Timbalan Menteri Agama ziarah ibu Zara, kekal jalin hubungan baik walau pelbagai tuduhan & fitnah melata.
Kepulangan ke Sabah baru-baru ini memberi kesempatan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustazah Marhamah binti Rosli untuk menziarahi Noraidah Lamat yang juga ibu kepada allahyarham Zara Qairina.
Dalam kunjungan tersebut di kediaman ibu Zara di Sipitang, Sabah, kedua-duanya meluangkan masa makan bersama serta berbincang pelbagai perkara berkaitan kehidupan, amanah dan tanggungjawab mencerminkan hubungan silaturahim yang telah terjalin sekian lama.
Hubungan antara Ustazah Marhamah dan Mama Zara bermula sejak tempoh awal perjuangan dalam kes melibatkan Zara, apabila beliau tampil menyatakan sokongan moral dan berdiri bersama keluarga berkenaan ketika kes tersebut mula mendapat perhatian umum.
Ads
Perjalanan itu bukan sahaja menguji kekuatan emosi malah membentuk kepercayaan yang kekal hingga hari ini.
Hubungan yang terjalin kepada menuntut perjuangan pembelaan kes adik Zara membawa kepada hubungan baik antara dirinya dan ibu Zara
Berkongsi catatan ini di laman facebooknya, Ustazah Lamah berkongsi momen gambar mereka berdua dan lebih menarik dirinya menerima hadiah sepasang baju kurung dari ibu arwah Zara Qairina selain makan bersama.
“Alhamdulillah.. Balik ke Sabah baru-baru ini, saya sempat ziarah Mama Zara di Sipitang. Kami makan sama-sama, berbincang banyak perkara, hal hidup dan hal perjuangan. Sebelum saya balik, beliau hadiahkan sepasang baju kurung miliknya. Sebab beliau tahu saya tiada baju kurung. Perkara kecil, tapi besar maknanya bagi saya.
Ads
Ustazah Marhamah Rosli menerima hadiah sepasang baju kurung dari Noraidah Lamat.
Baju ini saya terus pakai esoknya untuk lawatan, untuk mengingatkan saya tentang semangat perjuangan bersama.
Walaupun kini memegang amanah dalam kerajaan, Ustazah Marhamah menegaskan sokongan dan silaturahim yang terjalin tidak pernah berubah. Hubungan yang terbina atas dasar kepercayaan dan perjuangan itu akan terus dipelihara, dengan sokongan dan perkongsian pandangan dilaksanakan mengikut peranan serta tanggungjawab semasa sebagai penjawat awam.
Dalam pada itu, Ustazah Marhamah turut berkongsi kepada umum bahawa arwah ibu Zara adalah antara orang terawal yang tahu tentang lantikkannya sebagai Timbalan Menteri Agama.
Ads
“Untuk makluman semua, Mama Zara sebenarnya antara orang terawal yang tahu tentang lantikan ini, begitu juga dengan peguam beliau. Beliau sangat teruja dan sempat menasihati saya tentang tatacara pemakaian penjawat awam.
“Sejak awal, kami bergerak sebagai satu pasukan. Hingga hari ini, kami masih berhubung hampir setiap hari, saling bertanya khabar dan berkongsi perkembangan, sama macam sebelum ini.
“Beliau juga orang yang paling konsisten beri saya semangat apabila dikecam dengan pelbagai tuduhan dan fitnah. Walaupun sekarang saya memegang amanah sebagai Timbalan Menteri, sokongan saya tidak pernah berubah. Saya akan terus menjaga silaturrahim, memberi sokongan dan berkongsi pandangan seperti sebelum ini, cuma dengan peranan dan cara kerja yang berbeza.
“Terima kasih Mama Zara atas sokongan dan dukungan buat saya……kongsi yang turut menyertakan emoji love berwarna putih. Kredit :- FB Marhamah Rosli.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang ibu kepada anak autisme meluahkan rasa kecewa selepas anak sulungnya diarahkan tidak hadir ke sekolah tanpa penjelasan yang munasabah oleh pihak pentadbiran sekolah. Arahan itu bukan sahaja mengejutkan, tetapi turut memberi tekanan emosi kepada keluarga, terutama kerana ia dibuat tanpa bukti kukuh dan tanpa mempertimbangkan keperluan khas murid terlibat.
Elinoisna Abu, 47, seorang ibu tunggal, berkata anaknya, Solehah Azzahra Nazri, 12, bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah aktif dalam sukan pernah menerima anugerah Olahragawati dan Atlit Terbaik sekolah 2025 serta mewakili sekolah ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) selama dua tahun berturut-turut. Namun, sejak 21 November lalu, pihak sekolah di Jalan Yahya Awal menggantung kehadiran Solehah selepas insiden ‘tantrum’ yang berlaku pada 20 November di sebuah kelas Tahun Lima.
Menurut Elinoisna, pihak sekolah menuduh Solehah mencederakan seorang murid perempuan berusia 11 tahun, tetapi dakwaan itu dibuat tanpa sebarang bukti jelas termasuk ketiadaan gambar kecederaan atau laporan yang sah. Dakwaan itu mengejutkan kerana sepanjang bersekolah, anak autisme itu tidak pernah menunjukkan tanda-tanda agresif atau membahayakan rakan lain.
Jelas Elinoisna, insiden tersebut tercetus selepas seorang guru menegur Solehah semasa latihan tarian konvokesyen sehingga menjejaskan emosinya. Disebabkan tekanan, Solehah menangis dan berlari masuk ke kelas Tahun Lima sebelum ditenangkan oleh beberapa rakan rapatnya.
“Dalam kejadian itu, tiada murid terkena atau cedera kerana sepanjang masa di dalam kelas Solehah Azzahra ditenangkan dan dikawal beberapa rakan baiknya, malah tangannya dipegang ketika cuba membaling gunting secara rambang.
“Pengurusan sekolah mendakwa seorang murid cedera, tetapi tiada kesan luka atau bukti gambar sebagainya sebaliknya saya difahamkan pakaian murid itu terkoyak,” katanya.
Pada 1 Disember, pihak guru mengadakan pertemuan melibatkan ibu bapa murid Tahun Lima bagi membincangkan insiden tersebut. Namun Elinoisna mendakwa anaknya dituduh membahayakan murid lain sekiranya terus bersekolah di situ, sesuatu yang dirasakannya tidak adil memandangkan rekod anaknya yang sentiasa tenang dan disenangi rakan-rakan.
Beliau turut kesal apabila terdapat ibu bapa yang mengambil tindakan melampau.
“Malah, ada seorang ibu murid menetapkan syarat saya mesti mengiringinya dari awal sampai tamat sesi persekolahan hari.
“Saya dapat rasai tekanan emosi dialami Solehah Azzahra, kami dianiaya kerana saya seorang ibu tunggal yang kerja biasa-biasa, mana mampu nak lawan mereka yang ada kuasa walaupun hanya tinggal masa seminggu dua saja lagi sesi persekolahan,” katanya.
Menurut Elinoisna, tindakan sekolah itu tidak memberikan ruang kepada anak autisme untuk dibimbing dengan cara yang betul. Beliau berpendapat pihak sekolah seharusnya mencari punca masalah, bukan mengambil jalan mudah dengan menyisihkan murid berkeperluan khas.
Selepas membuat aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Elinoisna dimaklumkan bahawa anaknya tidak boleh dihalang daripada hadir ke sekolah. Berdasarkan maklum balas tersebut, Solehah kembali ke sekolah pada 4 Disember.
Bagaimanapun, situasi menjadi lebih rumit apabila pihak sekolah meminta Elinoisna menandatangani surat akujanji.
“Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu menuntutnya menandatangani surat akujanji bahawa pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab dan perlu menanggung risiko Solehah Azzahra disekolahkan tetapi dia enggan kerana PPD tidak memaklumkan wujudnya syarat sedemikian.
“Saya juga membuat laporan polis untuk mempertahankan tindakan saya, Jumaat lalu,” katanya.
Konflik itu menambah tekanan kepada Elinoisna yang sedang menjalani rawatan kanser tahap tiga. Beliau hanya berharap anak autisme itu dibenarkan terus bersekolah sehingga tamat sesi Tahun Enam memandangkan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.
Elinoisna turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pada 5 Disember bagi memastikan hak pendidikan anaknya dipertahankan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin ketika diminta mengulas berkata pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk mendapatkan maklumat terperinci. Kes melibatkan anak autisme ini menarik perhatian ramai kerana ia membabitkan hak pendidikan murid berkeperluan khas serta cara sekolah menangani tingkah laku yang boleh diurus dengan sokongan profesional.
Banyak pihak berharap agar penyelesaian yang adil dapat dicapai, dan Solehah dapat kembali mengikuti sesi persekolahan tanpa tekanan serta diskriminasi. Dalam masa yang sama, isu ini membuka ruang kepada perbincangan lebih luas mengenai keperluan latihan dan pemahaman mendalam dalam kalangan pendidik terhadap murid berkeperluan khas.
Pelajar PhD lemas selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam tasik di kawasan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, semalam. Kejadian tragis itu meragut nyawa Muhammad Amidee Abdullah, 25, yang mesra dipanggil Edi oleh keluarga. Kisah ini menjadi lebih pilu apabila ibu mangsa, Saidah Sulaiman, 51, mendedahkan bahawa arwah pernah berjanji untuk membawa mereka menunaikan umrah sebaik sahaja tamat pengajiannya tahun depan.
“Edi janji lepas dia habis belajar tahun depan, nak bawa saya dan bapanya buat umrah, tapi siapa sangka ajalnya tiba dulu,” kata ibunya dengan suara penuh sebak. Tragedi pelajar PhD lemas ini bukan sahaja mengejutkan keluarga, tetapi turut mengundang rasa simpati masyarakat apabila kisah hasrat murni arwah mula tular di media sosial.
Kemalangan berlaku sekitar jam 6.20 petang apabila kereta dipandu arwah hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam tasik berhampiran kawasan kampus. Kejadian turut melibatkan rakannya, Wan Ahmad Akmal Wan Mustapha, 25, yang mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah.
Menurut laporan awal, kedua-duanya difahamkan dalam perjalanan keluar untuk mengisi petrol sebelum kereta itu terbabas. Pelajar PhD lemas itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya berjaya diselamatkan oleh penuntut UMK yang kebetulan berada berhampiran dan segera memberikan bantuan CPR.
Ibu mangsa menyifatkan arwah sebagai anak yang sangat bertanggungjawab dan cemerlang. Dedikasi itu menjadikannya layak menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) secara fast track di UMK selepas menamatkan ijazah sarjana di universiti yang sama.
“Edi cakap, selain nak hantar saya dan suami tunai umrah, dia juga ingin baiki rumah kami sebaik tamat pengajian hujung tahun depan. Bagaimanapun hasratnya tak kesampaian, kami terima berita mengejutkan sebegini. Reda memang reda, tapi masih lagi tak dapat terima,” ujar Saidah sambil mengesat air mata.
Saidah memaklumkan bahawa pada pagi kejadian, anak ketujuh daripada lapan beradik itu sempat memeluk, mencium dan bersalam dengannya sebelum keluar rumah. Beliau turut menitipkan pesanan supaya Edi berhati-hati ketika memandu, namun tidak pernah menyangka itu merupakan pelukan terakhir daripada anak kesayangannya.
“Ketika itu tiada sebarang perubahan padanya sebelum kami menerima panggilan jam 6.50 petang memaklumkan tragedi menimpa Edi. Saya hampir pitam, tapi terus bergegas bersama suami ke lokasi dan kemudian ke Hospital Jeli,” katanya yang masih dalam keadaan terkejut.
Jenazah Muhammad Amidee selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chawas. Lebih 100 ahli keluarga, jiran dan rakan hadir memberikan penghormatan terakhir. Suasana bertambah hiba apabila adik bongsu arwah, Alia Damia, 15, tidak dapat menahan tangisan sepanjang proses pengebumian berlangsung.
Ramai rakan universiti mengenang arwah sebagai seorang pelajar yang beradab, cemerlang dan sentiasa membantu rakan-rakannya. Pemergian pelajar PhD lemas ini memberi kesan mendalam kepada mereka yang rapat dengannya, lebih-lebih lagi kerana peribadinya yang lembut dan penyayang.
Tragedi pelajar PhD lemas ini menjadi peringatan betapa rapuhnya kehidupan dan betapa berharga setiap detik bersama insan tersayang. Walaupun hasrat Edi untuk menghantar ibu bapanya menunaikan umrah dan membaiki rumah tidak kesampaian, kasih sayang dan pengorbanannya tetap terpahat dalam ingatan keluarga.
Bagi Saidah dan suami, kehilangan ini adalah ujian berat, namun mereka berusaha menerima takdir dengan hati yang reda walaupun masih dihimpit kesedihan yang mendalam.
Mayat wanita dalam beg disahkan sebagai Suri, percutian ke Switzerland berakhir duka. Perjalanan seorang wanita Suri Narudin yang sepatutnya berakhir gembira ke Switzerland bertukar duka apabila ditemui mati dalam beg di sebuah rumah kosong di di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau pada 18 Disember lalu.
Bermula dari perkongsian rakan karib arwah, Mac Ruhayu Mohd Nor yang mewarkan kehilangannya di media sosial pada 8 Disember 2025 kerana arwah tidak muncul di Switzerland, seterusnya membawa kepada penahanan seorang dua individu termasuk seorang darinya dikatakan sebagai teman lelakinya.
Soal siasat pihak berkuasa kepada dua suspek berikutan penemuan mayat wanita dalam beg itu akhirnya merungkai misteri indvidu yang dibunuh dan dimasukkan ke dalam beg dan ditanam di sebuah rumah kosong adalah Suri Narudin.
Memetik laporan Harian Metro, polis mengesahkan mayat yang ditemui dalam beg yang ditanam dekat sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau, 18 Disember lalu adalah Suri Narudin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan identiti itu dilakukan melalui cap jari yang diperolehi dan ia sepadan dengan data yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Polis mengemukakan satu set cap jari untuk pemeriksaan dan perbandingan cap jari di Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan bahawa cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam Sistem JPN.
“Ia atas nama Suri Narudin yang dilaporkan hilang berdasarkan laporan di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu beliau berkata, polis turut mengesahkan bahawa laporan analisis DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia sudah diterima.
“Berdasarkan keputusan analisis DNA yang dijalankan, perbandingan profil DNA mendapati bahawa spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat.
“Iaitu sumber spesimen hubungan adik-beradik kandung, dengan kebarangkalian hubungan yang sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan lagi proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri Narudin,” katanya.
Sebelum ini, keluarga Suri Narudin, 53, hanya menyedari kehilangan wanita berkenaan selepas enam hari, apabila beritanya tular di media sosial.
Anak saudaranya, Hafizah Bolhi berkata, kehilangan itu diketahui menerusi rakan mangsa yang berkongsi perkara berkenaan di Facebook (FB).
“Saya adalah ahli keluarga pertama di Kuching yang menyiarkan semula (repost) berita kehilangan Suri selepas melihat perkongsian di media sosial. Waktu itu kami sangat terkejut kerana langsung tidak menerima sebarang makluman sebelum ini,” katanya.
Jelasnya, ibu saudaranya itu anak bongsu daripada enam beradik, seorang ibu tunggal, dan pernah kehilangan anak istimewanya yang meninggal dunia sekitar tahun 2017.
Keluarga dikatakan turut mengenali suspek dengan baik, malah individu itu sering pulang ke Kuching bersama Suri setiap kali musim perayaan.
“Suspek ini boleh dikatakan sangat dipercayai oleh semua ahli keluarga Suri di Kuching, sebab itu kami sangat terkejut,” katanya.
Dalam pada itu, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau atau balai polis berhampiran.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lagi kejadian kanak-kanak terjatuh dari apartment di Kajang Selangor. Cukup tragis kerana anak lelaki berusia 11 tahun itu masih bersuara waktu jatuh dan akhirnya disahkan pergi buat selama-lamanya.