Bab pakaian untuk jamuan sekolah bersempena Hari Raya ini pun kadangkala boleh buat ibu pening kepala. Lagi-lagi, bila ada arahan yang bertukar-tukar ‘last minute’ dari pihak sekolah.
Ibu ini, Szaza Baharuddin meluahkan kesukaran yang dihadapi ketika mahu memenuhi hajat anak untuk meraikan jamuan hari raya di sekolah. Kadangkala, memang terjadi hal semacam ini.
Keputusan berubah-ubah di saat akhir. Boleh menjadi satu hal pula untuk ibu mencari dan sediakan ikut keperluan yang diberikan.
Kurta Oh Kurta
Hahahha … Ada kisah kurta lagi ni.
Sekolah abang Otomen ada nak buat Majlis Hari Raya. Dalam surat tersebut memaklumkan pelajar lelaki perlu memakai baju Melayu lengkap sepasang dengan songkok dan sampin. Surat yang dihantar oleh cikgu pada Jumaat lepas.
Sejak 2,3 tahun ni kami dah jarang beli baju Melayu. Apatah lagi, sebelum ni kita pun tak beraya. Tahun ni juga tak balik kampung sebab temankan suami kena standby kerja. Jadinya, kami pilih kurta sahaja, dok kat rumah aje pun pada Raya pertama.
“Umi, cikgu cakap boleh pakai kurta. Tapi, pakai dengan seluar slack. Seluar slack tu apa Umi,?” Soal Abang Otomen sambil Google ‘seluar slack’.
“Alaa, seluar yang selalu Abang pakai tu. Yang ada banyak poket tu.”
Abang Otomen senyum-senyum. Teruja.
Rabu
“Umi cadang nak masak apa untuk kelas abang?”
“Macaroni goreng?”
“Banyak Umi kena masak nanti. Buat yang senang je.”
“Karipap?”
“Hah, boleh-boleh. Abang suka karipap.”
Ads
* Bila tengok kat group, sumbangan parents untuk kelas ada pelbagai juadah – creampuff, cheese cake, brownies …dan si Umi Otomen ni bagi karipap je, old school!! Hihi
Khamis
Turun dari van sekolah Abang nampak tak happy.
“Esok tak nak gi sekolah.”
“Kenapa?”
Abang diam, masuk bilik.
Masa makan malam.
“Umi tau tak? Kat kelas BM tadi cikgu cakap tak boleh pakai kurta. Jadi, Abang malas nak datang.”
“Laaaa, hari tu bagitau boleh.”
” Entahlah, ada cikgu cakap boleh, ada cikgu cakap tak boleh.”
* Boleh je pakai uniform sekolah …kau rasa?
Sorang-sorang pakai uniform sekolah memang akan terasa terpinggir… jadinya Umi malas nak bagi cadangan tu.
“Nak pergi sekolah tak?”
Abang geleng kepala, muka masam. Merajuk.
Tahu, baju Melayu baju kebangsaan. Melambangkan budaya Melayu. Boleh je anak pakai baju Melayu cumanya pihak sekolah sahaja yang tidak tetap pendirian – sekejap boleh, sekejap tak. Last minute camni mana nak cari baju Melayu ..huhu
*Sekolah adik Otomen sempoi. Kalau nak pakai kurta, pakai dengan seluar sekolah & kasut sekolah. Kan senang.
#coretanshaza
Mingguan Wanita :Sungguhlah, kadang bukan setiap keluarga dapat beli baju Melayu di Hari Raya. Malah, ada yang memang tiada baju Melayu di rumah. Mengapa perlu dirumitkan hal yang sepatutnya memudahkan.
Siapa sangka bertahun-tahun telah menjalani rawatan kesuburan, berkali-kali juga telah gagal, namun rezeki wanita ini hamil dan dikurniakan anak pada usia 50 Tahun! Ternyata perancangan dari Tuhan adalah yang terbaik dan jangan sesekali pernah berputus asa.
Seorang wanita yang mempunyai masalah kesuburan akhirnya hamil pada usia 50 tahun selepas beberapa kali gagal dalam rawatan kehamilan yang dijalani selama bertahun-tahun, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Christine Boama, yang baru menyambut ulang tahun kelahiran pertama anaknya pada minggu lepas berkata, dia telah mencuba pelbagai rawatan kesuburan termasuk gagal dalam rawatan persenyawaan in vitro (IVF) berkali-kali.
Wanita yang berasal dari Lancashire, England itu berkata, selepas berkahwin pada usia 42 tahun, dia menyangka akan hamil dalam masa setahun.
“Saya membesar dalam sebuah keluarga yang besar. Ibu saya mempunyai sembilan adik beradik selain salah seorang ibu saudara mempunyai enam anak.
“Bagaimanapun, selepas setahun berkahwin, saya masih belum hamil dan pada 2015, saya membuat keputusan untuk melakukan rawatan IVF,” ujarnya.
Tambah Boama, disebabkan terlalu ingin mempunyai anak, dia menjalani rawatan IVF dengan penuh komitmen dan berasa sedih apabila kitaran pertama menemui kegagalan.
“Saya menjalani begitu banyak ujian, saringan dan mengambil ubat-ubatan. Emosi saya amat rapuh dan saya tidak pernah diberitahu oleh doktor tentang mengapa saya sukar untuk hamil,” katanya.
Tambah Boama, selepas dua minggu usianya mencecah 50 tahun, dia menyedari tidak didatangi haid seperti biasa dan menyangka sudah mengalami menopaus.
“Namun, apabila melihat terdapat dua garisan muncul pada kit ujian kehamilan, saya hanya mampu merenungnya kerana berasa amat terkejut .
“Selepas bertahun-tahun menjalani rawatan sehinggakan sudah terlupa bilangan rawatan yang dilakukan, akhirnya saya disahkan hamil enam minggu oleh doktor,” jelasnya.
Pada 18 Mei tahun lalu, Boama selamat melahirkan anaknya. Dia berharap agar pendedahan kisah tersebut dapat memberi semangat kepada wanita lain di luar sana yang mempunyai masalah sepertinya.
Mingguan Wanita: Tahniah buat wanita ini akhirnya hamil dan mempunyai anak sendiri. Paling penting tetap berusaha dan jangan sesekali berputus asa.Semoga menjadi inspirasi buat wanita lain yang mengalami nasib yang sama.
Wan Khair Amir indahnya nama putera sulung Mira “Semoga membesar sebagai anak yang baik dan soleh”. Alahai sedapnya nama dan maksud yang dikongsikan oleh Wan Emir Astar iaitu suami kepada pelakon Mira Filzah buat putera sulung kesayangan mereka.
Sebelum ini Mira Filzah telah selamat melahirkan anak lelaki malah berkongsi tarikh lahir 9 Syawal yang sama. Pasangan suami isteri itu sememangnya begitu gembira menyambut kehadiran putera sulung yang ditunggu-tunggu selama ini.
Genap tujuh hari melahirkan anak sulung, Mira dan suami telah sudi berkongsikan nama anak lelaki mereka.
“Allahumma salli `ala Muhammad,
“Wa`ala ali Muhammad 🤍 Hari ini hari ke-7 bersama putera tersayang kami. Dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran, kami menamakan putera kami — Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar.
@wankhairamir “Khair” membawa makna ‘baik, elok’, juga diambil daripada nama arwah Papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar). “Amir” pula bermaksud ‘orang yang memegang perintah, pemimpin’, juga diambil sebagai variasi daripada nama kami berdua Emir dan Amirah.
“Alhamdulillah, ibadah tahnik dan bercukur juga selamat dilaksanakan, jazakkallahu khairan
“Buat Ustaz @ddaniyaldbiyajid kerana meluangkan masa untuk bersama kami dalam majlis keluarga ini.
“Moga sunnah Rasulullah SAW terus hidup dan mekar dalam setiap langkah kehidupanmu wahai putera kami.
“Ya Rabb, kami akan usaha, mengharap dan bertawakkal kepada-Mu, agar dipimpin setiap langkah Wan Khair Amir dalam menempuh kehidupan di bumi-Mu ini, membesar sebagai anak yang baik dan soleh, dan menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air, aamin YRA,” luah Wan Emir.
Menerusi ruangan komen ramai rakan selebriti mendoakan agar anak Mira dan Wan Emir membesar menjadi anak soleh.
Masalah yang selalu berlaku bila pasangan nikah luar negara bila mempertikaikan tentang status hubungan suami isteri sah atau tidak. Lebih menyedihkan tentang status anak yang telah dilahirkan.
Mungkin nampak senang bila nikah luar negara tapi kita tak tahu kesan akan datang pada isteri dan anak-anak. Akan banyak timbul masalah yang berkaitan dengan pewarisan, harta pusaka dan sebagainya.
Walaupun ada sebab-sebab tertentu pasangan kena nikah luar negara. Tapi jangan ambil mudah dan tak tahu, kena daftarkan perkahwinan di negara asal. Apa yang dibimbangkan perkara berbangkit pada masa akan datang.
Inilah yang dikongsikan oleh Roslina Sabiyah tentang kes yang viral tentang status anak seorang selebriti yang berbin/binti kan Abdullah. Mungkin tak nampak sekarang tapi bila anak itu akan mendirikan rumahtangga, isu harta pusaka dan sebagainya
Fahami apa yang dkatakan dan kesannya pada pasangan dan anak bila berkahwin luar negara.
Secara biologinya, dia memang anak kepada Halim Othman. Tetapi secara undang-undangnya, dia tetap anak kepada “Abdullah”. Apa maksudnya?
Undang-undang tidak/belum mengiktiraf kedudukan mereka sebagai bapa dan anak kandung.
Kalau Myra nak kahwin nanti, bapanya tak boleh walikan dia. Kalau nak walikan dia kena ada bukti yang dia bapa kepada Myra, paling koman tunjukkan kad pengenalan dan sijil nikah ibu bapa. Sijil nikah tak ada memang kena mohon Wali Hakim kat mahkamah syariah lah jawabnya.
Kalau Halim meninggal nanti, Myra tak boleh tuntut harta pusaka dia. Asas tuntutan dalam harta pusaka ialah waris-waris mestilah yang sah di sisi undang-undang. Antara bukti untuk menunjukkan seseorang waris itu sah di sisi undang-undang ialah dengan memohon sijil faraid di mahkamah syariah. Nak mohon sijil faraid kena ada bukti surat beranak dan sijil nikah. Surat beranak bin/binti Abdullah. Sijil nikah pulak tak ada. Memang tak dapat nak tolong.
3. Isu Nasab dan Keturunan.
Apa status Myra sebenarnya. Anak yang dilahirkan di luar daripada pernikahan yang sah ada 2 kemungkinan sahaja iaitu anak tak sah taraf ataupun anak wati’ syubhah.
Anak wati’ syubhah ialah anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dari perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu iaitu sama hukumnya dengan nikah fasid.
Anak wati’ syubhah, jika berjaya disabitkan nasabnya di mahkamah syariah, maka dia boleh dibintikan kepada bapanya, boleh berwalikan bapanya dan berhak mendapat hak perwarisan daripada bapanya.
Namun beban pembuktian untuk menentukan status anak ialah terletak ke atas ibu bapanya. Mereka kena failkan permohonan pengesahan nasab anak di mahkamah syariah. Jika mereka mendakwa telah bernikah di luar negara, beban pembuktian untuk mengatakan pernikahan itu wujud ialah ke atas pasangan suami isteri tersebut. Mahkamah hanya perlu melihat kepada dokumen atau bukti-bukti pernikahan tersebut. Hanya ada 3 kemungkinan sahaja yang berlaku di Mahkamah :
a) Dokumen nikah luar negara ada. Rukun nikah semua lengkap dan sah. Maka mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sah dan boleh didaftarkan di pejabat agama malaysia. Nasab anak juga sabit anak sahtaraf. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah. . b) Dokumen nikah luar negara ada. Tapi ada rukun nikah yang diragui contohnya pernikahan dibuat oleh jurunikah tak bertauliah ataupun wali yang tak layak. Mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sebagai pernikahan yang fasid, mengarahkan untuk difaraqkan dan pasangan tersebut perlu bernikah semula di Malaysia. Nasab anak tersebut akan disabitkan sebagai wati’ syubhah. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah (anak wati’ syubhah sama statusnya dengan anak sahtaraf).
c) Dokumen nikah luar negara tiada. Kena tunjukkan usaha untuk cari. Buat carian di pejabat agama yang didakwa telah menjalankan pernikahan di luar negara tu, buat carian di pejabat konsulat atau datangkan saksi yang boleh bagi keterangan untuk menyokong dakwaan yang pernikahan tersebut memang telah dijalankan.
Mahkamah akan memeriksa semua keterangan dan kalau berjaya akan dapat perintah seperti 2 contoh di atas. Tapi jika tak ada langsung dokumen dan usaha? Maka, beban untuk menafikan bahawa pernikahan tersebut tak wujud/tak sah dan anak tersebut anak tak sah taraf adalah terletak ke atas ibu bapa anak tersebut.
Contoh Halim saya gunakan sebab memang dia dah terang-terangan declare 1 malaysia. Dan mungkin ada masyarakat yang keliru dengan kenyataan beliau untuk mengekalkan nama Abdullah sebagai binti anaknya.
Nak kekalkan nama Abdullah tu tak ada masalah langsung sebenarnya yang penting sabitkan dulu nasab anak tu di mahkamah syariah. Pihak JPN memang tak boleh buat apa-apa selagi tak ada perintah dari mahkamah syariah berkenaan isu tersebut.
Jika dah disabitkan nasabnya, walaupun berbintikan Abdullah, dia akan dapat semua hak-hak seorang anak untuk diwalikan oleh bapanya, dapat hak faraid dari bapa dan dapat nasab keturunan bapanya. Ini bukan isu tak kisah dan tak nak menyusahkan. Ini melibatkan isu penting tentang status anak dan hak.
Jangan Ambil Mudah Hukum Nasab
Nasihat saya pada halim, jangan mengalah dan putus asa. Cuba usahakan lagi, kesian Myra. Jangan kata kes dah terlalu lama sebab ada je kes yang dah berlaku 20 tahun dulu tapi masih boleh disahkan di mahkamah sebab pihak-pihak usaha juga bawa saksi.
Jangan ambil ringan dengan bab-bab nasab dan hukum ni. Ini bukan kes terpencil. Sebenarnya bukan nasihat untuk Halim sahaja tapi ramai lagi di luar sana yang ada masalah yang sama seperti ini sebenarnya. Tolonglah ambil cakna.
Pengajaran untuk yang belum terjebak, jangan buat keputusan singkat. Nikah luar negara memang cepat dan mudah. Tapi fikirkanlah kesan jangka masa panjangnya. Kalau terpaksa juga nikah di luar negara atas sebabsebab yang tak dapat dielakkan, bila dah balik malaysia cepatlah buat pengesahan di mahkamah syariah dan daftarkan pernikahan tersebut di pejabat agama. Kesannya tak nampak sangat kepada lelaki/suami. Tapi yang jadi mangsa ialah isteri/anak-anak.
Cuba bayangkan pula kesannya pada isteri? Nak kata dah nikah pun tak ada dokumen yang sah. Nak kata dah cerai pun, sijil nikah tak ada macamana nak cerai. Kalau nak berkahwin lain?
Satu sahaja cara, dia boleh declare yang dia belum pernah bernikah dan seolah pernikahan yang terdahulu tak wujud barulah dia boleh berkahwin lain. Lagipun memang tak ada dokumen langsung kan. Jadi apa status anak daripada perkahwinan terdahulu? Anak tu tak salah. Yang salah ialah mak ayah yang tak fikir panjang.
Ambik pengajaran. Yang baik jadikan tauladan yang buruk jadikan sempadan. Biar tahu jangan keliru.
Mingguan Wanita : Apa-apapun, kena daftarkan perkahwinan. Mungkin sekarang tak nampak kesannya, tapi akan datang lagi banyak masalah yang timbul. Jangan jadikan isteri dan anak mangsa.