Silap Peniaga Online, Gigih Cari Duit Sayangnya Terlupa Simpanan Hari Tua

Realiti inilah yang kadangkala menyakitkan untuk ditelan peniaga online. Namun, kes tiada duit simpanan di hari tua bukan tak pernah terjadi. Lebih sayang untuk dikenang, waktu muda hidup mewah, berbelanja bagaikan tiada hari esok.

Usah biarkan diri terperangkap dengan pesona kemewahan yang singkat. Sebagai peniaga yang bijak, anda perlu tahu bagaimana mahu urus wang, keuntungan dan gandakan dengan penuh keberkatan.

Kadangkala peniaga terleka hingga terlupa untuk fikirkan betapa pentingnya simpanan hari tua. Sebelum terlambat, hadamkan saranan ini sebaiknya.

Semoga waktu pencen peniaga online kelak, jadi lebih tenang, senang dan tak dibebani hutang mahupun kewangan yang mendesak.

Boros, Tak Urus Duit Dengan Betul

Duit dari keuntungan jualan, masuk berkepuk-kepuk. Bayangkan 10 tahun peroleh keuntungan berganda, tapi tak menyimpan pun. Jadi macam mana nak agihkan keuntungan ini menjadi bentuk simpanan jangka panjang.

Tak salah kalau ikut cara lama tapi masih praktikal lagi berkesan. Agihkan setiap RM50 yang peniaga dapat tu hari-hari masukkan dalam bekas khas. Jangan pandang atau fikir-fikirkan. Hujung bulan, kira jumlahnya dan simpan dalam bank, atau unit amanah yang selamat.

IKLAN

Kalau ada keinginan untuk beli kehendak yang bukan-bukan. Tahan hati siap-siap. Kalau teringin sangat pun, simpan asing duit khas untuk keperluan itu secara bulanan dan tetapkan target. Bila wang terkumpul dah cukup, barulah beli barang yang diinginkan.

Sediakan Dana Kecemasan Untuk Diri Dan Anak-anak

Dana kecemasan ini penting sebab kita takkan pernah tahu apa yang jadi pada diri pada masa akan datang. Bukan saja simpan untuk diri sendiri, tetapi buat juga simpanan untuk anak-anak.

Katakan 10% daripada keuntungan adalah gaji peniaga online, maka agihkan juga simpanan anak-anak di bank simpanan mereka. Lagi bagus jika mak ayah dedahkan dan galakkan anak-anak simpan duit sendiri.

IKLAN

Jika mereka suka bantu urus perniagaan online anda, berilah mereka upah. Dan minta mereka simpan upah dalam tabung ayam. Bila dah penuh, bawa mereka ke bank untuk dedahkan mereka cara menyimpan dengan betul.

Simpanan Hari Tua

Lebih baik sekiranya peniaga dapat mulakan simpanan hari tua daripada sekarang. Masa usia mudalah nak kumpul duit, supaya bila mencecah usia pencen dah ada wang persaraan yang dikumpul sendiri.

Sebaiknya, simpan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membolehkan peniaga online mencarum secara tetap walaupun tanpa majikan. Caruman secara sukarela ini boleh dibuat melalui skim i-Saraan yang memberi perlindungan sosial kepada para pekerja ekonomi gig yang tiada majikan tetap.

IKLAN

Untungnya, peniaga online boleh menikmati dividen tahunan sama seperti ahli KWSP yang lain. Ada lagi caruman secara sukarela yang peniaga online boleh nikmati. Layari laman web KWSP untuk maklumat lanjut  berkaitan produk yang dapat membantu peniaga online.

Agar Rezeki Simpanan Bertambah Berkat

Selepas membuat segala simpanan yang dicadangkan di atas, sebaiknya peniaga online jangan lupa untuk amalkan bersedekah dan menunaikan zakat pendapatan mahupun perniagaan anda. Amalan bersedekah ini tidak akan mengurangkan rezeki mahupun keuntungan anda, malah di situlah keberkatan rezeki semakin berganda-ganda.

Jika sukar mencari penerima sedekah, lihatlah kesusahan ahli keluarga terdekat anda. Jika mereka lebih memerlukan, bersedekahlah pada mereka yang dekat dahulu. Begitu juga dengan jiran tetangga, kemudian barulah hulurkan pada anak-anak yatim.

Apabila sudah cukup haul, tunaikanlah zakat perniagaan mahupun pendapatan anda. Rujuklah pada badan yang berkelayakan untuk melaksanakan zakat anda itu. Ada kiraannya, pegawai zakat tentunya berbesar hati untuk membantu.

Semoga dengan amalan menyimpan sebegini, akan membuatkan perniagaan online anda terus berkembang maju dan mendapat keberkatan rezeki daripadaNya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI