Kata empunya resepi ini, Noorastella Muhamma tutorial step by step menghasilkan nasi lemak yang dikongsikan ini, boleh menghasilkan nasi yang banyak untuk nasi lemak dalam masa satu jam, dan sambal nasi lemak yang sedap dan tahan lama.
“Ini juga cara mudah menghasilkan sambal yang sedap, warna sambal yang menarik dan tahan lama.” Punya lengkaplah tutorial ini sampai 39K sharingnya.
Penyediaan Sambal Nasi Lemak Untuk 200 Bungkus
Tutorial Sambal Sedap, Cantik Warna Lagi Tahan Lama
Kita mulakan dengan cili kering. Bagi 200 bungkus nasi lemak, saya gunakan 2 mangkuk cili kering yang halus dan 6 mangkuk cili kering yang besar. Saya gunakan 2 jenis cili kering agar sambal yang terhasil seimbang rasa pedasnya kerana cili kering yang halus/kerinting lebih pedas dari cili kering besar.
Gunting cili kering halus-halus. Bertujuan cili cepat lembut ketika di rebus.
Rebus cili kering dalam kuali. Tambahkan satu senduk minyak masak bertujuan supaya cili kering cepat lembut dan masak.
Rebus cili kering sampai kembang. Sentiasa kacau untuk pastikan cili kering masak dengan seimbang.
Bila sudah cukup kembang, tapis cili kering dan cuci bersih. Di dalam jeraian tapisan, biarkan air paip mengalir sambil gaul cili kering menggunakan senduk. Ini bagi mengelakkan jari pijar.
Blend cili kering sampai betul-betul hancur dan halus. Mengikut kuantiti 8 mangkuk cili kering yang saya gunakan, proses blender saya sebanyak 5 kali. Simpan dalam besen dan ketepikan.
Sukatan air untuk blender : Cili kering 2/4 jug blender. Air 3/4 jug blender.
Kemudian, sediakan bahan-bahan untuk menumis sambal. Saya gunakan :
Bawang besar 8 biji
Bawang putih 3 labu
Serai 6 batang
Kunyit hidup sebesar jari kelingking
Halia sebesar ibu jari
Belacan 1 1/2 inci dibakar
Serbuk cili 6 sudu makan
*Bawang Bombay lebih manis *Belacan yang bagus adalah belacan yang agak lembut. Bakar dengan cara letak atas dapur gas guna penyepit atau garpu. Atau pun goreng.
Potong halus semua bahan-bahan tumis supaya memudahkan proses blend.
Untuk blend bahan-bahan tumis, saya tidak menggunakan air sebaliknya menggantikannya dengan minyak masak. Ini bertujuan agar bahan tumis cepat garing.
*cara cuci blender yang berminyak tu : masukkan cecair cuci pinggan dalam blender, masukkan air sedikit dan blend. Pastu bilaskan.
Ads
Masukkan sekali serbuk cili. Serbuk cili tak perlu tambah air. Bila blend semua akan jadi sebati. Kemudian blend sampai halus. Penggunaan serbuk cili akan mantapkan rasa dan cantikkan warna sambal.
Sekarang kita boleh mulakan proses menumis sambal nasi lemak. Saya gunakan minyak bekas goreng ikan bilis untuk menumis. Inilah rahsia sambal yang sedap dan wangi. Pastikan minyak banyak supaya cili masak sempurna dan sambal tahan lama.
Anggaran minyak : sebesar pinggan alas cawan kopi. Tak perlu banyak sebab bahan blend tumis tu pun dah mengandungi minyak.
Masukkan bahan tumis yang di blend halus. Masukkan beberapa helai daun pandan yang disimpul. Ini akan menghasilkan aroma sambal yang maveles!
Tumis sampai garing dan terbit minyak/pecah minyak.
Kemudian masukkan cili kering yang sudah di blend awal tadi. Ambil setengah bungkus asam jawa dan ramas dalam semangkuk air. Masukkan air asam jawa yang ditapis. Kemudian masukkan gula, garam dan aji. Sambal yang terhasil adalah sambal yang manis-manis pedas. Bagi saya, itulah definisi sambal yang terbaik.
Masak sambal sampai terbit minyak. Kepekatan sambal mengikut citarasa masing-masing. Jika terlalu pekat, tambah air sehingga mencapai kepekatan sambal yang sesuai. Sambal yang sedap adalah sambal yang di masak dengan waktu lama. Kebiasaan saya, sambal ini saya sediakan pada waktu malam. Jadi sebelah subuh sambal hanya perlu dipanaskan dan fokus pada nasi pula.
*Gunakan api slow bagi mengelakkan sambal hangit.
Ads
Inilah sambal yang telah siap. Merah kegelapan dan berkilat. Sambal ini cantik warnanya hasil dari penggunaan kunyit hidup, serbuk cili, gula dan proses masak yang lama. 3-4 jam.
Penyediaan Nasi Dalam Masa Satu Jam
Sekarang beralih pada penyediaan nasi pula. Kualiti gambar sedikit gelap kerana nasi ini saya sediakan pada waktu subuh.
Saya gunakan 10 mangkuk beras untuk sekali masak. 10 mangkuk beras ini dapat menghasilkan 100 bungkus nasi lemak mengikut sukatan saya. Setiap hari saya akan masak 20 mangkuk beras (guna beras biasa). Bermakna, saya masak sekaligus menggunakan 2 kuali dan 2 periuk kukusan. Harap kawan-kawan jelas bahagian ini.
*guna mangkuk cili kering tadi.
Cuci beras berkali-kali sampai betul bersih. Petua agar nasi lemak tahan lama sampai ke malam adalah sewaktu cuci beras pastikan cuci sampai air beras jernih. Buangkan air cucian beras yang berwarna putih kerana itu adalah kandungan kanji yang selalu melembabkan nasi.
Untuk nasi, saya gunakan:
Halia sebesar ibu jari
Serai 4 batang
Beberapa helai daun pandan yang disimpul
Tuang beras dan bahan-bahan lain dalam kuali besar. Masukkan air 2 inci dari permukaan beras.
Untuk 10 mangkuk beras (anggaran 5kg) ini, saya gunakan 1 liter santan kara. Santan ini memang best sebab ianya pati santan yang sangat pekat.
Ads
Masukkan 2 senduk minyak masak. Bertujuan supaya nasi lembut, berkilat dan berderai sebiji-biji. Kemudian masukkan garam dan gula.
Sukatan : garam, 3 sudu, gula 2 sudu
Kuali tak perlu tutup sepanjang proses memasak nasi dalam kuali.
Masak sehingga air kering. Sentiasa kacau nasi supaya tidak hangit. Selalunya proses ini memakan masa 20 minit. Ketika ini, nasi hanya masak 40% sahaja. 60% lagi akan masak di dalam periuk kukusan.
Sementara menunggu nasi kering di dalam kuali, panaskan periuk kukusan. Saya suka taburkan beberapa helai daun pandan di bawah permukaan periuk untuk aroma nasi yang wangi.
Periuk kukus saiz besar : Periuk macam ni banyak dekat Sabah. Macam-macam kualiti ada. Ada yang tebal ada yang nipis. Saya beli terus yang tebal sebab pakai hari-hari untuk berniaga. Alhamdulillah periuk memang tak meragam. Setia menemani bertahun-tahun.
Bila nasi sudah kering, gunakan pinggan untuk transfer ke dalam periuk kukusan yang sudah dipanaskan.
Transfer nasi dari kuali sampai habis.
*Kalau tak nak kukus, boleh terus masak dalam periuk nasi.
Inilah nasi lemak yang telah masak. Selalunya masa mengukus adalah 40 minit.
Ini sedikit contoh hasil jualan harian saya.
Lagi sedikit petua dari saya :
– Timun yang di gunakan untuk nasi lemak.
Selepas potong, masukkan ke dalam peti sejuk. Ini bertujuan mengelakkan timun dari berair yang akan merosakkan nasi. Keluarkan timun apabila tiba waktu untuk menggunakannya.
– Kacang goreng.
Jemur kacang di bawah matahari. Ini kerana kacang yang terbungkus dalam plastik akan berbau hapak dan agak lembab. Bila kacang di jemur sebelum goreng, kacang yang terhasil sangat rangup
– Ikan bilis.
Ketika ingin menggoreng ikan bilis, masukkan beberapa hirisan bawang putih. Petua ini berguna untuk mengetahui samada ikan bilis cukup masak atau belum. Bila hirisan bawang putih sudah garing, maknanya ikan bilis pun sudah cukup masak.
– Telur rebus.
Selepas siap merebus telur, ketika sudah matikan api, masukkan beberapa sudu cuka masakan dan tutup sekejap periuk. Ini bagi memudahkan proses pengupasan telur.
MW : Kalau tak buat niaga pun, boleh guna resepi ini jika nak masak untuk kenduri atau majlis.
Brownies memang antara kegemaran ramai. Namun kalau kita beli selalunya teramatlah manis, terlalu kering dan sebagainya. Sebaiknya kita buat sendiri, boleh kawal kadar kemanisannya ikut citarasa sendiri.
Boleh cuba resipi Brownies yang dikongsikan oleh Puan Shida Razak KC ini, elok berkedut dan nak buat pun mudah, semua orang boleh buat.
Berikut perkongsian resipi tersebut;
Siap dah brownies kedut saya untuk santapan keluarga. Cara saya ni mudah saja, semua orang boleh buat. Saya memang suka buat sendiri kurang manis and kena dengan tekak kami yang tak suka makan manis-manis sangat..just perfect.
Bahan A
Cairkan bahan-bahan di bawah dalam microwave 1 minit atau double boil.
2 biji telur gred A atau B
1/2 sudu kecil esen vanila
1/2 sudu kecil garam
140g Brown sugar (saya guna Dark Molases Sugar lebih sedap sebab dia lemak manis yang rasanya kurang manis. Kalau nak.jadi kan 130g pun boleh untuk brown sugar ya. Laras kemanisan mengikut jenis gula pilihan anda. Ikut citarasa masing-masing.
* Kacau rata dan sebati saja semua bahan-bahan di atas ya. Agak-agak gula dah larut, berenti mengacau.
* Masukkan bahan A kedalam bahan-bahan B. Gaul rata, sebati saja.
Bahan C
Ayakkan bahan-bahan dibawah.
100g tepung gandum
1/2 sudu kecil baking powder (kalau nak hasil yang fudge lagi jangan letak baking powder)
25g serbuk koko (kc guna vanhouten) https://invol.co/cl8gxwu
*Masukkan bahan C ke dalam adunan sebati A & B. Gaul sebati. Hasil dia memang adunan tu akan jadi likat, itu yang kita mahu.
*Nak rich lagi. Boleh cincang coklat bar dalam 1/2 cup. Gaul dalam adunan sekali. Nanti dia melting-melting coklat masa kita gigit.
*Sediakan loyang 8×8 inci yang dah sapu butter dan kertas pembakar. Masukkan adunan dan bakar ke dalam oven 170⁰C selama 30-35 minit ikut kapasiti oven masing-masing.
Jangan over cook, nanti kering sangat pulak.Just nice gitu ok. Amik lidi cucuk, dah tak melekat masak la tu.
Yang ini gula saya letak 100g saja brown sugar. Sebab nak letak coklat bar cadbury. Tetap berhasil kedutan dan isi teksturnya sangat cantik.
Mingguan Wanita:Kalau nak cuba buat brownies yang kurang manis dan ikut citarasa sendiri dan paling penting sedap, boleh cuba resipi dan tip yang dikongsikan ini.
Brokoli atau kubis bunga hijau biasanya digunakan di dalam sup, stu atau gorengan. Namun sayuran berwarna hijau yang dikatakan berasal dari Itali ini sangat tinggi khasiat dan memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan. Bukan bermakna menidakkan peranan ubat-ubatan moden dalam mengubati penyakit tapi memakan makanan yang berzat mampu membantu meningkatkan tahap kesihatan yang baik.
Brokoli misalnya, sangat berkhasiat tinggi. Bahkan walau hanya dikukus atau direbus hingga agak empuk, ia enak dimakan sebagai ulaman kerana rasanya lemak manis. Selain itu pelbagai hidangan enak yang boleh dimasak dengan menggunakan brokoli. termasuk gorengan lazat. Ia boleh juga dikisar dan dimasukkan ke dalam bubur nasi bayi.
Apa Khasiat Di Dalam Brokoli?
Beberapa kajian mendapati brokoli mengandung senyawa anti kanser kerana terdapat kandungan fitokimia yang bernama indole dan isothiocyanate. Inilah yang disebut-sebut sebagai manfaat brokoli yang paling besar.
Di antara zat yang terkandung di dalam brokoli ialah serat, antioksidan, vitamin A, B, C, K, dan mineral yang diperlukan oleh tubuh.
Berikut adalah di antara manfaat sayuran berwarna hijau ini.
1. Membantu Turunkan berat badan
Sayuran yang kaya akan serat seperti brokoli sangat membantu program diet penurunan berat badan anda. Kandungan seratnya yang tinggi dapat membuat perut kenyang lebih lama. Sayuran berwarna hijau ini juga mengandungi vitamin serta mineral, dan rendah kalori juga lemak.
2. Menjaga Ketajaman Penglihatan
Kandungan lutein dan vitamin A yang ada di dalam brokoli membuatkan sayuran ini memiliki kemampuan untuk menjaga kesihatan mata. Sebuah kajian menunjukkan bahawa kadar lutein yang tinggi dapat mencegah penurunan fungsi mata seperti katarak dan makula. Sementara vitamin A sangat penting untuk menjaga kesihatan retina.
3. Menjaga Kesihatan Kulit
Memiliki kulit cantik, sihat dan terbebas dari segala permasalahannya ialah impian semua orang. Di dalam brokoli terdapat senyawa glucoraphanin, yang dapat membantu memperbaiki kerosakan kulit akibat paparan sinar matahari atau proses penuaan. \
Selain itu, ia dapat membantu untuk memperbaiki jaringan kulit yang rosak dan membuat kulit yang sihat dan bercahaya. Secara umum, mengambil brokoli baik untuk proses detoksifikasi kulit. Vitamin E di dalamnya sangat bagus untuk mempercepat proses regenerasi sel-sel kulit mati.
4. Menjaga kesihatan pencernaan
Kandungan serat yang tinggi dalam brokoli mampu menjaga pencernaan agar berfungsi dengan baik, mencegah penyakit seperti sembelit. Dan antioksidannya merupakan detoks semula jadi yang membersihkan saluran pencernaan seperti lambung dan usus dari racun.
5. Mencegah penyakit kardiovaskular
Brokoli mengandung vitamin B6 dan asid folid yang terbukti dapat mencegah penyakit kardiovaskular seperti jantung dan strok. Jadi jangan ragu untuk memakan sayuran yang satu ini. Tentunya harus diimbangi dengan gaya hidup sihat dan berolahraga secara teratur.
6. Membantu Mengawal Tekanan Darah
Dengan kandungan kalium dan magnesiumnya yang tinggi, brokoli menjadi salah satu sayuran yang dianjurkan untuk diambil oleh penghidap tekanan darah tinggi.
7. Menjaga Kesihatan Tulang Dan Gigi
Kalsium merupakan mineral yang sangat penting bagi kesihatan tulang dan gigi dan brokoli ini merupakan sayuran yang mengandungi kalsium yang tinggi. Selain kalsium, terdapat juga vitamin K yang dapat mencegah osteoporosis.
JOM Cuba Dua Resipi Gorengan Ini!
Dikongsi dua resipi gorengan mudah yang berasaskan brokoli yang dianggap sebagai ‘super food’ ini. Selamat mencuba.
BROCCOLI PARMESAN FRITTER
BAHAN-BAHAN:
230gm brokoli | cencang
1 biji telur
65gm tepung gandum
30gm keju parmesan parut
½ sudu teh garam
Serbuk lada hitam cukup rasa
Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
Satukan semua bahan di atas kecuali minyak masak. Gaul sebati.
Panaskan kuali, letakkan sedikit minyak. Apabila cukup panas letakkan adunan tadi dan tekan dengan sudip atau sudu untuk meleperkannya.
Balikkan adunan setelah satu bahagian sudah perang keemasan.
Pastikan kedua-dua bahagian masak perang keemasan.
Sedia untuk dihidangkan.
Info chef: Warna hijau brokoli membuatkan hidangan ini nampak lebih menarik.
Tomato egg muffin, menu mudah dan ringkas. Sedap dan mengenyangkan. Masak pun guna air fryer. Sesuai dinikmati sama ada untuk sarapan pagi mahupun minum petang. Boleh juga dijadikan menu diet.
Bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi ini tidak banyak. Tempoh masa untuk memasaknya pun singkat. Tidak perlu menggoreng. Bila-bila masa teringin hendak makan boleh terus buat!
Resipi Tomato Egg Muffin
Bahan-bahan:
3 biji telur
1 biji tomato (dipotong dadu)
1 batang daun bawang di hiris
1 batang sosej(optional)
Sedikit lobak merah dipotong dadu
Sedikit lada benggala(optional)
Lada hitam dan lada sulah secukupnya
*serbuk cili (jika suka)
Resipi Mudah Nak Buat, Masak Guna Air Fryer
Cara memasak:
1. Di dalam mangkuk, pukul telur hingga agak kembang bersama lada hitam dan lada sulah. Campurkan dengan semua bahan-bahan lain. Kacau sehingga sebati.
2. Tuang bancuhan telur ke dalam cawan kertas muffin.
3. Tabur sedikit serbuk cili.
4. Bakar dalam air fryer dengan suhu 160 darjah celcius selama 10 minit atau sehingga masak. Bergantung pada air fryer masing-masing. Enak dinikati ketika panas-panas.
Pasangan yang kehilangan anak sulung tahun lalu kini dikurniakan tiga puteri hasil IVF Tunku Azizah. Kelahiran ini menjadi pengubat rindu Al-Fateh dan bukti keprihatinan Tengku Ampuan Pahang dalam membantu pasangan yang berjuang mendapatkan zuriat.