
Pelakon dan pelawak terkenal, Shuib, 41, akhirnya menamatkan teka-teki peminat apabila mengesahkan bahawa isterinya, Watie Hanifiah, 36, kini sedang hamil lima bulan. Pengesahan itu sekali gus menjawab spekulasi yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Shuib Akui Sengaja Rahsiakan Kehamilan Watie Hanifiah
Menurut Shuib, mereka sengaja memilih untuk tidak berkongsi berita tersebut lebih awal kerana mahu memastikan keadaan kandungan benar-benar stabil sebelum diumumkan kepada umum.

“Alhamdulillah, seperti yang ramai perasan, isteri saya memang sudah hamil lima bulan. Ketika dia hamil anak pertama (yang kemudian gugur), kami dapat tahu ketika berada di Madinah. Ketika itu saya rasa sangat sayu kerana teringat arwah isteri, Siti Sarah, yang kali terakhir hamil anak bongsu kami.
Apabila Watie hamil kali ini, perasaan itu datang semula… macam deja vu. Ada rasa sayu dan sedikit takut. Namun, kehamilan pertama itu bukan rezeki kami,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulung Amad Dayyan di sebuah restoran.

Kehamilan Lima Bulan Ini Adalah Hasil Perancangan Bersama
Shuib turut memberitahu bahawa kehamilan kali ini adalah hasil perancangan mereka berdua, dan masing-masing benar-benar mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
“Untuk yang kedua ini memang kami rancang. Alhamdulillah, lekat. Watie pun sangat teruja dan berjanji akan menjaga kandungan betul-betul kerana sebelum ini dia kuat bekerja. Saya sangat bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami dikurniakan zuriat bersama. Kami memang mahu membina keluarga yang lengkap,” katanya lagi.
Kehadiran Cahaya Mata Bawa Makna Istimewa
Baginya, kelahiran anak ini membawa makna yang istimewa buat keluarga kecil mereka.
“Sebelum ini, saya sudah ada empat anak, manakala Watie tiada. Kami berharap adanya satu ikatan yang benar-benar menghubungkan kami, iaitu melalui anak. Dari awal lagi saya mahu Watie rasa dirinya sebahagian daripada keluarga ini. Dengan adanya anak ini, ada juga darah daging saya dengannya. Anak-anak pun faham… bila mereka ada adik, wujud hubungan adik-beradik yang sebenar,” ujarnya.

Watie Hanifiah Kini Lebih Berhati-Hati Selepas Keguguran
Sementara itu, Watie Hanifiah berkongsi bahawa kandungannya berada dalam keadaan baik dan dia kini lebih berhati-hati berbanding sebelum ini, terutama selepas melalui keguguran pada Mei lalu.
“Alahan tiada, cuma sebelum ini saya kerap sakit kepala dan meminta suami tarik rambut. Tetapi beberapa hari kebelakangan ini sudah berkurang. Untuk kandungan kali ini, saya sangat berhati-hati dan menjaganya sebaik mungkin. Saya tak kisah jantina, janji bayi sihat. Lelaki atau perempuan masih rahsia… tunggu majlis pengumuman jantina nanti,” katanya.
Foto Watie Hamil Lima Bulan Jadi Tular
Foto yang dimuat naik oleh Shuib di Instagram baru-baru ini, memaparkan keadaan perut Watie Hanifiah yang semakin membesar, turut menarik perhatian ramai dan menguatkan lagi spekulasi sebelum ia disahkan.
View this post on Instagram
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2023, dua tahun selepas pemergian Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 2021. Hasil perkongsian hidupnya bersama Siti Sarah, Shuib dikurniakan empat cahaya mata: Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan.
Sumber: Berita Harian Instagram Shuib Instagram Watie Hanifiah
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!










