
Penyanyi lelaki popular Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, dan isteri Rahayu Abbas, cukup bertuah kerana miliki tiga orang anak. Anak-anak pasangan ini sememangnya menjadi perhatian pengguna media sosial selepas beberapa video yang memaparkan nyanyian dan kepetahannya bertutur dalam bahasa Inggeris dimuat naik di laman Instagram milik Tomok.
Ikut Kesesuaian Anak-Anak
Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka mempunyai karektor yang berbeza.
“Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza, saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri, yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia sama juga seperti ibu bapa yang lain;
“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak pelajari tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet bagaimana untuk membentuk anak-anak kita dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya trial and error. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka.”
Tomok juga menjelaskan sebagai seorang bapa dia punya cabaran tersendiri dalam membesarkan anak-anak.
“Sebagai seorang bapa saya tidak punya banyak masa dengan anak-anak. Tapi bila saya berada di luar KL saya akan sentiasa hubungan isteri untuk memantau perkembangan anak-anak,” celah Tomok yang turut meminta pandangan dari kedua ibu bapa dan mentua dalam mendidik anak-anak.
Dalam menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Tomok pada kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti.
“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.