Suami Sanggup Ceraikan Isteri 10 Tahun Kahwin, Alasan Taat Pada Ibunya!

“Suami saya cakap, dia perlu ceraikan saya sebab tak mahu jadi anak derhaka.” – aduan daripada seorang wanita yang berkahwin hampir 10 tahun dengan tiga anak tetapi tidak diterima ibu mentua gara-gara ibu mentua punyai pilihan hati sendiri.

Terkini, pilihan hati si ibu mentua kembali sendiri selepas kematian suami dan si ibu mentua memaksa si anak menceraikan isterinya untuk dia uruskan perkahwinan dengan si balu pilihannya.

Ikuti Perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap di dalam majalah Mingguan Wanita. FB: https://www.facebook.com/suzana.ghazali.94

Suami Tetap Kena Taat Pada Ibunya

Seperti yang kita sedia maklum, syurga seorang anak, khususnya anak lelaki (kerana anak perempuan tertakluk kepada ketaatan kepada suami) adalah terletak di bawah tapak kaki ibu, bermula daripada kelahirannya hinggalah tika menghembuskan nafas yang terakhir.

Dalam erti kata mudah, ibu adalah segala-galanya. Seorang anak lelaki perlu mengutamakan kehendak dan kemahuan seorang ibu berbanding kehendak seorang isteri dan anak-anaknya dengan syarat permintaan si ibu tidak menyalahi kehendak syarak dan syariat. Namun, jika seorang ibu menyatakan kehendak yang boleh menyalahi kehendak syariat maka si anak tidak wajib melaksanakannya.

 

Suami Sanggup Ceraikan Isteri 10 Tahun Kahwin, Alasan Taat Pada Ibunya!

IKLAN

Patuh Syariat Atau Nafsu?

Persoalannya, apakah kehendak si ibu yang menyalahi kehendak syariat? Dalam kes awal tadi, ibu menyuruh suami menceraikan isteri yang masih dicintai dan telah mempunyai anak-anak atas sebab ibu mahu pilihan hatinya menjadi menantunya juga.  Wajarkah kehendak tersebut?

Perceraian yang dibenarkan di dalam syariat perlu dengan alasan yang munasabah. Munasabah yang diambil kira ialah perkahwinan tersebut memberikan kemudaratan kepada pihak-pihak terlibat iaitu isteri dan suami. Jika semata-mata mengikutkan kehendak ibu bapa yang mempunyai pilihan sendiri, haram jika suami menceraikan isterinya.

Biar Wajar Dan Munasabah

Kalau tak ikut, tak jadi derhakakah? Perlu difahami, bukan semua kehendak ibu bapa perlu dipenuhi. Kegagalan mentaati perintah ibu bapa atas sebab yang wajar dan munasabah mengikut syariat, tidak meletakkan si anak sebagai derhaka.

Hanya Allah yang berhak memberikan status derhaka atau sebaliknya kerana ketaatan yang paling utama adalah kepada Allah. Ya, redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa tapi masih juga tertakluk sikap ibu bapa yang bagai  mana?

Sebagai suami, anda wajib melayan isteri dan anak-anak dengan baik. Sama juga dengan isu kewangan. Rata-rata kes yang saya terima adalah berkaitan kegagalan suami menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga seorang ayah kerana mengikut kehendak ibu, bapa dan adik-beradik sendiri.

IKLAN

Secara logiknya, kes-kes seperti ini tidak wajar berlaku jika setiap anak lelaki dan setiap ibu bapa serta sanak saudara lainnya mengetahui had dan batasan kewajipan dan hak-hak mereka.

Hak

Kewajipan adalah tanggungjawab yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperoleh apabila seseorang menjalankan kewajipannya. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak.

Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tambahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumah tangga. Kewajipan seorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu barulah berkewajipan menunaikan hak seorang ibu.

Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka.

IKLAN

Bererti, walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumah tangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini mempunyai keutamaan untuk menunaikan hak-hak isterinya dan anak-anaknya terlebih dahulu berbanding hak ibu bapanya atau adik beradiknya yang lain. Perlu diingat juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan keperluan sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau.

Masing-Masing Ada Hak Yang Perlu Ditoleransi

Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Hak seseorang juga adalah terbatas tertakluk kepada kepentingan dan keutamaan kewajipan seseorang. Lantas, jalan terbaik ialah bersikap bersedia menerima kesederhanaan, sanggup berkongsi dan bertoleransi.

Kepada para isteri, ingatlah: suami anda adalah anak kepada seorang wanita, juga seperti anda yang akan menjadi mentua kepada seorang wanita lain bila tiba masanya nanti. Kepada para ibu, ingatlah: anak lelaki anda adalah suami kepada seorang wanita yang juga mempunyai hak sebagai seorang isteri sama seperti anda. Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insya-Allah.

https://www.mingguanwanita.my/cabaran-suami-isteri-akhir-zaman-rumahtangga-akan-diuji-sehebat-hebat-ujian/

https://www.mingguanwanita.my/suami-isteri-kena-jadikan-teladan-cara-rasulullah-ketika-bergaduh-dengan-isteri/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI