Viral sebuah video di media sosial seorang jurunikah atau tok kadi menggunakan kanta untuk mengetahui tulen atau tidak cincin yang dijadikan mas kahwin dalam sebuah majlis nikah baru-baru ini.
Video itu mendapat perhatian dan ramai memuji sikap tok kadi tersebut. Tok kadi yang dikatakan siap bawa kanta, tiada niat lain dan mengakui perkara ini telah menjadi rutin baginya kerana sudah menjadi amanah buatnya memikul tanggungjawab ini.
Tindakannya bukanlah untuk mencuri tumpuan atau menarik perhatian orang lain. Apatah untuk memalukan keluarga pengantin, tetapi ianya dilakukan semata-mata kerana amanah.
Tiada Niat Lain, Telah Jadi Rutin Sebab Ini Amanah
“Niat saya membuat pemeriksaan secara teliti (ketulenan cincin emas sebagai mas kahwin) bukanlah untuk memalukan pengantin mahupun keluarga mereka, ia hanyalah tanggungjawab dan amanah,” kata jurunikah, Ustaz Harudin Mohd Mydin.
Harudin memberi reaksi itu selepas rakaman video menunjukkan dia menggunakan kanta khas meneliti ketulenan cincin yang dijadikan mas kahwin bagi pernikahan Azizul Abdul Rashid, 34, dan Siti Nurshakirah Shamsudin, 30, tular di media sosial.
Detik itu dirakam jurugambar perkahwinan sebelum dimuat naik di Facebook dan ia membuatkan rata-rata warganet memuji ketelitian jurunikah itu yang dianggap unik.
Tok Kadi Siap Bawa Kanta
Harudin berkata, tindakannya meneliti ketulenan emas pada majlis pernikahan itu bukannya untuk mencuri perhatian orang ramai, sebaliknya ia sudah menjadi ‘rutin’ baginya setiap kali menjadi jurunikah.
Ads
Menurutnya, sepanjang bertugas sebagai jurunikah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, rata-rata pengantin jujur dalam memberitahu kandungan pemberian yang diberikan mereka kepada pasangan masing-masing.
“Pengamalan duhulu, ada pengantin yang berterus terang cincin yang dibeli itu (tidak tulen) bukanlah di kedai emas tetapi di pasar raya. “Saya hanya menjalankan tugas dengan tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Pengantin Tak Sangka Tok Kadi Begitu Teliti
Sementara itu, Siti Nurshakirah berkata, dia dan keluarganya juga tidak menyangka Harudin membuat pemeriksaan yang begitu teliti pada majlis pernikahannya. “Mujur suami bersedia dengan situasi itu, lagipun kami masing-masing yakin emas yang dibeli adalah tulen.
“Resit pembelian juga dibawa ketika majlis itu tetapi tak sangka tok kadi ambil langkah tambahan dengan memeriksa (cincin) menggunakan kanta,” katanya.
Ads
Perlu Jujur Dengan Tok Kadi
Katanya, majlis pernikahan ringkas itu hanya dihadiri keluarga terdekat yang diadakan di Surau Pematang Rawa MK7, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 26 Disember lalu.
“Bagi majlis persandingan, masih lagi belum ada tarikh yang sesuai memandangkan penularan pandemik Covid-19 belum reda.
“Saya juga tidak menyangka gambar itu tular di media sosial dan berharap ia menjadi pengajaran kepada bakal pengantin di luar sana supaya jujur dalam memberikan butiran kepada jurunikah,” katanya.
MW: Tok kadi hanya menjalankan amanah dan tanggungjawabnya. Tindakan ini seharusnya dipuji kerana tidak semua bakal pengantin di luar sana berlaku jujur. Padahal bab mas kahwin ini bukanlah perkara yang boleh diambil ringan dan dibuat main-main.
Ini betul… betapa beruntungnya orang yang mampu solat subuh berjemaah, nak-nak pula kalau dapat buat sekali dengan pasangan. In shaa Allah, Allah jaga hubungan dan rezeki dalam keluarga kita.
Lagi manis kalau dapat buat benda baik-baik lain di bulan Ramadan, macam yang Puan Nur Aliah Mohd Nor senaraikan ini. Tak banyak tak apa, tetapi biar istiqomah setiap hari. Selebihnya anda boleh semak sendiri, mampu buat tak?
Salah Satunya Solat Subuh Berjemaah
Jadikan Ramadan tahun ini adalah Ramadan yang paling terbaik dan lain dari lain dalam hidup kita! Macam mana?
1. Buat solat sunat subuh walau kita bangun jam 6.50 pagi sekali pon. Sebab Nabi saw ada bersabda bahawa ganjaran solat ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.
2. Selepas setiap kali solat 5 waktu, baca zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebanyak 33x. Sebab ini la zikir yang kita boleh istiqamah dan untuk penguat semangat.
3. Paksa diri untuk solat subuh berjemaah sama ada di surau atau di rumah. Sebab ganjaran solat subuh ni sama macam kita berqiamullail waktu malam!
4. Cepat-cepat baca doa selepas dengar azan berkumandang. Sebab waktu ini adalah waktu musjatab untuk kita berdoa.
5. Bukan kerja je kena fokus, solat pon kena fokus. Kalau kita tak boleh nak faham semua bacaan dalam solat kita, sekurang-kurangnya kita hayati setiap bait-bait bacaan dalam surah Al-Fatihah.
6. Berlatih juga untuk ingat bacaan duduk di antara 2 sujud. Tips ingat je keyword ini : ampun, sayang, aib, darjat, rezeki, petunjuk, sihat, maaf.
7. Baca Al-Quran setiap hari terutama selepas solat subuh. Amalkan juga 4 surah di bawah ini setiap hari,
– Waktu Subuh : AL-WAQIAH – Waktu Dhuha : AR-RAHMAN – Waktu Maghrib : YASIIN – Waktu Isya : AL-MULK
8. Amalkan solat-solat sunat seperti Qabliyyah, Ba’diyyah, Witir, Dhuha, Tahajud, Taubat dan Hajat. InshaAllah bertambah redha dan sayang Allah pada kita.
9. Ambil masa 15-20 minit fokus zikir 1,000x atau istighfar 100x. Kemudian berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Tips : Sentiasa bawa count stock itu ke mana-mana.
10. Berazam untuk sedekah setiap hari. Atau bantu keluarga terdekat. Sekali-sekala belanjalah adik beradik atau mak ayah kita. InshaAllah rezeki tu datang berganda-ganda!
Semoga dengan 10 amalan ini, kita dapat mencari jalan keluar yang hanya kita sahaja ketahui, kita kuatkan lagi doa serta usaha agar dihadiahkan rezeki dan kita memaafkan semua orang di waktu malam yang sunyi. Barulah tenang hati ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri tidak beri izin kepada suami untuk berpoligami, ramai yang tertanya-tanya sama ada isteri itu berdosa atau pun tidak. Bab poligami memang menjadi satu topik yang ‘hangat’ untuk diperkatakan.
Sebenarnya tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya perkara yang dilarang oleh hukum syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Isteri Tak Bagi Suami Berpoligami
Jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.” Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berdosa Atau Tidak, Ketahui Hukumnya
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya. Riwayat Muslim (2449)
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.” Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan:Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan.
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha.
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.” Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “iaitu hati.”
Apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak.
Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;” (Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya.
Ini pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.” Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Kehidupan yang dilalui umpama ‘kosong’ dirasakan. Pernah terlintas di fikiran bahawa kehidupan harian anda kurang bermakna? Hidup terasa kosong dan tidak ada apa-apa yang harus dicari dan direbut. Nikmat masa yang ada hanya perkara biasa dan ia dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Sekarang, mari kita beri makna kepada kehidupan ini. Rasakan bahawa kehadiran kita di muka bumi ini merupakan anugerah besar daripada Pencipta. Setiap tindak-tanduk, pada setiap saat adalah amal-amal yang bermakna untuk dibawa menghadap Ilahi di akhirat nanti.
Erti sebuah kehidupan
Secara kita sedar dan kita yakini, kehidupan seseorang itu adalah jangka masa yang Allah SWT berikan kepadanya. Ia bermula daripada nafas awal hingga ke nafas akhir. Antara nafas pertama dan nafas terakhir itu merupakan tempoh hidup seseorang di atas muka bumi ini.
Berapa jarak masa antara dua nafas itu tidak seseorang ketahui, tetapi jarak masa itu adalah usia seseorang di atas muka bumi ini. Usia itu ketentuan Allah SWT yang patut dihargai kerana kehidupan merupakan anugerah.
Dengan mudah, kita sedar bahawa ukuran kejayaan dalam hidup ditentukan oleh bagaimana individu memanfaatkan sensori tubuh bermula dari nafas pertama hingga ke nafas terakhir. Dengan kata lain, deria tubuh sedar dengan setiap gerak-geri yang dilakukan dalam kehidupan ini. Pada setiap saat atau setiap nafas, individu sedar dengan apa yang dia lakukan adalah perkara-perkara yang bermanfaat dan bermakna untuk dirinya dan diri orang lain di sekitarnya.
Hargai setiap nafas
Insan yang memahami erti hidup adalah insan yang menyedari dan menghargai setiap nafas yang dinikmati saban waktu dalam kehidupan ini. Dengan kata lain, ia menyedari setiap nafas yang disedut dan setiap nafas yang dikeluarkan kerana hayatnya ditentukan oleh setiap nafas yang masuk dan keluar tersebut.
Jika ini boleh dirasakan maka seseorang akan peka dengan kehidupan harian yang dilalui. Setiap saat mempunyai makna besar bagi dirinya kerana nafas itu yang menentukan hidup atau mati untuk dirinya.
Nikmat Allah Secara Percuma
Oleh itu nikmati kehidupan ini dengan menikmati setiap nafas yang kita sedut pada setiap saat kehidupan ini. Bernafas dengan tenang dan selesa serta rasai nikmat oksigen menembusi setiap sel-sel di dalam tubuh. Itulah nikmat Allah SWT yang manusia sedut secara percuma pada setiap saat kehidupan di atas muka bumi ini.
Bukankah setiap sel-sel itu bertasbih memuji Penciptanya serta bergerak mengikut sunnatullah, taat dan patuh kepada Tuhan. Rasakan setiap sel bertasbih memuji Allah SWT, mensyukuri setiap nikmat nafas yang disedut daripada bumi Allah ini.
Oleh itu, nilai hidup seseorang insan adalah pada saat masa sekarang (now). Bagaimana seseorang memanfaatkan saat sekarang (now) ini yang bakal menentukan nilai kehidupannya di sini dan akan datang.
Masa sekarang (now) yang dimaksudkan adalah setiap nafas baru yang disedut dan setiap saat baru yang ditempuh. Ia bukan nafas yang sudah lepas atau saat masa yang telah berlalu. Setiap nafas baru dan setiap saat baru, itu lah masa sekarang (now) bagi setiap insan.
Apakah amal terbaik untuk individu lakukan dalam masa sekarang ini? Maka lakukan sesuatu amal yang boleh memberi kebaikan kepada diri sendiri serta orang-orang lain, demi kehidupan duniawi serta kehidupan ukhrawi. Bertindak dengan segera demi kejayaan dan kebahagiaan diri dan keluarga kita.
Kehidupan Sangat Bernilai Untuk Disia-siakan
Sebenarnya hidup ini sangat bernilai untuk disia-siakan. Setiap saat masa dan setiap nafas yang seseorang lalui bakal penentu untung nasib kehidupannya di kemudian hari nanti. Penuhi setiap saat dan setiap nafas itu dengan kebesaran Ilahi, mudah-mudahan kita akan beroleh keredaan-Nya sekarang dan akan datang, insya-Allah SWT.
Rasulullah s.a.w menasihati umat yang dikasihinya, “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara: sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.”
Sumber: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi dan Kaunseling, RMJ Holistic Solution
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...