Siapa yang digelar perampas? Apakah pihak ketiga yang menganggu rumah tangga seseorang? Sebenarnya ia bukan sekadar itu.
Kes 1:
Seorang wanita berstatus isteri kedua setelah mengahwini seorang lelaki berstatus suami kepada seorang wanita dan empat orang cahaya mata di negeri jiran Thailand, mengadu dia tidak menikmati haknya sebagai isteri selepas perkahwinan mereka yang berusia tiga bulan diketahui oleh isteri pertama.
Sejak rahsia perkahwinan dimaklumi, isteri pertama mendesak agar suami tidak melaksanakan tanggungjawabnya mengambil kira pengorbanan isteri yang sanggup menerima kehadiran madunya.
Akur kepada kehendak isteri yang banyak membantunya sebelum itu, suami tidak melaksanakan giliran, berjumpa hanya sesekali dalam sebulan itu pun secara sembunyi dan tidak memberikan sebarang perbelanjaan. Kejadian berlangsung hampir dua tahun sehingga kes diadukan kepada saya.
Kes 2:
Seorang wanita mengahwini lelaki berstatus suami orang. Sejak sembilan bulan perkahwinan, isteri kedua tersebut melarang suaminya daripada balik ke rumah isteri sedia ada malah suami tidak ambil peduli mengenai tujuh anak yang ada.
Kes 3:
Seorang ibu yang baru kematian suami meminta anak lelaki tunggalnya agar balik menetap di kampung bersamanya. Akur kepada kehendak ibu, si anak yang juga suami kepada seorang wanita dan lapan cahaya mata bertindak berhenti kerja dan balik ke kampung tanpa mengambil peduli lagi mengenai isteri atau anak-anak.
Isteri yang tidak bekerja merayu agar turut dibawa balik ke kampung tetapi ibu mentua enggan terima. Bila menantu mengingatkan ibu mentua mengenai tanggungjawab anaknya yang telah bersuami, menantu diherdik dan dicaci maki kerana lupa, darjatnya sebagai ibu berikannya hak yang lebih berbanding isteri.
Ads
Kes Yang Benar Berlaku
Kes-kes dikongsikan di atas adalah tiga kes yang benar-benar berlaku dan sampai ke pengaduan saya. Berdasarkan kes, siapakah yang anda fahami sebagai perampas? Perampas biasanya dilabelkan kepada mana-mana gadis atau wanita yang bercinta atau mengahwini lelaki yang telah pun beristeri. Realitinya, bukan semua gadis atau wanita yang mengahwini suami seorang wanita yang lain adalah perampas.
Sukar dipercayai? Analogi mudah, apakah yang dimaksudkan dengan perampas dalam kejadian melibatkan kapal terbang? Pastinya perampas kapal terbang ialah individu yang berjaya mengambil alih matlamat atau tujuan perjalanan kapal terbang daripada juru terbang walau kapal terbang tersebut masih dikendalikan oleh juru terbang yang sama. Ambil alih yang menjadi sebab individu tersebut menjadi perampas.
Siapa Yang Menafikan Hak Orang Lain
Sama dengan isu yang bakal dibincangkan kali ini. Perampas yang sebenarnya menurut kefahaman syariat Islam dan Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di seluruh Malaysia ialah mereka yang dengan sengaja menghalang seseorang yang lain daripada menikmati hak yang disediakan oleh syarak dan undang-undang.
Ads
Perampas tak semestinya isteri kedua atau isteri ketiga atau isteri keempat malah perampas boleh juga adalah isteri pertama. Bukan saja isteri malah perampas juga boleh berupa ibu mentua malah sesiapa sahaja yang menjadi dalang dalam menafikan hak seseorang yang lain.
Isteri Pertama Dan Mentua
Merujuk kes dikongsi, dalam kes pertama, isteri pertama adalah perampas. Dalam kes kedua, isteri kedua adalah perampas dan dalam kes ketiga, ibu mentua adalah perampas. Kenapa? Isteri pertama dalam kes yang pertama bertindak menafikan hak isteri kedua.
Walaupun isteri pertama telah berkorban segalanya bukan bermaksud isteri pertama tadi boleh menyekat suaminya memberikan hak yang ditetapkan oleh syariat dan undang-undang kepada madunya. Isteri kedua dalam kes kedua pula adalah perampas kerana menafikan hak isteri pertama dan anak-anak suaminya. Baru atau lebih muda bukan alasan untuk isteri kedua memonopoli si suami.
Dalam kes ketiga pula, ibu mentua adalah perampas kerana menafikan hak menantu. Bagi seorang lelaki, jika telah berkahwin, kewajipan sebagai suami tetap perlu dilaksanakan dan sebagai ibu, anda wajib menyuruh anak lelaki anda melaksanakan tanggungjawabnya, bukan hanya mementingkan kepentingan diri semata.
Jika belum berkahwin dan si gadis atau wanita bercinta dengan suami orang, apakah mereka ini juga perampas? Bagi golongan ini, mereka hanya menjadi perampas jika hubungan yang wujud antara mereka bersama suami orang tadi menyebabkan suami orang tersebut lalai dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami malah sebagai bapa jika telah mempunyai anak.
Lalai bukan hanya bermaksud tidak memberi nafkah atau perbelanjaan bagi keperluan tetapi juga tidak memberi perhatian, layanan dan kasih sayang yang sewajarnya. Jika hanya berhubungan tanpa mengabaikan semua tanggungjawab yang perlu maka mereka bukan perampas.
Jika berdepan dengan perampas, apa yang perlu dilakukan? Perampas boleh didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah malah menurut peruntukan penalti dalam Undang-undang Keluarga Islam.
Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Kaunseling Keluarga Dan Guaman Syariah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mula-mula kenal, memang Aishah jatuh cinta habis dengan sikap suaminya yang penyayang, pemurah, bertimbang rasa, dan jujur. Sudah tentu peribadi terpuji terbentuk atas asuhan ibu bapanya, malah didikan itu juga biasanya menyebabkan anak lelaki sangat menuruti arahan dan permintaan keluarga terutama ibunya. Sebenarnya memiliki suami anak emak ini ada pro dan kontranya. Paling penting isteri perlu peka dan bersedia.
Jika sang lelaki masih belum berkahwin dan bujang, ianya tidak mendatangkan masalah. Namun pastinya situasi ini menjadi rumit apabila anak lelaki tersebut berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Perkara ini yang dialami Aishah. Tindakan suaminya menurut segala kemahuan ibu membuatkan si isteri acapkali menjeruk rasa. Sewajarnya seorang isteri tidak boleh melatah secara membuta tuli. Sebaliknya, anda cuba memperbaiki keadaaan dan mengambil jalan tengah untuk menangani masalah agar tidak menggugat kebahagiaan rumah tangga. Antara langkah yang dapat dilakukan ialah:
Belajar Menerima
Pastinya kamu telah mengetahui situasi ini sejak kamu berdua mula berkenalan. Pada waktu itu, anda boleh melihat cara perbualan atau kekerapan teman lelaki anda bercerita mengenai ibu atau ahli keluarganya. Jika anda boleh menerima situasi dia sebagai lelaki ‘anak emak’, maka anda seharusnya belajar menerima situasi itu dari awal. Jika anda wanita yang tidak dapat bertolak ansur dengan situasi tersebut, sebaiknya anda sudah menamatkan hubungan itu daripada pergi terlalu jauh. Apabila anda memahami lebih awal sifat tersebut, setelah berkahwin anda lebih mudah menyesuaikan diri dengan situasi itu.
Luahkan perasaan
Jika kamu terasa dengan sikap suami atau ini mentua, cuba luahkan pada suami. Jangan memendam perasaan atau meluahkan secara kiasan. Pastinya suami tidak memahami apa yang telah terjadi. Di samping itu, elakkan diri kamu dari rasa amarah atau cemburu sekiranya suami lebih memberi tumpuan kepada ibunya. Ini akan membuatkan dia berasa tertekan dan mendorong kepada keretakan hubungan indah suami isteri.
Berfikiran Terbuka
Biar pahit kenyataan yang harus ditelan, anda harus sentiasa berfikiran terbuka dan positif atas segala tindakan sama ada suami mahupun ibu mertua. Jadi perkara ini lama-kelamaan tidak akan menjadi masalah besar kepada anda. Sentiasa berdoa di samping bersabar dalam mengharungi segala ujian yang melanda. Harus diingat, ibu mertua adalah ibu kepada suami anda, jadi dirinya memerlukan perhatian yang lebih berbanding anda. Usianya yang semakin meningkat juga membuatkan dirinya inginkan perhatian anak lelakinya.
Layani Sebaiknya
Jika suami anda melayani kamu dan keluarga sebaiknya, apa salahnya jika anda juga berbuat demikian. Layanilah ibu mertua seperti ibu anda sendiri. Walaupun kadang kala anda tersentap dengan tegurannya, tetapi sebagai menantu, anda harus pasrah. Jangan sesekali anda lupa, tanpa didikan serta pengorbanan wanita tersebut mungkin tiada suami disisi anda. Sebaiknya, berusahalah mengambil hati ibu mertua dengan menghadiahkan sesuatu yang istimewa sempena hari ulangtahun kelahirannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selalu kita dengar, adik beradik boleh berpecah belah, bergaduh dan putus saudara, gara-gara kerana harta pusaka peninggalan mak ayah. Sedikit atau banyak harta pusaka itu tidak menjadi persoalan yang penting mereka mendapat hak masing-masing.
Kadang-kadang, harta peninggalan tidaklah seberapa dan sesetengahnya, mak ayah masih ada lagi. Tapi adik beradik sudah mula menghitung jumlah yang boleh mereka dapat. Kesian mak ayah yang punya anak seperti ini.
Ketahuilah, harta pusaka itu adalah hasil usaha mak ayah kita semasa mereka masih hidup. Tak perlulah kita berebut atau bergaduh. Kalau ada pun bahagian kita, bersyukurlah.
Inilah yang harus dipesan oleh adik beradik kita seperti yang dikongsikan oleh Ustazah Norhafizah Musa Fans ini.
Pesan Pada Adik-Beradik
Bila dah besar, dah ada kerja, dah ada pendapatan, dah ada duit, cari harta sendiri..beli rumah, beli tanah, beli aset..
Bagi ada harta dengan nama sendiri..
Jangan direbutnya tanah sekangkang kera di kampung tu nanti..
Jangan disebabkan harta tak seberapa itu, kita adik beradik bergaduh, bermasam muka…bertelagah..
Kita ini sulung ke, lelaki ke, nanti bahagian kita lebih dari adik beradik yang lain pun, janganlah fikir, berharap.. atau meletakkan target yang kita nak rumah, mahukan tanah, kita nak kebun atau nak harta..
Jangan..
Sebab nanti bila tak dapat, kita mula la nak marah, bergaduh dan nak menuntut.. Sedangkan ketika “harta” tu ada, bukan kita yang jaga, usahakan atau berbakti. Tiba-tiba bila harta tu sudah tiada pemiliknya, kita nak sangat-sangat “hak” kita…
Hak apa yang kita nak? Kita tuntut dan kita berhak ke?
Kumpul Harta Sendiri
Usaha sendiri untuk kumpul harta sendiri tanpa perlu meletakkan harta pusaka sebagai matlamat kita, cita-cita kita…yang lebih utama ialah menjaga ibu bapa kita, baik sihat mahupun sakit tanpa perlu mengharapkan apa-apa dari mereka…
Ini tak, kita buat mereka seperti bola..sekejap pass sana, pass sini..
Kita sebagai anak yang perlu bagi “sesuatu” kepada orang tua kita dan bukannya menunggu dan berebut “sesuatu” hasil penat lelah mereka..
Kalaulah kita berebut menjaga orang tua kita sebagaimana kita berebut harta pusaka, mesti untung orang tua kita kan.. Tapi banyak yang jadi bodoh dan hilang akal hanya disebabkan sesuatu yang bernama “harta pusaka”..
Time sakit tak nak jaga, time dah tiada datang menuntut pula..
MW: Isu inilah yang memang tak akan pernah habis dan sering jadi masalah dalam hubungan adik beradik.
Adatlah dalam rumah tangga, suami isteri saling merajuk malah saling memujuk. Tak perlu sampai nak menjeruk rasa bila suami tak reti-reti nak datang pujuk. Lagipun, ada cara terbaik yang boleh isteri lakukan.
Hadamkan perkongsian Ustazah Hannan Alias ini. Apa nak buat bila merajuk tu mula beraja di hati. Perlukan dibiarkan hingga berhari-hari atau buat tak tahu sampai terpujuk sendiri.
Merajuknya Sayyidatina Bukanlah Satu Yang Saja-saja
Merajuknya Sayyidatina Aisyah kepada baginda Rasulullah apakah sama dengan merajuknya kita?
Jangan semudahnya mengatakan Sayyidatina Aisyah pun merajuk. Apatah lagi kita? Hebat kita lagikah daripada Ummul Mukminin itu? Sampai tidak merajuk?
Baiklah!
Mari kita lihat bagaimana sosok lelaki yang bersama beliau. Rasulullah. Ya! Kekasih Allah. Lelaki yang paling baik dan paling santun terhadap ahli keluarganya.
Suami kita bagaimana? Bukan kekasih Allah. Bahkan dia mungkin kekasih orang lain. Kadang dirinya sendiri pun tak terpujuk. Dirinya sendiri pun tak mampu difahami dengan baik. Lagi kita nak demand macam-macam pada sosok yang tidak sempurna itu?
Merajuknya Sayyidatina Aisyah tidak dapat tidak sudah pasti disusuli dengan istighfarnya. Taubatnya.
Kita? Ada kita merajuk dengan suami, tengah merajuk kita solat taubat depan Allah. Minta ampun sungguh-sungguh dengan Allah sebab merajuk? Pernah kah?
Merajuknya Sayyidatina Aisyah itu sudah pasti ia bukan suatu yang saja-saja. Sudah pasti ada suatu pengajaran yang Allah nak kita semua belajar. Tapi kita ni jenis buta perut, duk pegang yang tak elok tu la sebagai panduan. Lepastu sewenangnya menabur fitnah kepada sosok mulia itu dengan berkata, Aisyah isteri nabi pun merajuk. Takkan kita tak boleh merajuk?
Nak merajuk, merajuk lah. Tapi, kalau rajuk itu semata nak mengharapkan pujukan dari lelaki yang tiada apa-apa. Means kosong juga jiwanya. Lelaki yang diri dia pun tak mampu dia handle, maka bodoh sangat lah kita ni.
Sayyidatina Aisyah merajuk, malah dipujuk dengan begitu hebat oleh lelaki yang sentiasa dalam bimbingan dan panduan Allah. Pujukan itu sudah pasti merupakan wahyu atau teguran dari Allah.
Laki kita? Kita merajuk dia pula 10x merajuk.
Sayyidatina Aisyah merujuk. Malah ia dipujuk. Kita merajuk? Malah mungkin ditinggal terus menjeruk rasa berhari-hari. Maka berhari-hari itu lah makan hati dengan suami. Dan dosa pun berlipat kali lipat dengan suami.
Bila dah dosa menimbun, itu yang akhirnya menjadi racun dalam rumah tangga. Isteri sakit hati dengan suami, bukan takat sakit hati sahaja yang dapat. Malah dosa itu follow sekali. Jadi terus lah kekal dalam keadaan yang sakit hati selalu. Semakin hari semakin parah.
Hingga segala kebaikan suami tertutup rapat. Seolah suami itu tidak baiknya. Seolah suami itu lebih kejam dari firaun. Sedangkan lelaki itu lah yang kita tergedik-gedik dulu. Sedangkan lelaki itu lah yang sanggup jadi pak sanggup, terima kita dari tanggungan bapa kita. Yang sanggup mengambil risiko untuk memegang amanah sebagai seorang suami itu.
Dan kita sesedap rasa nak menyalahkan dan terus mencari silap dan keburukan suami. Kenapa tak dari awal nikah sewaktu kita tahu dia tak solat, dia kaki pukul, dia kaki betina, dia kaki segala kaki kita terus angkat kaki?
Suami Tak Reti Memujuk, Isteri Jangan Jadi Jahat
Isteri!
Ajar diri untuk tidak jadi jahat. Sungguhpun suami itu seorang yang jahat. Maka, islam ada jalan keluarnya. Tapi, duk sibuk juga nak pertahankan duduk dengan lelaki yang dikatakan menzalimi itu? Dah betul dia zalim, ok. Proceed aja. Jalan terus. Tapi hakikatnya? Takut kan? Takut pada bayang sendiri.
Isteri!
Dah sanggup jadi isteri, maka kena sangguplah untuk menghadapi segala risiko dalam rumah tangga. Pun begitu, jika rumah tangga ini dibina hanya kerana Allah, maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Tiada apa yang boleh menakutkan kita.
Dan kenapa isteri masih takut hilang suami, kerana Allah itu tiada tempat di hati. Yang ada hanya suami. Merasa suami itu dimiliki. Dan merasa memiliki suami. Maka selagi itulah kita akan terus hidup dalam kebinasaan.
Jelas?
Moga dapat sesuatu. #BeriTanpaSyarat #RawatHatiPulihEmosi
Zizi Kirana Tak Tersinggung. Penyanyi kecil molek yang juga aktivis kemanusiaan Zizi Kirana akui dirinya tidak berasa tersinggung apabila ada yang mengkritik penyertaannya dalam...