
Negarawan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencipta satu lagi detik bersejarah apabila menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-101, sekali gus menjadi antara pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah moden Malaysia.
Lebih bermakna, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pula bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Ahad ini. Sambutan ulang tahun pasangan ini mengundang perhatian ramai yang menzahirkan ucapan tahniah dan doa buat kedua-duanya.
Sempena ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad, akaun Instagram rasmi beliau, @chedetofficial memuat naik poster khas memaparkan potret negarawan itu bersama angka “101” berwarna emas serta tanda pagar #Mahathir101.
Hantaran ringkas bertulis “10 July #Mahathir101” itu menerima puluhan ribu tanda suka selain dibanjiri ucapan daripada rakyat Malaysia dan pemimpin negara.
Tun Dr Mahathir Mohamad dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
Beliau merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura pada tahun 1947.
Selepas menamatkan pengajian pada 1953, beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar sebelum membuka klinik persendirian dikenali sebagai Klinik Maha.
Pengalaman sebagai doktor banyak membentuk keperibadian beliau sebelum terlibat secara aktif dalam dunia politik.
Nama Tun Dr Mahathir Mohamad terus terpahat dalam sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 16 Julai 1981.
Beliau memimpin negara selama 22 tahun sebelum menamatkan pentadbiran pertamanya pada 2003, sekali gus menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah negara.
Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia melalui proses pembangunan pesat menerusi pelbagai projek mega seperti Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC) serta pengenalan Wawasan 2020.
Beliau juga memainkan peranan besar dalam pembangunan industri automotif nasional menerusi penubuhan Proton yang menjadi simbol kebanggaan negara.
Atas sumbangan besar terhadap pembangunan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad sering digelar sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.
Selepas bersara, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali mencipta sejarah apabila mengetuai Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pada usia 92 tahun, beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sekali gus mencatat rekod sebagai antara ketua kerajaan tertua di dunia ketika itu.
Pentadbiran kedua beliau berlangsung dari 2018 hingga 2020.
Secara keseluruhannya, beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama hampir 24 tahun menerusi dua tempoh pentadbiran berasingan.
Di sebalik perjalanan politik Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut dikenali sebagai tokoh yang banyak berjasa dalam bidang kesihatan awam.
Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor dan merupakan anak keenam daripada 10 beradik.
Tun Dr Siti Hasmah juga mengikuti pengajian di King Edward VII College of Medicine dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Di institusi itulah beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956.
Pasangan ini dikurniakan tujuh orang cahaya mata dan sering menjadi contoh sebuah keluarga yang sederhana serta saling menyokong antara satu sama lain.
Dalam kerjayanya sebagai doktor, Tun Dr Siti Hasmah mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Bahagian Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak pada tahun 1965.
Beliau kemudian menjadi wanita pertama memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Negeri pada tahun 1974.
Menjangkau usia seabad, jasa dan sumbangan pasangan negarawan ini terus dikenang dalam lipatan sejarah negara. Sambutan ulang tahun Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah bukan sekadar meraikan usia, tetapi juga menghargai dedikasi mereka dalam membangunkan Malaysia serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.