Shuib akui sukar lalui kehidupan selepas pemergian arwah Sarah, sememangnya kehilangan insan yang tersayang cukup memeritkan, bagaikan hilang separuh nyawa apabila berdepan dengan satu kehilangan yang abadi.
Bagaimana ujian itu hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Begitu juga mengenai kehilangan insan tersayang yang selalu disisi, dihati dan menemani jiwa setiap hari. Namun bila sampai masanya Allah ambil semula siapa kita nak melawan takdirNya.
Namun kenangan dengan mereka itulah kekuatan. Ingatan itu mampu buat kita berdoa untuk dia, sebab dia ada dalam jalur masa hidup kita sebelum ini.
Shuib Akui Sukar Lalui Kehidupan Selepas Pemergian Arwah Sarah
Begitu juga dengan keadaan yang dilalui pelawak, pelakon dan usahawan berjaya Shuib yang telah kehilangan isteri kesayangan Siti Sarah Raissuddin lebih dua bulan lalu.
Akuinya kehilangan itu memberi impak besar malah menerusi petikan Kosmo Online Shuib menyatakan dirinya masih susah untuk melalui kehidupan sehariannya apatah lagi dengan statusnya sebagai bapa tunggal.
Shuib juga terpaksa bertemu dengan pakar psikiatri hampir setiap minggu untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental.
“Sehingga kini, saya tak akan bercerita dengan orang lain sekiranya ada masalah walaupun dengan mak atau mentua. Saya hanya boleh pergi ke pusara isteri dan berkongsi dengannya.
“Disebabkan hal itu juga, setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang pernah menjaga Siti Sarah untuk memeriksa kesihatan tahap saya. Lebih kurang pakar psikiatri lah.
“Perjumpaan tersebut juga bagi memastikan kesihatan mental saya dalam keadaan baik sebab berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita,” ungkapnya yang turut menziarahi kubur arwah Sarah setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsi perasaannya.
Aktiviti Mengaji & Solat Berjemaah Bantu Kesihatan Mental
Walaupun sukar harungi kehidupan namun Shuib bersyukur kerana dikelilingi keluarga yang sangat baik. Dek kerana aktiviti yang dilakukan seperti mengaji dan solat berjemaah membantu mengawal emosinya.
Ads
“Syukur saya ada keluarga yang sangat baik untuk bantu menjaga keluarga kecil saya.
“Alhamdulillah sekarang ini kami sering buat aktiviti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini seperti mengaji setiap malam dan solat berjemaah. Jadi perkara seperti ini sangat membantu kesihatan mental saya,” sambung Shuib.
Bagai hilang separuh nyawa apabila kehilangan isteri yang juga sumber kekuatan dirinya.
Namun Shuib akui selepas pemergian arwah Sarah, bukan separuh namun dirinya berasakan hampir semuanya hilang.
“Bila dia tiada, saya tak rasa hilang separuh, sebaliknya hilang hampir semua.
“Kalau ada masalah dalam bisnes atau peribadi, saya rujuk pada dia. Jadi bila dia tiada, saya tak tahu nak rujuk pada siapa,” luah bapa kepada Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia tiga bulan.
Sumber : Kosmo Online
Sumber Foto : Instagram Shuib Sepahtu
SERTAI & DAFTAR SEKARANG KURSUS KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak. Ia boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
Ikuti penjelasan Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah terhadap soal-jawab berkaitan penyakit mental.
Apakah Jenis-Jenis Penyakit Mental Yang Dialami Wanita?
Sebenarnya wanita boleh menghidap semua jenis penyakit mental. Cuma ada sesetengah penyakit yang lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding dengan lelaki seperti pelbagai penyakit kemurungan dan penyakit keresahan.
Apakah Faktor-Faktor Risiko Penyakit Mental?
Pelbagai faktor risiko penyakit mental. Antaranya seperti;
faktor genetik (boleh diwarisi turun temurun)
faktor ibu bapa (kurang keakraban dengan ibu semasa bayi, masalah perkahwinan ibu bapa, ibu bapa yang menghisap dadah, ibu bapa yang mengabaikan anak, ibu bapa yang menghidap penyakit mental seperti penyakit skizofrenia, bipolar dan kemurungan yang teruk sehingga menjejaskan penjagaan anak)
masalah kehidupan harian (masalah kewangan, masalah perkahwinan, stres kerja, masalah dengan rakan sekerja, masalah putus cinta, kematian orang tersayang)
sejarah menjadi mangsa buli termasuk siber buli, sejarah penderaan fizikal, seksual dan emosi, gangguan seksual, penggunaan dadah dan alkohol
Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah.
Bagaimana Hendak Mengetahui Diri Ada Penyakit Mental / Cara Mengesan?
1-Pertama sekali, kemerosotan fungsi utama seperti fungsi pekerjaan, akademik atau sosial.
2-Perkara kedua adalah mempunyai tanda- tanda penyakit mental seperti;
mood yang murung
hilang minat dan keseronokan melakukan hampir kesemua aktiviti
tidur terganggu
hilang selera makan atau selera bertambah mendadak
rasa letih selalu
pergerakan, fikiran dan percakapan menjadi perlahan
rasa diri tidak berguna dan asyik salahkan diri
hilang tumpuan dan cepat lupa
memikir untuk membunuh diri atau sudahpun cuba membunuh diri
halusinasi
delusi
kelakuan yang pelik dan percakapan yang tidak relevan atau koheren
katatonia
menjadi terlampau teruja tanpa sebab
rasa diri berkuasa/sangat kaya/nabi/rasul, bertindak agresif dan banyak lagi tanda tanda.
Boleh dengan rawatan ubat ubatan, psikoterapi, dan/atau intervensi psikososial.
Apakah Langkah-Langkah Penjagaan?
Langkah berjaga jaga untuk mengelak penyakit mental adalah keupayaan untuk menangani stres kronik dengan berkesan. Jika tidak dapat menangani stres, maka perlu untuk mendapatkan bantuan pakar kaunseling, psikologi klinikal atau pakar psikiatri untuk menangani stres.
Jauhi dari penggunaan dadah atau kebergantungan kepada alkohol. Walaupun ramai remaja dan orang muda berpendapat bahawa penggunaan ganja adalah tidak berbahaya, namun ia adalah tidak benar kerana dalam ganja, kerana ia juga mengandungi bahan kimia yang boleh mengganggu minda dan meningkatan risiko skizofrenia, terutama dalam kalangan orang yang mempunyai risiko genetik penyakit psikotik yang tinggi.
Adakah Pengambilan Ubat Boleh Memberi Kesan Pada Pesakit?
Setiap ubat mesti ada kesan sampingannya. Namun, kebanyakan kesan sampingan adalah bersifat sementara, iaitu lebih kerap berlaku dalam bulan pertama rawatan dimulakan. Tetapi, ia akan berkurangan dan lenyap selepas badan kita telah adaptasi dengan ubat.
Kebanyakan ubat juga tidak menyebabkan kerosakan buah pinggang, hati atau jantung. Cuma kepada mereka yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang atau hati disebabkan penyakit medikal akan mengalami kekurangan perkumuhan sisa ubat dari air kencing atau najis.
Oleh itu, dalam golongan ini, dos ubat perlu dipreskripsi dalam dos berkesan yang paling rendah untuk mengelak kesan sampingan atau ketoksikan ubat.
Sumber: Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apa perasaan anda, jika gambar anak-anak anda disebarkan melalui media sosial sebagai bahan seksual? Tentulah marah dan terkejut. Itulah yang dialami oleh selebriti media sosial dan pelakon, Mek Yun yang terkejut apabila mendapat tahu gambarnya ketika zaman persekolahan telah disebarkan dalam sebuah kumpulan Facebook yang dipercayai menyasarkan kanak-kanak sebagai bahan seksual.
Dalam perkongsian video di akaun Instagram miliknya, Mek Yun meluahkan rasa marah dan mengakui tidak sanggup membaca komen-komen yang disifatkannya sebagai menjijikkan dan melampaui batas.
Susulan daripada itu, Mek Yun menyeru orang ramai untuk bersama-sama membuat laporan terhadap kumpulan tersebut agar ia dapat ditutup segera.
“Jom kita semua report group ni. Kita musnahkan group ni. Jangan biarkan diorang buat apa yang diorang suka. Sebab ini tak patut jadi normal.
Benda ni bukan lawak. Ni jenayah. Ni penyakit. Dan banyak sangat kes budak-budak jadi mangsa lepas tu trauma seumur hidup,”ujarnya.
Mek Yunn juga berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung perkara terbabit.
“Saya bersuara sebab benda ini tak boleh dibiarkan. Kita semua kena jadi suara kepada budak-budak yang tak mampu bersuara.”
Saya mohon pihak PDRM, MCMC dan YB Fahmi Fadzil tolong siasat dan hentikan semua ini.
Akaun Ditutup
Hasil daripada laporan beramai-ramai oleh netizen yang prihatin tentang masalah ini, kumpulan Facebook ‘Budak-Budak Sekolah Rendah’ akhirnya telah ditutup.
Mek Yun merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pihak yang telah bertindak pantas dan bersama-sama menunjukkan solidariti dalam melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan ini belum selesai. Usaha melindungi anak-anak daripada sebarang bentuk eksploitasi perlu diteruskan dengan lebih tegas dan menyeluruh.
“Kita tidak boleh leka. Pengawasan harus diperkukuh dan tindakan undang-undang mesti terus dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap golongan yang paling mudah terancam ini,” tegas Mek Yun dengan penuh komitmen.
Info: Pedofilia merujuk kepada gangguan psikoseksual di mana seseorang dewasa atau remaja yang lebih tua mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh, biasanya berumur 12 tahun ke bawah.
Penting untuk Diketahui:
Pedofilia bukan sekadar tarikan, tetapi ia sangat berbahaya kerana melibatkan penderaan terhadap kanak-kanak yang belum cukup matang secara fizikal dan emosi.
Ia boleh berlaku secara fizikal atau melalui alam maya –termasuk melalui gambar, video, atau komunikasi dalam talian.
Pencegahan, pendidikan dan pengawasan digital adalah antara cara penting untuk melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa.
Wanita sememangnya insan yang istimewa. Tak mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dalam masa yang sama perlu menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Rutin harian yang sangat sibuk, segala penat dan lelah hanya dipendam sendiri demi memastikan keluarga terurus sempurna. Adakalanya pengorbanan besar ini, tidak dihargai oleh suami sendiri dan mengakibatkan ramai wanita mudah stress sehingga tahap hadapi kemurungan!
Jemput baca, fahamkan dan hayati perkongsian oleh pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew ini sebagai renungan.
Sedih dan cuma mampu berdoa kasihan pada wanita yang diuji.
Baru ini saya ceramah pada sekumpulan wanita yang mengalami tekanan dan stress dan sehingga sampai tahap kemurungan. Ramai yang menangis bila saya kata Allah sayang. Saya minta mereka ramai-ramai ulang sebut “Allah sayang saya. Allah sayang saya.” Mereka semua menangis sambil ucap perkataan itu. Mereka menangis makin kuat.
Orang tanya saya kenapa wanita ini stress. Jawapannya, mereka juga manusia. Cuba kenang sekejap. Undang-undang dibuat supaya semua waktu kerja ada waktu. Siapa majikan tak ikut diambil tindakan. Mesti ada waktu rehat. Untuk bibik pun kerajaan dah buat jadual mereka mesti ada rehat. Buruh di kilang dan ladang juga ada waktu. Seorang isteri ada jadual rehat tak? Hampir semua tiada rehat. Ya Allah. 24jam sehari. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibu ayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Uruskan Karenah Anak & Suami
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Kerja meleraikan anak menjerit bergaduh menangis. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami. Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Masa nak mandi pun takde. Anak menjerit ketuk pintu. Masa bila nak makan. Masa bila nak tidur. Masa bila nak mandi. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah…itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..“saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel . Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya..
Seorang lelaki yang ingin kebaikan, bahagia dan kejayaan dalam hidupnya berusahalah gembirakan 2 orang ini. Isteri dan ibumu. Lihatlah bagaimana Allah akan bahagia dan kebaikan dalam hidupmu.
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk.
Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu. Jadilah pendengar setia dan penyayang.
Isteri Amanah Allah
Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bibik. Bukan cleaner. Bukan pekerja kita. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Itulah kehidupan rumahtangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah
Harapan saya nak cadang supaya setiap rumahtangga suami isteri dihantar kursus kekeluargaan 3 bulan sekali. Organisasi dan kerajaan sepatutnya hantar setiap staf bawa pasangan belajar ilmu rumahtangga. Suburkan cinta dan sayang dengan sunnah Nabi saw. Buat isteri yang mengadu ada masalah keluarga di pejabat agama. Terus hantar suaminya bawa belajar iman di masjid supaya lebih menghargai isteri dan belajar bimbing isteri dan agama. Sedih sebab bila ada masalah bertahun-tahun wanita itu derita sampai jadi murung. Jadi takut suami. Trauma. Sakit. Disiksa zahir batin. Bantulah ya Allah. Permudahkanlah dan berilah jalan keluar buat wanita-wanita ini.-
Benarlah mafhum sabdaan Nabi saw, orang yang paling baik ialah orang yang paling baik kepada isterinya. Nabi saw ialah orang yang paling baik terhadap isterinya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Ceduklah pengajaran daripada perkongsian ini. Semoga para wanita terus kuat dan cekal menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Nasihat buat para suami pula, hargailah pengorbanan dan penat lelah isteri.Bantulah para isteri serba sedikit urusan rumahtangga dan jangan biarkan isteri uruskan semuanya hingga boleh menyebabkan dirinya stress dan alami kemurungan.
Siti pesan, Umairah jangan lupa mak ayah. Sebagai ibu saudara dan juga Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi nasihat cukup bermakna buat penyanyi...