Status Agama Dua Beradik Lemas Belum Dikenalpasti – Suspek Dakwa Sudah Diislamkan Di Kelantan Tapi…Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersedia menguruskan jenazah dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke Sungai Linggi, Tanjung Agas, Khamis lalu, namun perkara itu bergantung kepada pengesahan status agama mangsa.
Status Agama Dua Beradik Lemas Belum Dikenalpasti
Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah memaklumkan pihaknya menerima permintaan daripada polis untuk membuat semakan kerana nama pada dokumen rasmi mangsa menunjukkan identiti berbangsa Cina.
Suspek Dakwa Sudah Diislamkan Di Kelantan Tapi…
Menurut beliau, bapa kepada kanak-kanak tersebut mendakwa mereka telah memeluk Islam di Kelantan, namun semakan bersama Jabatan Agama Islam Kelantan serta rekod dalaman JHEAINS tidak menemui sebarang catatan pengislaman mereka.
“Setakat ini, kita hanya bergantung pada pengakuan bapa mangsa. Kita minta beliau membuat kenyataan bertulis kepada pihak polis untuk dijadikan asas tindakan. Selepas mendapat pengesahan rasmi daripada polis, barulah urusan pengkebumian boleh dilaksanakan,” jelasnya.
Ads
Tambahnya lagi, pihak ibu kandung mangsa yang difahamkan berlainan agama juga diminta membuat laporan polis bagi menguatkan pengesahan berhubung status kedua-dua anak tersebut.
“Dokumen laporan polis itu akan menjadi rujukan utama bagi membolehkan JHEAINS menguruskan jenazah mengikut syariat Islam,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa ketika proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Port Dickson, tiada ahli keluarga atau waris tampil menguruskan jenazah berkenaan, malah suasana di lokasi kelihatan sunyi kecuali kehadiran beberapa pengamal media.
Alumni UPSI tak sempat hantar adik daftar pengajian, meninggal dunia dalam perjalanan. Hasrat seorang abang menghantar adik perempuannya mendaftar pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim bertukar tragedi apabila meninggal dunia secara mengejut semasa dalam perjalanan.
UPSI memaklumkan Nik Mohamad Syahrul Azzim Nik Yusoff, 29, yang sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Tanjong Malim, tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri ketika kereta dipandunya tiba di Plaza Tol Sungai Besi kira-kira jam 6.30 pagi.
“Dalam keadaan cemas itu, adiknya Nik Nur Maisarah, 18, yang duduk di sebelah pemandu sempat menggenggam stereng bagi mengelakkan kenderaan mereka merempuh plaza tol.
“Walaupun terbabas, dia bersama seorang lagi kakak yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat tanpa sebarang kecederaan,” menurut UPSI dalam kenyataan hari ini.
Nik Mohamad Syahrul yang juga alumni universiti pendidikan itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Serdang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah mati mengejut tanpa tanda awal penyakit.
Jenazah telah dibawa pulang ke Seremban dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest High, disaksikan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan lama.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak universiti amat duka cita dengan kejadian itu.
“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham dan pihak UPSI bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah kebajikan dan sokongan emosi mahasiswa juga menjadi keutamaan kami, lebih-lebih lagi dalam situasi kehilangan seperti ini.
“Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh warga UPSI yang melihat Allahyarham sebagai alumni cemerlang,” katanya.
Peguam dedah ibu berhabis RM40k anak jadi mangsa kad pengenalan disalah guna buka syarikat, niat cari kerja berakhir ke penjara. Sindiket kerja palsu kini dikesan mengubah taktik dengan menjadikan anak-anak muda yang sedang mencari pekerjaan sebagai mangsa meraih kekayaan dengan kejam.
Mereka menawarkan pekerjaan kepada anak muda dan kemudian meminta kad pengenalan untuk membuka bank bagi pembayaran gaji.
Ironinya, kad pengenalan ini disalah guna untuk membuka syarikat yang terlibat dengan urus niaga haram. Namun bila pihak berkuasa polis membuat serbuan, anak muda ini terpaksa menanggung semua kesalahan termasuk ke penjara sementara scammer terlepas kerana tiada sebarang bukti.
Hal ini didedahkan seorang peguam, Nora Bahari di threadnya di mana dirinya bertemu beberapa mangsa di mahkamah ketika urusan kerja. Jelasnya, semakin ramai anak muda diperdaya oleh scammer dan ada antara kes mereka ini dituduh di bawah undang-undang berat termasuk Seksyen 424C Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Bismillah. It takes me some time to write this. Saya tahu mungkin suara saya tak mampu nak bantu mangsa-mangsa kat luar tapi saya harap kita dapat jaga sesama kita. Kebelakangan ini, saya nampak ramai anak-anak muda dibawa ke Mahkamah dan dituduh di bawah pertuduhan keldai akaun/muled akaun.
“Kali ini modus operandi scammer telah berubah yang mana mereka menggunakan anak-anak muda yang mencari kerja dan dengan secara salah menggunakan nama anak-anak muda tersebut dengan mendaftarkan nama mereka di dalam syarikat tanpa pengetahuan.
“Kemudian mereka perdaya anak-anak muda ini untuk buka akaun bank kononnya untuk akaun gaji. Tapi sebenarnya diperdayakan buka akaun bank bagi syarikat. Tiba-tiba beritahu, akaun tak boleh guna, gaji bayar secara cash,” katanya yang berkhidmat di Tetuan Adnan Rahim & Co.
Berkongsi kebenaran menakutkan ini, jelas peguam yang berpengalaman 12 tahun dalam dunia guaman, kebanyakan mangsa adalah anak-anak muda yang naif, kurang pendidikan dan terdesak untuk mencari kerja.
“Maka sebab mereka ini mudah percaya dan naif maka mereka turutkan saja apa yang “tauke” tu buat. Tapi sebaliknya yang terjadi tanpa pengetahuan mereka, akaun bank yang mereka buka tadi yang kononnya untuk gaji dan tak aktif tu telah diguna pakai oleh scammer untuk tujuan scam pelaburan. Banyak transaksi wang yang masuk ke dalam akaun tanpa mereka tahu pun.
Jelasnya lagi, dulu scammer menggunakan akaun individu tapi kini lebih terkehadapan menggunakan akaun syarikat.
“Ada antaranya muda lagi, sekitar 18 ke 25 tahun. Syarikat pun baru wujud beberapa bulan. Buat bisnes skim pelaburan. Ini sebahagian dari tanda-tanda red flag. Anak-anak muda ini tak tahu apa benda tentang syarikat pun. Tak dapat apa-apa manfaat tapi akhirnya ke penjara kerana dituduh sebagai scammer,” jelasnya memaklumkan, kes begini akan terus menular kerana untuk membuka syarikat hanya perlu mendaftarkannya secara dalam talian saja.
“Lebih mudah dan cepat tapi lebih banyak akan terpedaya. Sebabnya mereka ada nama penuh,kad pengenalan dan alamat semua. Semua maklumat ini adalah perangkap anak-anak muda. Jadi kena hati-hati.
“Ada anak muda yang ditangkap tak tahu aapa-apa tapi perlu road show satu Malaysia bila ada orang buat aduan atas akaun bank kita. Mereka terpinga-pinga bila disoal polis. Masih muda tapi disoal tentang scam pelaburan. Mereka tak tahu apa-apa,’katanya lagi.
Dalam pada itu, peguam ini turut berkongsi kisah seorang ibu yang berhabisan hampir RM40,000 demi menyelamatkan anaknya yang dituduh kerana syarikat palsu namun akhirnya terpaksa menerima hakikat tak mampu melawan scammer jahat begini.
“Ada lebih 30 laporan polis terhadap akaun tersebut di seluruh Malaysia. Kali ini si ibu tidak mampu lagi. Anaknya pasrah untuk di penjara walaupun dia tak pernah tahu langsung tentang syarikat yang kononnya dia miliki,” katanya.
Dalam memberi kesedaran kepada orang ramai bahaya scammer yang memperdaya anak muda, seorang individu berkongsi pengalaman pernah menolak pembukaan syarikat melibatkan individu berusia 19 tahun kerana berasa was-was.
“Ya Allahh. Sy ni CoSec. Baru je saya declined klien nak daftar syarikat SDN BHD guna ic beberapa orang yang berumur 19-20 tahun. Bila minta nak jumpa, dia cakap tak perlu. Just nak online saja. Takkanlah umur 19 dah jadi directorkan. I dah rasa lain & terus reject. Takut ic tu dicuri ke ape ke. Rupanya ada sindiket ye.
Semoga masyarakat lebih peka, ibu bapa lebih mengambil tahu, dan anak-anak muda lebih berhati-hati. Jangan sesekali serah dokumen peribadi sewenangnya. Ingat, tawaran kerja yang nampak indah boleh berakhir dengan gari di tangan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Raja Azura tuntut nafkah anak selepas 15 tahun bercerai. “minta bekas suami munculkan diri. Selepas mendiamkan diri selama 15 tahun tidak membuat tuntutan nafkah selepas perceraian, hari ini Raja Azura muncul di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam untuk memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah.
Jelasnya tindakannya berdiam diri sebelum ini bukan bermakna dirinya berdiam namun gerakan hati ini datangnya dari Allah taala.
“Alhamdulillah, mungkin ini gerak Allah. Saya rasa, hari ini adalah hari yang sangat sesuai,” katanya kepada media.
Mesra disapa Kak Engku, jelas pelakon dan pengacara ini dia meminta agar bekas suaminya, Adzmin untuk memunculkan diri selepas menghilang sejak 2010.
“Ini bagi memudah dan melancarkan urusan tuntutan nafkah ketiga-tiga anak saya. Sewaktu saya bekerja di Suria FM pun, saya pernah berikan bayangan kepada bekas suami. Waktu itu, topik yang dibincangkan adalah mengenai ‘provider’ (pemberi nafkah).
“Waktu itu, saya nak dia munculkan diri. Kalau tak nak jumpa saya pun, boleh berjumpa dengan pengurus saya. Dia boleh berhubung dengan pengurus saya. Tapi, tak ada sebarang maklum balas,” katanya memaklumkan sejak berpisah pada 2010, dirinya memang tidak pernah bertemu bekas suami atau berkomunikasi.
Masa yang sama, walau sudah berpisah lama, dirinya sentiasa mengingatkan anak-anaknya iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20 agar tidak membenci bapa mereka walau apa yang berlaku dalam rumah tangganya sebelum ini.
“Anak-anak tidak membenci bapa mereka kerana saya didik mereka supaya tidak membenci. Apa sahaja yang berlaku, jangan benci. Terima dengan ketentuan Allah SWT dengan baik. Terima dengan tenang.
Tambahnya Raja Azura lagi, dia menyeru bekas suami untuk memunculkan diri bukan untuk membuka aib sesiapa.
“Dalam hal ini, kita nak santai-santai dan berharap dia dapat muncul. Mungkin dia malu atau segan. Jangan. Saya tetap Raja Azura seperti yang dulu,” katanya.
“Jangan menghilangkan diri. Kalau dia dah berkahwin dan berkeluarga pun, beritahu. Sekurang-kurangnya, anak-anak tahu kalau mereka ada adik beradik lain,” katanya yang berkahwin pada 2001 dan berpisah sembilan tahun kemudian iaitu pada 2010. Sumber :- Harian Metro.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tarikh Raya 2026 mula menjadi perbualan hangat selepas satu perkongsian di media sosial mendakwa kemungkinan Syawal diumumkan lebih awal seperti yang pernah berlaku pada tahun 2022.