita di akhirat kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...