Sungguh malang tidak berbau, seorang isteri menemui ajal di tangan suami sendiri.
Seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, di sini pada pagi ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi tadi sewaktu mangsa berusia 31 tahun itu ingin keluar bekerja.
Syak Isteri Curang
Menurut Ahmad Mohsin, suspek berusia 38 tahun dipercayai bergaduh dengan mangsa di ruang tamu rumah dipercayai akibat cemburu dan mengesyaki isterinya itu telah berlaku curang.
Ads
“Polis mengesyaki pergaduhan itu berlaku sewaktu mangsa ingin keluar bekerja kira-kira pukul 6 pagi. Semasa pergaduhan, suspek yang merupakan pesara tentera itu bertindak menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Serah Diri Pada Polis Lepas Hantar Anak Ke Pengasuh
Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, selepas menikam mangsa, suspek memindahkan isterinya yang tidak sedarkan diri ke dalam bilik tidur utama rumah berkenaan.
Katanya, suspek juga kemudiannya bertindak menghantar dua anak mereka masing-masing berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh sebelum menyerahkan diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar pukul 10 pagi tadi.
Ads
“Susulan itu polis turut melakukan siasatan ke atas rumah berkenaan dan menemui mangsa yang ditutup dengan selimut tebal di dalam bilik tidur utama, malah siasatan turut menemui satu kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa sedalam kira-kira dua sentimeter,” katanya.
Suspek Positif Dadah
Susulan itu, Ahmad Mohsin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.
Ads
Katanya, suspek berkenaan yang positif dadah juga telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek di Kompleks Mahkamah Kangar esok.
Mingguan Wanita: Akibat cemburu dan gagal mengawal emosi, isteri menemui ajal di tangan suami sendiri. Salam takziah buat keluarga mangsa semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Alfatihah.
Bukan mudah untuk menerima kehilangan ahli keluarga secara tiba-tiba, apatah lagi serentak kesemuanya. Dugaan yang sangat berat ini, hanya boleh diluahkan pada yang Maha Esa semoga diberi kekuatan dan ketenangan hati dalam merawat jiwa. Diberi peluang mengerjakan umrah dan mengadu pada Allah di depan kaabah, adalah sebaik-baiknya.
“Kami tahu dugaan dihadapinya sangat berat, jadi kami beri dia peluang merawat jiwa laranya di hadapan Kaabah, biar dia mengadu pada Allah atas kesedihannya selepas hilang enam ahli keluarga serentak,” kata pemilik syarikat umrah, Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd, Jay Ibrahim.
Jay berkata, beliau menawarkan pakej percuma mengerjakan umrah kepada Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, yang kehilangan enam ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, petang kelmarin, selepas membaca berita tragedi itu, pagi tadi.
Katanya, kecekalan Abdur Rahman yang juga anak sulung, mengimamkan solat jenazah semua ahli keluarganya juga menyentuh jiwanya dan memahami ujian berat dihadapi pemuda itu kehilangan insan disayangi dalam sekelip mata.
“Saya tidak dapat meringankan beban kesedihannya, apa yang boleh saya bantu ialah memberi peluang Abdur Rahman merawat jiwa laranya di tempat terbaik di depan Kaabah.
“Biar dia mengadu kepada Allah dan berdoa di makam Rasulullah. Mungkin dengan cara ini, Abdur Rahman dapat membina semula kekuatan dirinya yang kini sebatang kara.
“Kita berharap Abdur Rahman dapat menerima takdir ini dengan tabah,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Jay sebelum itu mengunjungi Abdur Rahman di rumah keluarganya di sini.
Dalam tragedi memilukan itu, mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi anak mereka, Abdullah, 15, parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Kemalangan berlaku ketika tujuh beranak itu dilaporkan dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar Noorahimah yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Kemedak.
Jay berkata, pihaknya menyerahkan kepada Abdur Rahman memilih sendiri tarikh yang sesuai untuk ke Tanah Suci dan sedia menguruskannya jika dia mahu segera ke Makkah.
“Jika dia mahu pergi sekarang, mungkin baik juga kerana dia boleh mendoakan kesihatan adiknya, Abdullah yang parah dan masih dirawat di ICU Hospital Segamat,” katanya.
Sementara itu, ditanya reaksi Abdur Rahman mengenai tawaran diberikan, Jay berkata, dia sangat terharu mendapat peluang itu tetapi berbelah bahagi untuk meninggalkan adiknya yang masih dirawat di hospital.
“Jadi saya minta dia berbincang dulu dengan waris keluarganya. Mereka ahli keluarga yang baik, Abdur Rahman sendiri adalah bilal dan arwah ayahnya seorang imam, manakala arwah adik-adiknya hafaz al-Quran,” katanya.
Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas Abdur Rahman tidak petang ini berhasil apabila panggilan telefon tidak dijawab.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, ada pihak yang prihatin bagi meringankan bebanan yang dihadapi anak sulung ini. Bukan mudah untuk berasa kehilangan secara tiba-tiba apatah lagi melibatkan seluruh ahli keluarga tersayang. Semoga diberi kekuatan buat anak ini dalam meneruskan kehidupan.
Kena tampar dengan cikgu garang, ibu kongsi 3 tahun anak harungi trauma sampai rujuk ke psikiatri. Cabaran alam persekolahan hari ini tidak mudah. Ada banyak isu yang timbul, baik di pihak guru mahu pun ibu bapa.
Satu perkongsian seorang ibu di fbnya, Amy Syaquena mendapat respon dari masyarakat bila mana dirinya berkongsi anak sulungnya, Nur Aisya Rizqina yang baru pulih dari trauma selepas 3 tahun mengharunginya kembali berdepan guru garang yang suka menampar muka dan mencubit murid. Apa dikesalinya, tiada permohonan maaf dari guru tersebut dan berkata, itu adalah caranya mengajar.
Apa yang dikongsikan oleh ibu ini, cabaran dilaluinya selama 3 tahun untuk memulihkan semangat anaknya agar suka ke sekolah temasuk dirinya duduk sama di dalam kelas yang mana akhirnya anaknya itu seronok ke sekolah. 3 tahun harungi dan ianya berjaya di mana anaknya, Aisya seronok ke sekolah.
Tetapi bila berpindah ke sekolah baru, anaknya dilempang lagi di muka hingga rasa takut untuk ke sekolah. Ini rentetan kisahnya sebelum beliau berkongsi yang anaknya perlu jalani perjalanan bertemu psikiatri akibat guru garang. Baca luahan hati ibu ini.
PERJALANAN PEMULIHAN AISYA DARIPADA TRAUMA. CIKGU DI SK HAJI MAHMUD BANYAK MEMBANTU
Dah agak bila share pasal guru pasti ada yang x puas hati, cakap kita ni paranoid sangat. Dulu cikgu bantai takde pun mak pak pergi serang. Elok je jadi orang. Manjakan anak sangat, tak boleh jentik sikit laaaaaaaaaa…
Hurmmmmm..
Maaf ye! Saya tak ada pukul rata semua cikgu gitu. Dulu pun suami saya cakap benda yang sama jugak sebab tu la kami tak de buat report polis. Tapi kesudahannya bertahun saya kena hadap untuk pulihkan emosi anak.
Trauma dengan cikgu. Dekat rumah bukan main bersemangat nak pergi sekolah tapi bila sampai sekolah mengigil ketakutan, kaki tangan sejuk sampai nak pitam.
Mei 2022 tukar sekolah daripada Kelantan ke Ipoh. Dari sekolah swasta ke sekolah kerajaan. Lucky dapat sekolah yang semua guru-gurunya sangat prihatin.
“SEKOLAH KEBANGSAAN HAJI MAHMUD CHEMOR” harus di beri pujian.
Saya pernah share kisah nie. PK Hem Cikgu Abu, Guru disiplin Ustaz Nasir dan Cikgu HUDA guru kelas Aisya banyak membantu saya.
10 bulan 6 hari PJJ dengan suami. Semua urusan anak saya uruskan seorang diri. Memang agak struggle.
Alhamdulillah cikgu banyak bantu. Anak masuk kelas saya duduk sama dalam kelas. Airis bosan, saya duduk luar kelas. Dengan panas teriknya. Dengan Airis mengamuk nak tidur. Itulah rutin harian saya setiap hari.
Ada sekali tu sampai demam-demam adiknya. Tak dapat saya temankan Aisya. Cikgu HUDA la banyak bantu. Dia share gambar, video Aisya, buat voice note.. Nak bagi Aisya tenang.
Tak ada sekali pun cikgu HUDA marah atau kasari anak saya. Alhamdulillah cikgu HUDA ikhlas bantu Aisya. Setiap kali cikgu-cikgu lalu nampak saya di luar kelas dengan Airis, mesti cikgu-cikgu akan bagi kata-kata semangat.
Alhamdulillah, saya tak rasa seorang diri. Ulang alik bawa anak-anak semua pergi hospital untuk Aisya jumpa pakar kanak-kanak, pakar psikitrik. Dari Kota bharu sampai la tukar ke Ipoh.
Masuk kelas pemulihan. Walaupun rasa penat tapi berbaloi bila nampak perubahan Aisya dari hari ke sehari.
Hujung bulan Mac 2023. Alhamdulillah Doktor psikiatri bagitahu Aisya dah pulih dari trauma dan tak perlu lagi terima rawatan.
Lucky jugak doktor minta saya lebih sabar. Doktor tak nak bagi ubat pada Aisya sebab dia masih kecil. Ikutkan trauma Aisya ni teruk sehingga ganggu tido malam dia.
Dengan kesabaran tu dan bantuan semua pihak. Alhamdulillah Aisya sihat sepenuhnya.
Tapi April 2023, bila tukar sekolah ke Kelantan semula. Aisya berdepan dengan cikgu garang. Start kacau emosi dia. Dari lihat cikgu pukul pelajar lain sehingga la diri dia kena sama.
Lepas kejadian hari itu. Klinik buat surat refer hospital. Dan bulan depan bermula la perjalanan Aisya ke hospital semula.
Sebelum ni saya masih boleh bertolak ansur tapi tidak kali ni. Sampai bila saya harus hadap semua ni. Orang tak berada di tempat saya, boleh cakap macam-macam.
Nak pulihkan trauma budak bukan amek masa sehari dua. Bertahun tau.. Silap² hari bulan boleh mental budak.
“Tiada siapa yang nak berkahwin untuk bercerai,” Noor Nabila sahkan bakal berpisah.
Ajal dah jodoh ketentuan tuhan. 2 tahun mendirikan rumahtangga buat kali ketiga, kakak kepada selebriti terkenal Neelofa iaitu Noor Nabila akhirnya memaklumkan dia dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin bakal bercerai dalam waktu terdekat.
Nabila berkata, keputusan itu dibuat selepas Emran menyatakan hasratnya untuk tidak meneruskan rumah tangga yang dibina sejak 2021.
“Kami dalam proses perceraian dan akan diputuskan dalam masa terdekat. Emran pun sudah menyatakan keinginan dia untuk bercerai selepas dia keluar dari rumah saya sejak awal Januari lalu.
“Alhamdulillah ketika dia beritahu hasratnya untuk bercerai, kami berbincang secara baik dan tenang serta menerima segala keputusan yang ditentukan dengan reda dan hati terbuka.
“Jodoh ajal maut adalah aturan Allah SWT, tiada siapa yang nak berkahwin untuk bercerai dan saya juga impikan perkahwinan yang bahagia dan berpanjangan,” katanya.
Menurut Nabila, dia enggan berkongsi masalah rumah tangga yang dihadapi kepada khalayak, sebaliknya biarlah perkara itu diketahui antara mereka serta dijadikan pengajaran buat dirinya.
“Saya sudah buat yang terbaik sepanjang proses perkahwinan ini. Namun sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada ujian dan dugaan rumah tangga.
“Sepatutnya kita pasangan suami isteri saling berkorban dan sentiasa ada untuk satu sama lain dalam apa jua keadaan. Malangnya kami tak mampu jadi pasangan seperti itu.
“Masalah antara kami sudah lama berpanjangan dan saya berserah dengan takdir dan yakin ini adalah aturan terbaik dari Nya untuk saya dan anak lalui,” katanya.
Terdahulu rumah tangga pasangan ini didakwa ibarat sudah retak menanti belah.
Sumber rapat kepada pasangan itu berkata, mereka yang bernikah sejak dua tahun lalu itu sudah tidak tinggal sebumbung dan dikatakan dalam proses perceraian.
Nabila dan Engku Emran berkahwin pada 19 Mac 2021. Sebelum menikahi Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya. Dia juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sementara itu, Nabila pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.