Ketika rakyat Malaysia berhadapan dengan tekanan hidup yang semakin meruncing mengharungi peningkatan kos sara hidup, kekeliruan arah tuju kerjaya, sehinggalah hubungan yang makin renggang, satu peluang baharu dibuka semula bagi mereka yang benar-benar mahu mengubah hidup dari dalam.
Transformasi360, program pembangunan diri intensif anjuran RichWorks Academy Sdn. Bhd. (RichWorks Academy), bakal kembali untuk kali kedua pada 5 hingga 7 September 2025. Ini susulan sambutan luar biasa penganjuran pertama pada Mei lalu yang telah menghimpunkan lebih 3,500 peserta dari seluruh negara.
Pengasas & Presiden RichWorks Academy, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, melihat permintaan tinggi yang diterima, penganjur menyasarkan penyertaan kali ini akan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda, dengan sasaran minimum seramai 5,000 peserta untuk sesi September ini.
“Ramai yang menyuarakan rasa terkilan kerana terlepas peluang Mei lalu. Jadi kami adakan sekali lagi, tapi kali ini khas untuk mereka yang benar-benar serius mahu alami transformasi dalam hidup ini.
Bukan Sekadar Motivasi
“Transformasi360 bukan sekadar program motivasi, tetapi sebuah pengalaman sebenar yang menyeluruh dan mendalam. Ia membantu peserta mengenal kekuatan dan kelemahan diri dengan lebih jujur, memahami serta membuang corak sabotaj diri yang sering menjadi penghalang kejayaan dan menstruktur semula kehidupan termasuk aspek hubungan dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ads
Turut hadir, Pengarah Digital & Pengalaman Pelanggan Astro, Cynthia Seow dan Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman serta Ketua Pegawai Operasi RichWorks Academy, Dr. Radz Mohd.
Terdahulu, hampir 300 usahawan bimbingan beliau yang mengikuti program Ai Branding & Marketing Growth (AiBMG) diberikan peluang hadir ke ibu pejabat Astro bagi melihat dan alami sendiri ekosistem stesen penyiaran terbesar di negara yang boleh membantu dari segi penjenamaan dan pemasaran syarikat masing-masing.
Tambah Azizan, peserta Transformasi360 juga didedahkan kepada cara memperbaiki komunikasi dalam keluarga dan organisasi, serta mendalami tujuan hidup sebenar agar mereka dapat membina kejayaan yang lebih seimbang antara dunia dan akhirat.
“Menariknya, penganjuran kali ini turut dimantapkan dengan sokongan Astro sebagai rakan media strategik, yang akan membantu menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara — agar manfaat Transformasi360 dapat dirasai lebih meluas.
“Dengan elemen teknologi AI interaktif, peserta dibantu mengenal gaya tindakan dan emosi mereka, seterusnya mampu membuat perubahan yang lebih terarah dan kekal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azizan memberitahu, program ini dibangunkan berdasarkan pengalaman membimbing lebih 2 juta peserta dan ribuan usahawan selama lebih dua dekad.
“Transformasi360 ini bukan untuk yang hanya mahu ‘cuba-cuba’. Ia untuk yang benar-benar nak ubah hidup dan sanggup bertindak. Ini kali kedua dan mungkin yang terakhir untuk tahun ini,” tegasnya.
Orang ramai yang berminat boleh layari www.transformasi360.com dengan tempat adalah terhad dan hanya dibuka kepada mereka yang bersedia untuk mengalami perubahan sebenar dalam hidup.
Mahkamah Sesyen hari ini didedahkan dengan keterangan pegawai penyiasat kanan bahawa terdapat tumbuhan daun jenis pulai dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin.
Hari ini, krew Mingguan Wanita berpeluang turun padang ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk mengikuti perkembangan kes yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Objek Asing Dalam Abdomen
Menurut saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, dapatan itu hasil bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zayn Rayyan selain keputusan analisis oleh ahli kimia terhadap objek asing ditemui pada abdomen itu.
“Berdasarkan maklumat ini, saya jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai anggaran 10 meter dari tempat mayat Zayn Rayyan ditemui,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.
Perkara itu didedahkan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin pada perbicaraan hari ke-17 kes pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mohd Hafizee, 38, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya berkata dia menerima laporan hasil analisis kimia pada jam 8.55 malam, 12 Disember 2023.
“Pada jam 1.21 tengah hari 7 Disember 2023, hasil bedah siasat ke atas mayat Zayn Rayyan Abdul Matin terdapat kesan kecederaan yang berunsurkan jenayah.
“Semasa saya tiba dalam bilik bedah siasat, proses sedang dijalankan dan Dr Rohayu Shahar Adnan (perubatan perunding forensik) menunjukkan kepada saya keadaan telinga kiri Zayn Rayyan dalam keadaan seperti terkulai, lengan kanan terdapat kesan toreh dan dubur terdapat kesan tusukan objek,” katanya.
Mohd Hafizee yang kini bertugas sebagai pegawai kanan risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan berkata, terdapat beberapa kecederaan lain antaranya kesan lebam di dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir dan rahang yang ditemui pada mayat mangsa.
“Kesan kecederaan luka di bahagian telinga kiri, kesan lebam dan jerutan di bahagian leher, kesan luka seperti terhiris di bahagian lengan kanan, beberapa kesan kecederaan koyakan di bahagian dubur dipercayai menggunakan objek tumpul serta cebisan objek asing di dalam bronkus dan perut,” katanya.
Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-27, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor, Dr Rohayu Shahar Adnan dalam keterangannya mengesahkan terdapat benda asing di temui pada rongga tekak pernafasan sebelah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan.
Lelangit Lebam
Hasil bedah siasat itu juga menunjukkan, lelangit arwah Zayn Rayyan turut lebam menunjukkan benda asing dimasuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut dan benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana Zayn Rayyan bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing (choked to death).
Sementara itu, Mohd Hafizee memaklumkan, berikutan hasil bedah yang dikatakan ada unsur jenayah, dia membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagaimana arahan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD) IPD Petaling Jaya.
“Pada 10.30 malam (7 Disember 2023) saya bersama pasukan bergerak menuju ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di Apartment Idaman, saya bersama pasukan pergi ke rumah Zayn Rayyan iaitu di tingkat dua bersama-sama pasukan siasatan yang terdiri daripada pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan menjalankan siasatan di dalam rumah mangsa.
“Semasa masuk ke dalam rumah, saya terlihat sepasang kasut warna hitam dan terdapat kesan lumpur di sebelah peti ais di dalam bilik pertama di hadapan dapur. Saya kemudian arahkan pihak forensik untuk membuat tandaan dan arahkan jurufoto untuk mengambil gambar kasut itu untuk siasatan saya,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan pada 31 Mei 2024, kedua-dua tertuduh (Zaim Ikhwan dan Ismanira) ditangkap untuk siasatan berhubung kes yang kemudian pada 10 Jun 2024.
Sudah 25 tahun berlalu, namun kenangan hitam yang menimpa Allahyarhamah Noor Suzaily Mukhtar, gadis jurutera muda yang menjadi mangsa rogol dan bunuh secara tragis pada 1999 masih segar dalam ingatan adik lelakinya.
Menerusi ruangan komen perkongsian dimuat naik di platform Threads, lelaki itu mengakui bahawa dirinya adalah ahli keluarga terakhir yang sempat bertemu dengan Noor Suzaily sehari sebelum kejadian di mana arwah turut memberikan wang belanja kepadanya.
Bagi keluarga arwah, terutama sang adik yang mengaku sebagai individu terakhir bertemu Noor Suzaily sebelum kejadian, kehilangan itu bukan sekadar memori pahit, tetapi parut yang tidak pernah sembuh.
“Saya masih ingat hari itu seperti baru semalam. Saya ahli keluarga terakhir yang bertemu dia. Dia keluar rumah dengan senyuman, sempat pesan ‘jaga mak’. Tak sangka itu kali terakhir saya dengar suaranya,” luahnya dalam nada sebak.
Dalam perkongsian yang sama, adik Noor Suhaily juga memaklumkan bahawa kakaknya itu sememangnya banyak berkorban untuk keluarga malah sehingga ke saat akhirnya sebelum dijemput Ilahi dalam kejadian tragis itu.
Tragedi Gemparkan Tanahair
Tragedi itu menggoncang seluruh negara ketika Noor Suzaily, yang ketika itu berusia 24 tahun, diculik, dirogol dan dibunuh kejam selepas menaiki sebuah bas untuk ke tempat kerja. Jenayah itu mencetuskan gelombang kemarahan rakyat Malaysia terhadap keganasan terhadap wanita, malah menjadi antara kes jenayah paling menggemparkan era 90-an.
Kini, selepas suku abad, luka itu masih belum benar-benar pulih. Setiap kali berita mengenai jenayah terhadap wanita dipaparkan, wajah arwah kembali bermain di fikiran keluarga.
“Dia seorang yang lembut, bijak dan sangat menjaga maruah diri. Sampai sekarang, setiap kali teringat, dada ini masih sesak. Kami hanya mampu doa semoga rohnya tenang di sisi Tuhan,” ujar si adik lagi.
Bagi keluarga Noor Suzaily, masa tidak pernah benar-benar menghapuskan duka, ia cuma menenangkan sedikit gelora rindu yang tak bertepi.
“Keadilan sudah ditegakkan, tapi kehilangan itu kekal selama-lamanya. 25 tahun berlalu, tapi kasih kami pada Kak Su tetap hidup.”
Kronologi Kes:
Mengikut kronologi kejadian, mangsa berada perjalanan ke tempat kerja menaiki sebuah bas persiaran sebelum pemandu yang menyedari wanita terbabit hanya tinggal berseorangan di bahagian kerusi penumpang bertindak mengubah laluan.
Pengangkutan awam yang sepatutnya menuju ke Pelabuhan Klang malah dipandu oleh pelaku sehingga ke Jalan Bukit Tinggi, Klang sebelum bertindak memperkosa mangsa di sebuah kawasan tersembunyi.
Suzaily juga dipukul dengan teruk sampai meninggalkan 44 kesan kecederaan di tubuhnya sebelum dijerut pelaku menggunakan kain di bahagian leher hingga meninggal dunia dan jasadnya kemudian dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi.
Tiga hari selepas kejadian, pemandu bas dikenali sebagai Hanafi Mat Hassan berasal dari Bachok, Kelantan ditahan oleh pihak polis di terminal bas Klang namun suspek dilaporkan tidak mengaku bersalah ketika perbicaraan dimulakan.
Kebenaran bagaimanapun terbongkar apabila pihak polis menemukan kesan air mani milik Hanafi di atas lantai bas dan pada bahagian rahim Suzaily selain keterangan saksi utama yang merupakan pelajar sekolah terlihat mangsa mengetuk cermin tingkap bas dipandu suspek.
Menurut laporan The Star, suspek, Hanafi Mat Hassan, 38, dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas tuduhan merogol dan membunuh selepas gagal mengemukakan sebarang rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Disember 2006. Suspek gagal mengemukakan sebarang rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Disember 2006.
Nama pengasas produk jenama ANAS Cosmetics, Anas Zahrin tidak perlu diperkenalkan lagi. Sikap pemurah pempengaruh dan personaliti media sosial itu juga bukan perkara asing.
Memiliki pengikut yang ramai di media sosial termasuk di TikTok (3.6 juta) dan Instagram (834,000), usaha dan sikap caknanya membantu mereka yang dalam kesusahan tak kira di dalam dan luar negara juga cukup menginspirasikan.
Terbaru, seiring dengan ledakan gelombang Global Sumud Flotilla yang, Anas turut terpanggil lagi membantu rakyat Palestin di Gaza dengan menyerahkan sumbangan cek RM50,000 menerusi Persatuan Cinta Gaza Malaysia, hari ini (6 Oktober 2025).
Ia juga serentak dengan kejayaan mega jualan lipmatte jenamanya yang berjaya terjual 1 Juta di platform beli belah terkenal TikTok.
“Secara peribadi pun saya pernah sumbangkan kepada rakyat Gaza. Jadi kali ini ia jadi lebih bermakna kerana ia dibuat atas jenama, ANAS Cosmetics dan tentunya pembeli dan peminat jenama kami.
“Bererti jumlah sumbangan RM50,000 ini juga datangnya merangkumi hasil daripada pembelian lipmatte mereka,” Katanya.
Pemenang TikTok Shop Creator Of The Year. Anugerah TikTok MY 2023 itu berkata, usaha berkenaan tidak akan terhenti di situ saja.
“Sumbangan berkenaan juga sebagai satu usaha menghargai penyokong jenama kosmetik kami. Ia umpama ‘give back’ atau misi memberi kembali kepada yang memerlukan.
“Insya-Allah bulan seterusnya, Usaha murni ini berkemungkinan diteruskan serta disalurkan menerusi perbadanan kebajikan dan kemanusiaan lain.
“Barangkali boleh disalurkan ke Yayasan Nurjiwa milik Datuk Seri Siti Nurhaliza dan sebagainya. Tentunya bantuan saya untuk mereka di dalam negara juga akan diimbangi,” Katanya.
Ambil Langkah Proaktif
Dalam pada itu, Anas atau nama sebenarnya, Mohamad Anas Zahrin Atan juga menyeru mana-mana usahawan atau pemilik jenama produk lain turut mengambil langkah sama membantu mereka memerlukan.
“Saya pasti, usaha dan cetusan ini seharusnya dipanjangkan juga kepada ‘founder’ produk yang lain. Saya yakin, golongan berniaga seperti kami ini bukan tidak cakna.
“Tapi apabila ada hal sebegini yang diwar-warkan, Insya-Allah akan ada yang ambil inisiatif melakukan perkara sama. Tidak kira betapa kecil atau besar sumbangan itu, ia akan jadi bermakna buat mereka termasuklah rakyat Palestin,” Katanya.
Sebagai rekod, jenama ANAS Cosmetics mula dilancarkan pada Ogos 2017 dan terus berkembang maju hingga kini.
Malah, setiap perkongsian, ciapan, atau muat naik Anas di laman sosial termasuk di Thread akan mencuri perhatian dan diungkap semula.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.