
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru seluruh wanita di Malaysia agar mengambil langkah berani dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dengan menjalani pemeriksaan saringan barah payudara lebih awal, bukan hanya apabila gejala sudah muncul.
Baginda bertitah, tindakan kecil yang dilakukan secara berkala mampu memberi impak besar dalam menyelamatkan nyawa, sekali gus mengurangkan kadar kematian akibat penyakit berbahaya itu.

“Kanser payudara masih menjadi kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia dan antara penyumbang utama kepada kematian akibat kanser.
Saya amat prihatin apabila lebih separuh daripada kes masih dikesan pada peringkat lewat. Hal ini menunjukkan masih ramai wanita belum tampil untuk menjalani saringan awal,” titah baginda ketika merasmikan Larian Pink Ribbon di Dataran Wawasan, hari ini.

Pink Ribbon Run sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October) 2025 di Dataran Wawasan, Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama rakan strategik Majalah Nona, Mingguan Wanita, NCSM, UniSZA dan MHTC. Ia turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Tengku Permaisuri Norashikin turut menyambut baik tema kempen kesedaran barah payudara tahun ini, “Bersatu Demi Wanita: Sebarkan Kesedaran, Selamatkan Nyawa”, di mana menurut baginda mencerminkan kekuatan, kasih sayang dan perpaduan seluruh masyarakat dalam melindungi wanita daripada ancaman penyakit tersebut.

“Saya percaya, dengan usaha berterusan seperti ini serta sokongan menyeluruh daripada semua pihak, matlamat untuk mengurangkan kematian akibat kanser payudara seperti yang digariskan dalam Global Breast Cancer Initiative akan dapat dicapai.”
Baginda turut menzahirkan rasa bangga melihat penyertaan lebih 900 peserta dalam acara larian berkenaan yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Satu simbol solidariti terhadap perjuangan wanita melawan barah payudara.


Dalam titahnya, baginda berharap semangat perjuangan itu tidak terhenti di bulan Oktober sempena Bulan Kesedaran Barah Payudara, tetapi diteruskan sepanjang tahun agar usaha pendidikan dan saringan dapat diperkasa secara berterusan di seluruh negara.
“Teruskan memberi sokongan kepada wanita yang sedang berjuang melawan barah payudara. Hargai keberanian dan kekuatan mereka .jadikan mereka sumber inspirasi kepada kita semua,” titah baginda penuh makna.
Pada majlis yang sama Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyampaikan Anugerah Inspirasi Cancer Survivor Nona 2025 kepada Puan Sarlinawati Abd Mues, Puan Azlinda Tammatulmadzi, Puan Noor Afifah Abdul Razak dan Puan Nurul Munirah Mohd Sobri (diwakili ibu, Nur KarinaCheong Binti Abdullah).

View this post on Instagram
Tengku Permaisuri Norashikin turut merakamkan penghargaan kepada KKM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, media dan institusi pendidikan atas komitmen mereka dalam memperkukuh kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal.
“Kejayaan kempen ini hanya dapat dicapai melalui semangat bersatu hati dan tanggungjawab bersama,” titah baginda menutup bicara.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!















