Informasi

Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO: Semak Jadual Caruman & Berapa Potongan Gaji Anda

Share

Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO kini menjadi antara topik yang hangat diperkatakan dalam kalangan pekerja sektor formal selepas kerajaan menguatkuasakan skim perlindungan baharu itu bermula 1 Jun 2026.

Melalui pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO, lebih sembilan juta pekerja di Malaysia kini menikmati perlindungan terhadap kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, termasuk ketika cuti umum, hari rehat atau menjalankan urusan peribadi.

Sebelum ini, perlindungan PERKESO hanya meliputi kemalangan yang berlaku semasa bekerja atau ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.

Pelaksanaan skim baharu ini memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pencarum, namun ramai masih tertanya-tanya mengenai jumlah potongan gaji yang dikenakan setiap bulan.

Cara Semak Jadual Caruman

Bagi memudahkan orang ramai, PERKESO telah menyediakan jadual caruman Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO mengikut kadar gaji bulanan.

Caranya cukup mudah.

Anda hanya perlu mengenal pasti jumlah gaji bulanan, kemudian semak kategori caruman yang berkaitan sebelum melihat jumlah potongan yang dikenakan.

Jadual tersebut dibahagikan kepada dua kategori utama.

  • Jenis Pertama: melibatkan pekerja berumur bawah 60 tahun. Caruman merangkumi Skim Keilatan, Skim Bencana Pekerjaan dan Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO.
  • Jenis Kedua: melibatkan pekerja berusia 60 tahun ke atas. Kategori ini hanya merangkumi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim LINDUNG 24 Jam tanpa caruman Skim Keilatan.

Oleh itu, pekerja disaran menyemak kategori masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan ketika membaca jadual caruman.

Kadar Caruman Dibuat Secara Berperingkat

Bagi mengurangkan beban kewangan pekerja, kerajaan menetapkan kadar caruman Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO secara berperingkat.

  • Fasa 1 (Tahun 1 & 2): 0.75% daripada gaji bulanan pekerja.
  • Fasa 2 (Tahun 3 hingga 5): 1.00% daripada gaji bulanan pekerja.
  • Fasa 3 (Tahun 6 dan seterusnya): 1.25% daripada gaji bulanan pekerja

Berbeza dengan Skim Bencana Pekerjaan sedia ada, caruman skim ini ditanggung sepenuhnya oleh pekerja atau 100 peratus syer pekerja.

Namun begitu, PERKESO menetapkan had siling gaji sebanyak RM6,000 bagi tujuan pengiraan caruman.

Ini bermakna sekiranya seseorang pekerja memperoleh gaji melebihi RM6,000 sebulan, kadar caruman tetap dikira berdasarkan had maksimum tersebut.

Tidak Perlu Bayar Dua Kali

PERKESO turut menjelaskan bahawa pekerja yang mempunyai lebih daripada satu pekerjaan formal tidak perlu membuat caruman berganda.

Sebaliknya, Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO hanya akan dicarum oleh satu majikan utama sahaja.

Langkah ini bertujuan mengelakkan pekerja dikenakan potongan berganda bagi perlindungan yang sama.

Lapan Manfaat Utama Kepada Pencarum

Melalui Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO, pencarum berpeluang menikmati pelbagai manfaat sekiranya mengalami kemalangan di luar waktu bekerja.

Antara manfaat yang disediakan ialah:

  • Faedah Perubatan (Rawatan percuma di klinik panel/hospital kerajaan)
  • Faedah Hilang Upaya Sementara (Elaun harian sepanjang tempoh MC)
  • Faedah Hilang Upaya Kekal.
  • Faedah Orang Tanggungan (Pencen bulanan untuk waris jika pencarum meninggal dunia).
  • Faedah Pengurusan Mayat (Bantuan kos pengebumian).
  • Elaun Layanan Sentiasa
  • Kemudahan Pemulihan
  • Faedah Pendidikan untuk anak

Kemudahan ini diharap dapat memberikan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh kepada pekerja dan keluarga mereka.

Bagi pekerja yang masih belum mengetahui jumlah potongan gaji masing-masing, anda boleh merujuk jadual caruman rasmi yang dikeluarkan PERKESO mengikut julat gaji bulanan.

Semakan awal bukan sahaja membantu anda memahami jumlah potongan setiap bulan, malah membolehkan anda mengetahui manfaat yang bakal dinikmati di bawah Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO.

Jadual Caruman Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO

Sumber: PERKESO

Published by
Farhana Syahirah