Kemelut rumahtangga antara pasangan selebriti Syamsul Yusof,38 dan Puteri Sarah Liyana masih belum berkesudahan. Terbaru Pengarah Syamsul Yusof menafikan dakwaan isteri keduanya, Ira Kazar sedang berbadan dua. Syamsul ketika ditemui bagaimanapun menjelaskan, segala khabar angin yang bertebaran adalah satu fitnah.
“Tidak. Itu adalah fitnah. Begitulah kehidupan saya setiap pagi, saya minum teh tarik dan makan nasi lemak, ada yang bertanya Syamsul itu dan ini. Saya pun jawab apa pula kali ini?
“Saya tak tahulah. Tapi kalau orang itu (Ira) mengandung, Alhamdulillah. Apa yang tak boleh? “Jadi jujur saya beritahu tiada (mengandung). Kalau mengandung, saya akan maklumkan. Tapi kalau nak cakap sebegitu nak buat macam mana, saya cakap Alhamdulillah sajalah. Doakan yang baik-baik, tapi tiada (mengandung),” katanya.
Doakan Jadi Suami Adil & Baik
Terdahulu, Syamsul melangsungkan pernikahan dengan Ira atau nama sebenarnya, Faghira Fatini, pada 6 Januari lalu di Selatan Thailand dengan berwalikan bapa Ira iaitu Kazar.
Menurut Syamsul, dia reda apabila dirinya tidak berhenti ditimpa pelbagai ujian dan fitnah termasuk ada yang ingin memboikot filem arahan dan terbitannya.
“Berkenaan saya mampu atau tidak beristeri dua, doa sajalah saya boleh jadi suami yang baik dan adil. Kita kahwin ini pun adalah salah satu jalan taubat. Jadi nak kata apa, katalah.
“Seperti rezeki mahu boikot filem saya, jujurnya ada rasa sedih juga tapi saya seorang yang mudah. Saya percaya rezeki dari Allah. Kalau Allah bagi rezeki, alhamdulillah. Orang boikot ada sebab dan saya bersyukur.
Ads
“Saya sudah melalui banyak fasa. Saya hadapi sajalah,” katanya.
Fail Permohonan Nusyuz
Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.
Ads
Antaranya alasan yang diberikan adalah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, keduanya masih menghubungi bekas kekasihnya dan ketiga enggan mematuhi notis nusyuz serta keempat sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul dan tidak memberi nafkah.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Kisah penggali kubur ini perlu diangkat untuk masyarakat lebih menghargai staf kesihatan yang sepanjang masa perlu memakai sut “angkasawan” sepanjang Covid-19. Tak mudah ya, perlu bekerja dalam saat genting dengan pakaian hendak ke bulan.
Tetapi mereka akur demi keselamatan bersama. Menurut penggali kubur ini, mereka pernah menggali kubur berjam-jam tetapi terasa lebih mencabar apabila perlu memakai pakaian seolah-olah “angkasawan” ini dalam menjalankan tugas.
Hargailah Pengorbanan Kakitangan Kesihatan
“Kami pernah menggali kubur berjam-jam lamanya namun tidak pernah merasai cabaran berpakaian seolah-olah ‘angkasawan’ untuk persediaan pengurusan jenazah.
“Jadi hargailah pengorbanan kakitangan kesihatan yang terpaksa memakai sut ini dalam keadaan penuh cabaran untuk membantu menyelamatkan nyawa mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19,” kata penggali kubur yang juga kakitangan Pejabat Kadi Segamat, Md Najib Teh, 53.
Dia yang menetap di Kampung Berata, Segamat, berkata, kebiasaan dia akan melakukan kerja menggali bersama seorang lagi rakan, Abd Rahim Abu Lias,50.
“Pelbagai pengalaman dilalui sepanjang menjadi penggali kubur selama 20 tahun tetapi sebelum ini saya hanya memakai baju T dan berseluar panjang saja,” katanya yang ditemui ketika mencuba sut keselamatan persediaan wabak Covid-19, hari ini.
Mencuba Sut
Md Najib berkata, dia dan rakannya cuba membiasakan diri dengan memakai sut itu dan melakukan tugas menggali kubur.
“Rasa panas dan bahang memakai sut menutup dari kepala hingga keseluruhan badan menyebabkan kita mudah berpeluh dalam waktu singkat. Saya dapat bayangkan bagaimana kakitangan kesihatan yang perlu merawat pesakit Covid-19 yang mengejar masa memberikan rawatan,” katanya.
Menurutnya, mereka juga terpaksa memakai penutup hidung dan mulut selain mengambil masa antara tiga hingga empat jam menyiapkan lubang kubur.
Dia berkata, setakat ini dia bersyukur semua tugasan berjaya diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga Allah membalas semua jasa dan pengorbanan staf kesihatan di barisan hadapan. Terima kasih petugas kesihatan dan juga staf pengurusan jenazah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita diceraikan suami selepas lahirkan anak berkulit gelap. Pengorbanan seorang wanita yang bertarung nyawa melahirkan anak melalui prosedur ‘caesarean’ bertukar menjadi mimpi ngeri kerana bayinya berkulit gelap.
Wanita Diceraikan Suami Selepas Lahirkan Anak Berkulit Gelap
Akhbar China Times melaporkan kejadian itu menimpa ibu berusia 30 tahun di Shanghai, China selepas suaminya tergamak meminta ujian paterniti ke atas bayi lelaki mereka hanya kerana warna kulitnya yang berbeza.
Wanita itu kemudiannya menggunakan platform media sosial untuk berkongsi kisah sedih tersebut dan turut meminta nasihat para ibu lain bagi menangani situasi berkenaan.
Foto: Agensi
“Suami saya hanya merenung dan enggan mendukungnya ketika dibawa melihat anak kami buat pertama kali. Saya diceraikan sejurus anak kami dilahirkan,” kongsinya.
Wanita itu juga menyatakan warna kulit bayinya agak terlalu gelap dan berlainan daripada mereka.
“Saya tidak pernah ke Afrika atau mengenali mana-mana lelaki kulit hitam,” tegasnya ketika cuba menjelaskan dia tidak pernah berlaku curang kepada suaminya.
Warganet yang bersimpati dengan nasib wanita itu turut menyarankan ujian paterniti untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
“Ia adalah keadaan biasa bagi bayi baru lahir. Kulit mereka akan berubah mengikut warna ibu bapa tidak lama selepas itu. Ramai bayi baru lahir berkulit sedikit gelap atau kemerah-merahan,” kata seorang pengguna media sosial. – Agensi
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketua Penyelia Jururawat, Rohaya Ramli telah berkhidmat dalam bidang perubatan hampir 30 tahun. Banyak pengalaman pahit dan manis yang dikutip. Banyak juga ilmu dan kemahiran yang telah dikuasai. Wajarlah jururawat-jururawat baru merujuk kepada dirinya agar mereka dapat menjadi jururawat terlatih yang sehebat dirinya.
Rohaya puas hati dapat bantu sambut kelahiran bayi dengan selamat dan cara yang betul.
Bidan Berdaftar
Sudah enam tahun dia memegang jawatan Ketua Penyelia Jururawat di Pejabat Kesihatan Taiping, Perak. Sebelum ini Rohaya pernah berkhidmat di beberapa buah hospital termasuklah Hospital Seremban, Hospital Kuala Pilah, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Ipoh dan Hospital Taiping. Hanya selepas itu dia memasuki bidang kesihatan awam.
“ Saya perlu mengambil kursus khas yang dipanggil Kejururawatan Kesihatan Awam untuk menjadi jururawat kesihatan awam. Tetapi sebelum boleh jadi jururawat kesihatan awam, seseorang itu perlu ada kursus post basic kebidanan. Ini bermakna saya perlu jadi bidan terlebih dahulu.
“ Saya adalah bidan berdaftar. Saya jadi bidan sejak tahun 1998. Ini bermakna sudah 20 tahun jadi bidan. Sekarang ini kalau ada yang hendak di hospital, saya boleh mengendalikan kelahiran bayi. Kerja saya kini adalah di klinik kesihatan. Di sini saya akan melaksanakan tugas panggilan. Orang kampung akan memanggil kami jika ada masalah terutamanya berkaitan dengan urusan bersalin,” ujarnya.
Ketika mula-mula menjadi bidan, akui Rohaya, dia takut juga sebab perlu menyambut anak orang.
“ Saya banyak baca ayat Kursi, doa agar segalanya selamat dan ayat seribu dinar serta banyak lagi ayat-ayat al-Quran lain. Jadi itulah kelebihan bidan Islam jika dibandingkan dengan bidan bukan Islam. Selepas kami sambut bayi, persiapkan bayi dan beri kepada bapa bayi itu untuk dibacakan azan pada telinganya. Kali pertama saya sambut bayi saya rasa seperti menyambut dunia. Gembira sangat sehingga tidak mampu bercakap,” luahnya lagi.
Nasihat Rohaya kepada jururawat yang bertugas dan berbakti kepada masyarakat agar perlu ikhlas dengan tanggungjawab yang diberi.
“ Kita perlu ikhlas barulah gembira bekerja. Apa juga orang cakap anggap itu satu motivasi walaupun kadang-kadang ia menyakitkan hati kita. Jangan risau, biasanya kalau ketua bercakap mereka mahukan anak buahnya jadi lebih baik daripada dirinya. Itu yang saya rasa apabila bercakap dengan anak buah saya.”
Hadapi Cabaran Sambut Kelahiran Bayi Di Rumah
Rohaya sentiasa mengajar dan memberi nasihat berguna kepada jururawat di bawah seliaannya.
Ujar Rohaya lagi banyak peristiwa ibu bersalin yang tidak dapat dilupakannya. Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah sebaik sahaja dia menamatkan kursus kebidanan pada tahun 1998.
“ Pada ketika itu, ada orang kampung yang tidak mahu pergi ke hospital padahal dia ada sejarah dua kali bersalin secara pembedahan. Sepatutnya saya tidak boleh mengendalikan kelahiran oleh ibu sebegitu. Tetapi dia sudah panggil, saya kena pergi. Sudahlah dia lebih hari mengandung. Sepatutnya dalam garis panduan kami dia tidak boleh begitu. Tetapi disebabkan sudah ada bukaan 9 cm, kita boleh mengendalikan kelahiran jika itu kelahiran biasa.
“ Saya mahu bawa ke hospital. Dikira salah jika saya mengendalikan kelahiran itu di rumah. Saya buat pemeriksaan dan mendapati bayi telah buang air besar. Saya beritahu kepada jururawat masyarakat yang membantu saya agar menelefon klinik kesihatan untuk mendapatkan bantuan daripada doktor di klinik kesihatan. Saya juga minta jururawat masyarakat itu turut menelefon polis.
“ Hendak tidak hendak saya terpaksa mengendalikan kelahiran itu kerana suami wanita itu ada bersama kami. Dia memegang parang dan akan melakukan sesuatu jika kami tidak membantu isterinya bersalin. Nasib baik kelahiran itu berjaya. Berat bayi itu 4.3 kg. Untuk kelahiran di rumah memang tidak sesuai. Bayi itu tidak menangis dan saya uruskan sehingga bayi itu menangis. Pada masa yang selepas itu doktor pun sampai ke rumah tersebut,” ceritanya tentang antara pengalaman yang tak dapat dilupakan.
Selain peristiwa tersebut, Rohaya mengakui dia juga pernah mengendalikan kelahiran songsang, bahagian kaki keluar dahulu daripada kepala.
“ Kelahiran ini berlaku pada tahun 2001. Masa itu wanita itu balik kampung untuk beraya. Peristiwa ini berlaku beberapa hari sebelum hari raya. Saya mengendalikan kelahiran itu di sebuah bilik yang sempit. Ada seorang bidan kampung yang turut serta. Bidan kampung itu sibuk berjampi serapah.
“ Semasa bayi itu dilahirkan kepalanya tersangkut tidak boleh keluar. Saya masuk dua jari tangan saya dan tarik kepala bayi. Bayi itu tidak menangis. Senyap sahaja. Saya banyak berdoa dan minta tolong pada Allah agar menyelamatkan bayi itu.
“ Akhirnya saya minta jururawat yang membantu saya menelefon ambulan. Semasa dalam ambulan, saya membantu bayi itu. Nasib saya baik, sepanjang perjalanan dari rumah pesakit ke hospital, bayi itu menangis,” tamba Rohaya.
Bayi Yang Disambut Diberi Namanya
Untuk berada pada kedudukan sekarang, Rohaya perlu berkorban banyak perkara. Dia perlu mengorbankan masa bersama keluarga.
“ Semasa saya on call, saya tinggalkan anak begitu sahaja. Anak saya akan dijaga oleh kakaknya yang baru berusia enam tahun. Kemudian apabila saya perlu naik ke gred profesional saya perlu ambil Ijazah. Saya saya perlu mengikuti beberapa kursus lanjutan. Sekali lagi saya meninggalkan keluarga.
“ Tetapi saya berpuas hati dengan usaha saya sendiri itu saya boleh berjaya. Saya juga mampu membantu orang kampung dengan menggunakan SOP yang betul. Kita tidak main ikut suka. Sebagai bidan berdaftar dan bidan kerajaan di kampung, saya berpuas hati kerana dapat menjelaskan kepada masyarakat kampung bahawa zaman sekarang sangat jarang menyambut kelahiran bayi di rumah. Saya melihat data di daerah ini, kelahiran di rumah sangat berkurangan,” ulas Rohaya yang sudah tidak terkira bayi yang telah disambut kelahirannya oleh Rohaya.
“ Apa yang menariknya ada ibu yang membawa anak mereka berjumpa saya dan memberitahu kepada anaknya yang telah dewasa bahawa sayalah ‘misi’ yang sambut kelahirannya. Bukan itu sahaja, ada juga ibu yang memberikan nama anaknya Rohaya sempena nama jururawat yang sambut bayi. Saya ingat nama saya kuno, Rohaya, tetapi zaman sekarang ada orang berminat bubuh nama sebegitu. Saya gembira dan ada kepuasan di situ,” akhirinya.
Sentiasa gembira dengan kerjaya yang dimiliki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!