
Menawan betul Youtuber Sugu Pavithra yang terkenal dengan video masak-masak, S Pavithra ini bila disolekkan dengan jurusolek terkenal, Razzi Musa. Memakai pula busana pereka terkenal, Datuk Bernard Chandran, Rizman Ruzaini malah Wanpa. Ramai yang terpesona dengan transformasi S Pavithra. Dah macam model kata netizen.
Gambar-gambar cantik S Pavithra ini dikongsikan di laman instagram Razzi Musa, holyblackrapunzel dan wanpa official. Berbeza betul perubahan wajah S Pavithra ini. Dari si lemah lembut yang rajin berkongsi video masak-memasak dan tip mengemas, ke model menawan yang memukau.
Malah, pengambaran fotografi ini dikatakan dijalankan di sekitar kediaman Youtuber ini dekat Sungai Siput, Perak. Fotografi itu dilakukan oleh Pinography.
Jangan Ingat Sugu Pavithra Cuma Tahu Masak..
Namun, tidak dapat dipastikan pula pengambaran itu untuk tujuan apa. Yang pasti, ibu anak dua ini nampak cantik sungguh dalam setiap persalinan pereka yang dikenakan. Setiap busana menonjolkan sisi berbeza S Pavithra.
Baca sini : Memang asal susah, kalau susah semula takkan patah semangat – S Pavithra
Ada yang berkonsep Golden Indian Look.. malah Natural Look yang ditonjolkan pun menarik sentuhannya. Gaya menawan bak model yang disaksikan dalam foto pula dari sentuhan styling Zulherizal Studio.
Haa.. jangan ingat Youtuber Sugu Pavithra ini cuma tahu masak je, sekali dia bergambar dah macam model gayanya.

Walau Rumah Sewa Tetap Dijaga Kemas
Sebelum ini, pasangan Youtuber ini, S Pavithra dan suami M, Sugu telah berpindah ke rumah baru yang terletak di Pekan Sungai Siput. Disebabkan nak beri fokus untuk penghasilan video terbaik, M Sugu ambil keputusan berhenti kerja di estet.
Memandangkan rumah yang mereka duduk sebelum ini khas untuk pekerja di situ, terpaksalah mereka memutuskan untuk berpindah rumah baru.
Walaupun, kediaman baru ini cuma rumah sewa dengan bayaran bulanan RM400 sebulan, Pavithra tetap menjaga dengan kemas kediamannya. Macam mana pembersihnya dia sebelum ini, macam itulah juga dia di rumah baru.
Sebelum masuk, rumah tetap dicuci sebersih-bersihnya.
Sememangnya kisah Sugu Pavithra ini menyuntik inspirasi buat rakyat Malaysia. Biar pun sudah terkenal, sikap lemah lembut dalam diri Pavithra tetap menebal.
Walaupun bermacam dugaan terjadi ke atasnya, tetap dapat diatasi dengan baik kerana kelembutan budi dan kerendahan hati yang ada pada Youtuber ini.
MW : Semoga kekal menjadi ikon kesayangan rakyat Malaysia, Sugu Pavithra.
Baca sini : Sifatnya yang merendah diri, pembersih menjadikan Sugu dekat di hati rakyat Malaysia
Sumber/Foto : Razzi Musa, holyblackrapunzel, Gempak.com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Perkara Bagus Dibuat Dan PATUT ELAKKAN Dalam Group Whatsapp Kelas

Memandangkan ramai yang buat group whatsapp sekolah di zaman teknologi serba canggih ini, mak ayah patut tahu ‘undang-undang’ cara terbaik untuk berhubung di antara satu sama lain.
Tak dinafikan apabila menggunakan WhastApp, ini memudahkan mak-mak nak buat perbincangan yang dilihat mata kasar dan menerima maklum balas dengan pantas tentang perkembangan anak atau hal berkaitan dengan sekolah.
Namun ada juga yang tersalah guna dengan kemudahan Whatsapp sampai mak ayah lain rasa rimas untuk join dalam group kelas, jadi sebelum ‘macam-macam’ eloklah baca nota daripada Ammar Kamilin ini…
Rutin Harian Mak Ayah Dalam Group Whatsapp
Esok pagi, kita boleh menjangkakan ramai ibu bapa yang akan turun menghantar anak masing-masing ke sekolah.
Kereta akan penuh diletakkan di kiri dan kanan jalan raya. Motor dan kereta bersimpang siur dalam kawasan sekolah. Kita akan jumpa segelintir manusia yang jika boleh mahu meletak kereta dalam kotak parkir guru besar.
Akan kelihatan di mana-mana sekolah, ibu bapa dan anak berpimpinan tangan melintas jalan, bapa-bapa menjinjing beg sekolah anak dan ibu-ibu memegang tupperware (baru beli) masing-masing penuh sabar di kantin menunggu waktu rehat.
Ada antara kita, esok merupakan pengalaman pertama anak sulung memasuki kelas Tahun 1 di sekolah. Tahniah!
Baik, saya mahu berkongsi satu perkara. Jika saya beritahu ini, jangan terkejut!
Duduk saja anak kita di bangku sekolah, kemungkinan besar akan diwujudkan ‘group whatsapp’ untuk kelas mereka. Lalu, sayugia dimaklumkan, bertambahlah 1 lagi group dari puluhan ‘group’ yang sudah sedia ada dalam whatsapp kita.
Ini adalah amalan biasa, terutamanya untuk anak-anak Tahun 1. Maklum saja, anak-anak ini baru ‘berpindah alam’ dan ibu bapa akan sentiasa tertanya-tanya keadaan anak mereka.
Jika tidak diwujudkan group, kita beruntung. Tidak perlu pening kepala mendengar notifikasi ‘ting, ting, ting!’ tak kira masa.
Jika tiba-tiba kita dijemput masuk (invite), maka, bersiap sedialah.
Dari pengalaman 7 tahun bergelumang dalam group whatsapp, saya kongsikan,
Bahagian 1 : 10 perkara bagus dibuat dalam group whatsapp kelas, dan
Dan bahagian 2 : 10 perkara perlu dielakkan dalam group whatsapp kelas.
BAHAGIAN 1
| 10 Perkara Bagus Dibuat Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Sebaik-baiknya, ibu dan bapa, kedua-duanya dimasukkan di dalam group ini. Bukan apa, bagi suami isteri yang bekerja, ada masa, kesibukan akan menyebabkan ada mesej dari guru yang tidak sempat dibaca.
Sekurang-kurangnya, salah seorang dari kita boleh maklum dan mendapat informasi sekiranya pasangan masing-masing sibuk.
Saya faham, kita mungkin terganggu dengan bunyi mesej bertalu-talu, terutamanya orang lelaki (saya memang rimas, tak pasti lelaki lain).
Apa yang boleh dibuat, letakkan notifikasi untuk group ini dalam tetapan (mode) ‘mute’. Jadi segala-galanya akan sunyi sepi. Kita hanya akan baca, apabila bersedia untuk membaca. Yang penting, maklumat sampai.
2. Kita tidak mahu cikgu-cikgu dalam group keliru, sama ada ini group ibu bapa atau group ‘Taman Haiwan’. Tengok foto profil masing-masing, ada gambar kucing, gambar arnab, gambar bunga ros, eh, macam-macamlah.
Jadi, elok ditukar foto profil whatsapp dengan wajah sebenar kita. Letak foto yang paling kredibel, bukan yang bibir juih ikat tepi. Nama yang ‘appear’ di whatsapp juga, gunakan nama sebenar yang sama dengan bin atau binti anak kita tu.
Apa-apa kecemasan berlaku di sekolah, senang cikgu nak skrol dan cari. Takdelah sampai terpaksa buat pengumuman, ‘Siapa bapa Qistina Pavlova?, Siapa ibu Syafiq Kyle?’ Kan susah tu.
Sudah-sudahlah bubuh nama seperti ‘Jejaka Korea’. Buat malu saja masa ambil ‘result’ anak nanti. Buat cikgu tertanya-tanya, ‘celah mana Koreanya?!’
3. Apabila cikgu dah buat group khas untuk maklum apa-apa tentang anak kita, itu menunjukkan cikgu tu sangat prihatin. Mana ada cikgu yang ‘serah tengkuk’ untuk diganggu 24 jam? Jadi, dah dapat cikgu kelas yang begini, kita berbudi bahasa dan berkenalanlah.
Pendek pun tak mengapa, “Assalamualaikum cikgu, saya Ammar Kamilin, bapa Zulfa, terima kasih invite.” Cukup. Cikgu pun boleh ‘save’ nombor henfon kita dengan tepat. Jangan sibuk-sibuk nak tanya, cikgu available ke tidak? Lupa ke bini kita pun dah ‘add’ dalam group tadi.
4. Ada anak kita yang jenis teliti dengar arahan. Ada kawan sekelas anak kita yang susah nak beri tumpuan. Jadi, apabila ada ibu bapa lain yang bertanya tentang tugasan sekolah dan sebagainya, bantulah mereka. Bantu jawabkan bagi pihak cikgu.
Cikgu pun tak terlarat nak jawab setiap masa. Kadang tu saya perhati, “Esok pakai baju sukan ke baju sekolah?.” Soalan macam tu pun, 10 kali orang tanya sejak pukul 7 malam sehinggalah subuh esok pagi. Sian cikgu.
Ada sesetengah parents ni pun satu hal, nak skrol pun berkira. Risau ‘thumb print’ terkikis agaknya. Susah nak ‘punch card’.
5. Dah nama pun ibu bapa, mesti lebih pandai dari anak-anak (banding anak Tahun 1). Jadi, menaip mesej di group, sebaiknya ejaan penuh, tidak kontot-kontot macam bahasa ‘Alien’.
Bukan apa, mengeja penuh boleh elak salah faham. Bukan semua orang mahir teka teki. “Ckg, esk pki bj pe?” Aduh, boleh sewel nak tafsir. ‘pki’ tu apa? macam mencarut pun ya. Eja penuh ya. Tolong.
6. Pagi-pagi sebelum 7.30, biasanya cikgu perlukan maklumat pelajar tidak hadir sekolah. Jika anak kita tidak hadir atas alasan apa sekalipun, maklumkan cikgu.
Lebih bagus, kita boleh tulis whatsapp seperti senarai, dengan tajuk, ‘Murid Tidak Hadir Hari Ini’. Jadi, mudah ibu bapa lain menyambung senarai itu (copy, paste, edit). Cikgu pun senang kerja. Sama-sama gembira.
7. Tiada siapa yang boleh mengelak sakit, begitu juga anak kita. Boleh jika mahu berkongsi berita tersebut dengan group whatsapp kelas. Sekurang-kurangnya, berita kesihatan anak kita, dapat disampaikan oleh ibu bapa lain kepada anak-anak mereka.
Ini mendidik empati pada rakan sekelas. Sebagai ibu bapa, kita doakan kesembuhan buat anak rakan kita. Rakan anak kita, anak kita juga. Begitulah semangat kekeluargaan.
8. Dalam kalangan anak-anak kita, akan ada yang terpilih mewakili sekolah dalam aktiviti luar. Kebiasaannya akan ada guru pengiring atau ibu bapa mereka yang terlibat akan ikut bersama. Tiada masalah untuk berkongsi foto aktiviti tersebut dalam group.
Kita dapat mengetahui wujudnya aktiviti luar yang disertai pihak sekolah. Ada rezeki, kita boleh sediakan anak-anak kita untuk aktiviti atau pertandingan yang sama.
9. Ada masanya, cikgu akan menampal pengumuman dari pihak sekolah dalam group whatsapp, terutamanya yang berbentuk ad hoc.
Sekiranya maklumat tersebut naik, naik, dan naik sehingga tenggelam disebabkan masuk mesej-mesej baharu, ada baiknya ibu bapa yang prihatin mengambil inisiatif menampal semula informasi tersebut untuk mengelakkan ada ibu bapa yang terlepas pengumuman itu.
10. Sekali sekala, apabila cikgu menghantar mesej atau foto aktiviti yang dijalankan di dalam kelas melibatkan anak-anak kita, sebaiknya ibu bapa dapat memberi respon dan penghargaan kepada guru tersebut. Salah seorang, sama ada ibu atau bapa pun sudah memadai.
Sekurang-kurangnya, cikgu merasai sentiasa mendapat sokongan padu dari ibu bapa anak-anak murid mereka.
BAHAGIAN II.
| 10 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Nama pun group whatsapp kelas, jadi, kita elakkan bersembang hal politik negara dalam group ini. 2018 ni tahun pilihanraya, saya yakin, memang ada yang akan buat perangai ‘terlajak perahu’ nanti.
Kekalkan keharmonian group ini. Perkara terakhir kita mahu elakkan, ibu bapa ‘left group’ beramai-ramai kerana bergaduh hal yang tiada kena mengena dengan anak dan sekolah.
2. Elakkan menampal iklan bisnes atau cerita-cerita viral yang tiada kena mengena dengan hal ehwal persekolahan anak-anak. Saya tahu, ramai yang ada ‘part-time business’, tetapi group whatsapp ni bukan saluran yang sesuai.
Kecuali ada yang bertanya, “Mana eh nak cari tudung macamni?” Jika kita boleh membantu, boleh saja PM tepi. Lebih profesional. Cerita-cerita viral artis, politik, perkauman, jauhkan dari group ini. Tak larat nak baca, ‘dari group sebelah’. Entah sebelah mana pun kita tak tahu.
3. Whatsapp group bukan tempat ‘arah-arah’ cikgu. Ini adalah tempat kita ‘minta tolong’ dengan cikgu. Jadi, sewajarnya, ayatnya juga lebih lembut dan tidak mendesak.
“Maaf cikgu, saya terlupa beri duit belanja pada Asyraf Muslim. Mohon jasa baik cikgu pinjamkan duit dulu ya, saya pulangkan kemudian. Terima kasih cikgu.”
Sedap dibaca kan? Mohon maaf, nyatakan tujuan, akhiri dengan terima kasih. Lengkap. Cikgu pun takde rasa tertekan dan ikhlas membantu.
4. Saya selalu perasan perkara ni. Ibu bapa mesej tak kira masa. Apabila cikgu tak sempat menjawab whatsapp, mula meradang. “Eh, mana cikgu ni ek? Tak respon pun.”
Sabar ya. Cikgu pun ada kehidupan dia sendiri. Jika di sekolah, mereka ada jadual mengajar masing-masing. Mana sempat untuk buka whatsapp apabila sedang mengajar.
Jika di rumah, mereka pun ada anak seperti kita. Entah anak dia lebih ramai dari kita. Jika kita mesej jam 7.00 petang, mungkin dia sedang mandikan anak. Kita mesej jam 8.00 malam, mungkin sedang ajar anak mengaji. Mesej jam 9.00 malam, mungkin dia sedang teman suami makan. Mereka pun perlu masa.
Jika tak berjawab juga, percayalah, mereka memang benar-benar tidak sempat menjawab. Jika memang sangat kecemasan, cuba pula hubungi ibu bapa kawan anak kita. Mereka mungkin tahu.
5. “Siapa ibu Aiman Danial dalam group ni? Anak saya kata, dia curi ‘pencil box’.”
Hah, sudah! Tanda-tanda perang akan bermula. Memang ada ibu bapa yang serang ibu bapa lain dalam group whatsapp. Kalau boleh, mahu satu kelas tahu mereka sedang berkonfrontasi. Relaks ya, abah, mama. Perkara begini, elok PM tepi dan selesaikan ‘face to face’. Tidak perlu amuk dalam group.
Tunggu keesokan hari, lapor pada guru kelas di sekolah. Insya Allah, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Sebolehnya, keharmonian group kekal terpelihara. Elok 2 famili saja terlibat, habis 1 sekolah tahu. Kool ya!
6. “Cikgu, macamana ya subjek Bahasa Inggeris anak saya ni? Dapat D.” Mengadu hal anak dalam group. Ini mungkin kurang sesuai. Ya, mungkin ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Tetapi, jika dibincang dalam group, akan jadi panjang lebar dan mengganggu ibu bapa lain yang melihat notifikasi tanpa henti.
Sebaiknya perbincangan tentang anak kita, dibuat dengan berjumpa guru tersebut. Apabila guru menawarkan solusi, contohnya mengadakan kelas tambahan, barulah sesuai kita iklankan dalam group whatsapp kelas supaya anak-anak lain dapat ‘join’ bersama.
7. Cikgu baru saja tampal pengumuman dan info terkini tentang apa yang anak-anak perlu sediakan esok. Tak sempat dibaca, dah ada ibu bapa yang kecoh bersembang sampai pengumuman tadi akhirnya hilang naik ke atas.
Memang boleh skrol, tapi macam saya tulis awal tadi, bukan semua rajin untuk skrol. Sebaik-baiknya ketika cikgu sedang menaip pengumuman, elak mencelah! Biarkan informasi lengkap sepenuhnya, baru diajukan pertanyaan.
8. Ibu bapa zaman moden ni, memang ramai yang positif! Rajin ‘forward’ foto dan video motivasi ke dalam group. Baguslah jadi orang positif, tetapi group whatsapp kelas ni untuk komunikasi guru dan ibu bapa, jadi kekalkanlah begitu. Hanya hal ehwal sekolah dan anak-anak.
Bab positif ni, biar kekal dalam group positif kita saja. Lagipun, foto dan video menelan ‘data’ yang banyak. Bukan semua ibu bapa ada ‘plan internet tanpa henti’ macam kita. Mereka pun mesti dah tengok foto dan video tu dalam group lain, jadi, cukuplah.
9. Anak-anak kita memang aktif di rumah. Macam-macam aktiviti mereka buat. Melukis, mewarna, menulis, dan banyak lagi. Bagi saya, cukuplah ambil foto dan simpan sebagai kenangan keluarga saja. Tidak perlu tampal dalam group whatsapp kelas.
“Cikgu, tengok, anak saya dah pandai lukis dinasour.” Ya, kami pun tumpang gembira. Tetapi bayangkan jika semua ibu bapa buat perkara sama. Berapa banyak foto kita nak tengok. Entah sempat atau tidak cikgu nak menengoknya. Tah, tah, cikgu pun sedang jadi ‘dinasour’ di rumah. Jika mahu juga, hantar ‘personal’ pada cikgu. Boleh ya.
10. Disebabkan bertukar tempat kerja, anak kita mungkin berpindah dari sekolah itu. Sebaiknya, ceritakan sedikit tentang perpindahan tersebut dalam group dan mohon izin untuk ‘left group’. Sekurang-kurangnya, ibu bapa lain yang sudah lama mengenali anak dan diri kita akan maklum dan memberikan ucapan tanda ‘selamat tinggal’. Suasananya lebih muhibbah.
Meninggalkan group tanpa memaklumkan apa-apa, seolah-olah kita ‘memutuskan’ silaturrahim yang telah diwujudkan dengan ibu bapa lain sebelum ini dan terus menghilang.
Mungkin ada perkara lain yang tidak disebut, saya buka kepada ibu bapa berpengalaman lain untuk menambah dalam ruang komen.
Sebelum ada yang bertanya, anda bebas dan digalakkan untuk SHARE dalam group whatsapp sekolah.
~Ammar Kamilin~
Certified Consultant, Group Whatsapp Kelas Anak
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Asyik Nak Murah & “Harga Kawan” Je Sampai Keluar Semua Hadith, Ayat Quran

Ada benarnya, sebagai seorang pelanggan atau pembeli janganlah asyik meminta harga murah dan ‘harga kawan’ sehingga kan ‘keluar semua hadith dan ayat Quran, sehinggakan mengambil kesempatan buat peniaga. Perlu fikirkan juga usaha, keringat, untung dan modal yang dikeluarkan oleh peniaga. Apabila peniaga ikhlas menjual dan pelanggan rasa ikhlas dengan harga dibayar, barulah datangnya keberkatan.
Luahan daripada peniaga yang 35 tahun melibatkan diri dalam bidang makanan Mamamemey Airish ini memang ada benarnya. Semoga menjadi panduan buat kita.
Saya percaya ada diantara kita para peniaga kecil yang mengalami dilema dalam menentukan harga makanan yang akan dijual. Kita ketepikan dulu soal nak bersedekah bagai. Itu citer lain ya.
Jika memang untuk tujuan berniaga, kita pasti hadapi masalah turun dan naik harga barang mentah yang melibatkan modal. Jika harga barang mentah naik contoh ayam, cili, minyak masak dan lain-lain maka kita pasti alami susut nilai dalam harga tetap kita selama ini.
Contoh sebekas Nasi Briyani Ayam biasa kita jual RM12, tapi dengan kenaikan harga ayam, untung kita dah ditarik kat ayam…dah jadi kurang sikit dari yang sepatutnya. Tapi itu risiko yang harus kita tanggung melainkan pelanggan memahami bila kita terpaksa up kan harga atas faktor-faktor semasa.
Tapi tak semua yang mahu faham. Ikut pengalaman saya, ramai yang nak portion besar, rasa tiptop, yang mengenyangkan tapi ciput jer pulangan untuk kita. Saya akui pada peringkat awal saya berniaga lebih 35 tahun dulu, pendapatan saya waktu itu adalah cuma keringat, penat dan airmata. Saya takut dengan cakap-cakap orang yang sebenarnya saya takut dengan bayang-bayang saya sendiri. Saya harus berani keluar dari kepompong “nanti apa orang kata”.
Perlu Didik Mentaliti Pelanggan
Bagi saya secara peribadi, customers ni perlu dididik mentaliti mereka kerana kita juga adalah customer kepada yang lain. Jangan asyik nak murah dan nak “harga kawan” je sampai keluar semua hadith dan ayat Quran. Itu salah guna namanya.
Bagi saya kalau nak makan free, cakap je. Saya boleh belanja. Tapi berniaga adalah berniaga. Dalam perniagaan friend is friend, business is business. Tapi macam yang saya katakan di awal tadi, ketepikan dulu soal nak bersedekah ker apa amal jariah ker apa lah.Itu boleh diuruskan dalam cara lain.
Pengalaman Hadapi Pelanggan Ambil Kesempatan
Nak kongsi satu dari beratus pengalaman saya. Seorang pelanggan yang bukan dari kalangan ‘sengkek’ sering nak ambil kesempatan ke atas saya sampai diam-diam saya blacklist kan dia dari hidup saya. Jenis tak reti nak tau apa erti qanaah dan timbang rasa. Maaf padahal aktif dalam kerja-kerja kebajikan atas nama lslam.
Suatu hari dia merayu-rayu sangat nak saya masak jugak untuk satu majlis kat rumah dia. Walapun masa tu saya free goyang kaki tapi saya cakap saya busy. Bila dia dah merayu-rayu konon masakan saya sedap la itu la ini la, saya pun bagi jer resepi saya percuma, biar la dia masak sendiri. Sebab kalau saya masak nnti dikatakan mahal kan. Saya list kan bahan-bahan yang perlu dia beli dan semua step by step cara-cara masak.
Dua hari selepas majlis selesai, dia call saya…”tobat lahum dia”…
“Akak, saya dah kira-kira semua, saya jimat 2-3 ringgit je. Lebih baik saya amik dengan akak. Mana nak kemas dapur yang berkecah lagi, serik la saya kak..”
Saya diam je. Tapi hati saya bersorak. “Baru kau tau? Kau ingat ayam-ayam, ikan-ikan tu datang melenggang ke rumah kau dah siap mandi dan berlumur garam kunyit ker?
Kau ingat kau boleh goreng ayam dengan cedok minyak dalam longkang ker? Tu bawang, halia, serai, lengkuas dan lain-lain tu kau boleh kutip free tepi jalan ke?
Pastu nak cari benda-benda tu semua, tangki kereta kau boleh isi oxygen jer ker? Nak cuci mencuci boleh tadah embun ker? Nak kisar mengisar boleh main tepuk dinding terus bahan lumat ker? Lepas masak dinding dapur, lantai boleh auto berkilat ker?
Tu lom citer periuk belanga lagi…
Susah ooo belajar pandai-pandai jawatan tinggi-tinggi tapi akal dan kemanusiaan melorot kat tapak kaki…”
Jarang ada customer yang nak fikir bahawa lebihan nasi dan lauk yang kita usung sekali kat umah dia tu, kita tak kira. Kira sedekah jer.
Apapun itu segelintir dari pahit manis seorang caterer. Ramai lagi customer saya yang berhemah dan baik budi especially di kalangan kayangan. Ada yang langsung tak pernah tanya harga. Mereka bayar dengan ikhlas tapi kita sebagai peniaga wajib beri yang terbaik untuk mereka. No hanky panky.
Ikut Bajet Yang Ada
Kalau ikutkan dasar, harga modal mesti di kali dengan tiga. Modal tu termasuk air, api, gas, tenaga pekerja dan apparatus. Tapi untuk memudahkan urusan orang yang memerlukan kita, masih ada ruang untuk berbincang. Sebaiknya kita ikut bajet yang mereka ada. Kalau kemampuan mereka kurang, kita guna bahan yang bukan premium namun kualiti masakan dan makanan tetap dijaga. Perikemanusiaan jangan diketepikan demi meraih untung.
Untung dan barakah dalam perniagaan adalah dua perkara yan berbeza. Untung boleh habis tapi barakah boleh dinikmati sepanjang keturunan kita.Pendek kata dalam berniaga perlu ada akad supaya yang menjual merasa ikhlas dengan harga diberi dan yang membeli pun rasa ikhlas dengan harga yang dibayar.Di situ la keberkatan akan diperolehi.
Jangan asyik nak harap orang bersedekah. Sedekah tetap ada ruang yang khusus untuknya. Kena fikir selain dari modal, mereka hilang nikmat tidur dan masa. Ini saya maksudkan dengan peniaga-peniaga kecil macam saya.
Semoga bermanfaat!
Baca Lagi Di Sini:
“Daripada Membeli Makanan, Baik Masak Sendiri, Jimat.” Ingat Orang Berniaga Juga Mencari Rezeki!
“Apa Salah Saya Jual Nasi Arab? Saya Ikhlas Berniaga Kerana Allah” Mila Jirin
Mingguan Wanita: Memang ada benarnya, sebagai pembeli atau pelanggan sebaiknya jangan hanya minta murah dan ‘harga kawan’ sahaja. Fikirkan juga usaha, keringat, untung dan modal yang dikeluarkan oleh peniaga. Peniaga ikhlas menjual dan pelanggan ikhlas dengan harga dibayar, barulah datangnya keberkatan.
Sumber: Mamamemey Airish
SERTAI & DAFTAR SEKARANG KURSUS KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Jahit Baju Kurung Pesak : https://toko.ideaktiv.com/product/jom-jahit-baju-kurung-buat-duit-jahit-di-rumah/
Cookies Viral : https://toko.ideaktiv.com/product/cookies-viral-buat-sampai-jadi/
Kuih Frozen : https://toko.ideaktiv.com/product/aneka-kuih-frozen/
Roti & Bun : https://toko.ideaktiv.com/product/asas-bakeri/
Untuk pertanyaan hubungi : 019632875
Mingguan Wanita boleh diikuti di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Telegram Bangkit Wanita: https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Yana Samsudin Selamat Bersalin, Kongsi Alami Tekanan Darah Tinggi & Suami Hadiahkan Pakej Berpantang

Yana Samsudin Selamat Bersalin. Tahniah diucapkan buat pelakon dan juga pempengaruh media sosial Yana Samsudin dan suami Fadzil Zahari yang telah menimang cahaya mata ketiga.
Seperti mana perkongsian di akaun Instagramnya, Yana juga berasa sangat terharu apabila menerima hadiah istimewa daripada suaminya, Fadzil Zahari berupa pakej berpantang di sebuah pusat penjagaan ibu bersalin.
Yana Samsudin Selamat Bersalin
Yana yang melahirkan bayi lelaki secara pembedahan itu mengakui terkejut apabila insan kesayangan terus membawanya ke pusat berkenaan sebaik keluar hospital.
Selain bersyukur kerana suami sangat memahami, Yana juga turut berkongsi punca serangan darah tinggi yang dialami.
“Alhamdulillah syukur 🤲🏻🤲🏻🤲🏻 akhirnya… baby boy selamat dilahirkan 🤲🏻, lepas hormon dah kacau bilau sebelum nih 🥹 Allahu…
“Lepas 4 hari kat hospital itu hari BP masih tak stabil dari 140 sampai ke 170😱
“Suami decide nak minta keluar juga dari hospital lepas bersalin..walau BP tinggi
“Semua group kerja yana, bisnes dan belajar , suami dah archive & mute notification, taknak yana tengok.. suami nak yana betul betul berehat.
“Alhamdulillah hari ke 5 doktor bagi yana keluar dari hospital..
“Masa masuk dalam kereta yana cakap baju baby tak beli lagi, baru ada 2 set. Tu pun mana yang sempat dia lari beli masa lepas bersalin, kat kedai baby bersekitaran hospital.
“Yana pun baru teringat nak beli pad & kelengkapan ibu bersalin semua. Dia cakap tak payah beli semua tu .. aik ? Pelik kiter…
“Rupanya suami buat surprise ! 🥺 dia bawak yana ke @klcpostnatalcare … 🥰
“Tak terfikir yana akan berpantang di sini… waaaaaaaa!!!
Suami Nak Yana Selesa & Dipantau Jururawat
“Sebab kat rumah dia dah siap buat bilik & beli katil baru untuk yana berpantang di tingkat bawah… tak bagi kiter naik tangga berpantang di tingkat atas.. susah nak monitor katanya.
“Apa alasan dia hantar kat sini, sebab dia nak ubah enviroment yana, dari view hospital, nak yana selesa macam lepak rumah santai tengok movie jer.. ada nurse jaga 24 jam untuk mommy & baby…. 🥹😍 makan pakai semua ready… takyah fikir apa2
“Waaaaaaaaaaaaaaaa
“Terharu lagi… syukur sangat saya rasa… Ya Allah…
“Kiter senyum je sepanjang perjalanan nak sampai ke confinement centre.. tak dapat bayang kan macam mana nanti.. sebab suami kata datang je sehelai sepinggang…
“Terima Kasih #EnKetuaRumah … ingatkan dah kurang sayang i dah…🥹
“Kiter tanya kenapa tak peluk yana masa saya marah sangat malam tu, dia cakap #KakYong garang sangat, nanti dia pun kena marah sekali.
“Tapi yana dah minta maaf dah sebelum bersalin masa tu.
“Kiter bukan materialistik, yana juga manusia biasa… ada perasaan dan ada ketika yana tak perasan sensitif tiba-tiba…
“Suami cakap duduk je KLC ni rehat, tak sangka dari BP 140 lebih kena makan ubat darah tinggi boleh improve ke normal, syukur sangat, rezeki dari Allah,” luah Yana.
Baca Disini : “Merajuk Jangan Biar Lama-Lama, CEPAT LAH PELUK PASANGAN” 8 Tip Rumahtangga Kekal Harmoni Amalan Yana Samsudin
Sumber Foto Kredit : Instagram Yana Samsudin
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Ain Edruce dikecam terlampau kasar dengan suami? Betul atau hanya sekadar gurauan dalam hubungan?
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI