Trend S-Line, dedah aib sendiri, normalisasi dosa di media sosial. Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) melahirkan rasa gusar terhadap kemunculan trend baharu di media sosial dikenali sebagai ‘S-Line’ yang dikatakan menggalakkan pendedahan aib secara terang-terangan dan bertentangan dengan nilai agama serta budaya masyarakat Timur.
Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Mohd Faiz Zulkifli memaklumkan bahawa trend ini dipercayai mendapat inspirasi daripada sebuah drama Korea dan kini menjadi ikutan ramai, terutamanya dalam kalangan remaja Muslim yang terpengaruh untuk berkongsi pengalaman berkaitan seksualiti secara terbuka dalam platform sosial masing-masing.
Trend tersebut melibatkan tindakan individu melukis garisan merah di atas kepala mereka, yang kononnya melambangkan jumlah pengalaman seksual yang mereka miliki. Semakin banyak garisan, semakin tinggi pengalamannya.
Beliau turut menegaskan bahawa antara faktor yang menyebabkan trend ini menular adalah perasaan takut ketinggalan atau ‘fear of missing out’ (FOMO), menyebabkan sesetengah pengguna, khususnya golongan muda, sanggup mengetepikan nilai agama dan adab dalam berperilaku serta berpakaian.
“Lebih membimbangkan, trend ini disertai semata-mata kerana pengaruh sosial dan perasaan takut ketinggalan (FOMO) sehingga mengetepikan batas agama serta adab dalam berpakaian dan perilaku,” tambah beliau.
Datuk Mohd Faiz yang juga Yang Dipertua MTPN Terengganu menyeru masyarakat Islam supaya lebih berprinsip dan tidak mudah terikut-ikut dengan arus media sosial yang boleh memudaratkan harga diri. Menurut beliau, Islam sangat menekankan larangan terhadap tindakan mendedahkan aib sendiri, lebih-lebih lagi untuk tatapan umum.
“Masyarakat Muslim khususnya golongan muda dinasihatkan agar lebih berprinsip dan tidak terikut-ikut dengan sebarang trend yang memperdagangkan maruah demi perhatian atau kandungan tular,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pengguna media sosial menggunakan platform tersebut untuk tujuan yang lebih bermakna seperti menyebarkan ilmu, nilai murni serta perkara yang memberi inspirasi kepada orang lain.
“Sebagai pengguna, kita perlu bijak menilai kandungan yang sesuai dikongsi. Maruah bukan untuk dijadikan bahan tontonan atas nama hiburan atau simbolisme kosong,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa peranan aktif ibu bapa, para pendidik serta masyarakat keseluruhannya untuk mendidik anak-anak agar lebih berhati-hati dalam menerima pengaruh luar yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai budaya setempat.
“Kita di pihak MTPN akan terus komited memberi kesedaran kepada pengguna berkaitan penggunaan media sosial secara beretika, berpaksikan nilai dan tidak merosakkan kesejahteraan sosial,” katanya mengakhiri kenyataan.
Kini wujud satu trend yang membimbangkan dalam kalangan anak muda di Malaysia, iaitu kecenderungan mendedahkan aib sendiri di media sosial. Fenomena ini timbul apabila segelintir remaja terpengaruh dengan sebuah drama Korea adaptasi Webtoon berjudul S-Line.
Dalam drama tersebut, digambarkan seorang pelajar sekolah menengah mempunyai keistimewaan melihat “garis merah” di atas kepala orang lain. Garis ini kononnya melambangkan hubungan seksual yang pernah dialami seseorang – semakin banyak garis, semakin ‘berpengalaman’ individu tersebut.
Trend ini kemudiannya merebak ke media sosial, di mana terdapat anak-anak muda tempatan yang memuat naik gambar mereka dengan ‘garisan merah’ rekaan di atas kepala, seolah-olah bangga dengan sejarah silam mereka atau sekadar meniru budaya yang jelas bertentangan dengan nilai moral dan agama.
Lebih menyedihkan, ada yang menganggap perbuatan ini sebagai satu bentuk keterbukaan atau ‘jujur dengan diri sendiri’, sedangkan hakikatnya ia adalah satu bentuk pendedahan aib yang tidak wajar.
Perlu difahami, aib ialah sesuatu perkara yang kita tidak mahu diketahui oleh orang lain, apatah lagi jika ia berkait dengan dosa dan maksiat. Islam melarang keras umatnya daripada mendedahkan keaiban diri sendiri mahupun orang lain.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.(Hadis riwayat Bukhari)
Hadis ini bukan menggalakkan kebebasan tanpa batas, sebaliknya sebagai satu bentuk amaran bahawa sifat malu adalah benteng terakhir seorang Muslim daripada melakukan dosa. Maka apabila seseorang tidak lagi mempunyai rasa malu, segala larangan Allah akan mudah dilanggar.
Allah SWT telah menutup aib kita dengan rahmat-Nya. Maka, mengapa pula kita secara sukarela mendedahkannya kepada orang lain? Jika benar perkara yang dilakukan itu adalah dosa, maka segeralah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah.
Jangan sesekali mendedahkannya di hadapan umum, kerana pengakuan secara terbuka boleh membawa kepada sabitan hukum syarak jika dilaksanakan undang-undang Islam. Antaranya ialah hukuman sebat 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin, dan rejam sehingga mati bagi mereka yang telah berkahwin.
Trend seperti ini bukan sahaja mencemarkan maruah diri, bahkan menjatuhkan maruah keluarga dan umat Islam secara keseluruhan. Janganlah kita normalisasikan perkara mungkar atas nama keterbukaan atau hiburan.
Ingatlah, bukan semua perkara boleh dijadikan ‘content’. Semoga Allah melindungi kita dan zuriat keturunan kita daripada terjebak dengan trend yang merosakkan dan menyalahi syarak ini.
Sumber: Sinar Harian dan PU Syed
Baca artikel lain juga: Naim Daniel Mengaku Tidak Bersalah Kes Amang Seksual Fizikal Terhadap Remaja Perempuan 17 Tahun “Bertekad Untuk Membersihkan Nama”
Tak Puas Hati Video Seks Tersebar, Cikgu Fadilah Buat Laporan Polis
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE