Ajal, maut semuanya ketentuan tuhan. Bila dan dimana waktunya semuanya telah tertulis.Namun kehilangan orang tersayang meninggal secara tiba-tiba akibat kemalangan memang sukar untuk menghadapinya.

“Kira-kira jam 9 malam, seseorang yang memperkenalkan sebagai pegawai polis menghubungi saya gunakan telefon adik menyatakan adik sudah meninggal dunia,” kata Maslinawati Abdullah.

Adik bongsunya, Nor Hayati Abdullah, 42, adalah seorang daripada dua mangsa maut dalam tragedi kejadian jambatan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang dalam pembinaan runtuh menimpa van pekerja dinaiki lima orang termasuk pemandu ketika melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 5.58 petang semalam.

Maslinawati, 43, berkata, dia balik dari tempat kerja pada 6.30 petang dan mendapat panggilan daripada penyelia adiknya itu pada 7 malam.

“Penyelia adik (panggilan manja Nor Hayati dalam keluarga) menyatakan ada berlaku kemalangan ketika adik dan rakannya dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang elektronik di Subang Mewah.

IKLAN

“Dia maklumkan belum tahu lagi situasi sebenar bagaimana.

“Dari semasa ke semasa saya berhubung dengannya selain saya lihat secara langsung di televisyen,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) selepas membuat pengecaman jenazah adiknya, malam tadi.

Lihat Keadaan Seperti Tidur

Dia yang ditemani suaminya, Faizal Yusof, 47, menjelaskan pegawai polis yang menghubunginya meminta ke hospital untuk melakukan pengecaman jenazah.

IKLAN

“Kali terakhir kami berjumpa Ahad lalu di kampung. Terasa sangat kehilangan ini…seperti tak percaya berita ini.

“Saya lihat tadi keadaannya seperti tidur…Insya-Allah, kita sama-sama doakan untuknya,” katanya.

Beliau berkata, tragedi itu sangat menyedihkan terutama baru dua tahun lalu kematian kakak yang ketiga akibat barah payudara.

IKLAN

Menurutnya, selepas bedah siasat pada 8 pagi hari ini, jenazah adiknya akan dibawa ke Kampung Jerang Belanga, Sungai Besar untuk dikebumikan.

Katanya, setakat tengah malam tadi, ibunya, Hasmah Sohor, 77, yang kurang sihat masih belum mengetahui cerita sebenar dan berita kematian adiknya.

Baca Lagi Di Sini:
Penerima HATI Pertama Afiq Ikmal Dah Tiada, Meninggal Awal Pagi Tadi

MW: Salam takziah buat mangsa-mangsa yang terlibat dengan tragedi Jambatan Lebuhraya (SUKE). Semoga diberi kekuatan dan kecekalan menghadapi ujian ini.

Sumber: Hmetro