
Tangisan seorang ibu masih belum berhenti. Hati Norfazila Md Lajin, 43, seakan terhenti bersama pemergian anak lelaki tunggalnya, Abdul Fattah Khairol Rizal, murid Tahun Tiga yang maut selepas terjatuh ke dalam tangki septik di sebuah sekolah di Lenggeng, kelmarin.

Dalam sebak yang ditanggung, Norfazila memohon pihak berwajib meningkatkan keselamatan di kawasan sekolah, agar tragedi yang meragut nyawa anaknya tidak berulang.
“Harapan saya supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) periksa semula dan tukar penutup lubang itu. Saya dengar ia ringan dan mudah diangkat kanak-kanak. Kalau boleh, tukar kepada besi atau pagarkan kawasan tersebut supaya murid, terutama yang berkeperluan khas, tidak terdedah kepada bahaya ini.
Biarlah kejadian ini hanya menimpa anak saya… jangan sekali-kali berlaku lagi pada anak orang lain,” katanya menahan hiba.

Rindu Yang Tak Berpenghujung
Bagi seorang ibu, kehilangan ini bukan sekadar sebuah berita. Ia luka yang sukar diungkapkan dengan kata. Norfazila yang juga seorang guru Matematik mengaku, ramai yang hadir memberi sokongan moral, tetapi saat malam menjelma, kesunyian itu kembali menggigit jiwa.
“Bila ramai orang datang, saya tak rasa sunyi… tapi bila semua pulang, barulah terasa kehilangan itu. Arwah anak yang baik, mudah diasuh. Paling saya rindu, setiap malam sebelum tidur dia akan cari saya dan suami dulu untuk salam dan ucap selamat malam. Kalau kejut Subuh, sekali saja terus bangun,” katanya, berkaca mata.
Sarapan Terakhir Seorang Ibu
Lebih memilukan, pagi sebelum tragedi, Norfazila sempat menyediakan mi hailam dan susu buat anak-anaknya. Hari itu, Fattah nampak lebih berselera daripada biasa.
“Kalau ikutkan, dia jenis susah nak makan. Tapi pagi itu dia makan dengan bersungguh. Itu rupanya sarapan terakhir yang saya sediakan untuk dia…”
Norfazila tidak dapat menahan sebak apabila seorang ibu rakan sekelas anaknya menunjukkan gambar Fattah tersenyum bersama kawan-kawan di sekolah.
“Saya rindu… rindu senyuman itu,” tuturnya perlahan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak Ayah Suka Bertengkar Depan Anak, Bila Besar Anak Cenderung Pemarah!

Mak ayah sila ingat satu perkara. Anak-anak terutama yang masih kecil, akan mudah ‘menyerap’ perbuatan orang di sekeliling terutama mak ayah dan ahli keluarga. Contoh mudah, kalau nak anak rajin mengaji al-Quran, mak ayah pun kenalah sering mengaji di rumah. Begitu juga sikap negatif.

Mak Ayah Jadi Idola Anak
Sedar atau pun tidak, anak-anak sering kali menjadikan mak ayah idola mereka saat mereka membesar. Tak hairanlah bila dengar kata-kata seperti; “saya nak jadi bomba macam abah saya bila besar nanti”. Sebabnya anak akan melihat mak ayah sebagai insan hebat dalam hidup mereka. Jadi mak ayah, sila jaga kelakuan anda terutama bila berdepan dengan anak-anak ye.
Baca lagi di sini:
Mak Mentua Boleh Caring Tentang Anak Lelakinya, TAPI Jangan Ambil Tanggungjawab Isteri!
https://www.instagram.com/mingguanwanita/P
Apa Juga Masalah Mak Ayah, Jangan Tunjuk Anak
Adatlah dalam rumah tangga bila suami isteri bergaduh. TAPI tolong jangan di depan anak-anak. SANGAT DILARANG menggunakan kata-kata kesat bila bertengkar. Hati tengah hot, kadangkala mak ayah ‘terlupa’ nak jaga tutur kata.
Kesannya, ia boleh memudaratkan kesihatan mental anak-anak. Mungkin bagi anak kata-kata itu ‘okay’ dan tak salah untuk dia tuturkan. Sebab itu, bila dengar gaya anak bercakap pun, boleh gambarkan macam mana orang tua mereka berkomunikasi dengan mereka. Anak memang jenis cepat meniru.
Seeloknya, apa juga masalah suami isteri, jangan tunjuk depan anak. Kalau rasa tak tahan sangat nak luahkan rasa marah, masuk bilik dan kunci. Atau masuk kereta, bertengkarlah dalam kereta puas-puas. Tapi sekali lagi, tolong jangan di depan anak-anak.
Terpengaruh Silap Mak Ayah
Begitu juga dengan kelakuan agresif seperti sifat baran. Anak-anak boleh terpengaruh dengan sikap itu bila asyik dipaparkan di depan matanya saban hari. Silap sikit, pecahkan barang, suami tengking isteri, mengeluarkan kata-kata kesat dan sebagainya.
Apa juga sikap negatif orang tua, anak-anak tonton dan dengar sejak kecil, akan memberi kesan dan terpahat di ingatannya. Ingatan buruk ini sering kali memengaruhi perkembangan mental si anak nanti. Takut nanti mereka membesar menjadi baran dan pemarah!
Selain itu, anak-anak bergantung kepada orang tua untuk mendapatkan rasa nyaman dan aman. Jika sering melihat orang tuanya bertengkar, anak-anak mungkin akan rasa tak selamat dan takut. Ia boleh menjejaskan emosi si anak. Mereka akan memendam rasa tak puas hati itu dalam diri dan membesar dengan perasaan itu. Bahaya tau!
Jadi, jangan pandang mudah. Kalau nak bertengkar, TOLONG JAUH daripada anak-anak ye…
Antara Kesannya Pada Anak:
- Anak rasa stres dengan suasana di rumah yang tak harmoni.
- Anak sengaja buat perangai sebab inginkan perhatian.
- Sukar berkomunikasi dengan orang lain, mungkin rasa malu sekiranya orang tahu keadaan keluarganya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dilema Masih Belum Kahwin, Keluarga Sering Desak Cari Calon Suami

Dilema apabila usia makin bertambah namun jodoh belum juga sampai. Ditambah pula bila orang sekeliling desak untuk kahwin. Itu yang dialami oleh gadis ini. ikuti pengakuannya.
Dalam Dilema
Assalamualaikum puan. Saya berusia 39 tahun, berkerjaya mantap dan masih bujang. Saya sedar, pada usia ini, orang sudah ‘cop’ saya sebagai andartu (anak dara tua). Saya tak kisah orang nak bercakap apa saja tentang diri saya. Tapi apabila ahli keluarga sendiri yang bercakap, saya rasa jauh hati.
Saya anak ketiga daripada enam beradik. Semua adik-beradik yang lain sudah pun mendirikan rumah tangga. Kakak sulung berusia 44 tahun ada anak empat, kakak kedua berusia 42 tahun sudah ada anak dua. Manakala adik lelaki yang berusia 37 mempunyai anak dua dan isterinya sedang hamil anak ketiga, adik perempuan yang berusia 35 tahun ada tiga anak dan adik bongsu lelaki yang berusia 32 tahun sudah ada lima anak. Bermakna saya ada 16 anak sedara!
Tumpang Kasih Sayang
Hidup saya tidak sepi dengan adanya anak-anak saudara yang ramai. Adik perempuan saya sekeluarga hanya tinggal di sebelah rumah mak dan ayah. Manakala saya sendiri memang tinggal bersama mak dan ayah. Boleh dikatakan sepanjang masa tiga orang anak adik yang berumur 10, 9 dan 6 tahun berada di rumah mak dan ayah.
Lebih-lebih lagi bila adik dan suaminya bekerja, anak-anaknya akan makan dan bersiap di rumah mak dan ayah. Malam selepas makan malam baru mereka balik rumah. Bahkan selalu juga tidur di rumah atuk dan nenek saja. Dengan mereka bertiga saya paling rapat, umpama anak sendiri. Tempat saya menumpang kasih. Bila keluar berjalan-jalan, sering kali mereka dianggap anak-anak saya apatah lagi mereka memanggil saya ‘mummy’.
Dalam Dilema Dan Rasa Tertekan
Saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Namun bila mak yang sejak akhir-akhir ini asyik memerli saya agar cepat kahwin, saya rasa tertekan. Saya boleh pekakkan telinga jika orang lain bercakap, tapi bila mak sendiri yang bercakap, saya tak boleh nak cakap apa. Mungkin kerana umur saya hampir mencecah angka ‘4’ buat mak rasa gusar.
Puan, bukan saya tak nak kahwin tapi belum jodoh. Bukan saya tak pernah bercinta, pernah dua kali bercinta tapi tiada jodoh. Bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih. Takkan nak cari lelaki yang muda? Setahun dua okaylah. Tapi kalau lebih lima tahun, rasa macam bercinta dengan adik pula.
Ramai lelaki yang cuba pikat tapi kebanyakan suami orang. Maaf, bukan nak riak, tapi kalau boleh saya akan elakkan kahwin dengan suami orang. Tak sanggup lukakan hati wanita lain.
Puan, bagaimana saya nak berterus terang dengan mak supaya faham dengan perasaan saya? Tidak lagi mendesak saya berkahwin? Saya buntu dalam dilema.
Gadis Pilu, KL
JAWAPAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamualaikum cik yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan semua orang mahu bahagia… bahagia dengan keluarga, pasangan dan anak-anak. Daripada ini dapat berkongsi kasih – memberi dan menerima kasih sayang daripada orang yang siginfikan dalam hidup. Namun ada juga orang yang bahagia hidup berseorangan. Mungkin dia juga mahu hidup bahagia dengan mempunyai keluarga sendiri, namun keadaan belum mengizinkan lagi. Bukan mudah utuk mendapat suami yang baik dan bertanggungjawab, apatah lagi membelai isteri dengan kasih sayang yang menjadi idaman setiap wanita.

Anak Dilema, Keluarga Risau
Mana-mana ibupun mahukan kebahagiaan anaknya. Salah satu bahagianya seorang ibu adalah apabila melihat anaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Apabila melihat anaknya belum mempunyai pasangan, sudah menjadi kelaziman soalan-soalan atau kata- kata yang tidak sedap didengar oleh anak. Pada ibu asalkan anaknya berkahwin dengan lelaki yang baik sudah memadai. Namun pada anak mungkin tidak. Cik ada menyebut dalam tulisan cik….. “bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih.…
Perkataan memilih itulah yang mungkin dilihat oleh ibu sebagai halangan kepada cik untuk berkahwin. Cik kata cik bahagia dengan keadaan sekarang. Bagi seorang ibu tidak sama seperti apa yang dilihat oleh anaknya. Bahagia bagi cik tidak semestinya bahagia buat seorang ibu.
Ibu dikelilingi oleh masyarakat yang kerap bertanya kenapa cik tidak berkahwin lagi. Ini menyebabkan ibu tidak gemar dengan keadaan cik, walhal ibu lihat puan ada rupa, ada pekerjaan yang baik. Maka mustahil untuk sukar mendapat pasangan hidup. Walhal adik beradik lain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang sama seperti puan. Jodoh mereka ada, walaupun tidak sempuna seperti yang diinginkan.
Baca lagi di sini:
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Jangan Cari Kesempurnaan
Cik, jika kita terlalu memikirkan “kesempurnaan” dalam memilih jodoh, maka kita akan akhiri dengan hidup membujang. Puan pada masa kini di kelilingin anak saudara yang hidup bersama cik. Di kala cik muda dan bertenaga. Cuba bayangkan apabila cik sudah mencecah umur 70-an, sakit demam. Adakah cik yakin mereka yang sudah berkeluarga sendiri akan menunggu dan merawat cik?
Inilah antara kebimbangan lain yang dilahirkan oleh ibu cik dengan kata-kata yang cik tidak suka. Pada ibu, mungkin sifat cik yang memilih menyebabkan puan tidak bertemu jodoh. Bukan tidak ada, tetapi disebabkan kesukaran dalam memilih, maka usia cik berlalu begitu sahaja. Tahukah cik bahawa peratus wanita yang tidak berkahwin kini ramai? Jika cik bahagia, maka tidak perlu gusar dengan soalan-soalan yang ditanya oleh ibu mahupun ahli keluarga yang lain.
Dilema Andai Cari Kriteria Idaman
Kesempurnaan kriteria yang diidamkan itu mungkin satu dalam sejuta. Kebarangkalian untuk dapat sukar bukan? Jika cik tidak bersifat memilih, maka cik boleh serahkan urusan itu kepada ibu untuk memilih jodoh. Asalkan cik memberi ruang dan peluang untuk berkahwin. Pastinya ibu akan mencari lelaki yang baik untuk anaknya…bukan lelaki yang menjadi idaman anaknya.
Persoalannya adakah cik masih meletakkan kriteria tertentu untuk lelaki yang menjadi calon suami? Jika masih ada, maka sukar untuk bertemu jodoh… dan jika kata-kata yang keluar dari mulut ahli keluarga puan tidak boleh terasa…kerana itu adalah kebiasaan bagi ahli keluarga kepada anaknya yang sukar untuk berkahwin.
Kerjaya setakat mana sahaja…sampai masa akan bersara…sampai masa kita akan tinggal keseorangan. Ini yang ahli keluarga cik bimbang. Namun cik tidak melihat ini sebagai masalah.
Abaikan Cakap Orang
Justeru, jika cik ingin meneruskan kehidupan tidak berkahwin, maka cik perlu ada kekuatan diri yang tidak kisah apa orang kata. Ramai juga orang tidak berkahwin yang bahagia. Cik boleh juga mengambil anak angkat seorang atau dua buat peneman di hari tua. Cik boleh saja melibatkan diri dengan pertubuhan NGO untuk membantu manusia lain. Sehingga cik merasa hidup cik penuh bermakna. Namun, jika cik kasihkan ibu, pastinya cik boleh “berkorban” sedikit kriteria yang ditetapkan untuk mendapat calon suami.
Berkahwinlah, asalkan suami itu baik dan bertanggungjawab. Jangan kisah soal pendapatan, asalkan dia mahu bekerja, hidup insya-Allah akan bahagia. Sesuaikan diri dengan keadaan dan pasangan, yang kurang dan tidak sempurna itu, berikan “sedekah” kepadanya. Insya-Allah cik akan dapat ganjarannya. Kalau tidak di dunia, insya-Allah di akhirat…bahkan apa yang cik berkorban ini sebenarnya “hadiah” buat ibu….meskipun cik tidak mahu berkahwin, namun dengan membahagiakan ibu, insya-Allah, akan memberi kebahagiaan itu buat cik…Wallahuallam.
Artikel: Hajah Maimunah Muhamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Selalu Bersembang Mengingati Kematian.’ Isteri Hamil 7 Minggu Reda, Ingat Pesan Arwah Suami

Selalu bersembang mengingati kematian, isteri hamil 7 minggu reda, ingat pesan arwah suami walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa.
Dirinya yang kini hamil tujuh bulan meluahkan bayi yang dikandung adalah peninggalan berharga suaminya biarpun arwah pergi dahulu sebelum sempat menatap wajah anaknya.
Isteri Hamil 7 Minggu Reda
Nur Syahirah Abdullah reda dengan kejadian menimpa suaminya dan berjanji akan menjaga anak dalam kandungan yang kini sudah memasuki tujuh minggu.
“Ini peninggalan berharga suami untuk saya selepas hampir dua tahun berkahwin,” kata Nur Syahirah, 25.
Nur Syahirah adalah isteri kepada Mohd Nur Hisham Hassan, 29, yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan enam motosikal di Kilometer 4 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan, Perak.
Kejadian pada 5.30 petang itu turut menyebabkan Hasrandy Bahrum, 27, dan Mohd Suhail Zainal, 22 meninggal dunia.
Selalu Bersembang Mengingati Kematian
Ketika kejadian Mohd Nur Hisham menunggang sendiri motosikalnya, manakala Hasrandy serta Mohd Suhail pula menaiki motosikal sama dan ketiga-tiga mereka maut di lokasi kejadian.
Nur Syahirah berkata, dia kini hamil tujuh minggu anak sulung mereka dan arwah suaminya teruja serta gembira apabila dia disahkan hamil, Julai lalu.
“Suami gembira sehingga mengalirkan air mata sebaik tahu saya hamil dan dia teruja menunggu kehadiran anak sulung kami.
“Saya sedih tetapi reda kerana suami selalu berpesan supaya kuatkan semangat kalau dia sudah tiada nanti, malah kami selalu bersembang mengingati kematian dan dia kerap cakap sayangkan saya sampai hujung nyawanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM), hari ini.
Ingat Pesan Arwah Suami
Pada hari kejadian dia berasa tidak sedap hati dan bertambah risau apabila suaminya masih tidak pulang walaupun sudah habis waktu bekerja.
“Saya rasa sayu dan tiba-tiba menangis. Saya cuba hubungi suami apabila dia masih belum sampai rumah tetapi panggilan tidak berjawab sebelum mak minta saya ke rumah kawan untuk mendapatkan bantuan pada 6.30 petang.
“Kawan suami ketika itu sedang melihat video kemalangan berkenaan, namun masih tidak tahu yang suami terbabit kemalangan itu. Kami terus ke lokasi dan luluh hati saya apabila melihat topi keledar dan tempat duduk motor suami di situ.
“Melihat keadaan lokasi dan barang suami saya dapat rasakan yang suami saya sudah tiada,” katanya yang baru tinggal bersama suaminya Januari lalu selepas tamat pengajian di Pasir Gudang, Johor Bharu.
Baca Juga Di Sini :
Rider Terlantar Tidak Boleh Bekerja Selepas Kemalangan, Dugaan Berganda Bila Isteri Keguguran
Wanita Kemalangan Di Australia, 3 Beradik Harap Dapat Bawa Pulang Jenazah Ibu
Pemain JDT Kemalangan, Anak Baru Berusia 22 Hari & Ibu Mentua Meninggal
Luluh Hati Suami Rupanya Isteri Sendiri Kemalangan, Arwah Turut Tinggalkan Anak Tujuh Bulan
Guru Meninggal Kemalangan Jatuh Gaung Dalam Perjalanan Mengajar, Baru Menikah 10 Hari Lalu
Suami Tak Tunjukkan Perubahan Ketara
Nur Syahirah berkata, suami tidak menunjukkan perubahan ketara cuma dia menyedari Mohd Nur Hisham yang tidak pernah memancing sebelum ini menunjukkan minat melakukan aktiviti itu dan mula membeli peralatan serta menonton cara memancing di YouTube sejak tiga minggu lalu.
“Biasanya setiap pagi suami akan pegang perut saya serta bacakan doa untuk kandungan tetapi semalam dia tak buat macam itu.
“Sebelum pulang kerja suami ada hantar gambar ‘selfie’ dan beritahu mahu balik pada jam 4.55 petang. Dia juga beritahu dia sayangkan saya dan ada beri lagu Hanya Satu nyanyian BPR di telegram,” katanya memberitahu mereka berdua berasal dari Kuantan, Pahang dan jenazah suami akan dikebumikan di Batu Lima, Kuantan.
Dua Lagi Mangsa
Sementara itu, Jufry Rustam, 37, yang juga sepupu kepada Hasrandy berkata, adik sepupunya berasal dari Inanam, Sabah itu masih bujang dan mereka tinggal bersama di Sitiawan.
“Sepupu seorang anak yang bertanggungjawab dan dia yang membantu keluarganya di Sabah termasuk masih menanggung persekolahan seorang adiknya,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Suhail berasal dari Sepanggar, Sabah.
Mingguan Wanita : Team MW merakamkan ucapan takziah kepada isteri mangsa dan mendoakan agar keluarganya datang menerima ujian ini. Al-Fatihah.
Sumber : Berita Harian
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

