Pernah dengarkan pesanan, sebelum masuk tidur pastikan pinggan mangkuk dicuci bersih dalam sinki. Bukannya membiarkan dapur bersepah dengan pinggan mangkuk dalam sinki kecah habis.
Tentunya tidak bagus untuk kesejahteraan seisi keluarga. Bayangkan waktu tidur, ada serangga lipas mahupun cicak yang menjilat sisa makanan dalam pinggan mangkuk yang keluarga guna.
Bak pengalaman Mayang Sari ini yang berkongsi kisah seram ketika menginap di rumah sewa rakannya. Detik 3 pagi terserempak dengan makhluk yang sangat suka dengan tempat bersepah dengan sisa makanan terbiar, pinggan mangkuk dalam sinki kecah.
Tetamu Satu Malam
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca
Kisah ni berlaku ketika saya menumpang tidur di rumah sewa kawan tunang saya. Saya namakan dia sebagai Alya untuk memudahkan saya bercerita. Saya terpaksa tumpang bermalam di rumah Alya kerana pada keesokan paginya saya ada sesi temuduga di sebuah syarikat engineering.
Selesai makan malam bersama. Tunang terus menghantar saya pulang ke rumah Alya. Apabila saya tiba, Alya dan beberapa orang temannya sedang makan malam.
“Jom makan sekali…” Laung Alya sambil memandang saya.
“Baru sudah.. Bismillah… Jemput makan…” Jawab saya ringkas terus berlalu ke bilik.
“Eh, maaf… Saya fikir bilik ni kosong…” Kelihatan seorang perempuan sebaya saya sedang berbaring menghadap dinding.
“Tak pa, Alya dah bagitau awak nak tumpang tidur sini…” Katanya tanpa memandang ke arah saya.
“Tak pa, kalau rasa mengganggu, saya boleh tidur di ruang tamu…” ujar saya sekadar mengambil bahasa kerana bimbang mengganggu privasi orang lain.
“Ok jer, bilik ni besar katil pun luas. Tak mengganggu pun…” Katanya lembut sambil berpaling memandang saya. Saya hanya tersenyum dan mencapai tuala untuk mandi. Memang sudah menjadi rutin harian saya untuk mandi sebelum tidur.
Keluar daripada bilik, masing-masing sudah berada dalam bilik sendiri. Saya terus ke dapur. Keadaan dapur yang agak berselerak itu mengganggu emosi saya. Pinggan mangkuk yang tidak bercuci itu ditinggalkan begitu sahaja tanpa membuang sisa-sisa dan tulang-tulang ke dalam tong sampah.
Tak Jadi Mengemas Pinggan Mangkuk Dalam Sinki Kecah
Adat menumpang, saya cuba untuk membantu. Saya masukkan plastik-plastik yang bertaburan dalam sinki ke dalam tong sampah dan sisa-sisa makanan itu saya himpun dalam beg plastik.
“Eh tak yah susah-susah , nanti Nora buat..” Alya tiba-tiba berada di belakang saya.
“Lupa nak bagitau, bilik yang awak tidur tu bilik Nora. Nora tu kerja cleaner kat kilang kami kerja, jadi kami upah untuk kemas-kemas rumah juga… Dapatlah sikit dia duit lebih… ” Sambung Alya lagi.
Tak jadi saya nak tolong cuci pinggan mangkuk tersebut.
Usai mandi saya berbaring di sebelah Nora. Kelihatan Nora sedang leka membaca novel. Saya terus menarik selimut tidak mahu mengganggu dia, lagi pula esok saya mesti bangun awal untuk sesi temuduga.
“Awak tidur lah, saya nak kemas dapur.” Nora bangun daripada katil.
“Nak saya tolong ke?” Saya cuba menghulurkan pertolongan kerana memikirkan dapur sangat berselerak.
“Tak apa… Urrrmmm… Awak sangat baik… Tidur lah..” Nora menolak niat baik saya dengan lembut.
Saya melihat jam di meja. Tepat pukul 3 pagi dan Nora masih belum kembali ke bilik. Tekak saya mula berasa haus dan saya bangun untuk mendapatkan air di dapur.
“Eh… Gelap…” Gerutu hati saya bila mendapati lampu dapur tidak dibuka.
Perlahan saya menyusur dalam gelap untuk mencari suis lampu. Tiba-tiba terdengar seperti orang sedang mengunyah tulang.
Kruk… kruk…
Sesekali ada suara seperti menelan makanan dengan rakusnya. Saya beranikan diri menghampiri arah bunyi tersebut untuk memastikan apakah yang saya dengar itu.
Sisa Tulang Diratah ‘Teman’ Dengan Rakusnya
Allah… Kelihatan Nora sedang meratah sisa-sisa tulang dan menjilat bekas-bekas makanan yang telah saya buang ke dalam tong sampah itu tadi satu persatu dengan rakusnya. Saya menutup mulut saya kerana sudah mula berasa sangat loya. Kemudiannya Nora beralih pula ke arah pinggan mangkuk di sinki. Lidah Nora yang panjang itu jelas kelihatan menyapu semua sisa-sisa di pinggan sehingga licin kemudian barulah di cucinya kembali.
Saya yang berdiri agak lama di situ terus berlari ke bilik lalu selubungkan diri dengan selimut setelah melihat Nora hampir selesai ‘mengemas’ . Tidak lama kemudian, Nora kembali ke bilik dan berbaring di sebelah saya.
“Bila dah dapat kerja nanti, jangan menetap di sini… Jangan takut saya tak akan ganggu awak selagi awak tidak mengganggu ‘belaan’ saya mencari makan” Kata Nora lembut sebelum lelap.
Saya menggigil menahan perasaan takut. Keesokan pagi, saya angkut semua barang-barang saya ke dalam kereta tunangan saya.
“Habis interview saya nak balik Pahang terus.” Kata saya sedikit mengarah… Tunang saya tanpa bertanya kenapa, terus bersetuju.
Alhamdulillah saya tak dapat kerja tu, mungkin sewaktu interview tersebut perasaan saya bercampur baur… Balik lah saya ke Pahang setelah menjadi tetamu satu malam di rumah Alya…
Jadi sebelum saya akhiri kisah ini, ingin saya berpesan kepada para pembaca. Jangan tinggalkan sinki yang penuh dengan sisa makanan sebelum tidur. Pastikan sampah dibuang keluar rumah dan pinggan mangkuk dicuci dengan sempurna kerana jin suka menjilat sisa makanan kita.
Sumber/Foto : Mayang Sari
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI