Ini dinamakan rezeki terpijak. Sultan Johor yang terkenal dengan sikap pemurahnya, zahirkan penghargaan dengan mengurniakan kereta buat jururawat Wad Diraja HSA (Hospital Sultanah Aminah).
10 buah kereta Perodua Myvi berwarna biru diserahkan kepada 10 jururawat sebagai menghargai jasa dan khidmat mereka. Tahniah diucapkan kepada jururawat Wad Diraja HSA atas segala
10 Perodua Myvi Kepada Jururawat Bertugas
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, hari ini.
Dalam muat naik terbaharu di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kenderaan itu bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat 10 jururawat terbabit kepada baginda dan keluarga diraja Johor.
Jururawat Berterima Kasih Atas Kurniaan
Penyelia Jururawat, Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.
“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.
Ads
“Besar sungguh nilainya kepada kami semua dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan baginda serta keluarga,” katanya.
Kenderaan berkenaan diserahkan dalam satu majlis di Larkin, Johor Bahru.
Turut berkongsi kesyukuran adalah Nuraini Aziz, 28, yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak pada tiga hari yang lalu.
“Saya bersyukur kerana dapat hadir kerana ini adalah satu kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sultan Johor dan keluarga diraja Johor,” katanya.
MW: Kegembiraan berganda apabila segala jasa dan khidmat dihargai apatah lagi oleh Sultan Johor sendiri. Tahniah.
Semenjak akhir-akhir ini, kelibat Lisa Surihani iaitu ibu kepada Yahaira Leanne, 5, dan Yusof Leonne, 3, dilihat kembali aktif menghiasi drama TV.
Drama Pelindung Seorang Puteri dan telefilem Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph merupakan antara kemunculan terbaharunya di kaca TV, selain naskhah 6 Hari.
“Sebenarnya saya tidak pernah memperlahankan kerjaya seni secara sengaja, sebaliknya ia mungkin berlaku kerana saya mahu seimbangkan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu serta minat saya dalam kerjaya seni.
“Saya nak buat kedua-duanya dengan sebaik mungkin. Jadi banyak perkara yang perlu diambil kira agar tidak mengabaikan salah satunya,” ujar Lisa seperti mana dipetik menerusi Sinar Plus.
Tetapkan Syarat
Bagi memastikan jadual hariannya berjalan lancar, Lisa mengakui ada meletakkan syarat tertentu kepada produksi sebelum bersetuju menerima sesuatu tawaran berlakon.
“Selalunya saya akan bertanya bolehkah menetapkan waktu kerja saya selama 12 jam sahaja. Ia sebenarnya lebih kepada perbincangan mengikut budi bicara untuk memudahkan urusan semua pihak terlibat.
“Saya berbuat demikian untuk memastikan dapat uruskan masa dengan baik di mana saya boleh keluar bekerja tetapi dalam masa sama melunaskan tanggungjawab dalam rumah tangga.
“Dari segi lakonan dan perwatakan, saya tidak pernah letakkan apa-apa syarat kecuali pada situasi di mana ada keperluan seperti babak yang dirasakan betul-betul tidak sesuai dan sebagainya,” akui isteri kepada pelakon dan pengarah, Yusry Abdul Halim.
15 tahun Berlakon
Lisa juga mengakui pernah terfikir sampai bila dia mahu terus berada dalam bidang seni selepas hampir 15 tahun bergelar pelakon.
“Bukan kerana mahu bersara, tetapi sebagai manusia biasa ada ketikanya akan terfikir sampai bila kita nak buat kerja yang dilakukan sekarang ini.
“Saya sering berdoa agar dipermudahkan dalam urusan kerjaya. Jika OK, saya teruskan seperti biasa, jika sebaliknya mudah-mudahan saya diberikan ilham untuk mencari sesuatu yang baharu pada masa akan datang,” sambungnya.
Sumber: Sumber: https://sinarplus.sinarharian.com.my/
Sumber Foto: Instagram Lisa Surihani
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pelakon yang aktif menghiasi kaca TV menerusi karya-karya drama lakonannya, Idris Mat Diah telah meninggal dunia. Arwah yang popular dengan watak ‘Pak Andak’ menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2.30 pagi pada usia 61 tahun di kediamannya di Persint 9, Putrajaya.
Seperti mana yang diberitahu kepada Mingguan Wanita menerusi Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, anak Allahyarham, Alia menerangkan ayahnya disedari tidak sedarkan diri pada jam 2 pagi tadi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak pasukan perubatan setengah jam kemudian.
“Sejak dua tiga hari lalu, arwah tiada selera makan, sebelum tidak sedarkan diri pada jam 2 pagi tadi,” katanya.
Dalam pada itu, Alia juga turut memaklumkan agar kenalan bapanya untuk menghubungi pihak waris, sekiranya arwah ada berhutang.
“Saya mohon jika ada ayah ada hutang sesiapa untuk hubungi saya,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi di tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Kepong.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Allahyarham cukup dikenali menerusi drama TV dan sering memegang watak sebagai bapa yang penyayang.
Antara drama lakonannya ialah 7 Hari Mencintaiku, Menantu Bilal, Cucu Tauke Beras, Andainya Takdir, Zahir Tak Terucap dan lain-lain.
Selepas sekian lama berteka teki, selebriti Nur Amirah Filzah Badioezaman,27 atau lebih dikenali Mira Filzah dikhabarkan bakal menamatkan zaman anak daranya dalam masa beberapa jam sahaja lagi.
Pelakon yang sedang popular dengan drama Bidadari Kiriman Tuhan mengesahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hati, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar,30 di sebuah pusat konvensyen di Bukit Kiara, di sini, malam ini.
Siapa sangka, melalui mesej langsung (DM) berunsur kerohanian yang dilayang tetapi tidak dilayan Mira pada mulanya, membawa pasangan merpati dua sejoli ini ke gerbang perkahwinan.Bertemu buat kali pertama, Oktober lalu, akhirnya, selepas dua bulan mengenali hati budi, Mira dan Emir memilih malam ini untuk disatukan sebagai suami isteri.
Disember lalu, Emir menghantar rombongan keluarga untuk merisik pelakon Pujaan Hati Kanda itu sebagai suri hidupnya.Segala-galanya bagaikan dipermudahkan. Luah Mira usai majlis khatam al-Quran di kediaman keluarganya di Bangi, Jumaat lalu.
Lima kali bertemu, tanpa ragu-ragu Mira memberitahu ibu hasrat hati mengakhiri zaman bujang bersama Emir.
“Jika hendak diterangkan apakah keistimewaan yang membuatkan hati saya terpaut kepadanya, sukar untuk dijelaskan. Namun, apa boleh saya katakan, dia lelaki yang baik.
“Sejak pertemuan pertama, saya selesa dan serasi dengannya,” kata Mira sambil menambah dalam pertemuan pertama itu, dia ditemani dua sahabat baiknya.
Mendedahkan bagaimana hubungan mereka terjalin, Mira berkata, ketika dihubungi Emir melalui DM di Instagram (IG), Ramadan tahun lalu, dia tidak membalasnya. Ketika itu, Mira memikirkan Emir tidak lebih seperti peminat yang lain.
Tidak putus asa dengan tindakan Mira, Emir mengambil langkah lebih agresif apabila menghantar DM kepada ibu Mira.
“Selepas gagal berhubung dengan saya, Emir tidak berputus asa apabila menghantar DM kepada emak.
“Saya tidak tahu apa yang Emir katakan pada emak. Tetapi emak beritahu, beliau kenal Allahyarham bapa Emir dan menceritakan mengenai latar belakang keluarganya kepada saya,”katanya.
Terus berkongsi cerita, Mira mengaku sejak setahun dua ini, dia malas memikirkan soal cinta.
“Saya mahu lepaskan adik bongsu terlebih dulu dan fokus kepada kerja sahaja. Saya juga malas hendak memulakan perhubungan selepas melalui beberapa kegagalan sebelum ini.
“Bagaimanapun, emak meminta saya cuba mengenali Emir dan berjumpa dengannya. Punca saya terbuka hati semuanya disebabkan ibu bapa.
“Jadi, saya membalas DM daripada Emir dan hubungan itu berlanjutan ke aplikasi WhatsApp,”katanya.
Namun, akui Mira, sebelum membuat keputusan bertemu Emir, dia berharap, biarlah hubungan itu mempunyai hala tuju. Pada usianya yang mencecah 27 tahun, Mira mengaku malas menjalin hubungan cinta lama-lama.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka, hatinya terpaut kepada jejaka berkelulusan dari United Kingdom (UK) dan bertugas sebagai arkitek sejak pertemuan pertama.
“Saya selesa dan okay mengatur pertemuan seterusnya. Selepas lima hingga enam kali berjumpa, saya beritahu emak mahu berkahwin dengan Emir, namun, dia masih belum melamar saya .
“Saya tidak tahu kenapa tetapi mungkin disebabkan gerak hati yang merasakan keputusan itu adalah tepat. Jadi, saya terus beritahu emak hasrat hati untuk berkahwin.
“Apabila saya beritahu Emir mengenai rancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, dia juga sebenarnya ada hasrat sama.
“Tetapi dia bimbang jika saya anggap terburu-buru. Semua ini tidak akan terjadi tanpa restu emak dan ibu yang memudahkan lagi niat kami berdua,”kata Mira yang membawa Emir bertemu kedua orang tua secara tidak dirancang di Subang Jaya, Selangor.
Mira berkata, ketika itu, ibu bapanya baru menghadiri sebuah majlis perkahwinan manakala dia dan Emir sedang menjamu selera.
“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Saya tidak sempat membawa Emir pulang ke rumah untuk memperkenalkannya kepada emak dan abah.
“Kebetulan pada hari itu, kami berempat ada di Subang Jaya. Jadi saya buat keputusan untuk membawa Emir berjumpa emak dan abah buat kali pertama” katanya.
Sementara itu, Mira menyangkal sangkaan ramai Emir adalah teman sekolahnya. Sebaliknya, kata Mira, dia tidak mengenali Emir sebelum ini. Bagaimanapun Mira tidak menafikan khabar angin mereka bakal disatukan, bulan depan.
Namun, disebabkan pandemik COVID-19, Mira memberitahu, majlis perkahwinan terpaksa dipercepatkan berikutan kakak sulung yang menetap di New York, Amerika Syarikat (AS), pulang ke sini untuk majlis resepsi adik bongsu mereka.
“Betullah seperti yang dilaporkan media sebelum ini, saya dan Emir sepatutnya disatukan, Oktober ini.
“Tetapi disebabkan kakak tidak boleh berulang alik dengan kerap kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, jadi saya terpaksa mempercepatkan tarikh pernikahan.
“Adik bongsu pula terpaksa menunda sedikit pernikahan supaya kakak boleh menyaksikan perkahwinan kami berdua.
“Kakak hanya dapat bersama sehingga esok, selepas itu dia perlu pulang ke AS kerana anak saudara akan memulakan sesi persekolahan yang baharu,”katanya.
Mira yang akan mengadakan tiga majlis resepsi berkata, demi kepuasan, dia mengeluarkan bajet sendiri dan tidak mahu bergantung kepada tajaan. Lagipun, dengan cara ini, dia boleh menentukan konsep perkahwinan mengikut cita rasa sendiri.
Majlis resepsi kedua akan berlangsung di Hotel di Le Meridien, Putrajaya, malam esok. Satu lagi majlis resepsi akan diadakan di sebuah premis acara di Puchong, Ahad ini.
Sementara itu mengenai rancangan berbulan madu pula, Mira dan Emir merancang bercuti di Langkawi.
MW: Tahniah diucapkan buat Mira Filzah dan pasangan, semoga dipermudahkan segala urusan sepanjang pernikahan nanti. Selamat Pengantin Baru dan semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.