Pasangan “Sugu Pavitra” yang dikenali ramai menerusi video masakan yang bersahaja, serba sederhana dan menggunakan bahasa Melayu dikatakan pasangan yang harus dijadikan contoh atau ikon dalam masyarakat.

Namun begitu, pasangan ini merasakan diri mereka belum layak digelar ikon. Sugu Pavitra juga seperti pasangan “biasa”yang lain. Mereka bukanlah pasangan yang sempurna dan masih banyak perlu belajar.

Hargai Pujian Masyarakat

Walaupun begitu, pasangan pengguna YouTube sensasi ‘Sugu Pavithra’ menghargai pujian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap mereka, sehingga ada yang melabelkan mereka sebagai duta perpaduan.

Malah, tidak kurang juga menyifatkan suami isteri itu wajar dijadikan ikon masyarakat.

Ini kerana, video masakan mereka yang dimuat naik di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ dengan menggunakan Bahasa Melayu, diikuti rakyat pelbagai kaum daripada segenap lapisan umur termasuk pelanggan dari luar negara.

Bagaimanapun, S Pavithra, 28, dan suaminya M Sugu, 29, yang baharu berjinak-jinak sebagai pengguna YouTube pada akhir Januari lalu berasakan mereka belum layak untuk diangkat sebagai duta perpaduan atau ikon tertentu termasuk masakan.

Bukanlah Pasangan Sempurna & Tak Layak

IKLAN

Pavithra, ibu kepada dua anak berumur dua dan enam tahun yang fasih berbahasa Melayu juga menjelaskan, mereka bukanlah pasangan yang sempurna dan masih ‘mentah’ sebagai pengguna YouTube.

“Kami hanya rakyat biasa sahaja, nak jadikan ikon itu sesuatu benda yang besar bagi kami, sesuaikah untuk kami?

“Kami belum layak kerana untuk jadi ikon kena sempurna, tiada yang sempurna dekat kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pengikut Anggap Mereka Layak

Ramai pengikut saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ menyatakan pasangan itu layak dijadikan duta perpaduan kerana berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum dalam saluran mereka dan melontarkan pesanan positif.

IKLAN

Semakan Bernama juga mendapati, terdapat pengikut di luar negara yang turut meninggalkan komen positif antaranya berkongsi klip masakan dengan rakan lain serta memuji kelembutan Pavithra dalam mengendalikan video.

Pavithra turut berkongsi berita gembira menerima pendapatan bulan ketiga daripada YouTube dengan jumlah agak lumayan.

Katanya, wang itu akan digunakan sebaik mungkin kerana suaminya sudah berhenti kerja dengan sebuah syarikat perladangan di Sungai Siput, pada minggu lalu.

Nekad Lakukan Lebih Banyak Video Kerana Hilang Kerja

IKLAN

Positif terhadap apa yang berlaku, Pavithra berkata, dia dan suami nekad untuk terus menghasilkan klip video masakan yang menarik selain mencari idea lain untuk dikongsikan dengan pengikut yang ada.

“Sekarang suami tidak bekerja dan apa yang berlaku tidak dijangka (mempunyai ramai pengikut), pendapatan pun ok, maka kami nak fokus sebagai pengguna YouTube,” katanya yang turut berazam untuk memiliki rumah sendiri satu hari nanti.

Sementara itu, Sugu berkata, dia memilih untuk berhenti kerja atas dasar tanggungjawab kerana tidak mahu kerja hakikinya sebagai pekerja ladang terganggu disebabkan memberi tumpuan sebagai pengguna YouTube.

“Sebelum ini, kerap ambil cuti sebab bila ramai datang rumah saya kena tolong isteri jaga anak yang masih kecil.

“Jadi sekarang kami mahu fokus buat video menarik supaya dapat tingkatkan lagi pelanggan dan dapat gaji lebih,” katanya.

MW: Semoga pasangan Sugu Pavitra terus menghasilkan video masakan yang menarik dan menjadi inspirasi kepada pasangan lain untuk bekerjasama di dapur.

Sumber: Bernama

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI