Isteri adalah punca rezeki dalam keluarga, jadi dahulukan isteri. Jangan sesekali seorang suami menganggap isterinya sebagai beban. Jika merasakan isteri sebagai beban, maka menjadi bebanlah dalam hidup rumah tangga.
Tetapi jika sebaliknya dan menganggap isteri sebagai asbab rezeki dan kekayaan, maka secara tidak langsung ia akan menjadi penarik rezeki.
Ikuti perkongsian Hafizul Hakim ini dan fahami sebaiknya.
“Kalau kau rasa isteri itu beban, maka ia akan jadi beban dalam hidup. Tapi kalau kau anggap isteri sumber asbab rezeki, ia akan jadi ‘magnet rezeki’.”
Nak rezeki sentiasa datang, dahulukan isteri lebih dari orang lain. Sebab bidadari kita tak pernah berhenti mendoakan dan dia adalah punca rezeki dalam rumah tangga.
Isteri Bukan Beban, Bahagiakan Hatinya
Jantung sebuah rumah adalah seorang isteri. Jika hatinya tak bahagia, maka seisi rumah akan kena tempias nampak tak bermaya. Maka para suami, sayangi isterimu agar di sentiasa gembira dan berdoa untuk kita.
Kata Ustaz Ebit Lew,
“Syukur pada Allah pemberi rezeki. Tiada yang boleh beri sesuatu melainkan Allah. Terima kasih Allah.
Belanja atas isteri dan keluarga sedekah paling besar nilainya. Nafkah wajib. Apa yang kita suka untuk diri, itu juga yang kita kongsikan dengan isteri.”
Buat isteri gembira, rezeki datang. Buatkan isteri rasa dihargai, rezeki melimpah. Sentiasa buat isteri seronok, rezeki datang tak disangka.
Kawan-kawan, Jika terasa rezeki sempit, usah risau. Perbaiki hubungan dengan isteri dulu. Check mana yang terkurang. Gembirakan hatinya. Insyallah, awak akan lihat rezeki datang dalam bermacam bentuk rupa.
“A successful marriage requires falling in love many times, always with the same person.”
Mak mentua dan menantu perempuan sering kali dilanda pelbagai konflik. Kadangkala ia berpunca daripada hal yang kecil saja. Namun ia boleh jadi besar bila masing-masing saling memendam. Lebih teruk bila masing-masing tak nak mengalah dan berlapang dada.
Dua kes berbeza dengan fakta sama – memasak untuk suami. Dalam kes pertama, si suami berhasrat untuk berkahwin lagi kerana merasakan diri tidak dilayan oleh si isteri. Dalam kes kedua pula, si isteri resah bila merasakan diri tidak berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab yang perlu buat si suami kerana dilarang oleh ibu mertua sendiri.
Realitinya, perkahwinan bukan saja menukar status seseorang dari bujang kepada beristeri atau bersuami sebaliknya juga menukar dan mengubah harapan dan juga kehendak.
Dalam kebanyakan kes, setelah seorang lelaki berkahwin, segala perkara berkaitan dirinya seperti penyediaan makan minum, penjagaan tika sakit, penyediaan pakaian malah apa saja kehendak dan kemahuannya sememangnya mahukan agar dilaksanakan oleh isterinya sendiri.
Malah memang itu juga fitrahnya hubungan antara suami dan isteri yang diamalkan sejak dulu malah dicadangkan oleh syariat. Ulama menjelaskan, jika seorang isteri menyediakan air untuk si suami dengan erti kata memberi khidmat buat si suami dengan melayan suami dengan baik, maka si isteri akan diberikan pahala.
Tika ini, ibu tidak lagi memegang peranan untuk menyediakan segala keperluan tersebut. Isteri yang dipertanggungjawab oleh syariat untuk menjaga kebajikan si suami merangkumi segala perkara yang telah saya sebutkan tadi.
Dalam kebanyakan kes juga, isteri selalunya faham dan bersedia untuk memberikan yang terbaik buat suami. Ibu juga, tidak dinafikan sememangnya selalu berusaha untuk berikan yang terbaik buat si anak, biarpun anaknya telah dewasa dan berkahwin. Namun, perlu fahami peranan anda yang tersendiri.
Isteri; punyai peranan tersendiri – menjaga kebajikan suami termasuk menyediakan makan minum suami jika suami telah menyediakan asas kepada penyediaan makan minum tersebut. Isteri juga bertanggungjawab menjaga suami ketika suami sakit, sepertimana Rahmah, isteri Nabi Ayub menjaga baginda tika sakit tenat. Ibu; juga punya peranan yang tersendiri – menjaga kebaikan anak bermula si anak lahir kemudian dewasa dan ter’pause’ sebentar selepas si anak berkahwin.
Boleh nak mengambil berat mengenai kebajikan si anak tetapi jangan sampai mengganggu atau mengambil alih peranan dan tugas serta tanggungjawab seorang ibu.
Tapi ibu sayangkan anak! Jangan lupa, isteri pun sayangkan suaminya! Lantas andai sama-sama sayang, jangan jadikan orang yang anda sayang berada dalam keadaan tertekan dan serba salah. Perlu difahami! Keutamaan ketaatan anak lelaki tidak pernah berubah; kekal kepada ibunya. Biarpun begitu, anak lelaki yang berkahwin mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri juga kepada isteri dan anak-anaknya.
Jika benar sayangkan anak lelaki anda; bantu anak lelaki anda untuk menjadi seorang suami yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya. Jangan salah guna kuasa anda sebagai ibu hingga jadikan anak lelaki anda seorang suami yang gagal melaksanakan peranannya dan menerima azab atas kegagalan tersebut di akhirat nanti.
Menantu anda juga mempunyai hak ke atas anak anda! Jangan rampas hak tersebut! Belajarlah berlapang dada menerima ketentuan-Nya, anak anda telah beristeri dan anda perlu melepaskannya ke tangan isterinya pula!
Berdoa agar perkahwinan anak anda kekal bahagia hingga ke akhirat dan anak anda kekal menjadi anak anda yang soleh! InsyaAllah! Anda akan menerima seorang lagi anak solehah!!
Khusus buat isteri yang liat nak ke dapur, nak sediakan makan minum untuk suami – dengan syarat si suami laksanakan tanggungjawab sediakan keperluan yang sewajarnya, berwaspadalah! Jangan sampai menyesal belakang hari. Kata orang tua kita, air tangan itu mampu menjalin kasih. Gunakan lah anugerah percuma dari Yang Esa untuk lebih menambat cinta suami kepada anda ya…
Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap mak ayah pastinya inginkan yang terbaik dan ada cara tersendiri dalam membesarkan anak-anak. Namun membanding-bandingkan cara membesarkan dan menjaga anak-anak ini ada kalanya menyebabkan rasa kurang senang pada orang lain. Lebih-lebih lagi apabila merasakan cara mereka jaga anak sendiri itu ‘lebih baik’ atau paling ‘betul’ berbanding cara orang lain.
Tindakan segelintir netizen di laman sosial memberikan cadangan dan teguran mengenai cara penjagaan anak mengundang rasa kurang senang buat pelakon Nina Iskandar,28.
Dalam hal ini, pelakon yang berasal dari Brunei ini berkata dia dan suami mempunyai cara tersendiri dalam membesarkan dan menjaga bayi mereka iaitu Muhammad Aaryan ar-Rizqin yang kini berusia tujuh bulan. Perkara tersebut diluahkan dalam salah satu posting Instagramnya dalam catatan bahasa Inggeris.
“Jangan ajar saya macam mana nak besarkan anak saya, awak ada cara awak dan saya juga ada cara sendiri.
“Jika satu hari nanti saya mahukan pendapat anda, saya akan tanya. Sekarang ini biarlah Rizqin makan apa sahaja dia mahu, buat apa sahaja dia mahu.
“Lagipun dia anak saya, awak jaga awak punya okay… sila hadam mak-mak!,” katanya menerusi Instagram.
Terdahulu sebelum ini Nina ada memuat naik video pengalaman pertama memberikan makanan jenis pepejal kepada anak lelakinya. Bagaimanapun, ada pengikut menegur makanan yang diberikan oleh Nina itu tidak sesuai untuk bayi di bawah usia setahun. Luahan Nina itu menerima pelbagai komen daripada pengikut dan rata-ratanya bersetuju dengan pandangan pelakon drama Setelah Cinta Itu Pergi ini.
Nina dan Mohd Azlan Adzanan mendirikan rumah tangga pada April 2019 dan dikurniakan cahaya mata sulung pada 23 Disember tahun lalu.
MW: Ada benarnya, setiap mak ayah pasti ada cara tersendiri dalam menjaga dan membesarkan anak-anak. Masing-masing pasti inginkan yang terbaik dalam mendidik mereka. Anak kita, cara kita. Kita sahaja yang lebih tahu.Tak perlu sibukkan anak orang lain, jaga anak sendiri.
Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seronok tengok video menantu sediakan sarapan untuk mentuanya, beruntung mentuanya! Terbukti wujud hubungan baik dalam keluarga ini dan selayaknya dijadikan inspirasi