Selalunya apabila suami meninggal dunia, isteri dan anak-anaknya akan pulang ke kampung mereka dan tinggal bersama ibu dan ayahnya. Perkara ini telah menjadi budaya dalam masyarakat kita.

Isteri yang kehilangan suaminya ditinggalkan terkontang-kanting bersama anaknya. Pada hal selama ini menantu dan cucu ditatang kini bila anak tiada, menantu dibiarkan hidup merempat. Segalanya berubah sekelip mata.

Sebaiknya, setelah seorang isteri kehilangan isteri, menjadi tanggungjawab keluarga mertua untuk menjaga kebajikan dia dan anak-anaknya. Sebagai manusia jangan kita terlalu mengikut budaya hingga meletakkan jatuh nombor dua.

Sebenarnya hukum faraid adalah sebaik-baik ketetapan Allah, yang zalim adalah angkara hati manusia yang tamak.

Ikuti perkongsian, Anita Mat Daud :

Heboh kisah faraid sehari dua ni.

Saya terpanggil berkongsi pengalaman ini setelah adik lelaki saya meninggal dunia hampir 4 minggu lepas.

Sungguh kita tak peduli sangat bab faraid kecuali bila berlaku kematian.

Adik ipar sendiri tak sangka dalam usia muda akan melalui proses faraid setelah suaminya meninggal akibat kemalangan.

Kematian mengejut, tak sempat nak tinggal pesan dan wasiat.

IKLAN

Arwah adik meninggalkan adik ipar yang sedang mengandung anak ke 3, dan 2 orang anak-anak yang masih kecil.

Juga meninggalkan mak dan abah yang sedang meniti usia tua dan kami 6 beradik yang sangat menyayanginya.

Tak sanggup biarkan adik ipar menanggung duka lara bersendirian bersama kandungannya dan anak-anak yang masih kecil, kami adik beradik sepakat bawa mereka tinggal dengan mak dan abah.

Bawa Adik Ipar Tinggal Bersama

Ada yang bertanya kenapa adik ipar tak balik tinggal dengan mak ayah kandung, sebaliknya tinggal bersama mak abah saya, iaitu keluarga mertua.

Itu yang kita kena betulkan, dah jadi kebiasaan dan seakan budaya, bila suami meninggal dunia, anak isteri dibiar terkapai-kapai mencari arah tujuan sendiri.

Sudahlah kehilangan tempat bergantung dan berkasih sayang, hilang pendapatan dan ada yang hilang harta benda akibat direbut waris lelaki yang mendakwa berhak ke atas harta arwah suami.

IKLAN

Ada yang lebih sedih, kereta, rumah, termasuk kelengkapan rumah, peti ais, TV, telefon, jam dan kasut pun dituntut untuk dibuat faraid.

Kononnya untuk berlaku adil tapi hakikatnya sedang menafikan hak anak yatim dan balu yang dalam kesusahan.

Ditatang Sampai Bila-bila

Jika di waktu suami ada hidup senang lenang, ditatang molek oleh keluarga mertua, berubah sekelip mata bila kematian suami hingga terpaksa hidup merempat.

Islam itu adil dan indah. Hukum faraid adalah sebaik-baik ketetapan yang Allah janjikan.

Yang zalim itu angkara busuk hati manusia yang tamak dan gelap mata bertuhankan duit.

Kebajikan isteri dan anak-anak arwah adalah tanggungjawab waris keluarga belah lelaki.

Jaga kebajikan mereka bukan setakat makan pakai dan tempat tinggal, malahan emosi dan perasaan mereka yang rapuh juga perlu di santuni.

Anak Yatim Yang Perlu Disayangi

Mereka adalah kesayangan kami, setiap kali memandang wajah suci anak-anak arwah adik, saya teringatkan wajah arwah adik masa kecil.

IKLAN

Setiap kali memeluk anak-anaknya bagaikan memeluk adik waktu kecil dulu.

Begitu juga mak abah, tak pernah berkurang kasih sayang malahan bertambah dalam kasih sayang , belas pada mereka, anak yatim yang mengalir darah yang sama di dalam tubuh mereka.

Berbalik kepada peristiwa begini, takutlah kita kepada Allah.

Jangan dibuat main harta anak yatim. Tak tertanggung azabnya di akhirat kelak.

Bab harta boleh berantakan adik beradik, putus saudara dan hilang kasih sayang.

Berpeganglah pada tali Allah, InsyaAllah menemui jalan bahagia.
.
.
Sayang hingga hujung nyawa
21.02.2020

 

Sumber: Anita Mat Daud

MW:   Ingatlah Islam itu Indah, janganlah hanya dek kerana harta yang sedikit hubungan yang dahulunya baik menjadi kucar-kacir. Biarpun dia hanyalah adik atau kakak ipar, hormatilah dia yang pernah berkongsi hidup dengan adik-beradik kita. Jangan sesekali menafikan hak dia dan anak-anaknya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI