Memang tak dapat dinafikan semakin meningkat usia, semakin banyak kedutan yang ada pada wajah. Macam-macam cara dilakukan bagi mencegah dan mengelakkan kedutan-kedutan ini.
Satu tip kecantikan baharu yang tular dalam aplikasi TikTok memaparkan wanita meletakkan pita pelekat pada dahi mereka selama semalaman untuk mencegah kedutan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Seorang model Australia yang menggelar dirinya ‘The Aussie Rapunzel’ mencuba sendiri kaedah itu dan terkejut melihat hasilnya.
Hasil Seperti Suntikan Botoks
Dalam klip video mengenainya, wanita itu melekatkan pita pelekat pada dahinya sebelum tidur. Dia mendakwa berjaya mendapatkan hasil sama seperti mengambil suntikan botoks, tujuh hari kemudian.
“Saya melekatkan pita pelekat pada dahi setiap malam selama seminggu. Saya tidak menyangka ia akan berhasil,” katanya.
Pakar-pakar bagaimanapun berkata, keadaan tersebut tidak akan kekal lama sebaliknya, ia hanya satu cara mudah untuk melatih diri seseorang agar tidak menaikkan kening.
“Dengan melekatkan pita pada dahi anda, ia akan mengingatkan anda agar tidak menaikkan kening terlalu tinggi yang menjadi penyebab kepada garisan kedutan.
“Secara umumnya, melekatkan pita pada dahi tidak akan menjadikan kedutan bertambah baik dan tidak akan mengurangkan garis kedutan. Ia hanya satu peringatan agar anda tidak menghasilkan kedutan itu sendiri (dengan menaikkan kening),” kata Pakar Bedah Plastik, Anthony Youn.
Mingguan Wanita:Macam-macam hal.Jangan mudah percaya trend pelik-pelik macam ni iya. Secara logiknya, tak mungkin pita pelekat mampu hilangkan kedutan pada wajah.
Sungguh tak sangka dalam kemeriahan menyambut Syawal ada juga senario tidak wajar apabila ada segelintir anak-anak yang sungguh beraya sakan, namun rela meninggalkan mak ayah berseorangan beraya di hospital.
Hari Raya seharusnya diraikan bersama-sama mak ayah dan keluarga tersayang, barulah ia memberi erti dan lebih bermakna. Namun sikap menganggap mak ayah yang telah lanjut usia sebagai beban amatlah dikesalkan.
Ini antara pengalaman yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Firdaussendiri sewaktu bertugas di hospital dahulu. Namun menurut beliau bukan semua Warga Emas yang dimasukkan ke wad ketika perayaan akibat tidak disayangi. Ada yang betul-betul dimasukkan ke wad kerana anak-anak ikhlas ingin menjaga kesihatan ibu bapa.
Masa saya kerja di hospital dulu, setiap kali musim perayaan mesti akan ada peningkatan kemasukan Warga Emas ke wad. Tak kisah la Hari Raya Aidilfitri, Raya Cina, Deepavali atau Christmas. Trend sama sahaja.
Kisah Warga Emas yang dikejarkan ke hospital juga sama. Tidak kira bangsa dan agama. Si Ibu atau Ayah akan dibawa ke kecemasan oleh salah seorang anak. Biasanya dikatakan ibu bapa mereka amat lemah, ada cirit birit, batuk berpanjangan atau lemah akibat tak mahu makan.
Dari raut wajah Warga Emas ini, kita dapat lihat kesedihan yang dialami. Mereka tahu, mereka dibawa ke hospital bukanlah atas sebab kasih anak kepada ibu bapa. Mereka sedar yang anak mereka bukan hiraukan tentang kesihatan mereka.
Dari saat mereka dibawa ke hospital, mereka tahu yang mereka akan ditinggalkan berseorangan di wad di hospital dan hanya akan mendapat perhatian dari doktor dan jururawat. Mereka tahu tiada seorang pun anak-anak mahukan sanak saudara yang akan melawat.
Sejurus selepas Warga Emas ini dimasukkan ke wad, anak-anak mereka akan menghilang. Apabila jururawat atau doktor ingin menelefon waris untuk memaklumkan ibu atau bapa mereka sudah sihat untuk dibawa pulang, tiada satu pun panggilan dijawab. Kalau dijawab pun, seribu satu alasan diberi untuk tidak mengambil pulang ibu atau bapa mereka. Sehinggalah musim perayaan berakhir.
Ini yang saya perhatikan semasa saya bertugas di hospital hampir 10 tahun lalu. Hospital awam dijadikan sebagai “dumping ground” Warga Emas sementara anak-anak beraya sakan di musim perayaan.
Harapnya ia bukan lagi sesuatu yang biasa di hospital. Harapnya sudah ada kesedaran dikalangan masyarakat untuk menjaga ibu bapa mereka dengan baik.
Menjelang Syawal ini, saya doakan anak-anak dan saudara mara pulanglah ke kampung halaman dengan selamat. Raikanlah ibu bapa anda. Kita tak tahu bila mereka akan pergi selamanya.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini dijadikan iktibar buat kita. Sebagai anak, janganlah bersikap pentingkan diri hingga sanggup ‘buang’ mak ayah di hospital semata-mata nak mudah beraya sakan.
Arwah ibu Achey dijemput Ilahi dalam bulan Ramadan, pada 10 malam terakhir Ramadan dan direzekikan kubur bersebelahan arwah suami.
Jam 12.46 pagi Isnin, pelawak Achey menerima berita pemergian ibu ketika berada di atas motosikal. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang.
Mendengar perkhabaran duka, beberapa kali Achey terpaksa memberhentikan motosikalnya. Menangis tiada henti. Tuhan saja yang tahu hiba hatinya ketika itu.
“Bagaikan melayang jiwa atas pemergian ‘syurga’ saya.” Namun, tuhan lebih menyayangi arwah ibu Achey, Allahyarham Hajah Ngaisah Bte Hassan.
Dijemput hambaNya pulang ke perkampungan abadi pada 10 malam terakhir Ramadan pada usia 74 tahun. Ketika umat Islam memburu malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil.
“Saya dan keluarga redha. Arwah meninggal dunia pada bulan baik.” Mengenangkan akan hal ini membuatkan hatinya jadi lebih tenang.
Menurut Achey, hatinya sedikit terkilan kerana tidak dapat berada di sisi ibu ketika di penghujung hayatnya. Waktu itu, dia pulang sebentar ke Kuala Lumpur.
Bagaimana pun rasa terkilannya itu terubat bila mana impian arwah ibu dapat ditunaikan oleh anak-anaknya. Arwah ibunya pernah berpesan, mahu dikebumikan bersebelahan kubur arwah ayahnya.
“Allah makbulkan impian arwah apabila ada tapak kosong di sebelah kubur arwah abah.” jelas Achey yang turut berkongsi gambar kubur ibu dan ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Usaha Jaya, Labis, Segamat.
“Cinta ke hujung nyawa.. Cemburu pun ada kat dua orang ni.” tulisnya sebak.
Perkongsian Achey mendapat respons daripada rakan pelawaknya, Shuib Sepahtu yang turut mendoakan arwah ibu dan ayah Achey.
“Allah Maha Hebat dalam mengatur sehala. Untungnya la hai. Sweet couple, kubur sebelah-sebelah. Aku dah tak boleh Chey sebab kubur Sarah kiri, kanan, depan, belakang dah ada orang lain. InsyaAllah semoga Allah memberi Syurga pada pasangan ini, Amin.” tulis Shuib dalam komen balasnya.
Arwah ibu Achey menderita penyakit kanser pankreas hampir dua tahun lamanya. Dan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor.
Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah memaklumkan arwah ibunya baru saja menjalani pembedahan memasang tiub dekat saluran hati.
Usaha itu bagi membolehkan bengkak yang dialami semakin surut. Namun, tahap kesihatannya semakin merosot bila mana sel kanser mulai merebak ke seluruh badan.
Kakaknya, Nordewiyani direzekikan untuk berada di sisi ibunya sehingga ke saat akhirnya. Waktu arwah ibunya mula sakit, kakaknya itulah yang menjaga.
Abangnya yang juga jurulatih paralimpik Malaysia dan bertugas di United Kingdom juga tidak berkesempatan berada di sisi arwah ibu.
“Sudah menjadi rezeki kakak berada di sisi arwah. Adik-beradik lain juga bergilir menjaga arwah waktu di hospital. Namun, Nordewiyani lebih bertuah.
“Dapat berbakti dengan arwah hingga akhir nafas.”
Mingguan Wanita : Al-Fatihah.. semoga Allahyarham Hajah Ngaisah Bte Hassan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman di taman-taman syurga.
Raya tak lama lagi, mesti dah ada senarai rumah saudara mara dan kawan-kawan untuk pergi beraya nanti. Maklumlah dah berapa lama tak dapat lalui amalan kunjung mengunjung ni.
Tak kisah pergi beraya rumah adik beradik, saudara mara atau kawan-kawan sekali pun. Tapi kena jaga adab atau kejadian yang tak diingini berlaku. Daripada nak eratkan silaturrahim boleh jadi isu atau mengata pula, takutnya bermasam muka.
Sebelum pergi beraya, lihat panduan yang diberikan oleh Akhtar Syamir ini. Boleh memberi manfaat agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
Raya nanti, sudah tentulah ramai yang akan pergi beraya dengan ziarah menziarahi antara sesama saudara, adik beradik dan rakan taulan.
Tetapi, saban tahun kita sering mendengar kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku tatkala musim perayaan tiba. Ada yang tv pecah, gelas pecah, pinggan mangkuk pecah, kecurian, kehilangan barang, kehilangan duit, kerosakan harta benda seperti sofa terkoyak dipijak anak, karpet kena muntah dan berak anak serta lain-lain kejadian yang tidak diingini.
Hasilnya, amalan ziarah menziarahi yang sepatutnya mengeratkan silaturrahim bertukar menjadi sesuatu yang meninggalkan kesan yang tidak baik. Ianya diakhiri dengan situasi tegang, tuduh menuduh, memendam perasaan dan mengata antara tuan rumah dan yang datang beraya.
Marilah jadikan senarai ini sebagai panduan apabila beraya di rumah orang lain.
1. Sedarlah yang anda sedang berada di rumah orang lain dan bukannya rumah sendiri. Penting untuk tetapkan perkara ini di dalam kepada sebelum berkunjung ke rumah orang supaya kita sentiasa dalam keadaan yang bersedia dan tidak keterlaluan walaupun di rumah adik-beradik sendiri.
2. Jangan masuk ke dalam bilik tuan rumah tanpa kebenaran. Bilik tuan rumah ialah satu tempat yang paling tidak patut untuk dimasuki kerana di dalam bilik selalunya ada barang-barang sulit dan segala benda yang tuan rumah tidak mahu tetamu tahu. Kat dalam tu la ada pakaian dalam, tuala, baju kotor, barang-barang yang tak sempat dikemas, katil tempat tuan rumah beradu dan barang-barang berharga yang lain. Ini untuk mengelakkan tuan rumah malu dan kebarangkalian lain yang tidak baik.
3. Jangan buka peti ais tuan rumah macam rumah sendiri. Ini juga satu hak milik peribadi tuan rumah. Dalam tu la ada makanan, minuman, lauk pauk semalam, kelmarin dan lain-lain lagi yang tuan rumah tak nak tetamu lihat. Kadang-kala peti ais tu pun dalam keadaan yang tidak terlalu bersih, jadi bahan umpatan tetamu pula. Kan tidak elok begitu?
4. Anak-anak adalah tanggungjawab ibu-bapa. Pusing la macam mana pun, anak ramai ke, tak nampak ke, tak perasan ke, tidak boleh dijadikan alasan. Apa juga yang anak anda lakukan adalah tanggungjawab anda sebagai ibu-bapanya. Anak yang kecil tidak boleh dipersalahkan kerana mereka ada yang belum boleh berfikir dengan matang lagi, tetapi ibu-bapanya boleh. Perlu ada rasa tanggungjawab dan perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
5. Jika ada yang rosak atau yang pecah, jangan lari dari tanggungjawab. Ganti, bayar dan minta maaf serta pujuk tuan rumah sebaik mungkin. Yang rosak dan yang pecah itu adalah hak milik serta harta tuan rumah. Kita tidak tahu nilai barang itu bagi tuan rumah. Mungkin ianya satu kenangan yang tidak mungkin dapat dikembalikan lagi. Perlu rendah diri dan minta maaf secara bersungguh-sungguh. Kita telah ambil sesuatu dari kehidupan mereka. Tolong faham.
6. Apabila tuan rumah menegur, dengar dan jangan marah atau terasa. Selalunya tuan rumah akan lebih peka dengan barang-barangnya sendiri berbanding orang yang menziarahi. Jika tuan rumah tegur anak kita supaya jangan melompat-lompat di sofa, tak kira la sofa tu harga RM15,000 atau RM500, cegah terus anak itu. Jangan sekadar melihat je, jangan sekadar memberi alasan yang anak itu “budak, biasalah main-main”. Dan yang paling penting ialah jangan sentap pulak. Orang tegur supaya tak jadi perkara yang tak elok. Jangan kita pulak sentap, siap perli tuan rumah lagi. Memang sangat menyakitkan hati perangai sebegini.
7. Jangan nak komen sangat pasal rumah orang. Deko tak kena la, warna terlalu garang la, rumah panas la, penat duduk bawah la, makanan tak sedap la. Apa yang kita minat, apa yang kita suka tak semestinya sama dengan pemikiran orang lain. Manusia ni diciptakan berbeza-beza. Ada orang suka merah, ada yang suka kuning. Rumah dia, biarlah dia nak warna pink pun peti ais dia. Kita tak perlu nak sibuk sangat…
8. Bagitau dulu sebelum nak datang. Walaupun sekarang musim hari raya, tak semua orang sentiasa bersedia dan tak semua orang mampu menyambut tetamu sepanjang masa. Keadaan dan situasi orang kita tak tahu. Tak boleh gunakan alasan “Aku nak ziarah, bukan nak tengok sofa kau”. Kena faham yang setiap keluarga perlu jaga aib mereka. Anda mungkin rasa tiada masalah, tetapi mereka malu.
9. Kita kenal keluarga kita sendiri. Jika kita ada anak yang hebat, kita kena kawal sentiasa. Bersedia dari awal, nasihat anak dari awal. Kalau yang jenis tak makan saman tu, peganglah awal-awal. Jangan biarkan mereka bebas usik sana sini, pegang itu ini, lompat situ sini. Tuan rumah tak semestinya faham anak kita. Kita yang kena bersedia dahulu.
10. Jangan duduk lama-lama sangat. Dari Zuhur sampai ke Maghrib ada lagi. Tuan rumah nak melayan orang lain juga. Datang untuk ziarah, bukan untuk jadikan macam homestay sampaikan tetamu lain dah ingat anda ni duduk kat rumah tu dah. Satu cara paling mudah nak tahu bila dah sampainya masa untuk beredar ialah apabila tuan rumah dah takde cerita nak berborak dengan anda. Bila keadaan tu dah senyap, bila dah selesai makan, pandai-pandailah beransur ye. Tapi kalau anda dari jauh, lain ceritanya. Mungkin nak tumpang solat dan lain-lain.
11. Jangan terlalu santai di rumah orang. Sofa orang tu ada satu je, tapi kita boleh pulak baring melintang sampai orang lain pun tak boleh nak duduk. Bantal kat sofa tu pun untuk hiasan sebenarnya, bukan untuk baring tidur. Perabot tuan rumah pun jangan la kita jadi pakar deko nak ubah sana sini pulak tau.
12. Gunakan tandas dengan berhemah. Kalau terpaksa guna untuk yang tak tahan nak memerut tu, bersihkanlah sebersih boleh. Mati tak bernafas orang yang nak guna lepas tu. Dan jangan lupa juga, lepas guna tu tutup pintu dan padamkan lampu. Oh, berus gigi tuan rumah jangan pakai tau. Hahahaha.. Kerja gila..
13. Kalau tuan rumah ada binatang peliharaan, tolong la jaga anak dan jaga diri sendiri. Paling utama kena tahu kebersihan diri sendiri. Kebersihan binatang peliharaan tu pun kena tahu jugak. Perkara ini boleh membahayakan diri dan binatang kesayangan tuan rumah itu juga. Kalau anak kita lasak, tolong la jaga. Ingat kan kes kucing mati sebab tetamu tu? Kesian sungguh kan? Harap tidak berulang lagi.
14. Jangan makan sampai pecah perut. Berpada-padalah terutamanya makan kuih raya tuan rumah. Jangan samakan dengan makan nasik. Habis sebalang kuih orang tu. Orang lain nak makan pun terpaksa tambah. Akhirnya dia jugak yang menghadap lagi. Hahaha.. Masalah sungguh.
Perkara seperti ini nampak mudah dan sepatutnya semua orang boleh faham kan? Percayalah yang tak semua orang faham. Ada je yang rasa benda ni tak perlu ambil tahu.
Semoga senarai ini dapat dijadikan panduan buat semua. Semoga tiada lagi kes-kes yang tidak baik terjadi. Musim perayaan ini kita sambutlah dengan kegembiraan dan bukannya bermasam muka. Boleh?
#BroOhsem
Mingguan Wanita : Paling penting jangan buat rumah orang macam rumah kita. Jaga adab masa berkunjung.
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.