Satu lagi cerita bahagia 6 beradik dan menantu yang menghadiahkan ayah dan ibu hiasan dalaman berkonsep ‘Vintage Retro Moden’ di rumah kampung yang juga rumah persinggahan keluarga berusia 50 tahun.
Ayah dan ibu 6 beradik ini, Mahmad Bin Darwis, 69 dan Muzairah Bt Md Dasan, 65 memang rajin pulang ke rumah kampung mereka. “Bila mak ayah teringin nak balik, mereka akan duduk sana.”
“Dalam setahun tu mungkin dalam 3 ke 4 bulan mak ayah akan stay sana. Ayah pencen polis mak pula suri rumah. Ini juga rumah singgah kami, berkumpul masa raya.” Ujar salah seorang anaknya, Afzainizam (Afzaini Zam Mahmad) ketika dihubungi Mingguan Wanita.
“Ini hadiah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Ibu untuk mak.” sambungnya lagi.
Cerita Surprise Deko Rumah Kampung Usia 50 Tahun
Enam beradik yang terlibat mula berkongsi dana. Share RM400 seorang / sefamili x 6 = RM2400.
Duit RM2400 itu digunakan untuk beli barang-barang yang perlu sahaja.
6 Anak & Menantu Yang Terlibat
1. Along Akramin & wife Razimah
2. Kak Ngah Aemizah & Husband Shariff Deen
3. Uda Azahrizam & Wife Nazira
4. Ateh Afzainizam & Wife Nursyaini
5. Kak Cik Ayunoraimie
6. Acu Ainnur Azura
Macam Inilah Plan Surprise Mak Ayah Bermula
√ Along adalah admin dan pegawai projek.
√ Plan dalam grup whatsapp dalam seminggu. Termasuk idea, konsep, pembahagian tugas dan untuk kutip duti RM400 seorang.
√ Kami terus bank in. Kak Ngah jadi bendahari.
√ Beli barang dalam 2 hari. Ateh dan isteri, Kak Cik cari barang-barang di KL.
√ 2 transport diperlukan untuk angkut TV, lampu dan sebagainya. Lelaki banyak membantu dari segi transport untuk angkut barang dr KL ke Johor, cat rumah dan kerja-kerja yang berat-berat.
√ Idea dan konsep memang dah terikat dengan barang-barang mak yang dia sayangkan sangat-sangat. Jadi kami fikirkan cara untuk kekalkan barang-barang yang lama dan diblendkan dengan konsep moden. Lepas bincang dalam grup whatsapp kami setuju guna konsep Vintage Retro Moden
√ Sebenarnya idea banyak dari kakak-kakak dan menantu perempuan. Macam warna kain langsir. Lakaran pula saya yang sketch supaya kerja kami cepat siap dan tak lari dari budget dan konsep. Dapur kami kekalkan sebab tak banyak yang perlu ditukar.
√ Saya (Afzainizam) dan isteri, Kak Cik, Acu, Along, Uda dan Kak Ngah dan suami Kak Ngah turun padang. Siapkan deko dalam masa 2 hari.
√ Ada yang isteri masing-masing jaga anak dan anak buah di KL sebab kami tak nak ada gangguan budak-budak.
√ Sebelum surprised kami banyak cerita pasal kampung dan rumah mak. Lepas cerita baru adik yang bongsu tunjukkan pada mak ayah gambar melalui handphone.
√ Kemudian, adik tanya mak, cantik tak rumah ini. Dia dok belek-belek 2 3 kali macam percaya dan tak percaya. Mak siap tanya. “Ini macam rumah mak je.. kat kampung.” Muka mak penuh tanda tanya.
√ Ini momen paling best, bila dia dan ayah dah dapat tahu terus dia cium kami semua dan ucap terima kasih sambil menitis air mata bahagia.
Catatan Anak Yang Mengundang Bahagia
Raya surprised!
Rancangan “Hanya kami sahaja yang pulang ke kampung tanpa pengetahuan mak & ayah” nampaknya berhasil. Hadiah dari kami adik-beradik & menantu untuk mak dan ayah.
Inilah hasilnya setelah susun atur semula dibuat, dengan cat dinding, beli sikit-sikit barang dari Ikea & Kaison, refurbished perabot-perabot lama dalam rumah dan yang paling mencabar sekali nak cari sarung kusyen 4 segi yang lejen tu. Susah kot nak jumpa!
Setelah berhempas pulas membawa barang-barang hiasan dari KL ke kampung halaman, akhirnya tercapai juga hasrat kami nak cantikkan rumah peninggalan untuk mak dari arwah atuk yang berusia lebih kurang 50 tahun ni di Kampung Layang Layang, Kluang, Johor.
Sempena Malaysia Baru
Memakan masa 2 hari kami gunakan secukupnya cuti peristiwa sempena kemenangan parti Pakatan Harapan, kami berjaya mengecat, menyusun, mengemas, tukar langsir, tikar getah dan macam-macam lah untuk rumah mak ni sebelum kemunculan bulan Ramadhan minggu depan. (catatan ini ditulis sebelum bulan Ramadhan)
Tahun ni mak & ayah bolehla kita beraya di kampung dengan suasana baru rumah berkonsepkan “vintage retro modern” sentuhan anak-anak mak. Kami hadiahkan buat mak & ayah sempena:
√ HARI RAYA AIDILFITRI 2018
√ HARI IBU
√ MALAYSIA BARU!
Doa Anak-anak, Menantu Untuk Mak Ayah
Moga mak & ayah selesa menyambut lebaran yang akan tiba di rumah singgah kita di kampung nanti. Seperti biasa mak & ayah akan balik dulu 2 minggu sebelum raya dan anak-anak lain akan menyusul selepas tu dengan menantu dan cucu-cucu untuk sama-sama berkumpul berhari raya di kampung.
Tak sabar wey nak raya tahun ni!
Sumber/Foto : Afzaini Zam Mahmad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI