Kegagalan fungsi buah pinggang adalah satu penyakit yang amat ditakuti dan digeruni oleh semua orang. Tetapi adakah kita semua maklum akan punca-puncanya?

Dan adalah lebih malang lagi apabila sering kali pesakit yang menghidapi penyakit buah pinggang mendapat pelbagai maklumat yang kurang mahupun tidak tepat tentang penyakit mereka.

Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Unit Nefrologi dan Dialisis, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan UKM, Dr. Ruslinda Mustafar menjelaskan, sebagai manusia kita tidak boleh lari dari bersifat menafikan (denial) tentang keadaan diri kita.

“Namun dengan khidmat nasihat dan jaga-rawatan yang baik, pesakit seharusnya sedar dan mengambil pelbagai langkah yang betul bagi mengelakkan keperluan kepada rawatan dialisis,” ujarnya.

Semakin Meningkat

Menurut satu kajian di negara kita pada tahun 2013, ia menunjukkan bahawa 9 dari 100 orang di Malaysia (9 peratus) menghidap penyakit buah pinggang kronik (chronic kidney disease – CKD).

Adalah amat mengerikan apabila bilangan mereka ini semakin menaik saban tahun dengan statistik menunjukkan hampir 40,000 rakyat Malaysia menjalani rawatan dialisis pada tahun 2016.

Daripada statistik yang sama juga di dapati golongan wanita menyumbang kepada 45 peratus kepada jumlah pesakit yang menjalani rawatan dialisis dan selebihnya adalah golongan lelaki.

Kajian juga mengunjurkan sehingga tahun 2020 adalah seramai 51,269 orang dan pada tahun 2040 seramai 106,249 orang akan menjalani rawatan dialisis .

Ini adalah satu unjuran yang tidak harus dikagumi dan semua perlu memainkan peranan dalam memastikan unjuran ini tidak berlaku.

Lima Tahap Keterukan

Dr. Ruslinda menjelaskan penyakit buah pinggang kronik dalam istilah mudahnya adalah apabila berlakunya masalah pada buah pinggang yang berlarutan melebihi tiga bulan.

Penyakit ini boleh dikategorikan kepada lima tahap keterukan dan tahap lima adalah satu tahap yang berbahaya dan memerlukan rawatan dialisis terutamanya apabila tanda-tanda kerosakan buah pinggang telah timbul.

IKLAN

Doktor yang merawat masalah buah pinggang akan mengira tahap keterukan kerosakan buah pinggang berdasarkan ujian air kencing dan ujian darah yang dijalankan.

Perlu Ditangani Dengan Penuh Disiplin

Penyumbang utama kepada kerosakan buah pinggang di Malaysia adalah penyakit kencing manis ataupun dikenali juga sebagai diabetes.

Ujar Dr. Ruslinda, pada asasnya ramai yang masih menganggap bahawa masalah diabetes adalah masalah remeh, namun penyakit yang diibaratkan seperti “bara di dalam sekam” ini adalah musuh utama kepada penghidapnya dan  perlu ditangani dengan penuh disiplin.

“Cara hidup yang lebih tidak aktif, kegemukan, pemakanan yang tidak sihat dan adanya sejarah keluarga dengan diabetes akan menaikkan risiko anda untuk mendapat penyakit diabetes.

Penyakit kencing manis bukan sekadar menyebabkan gula di dalam darah akan naik, malahan sekiranya tidak dikawal boleh mengakibatkan kerosakan-kerosakan kepada organ mahupun sistem dalaman yang lain seperti kepada saluran darah, saraf, kulit, mata, buah pinggang dan juga jantung.

Kerosakan-kerosakan ini selalunya dilabel sebagai tidak dapat dipulihkan (irreversible) sekiranya telah berlaku.

Maka seharusnya pencegahan adalah menjadi keutamaan dan kepada penghidap kencing manis mereka perlu untuk mengelakkan terjadinya komplikasi-komplikasi tersebut dengan mendapatkan rawatan yang sempurna dan sebaik mungkin dari doktor atau pakar yang bertauliah.”

Tanda-tanda Lewat Kerosakan Pada Buah Pinggang

Ujar Dr. Ruslinda lagi, buah pinggang kita adalah bersifat ‘ bekerja selagi terdaya ‘. Oleh kerana itu kerosakan buah pinggang yang disebabkan diabetes selalunya tiada tanda-tanda pada tahap awal.

IKLAN

Pesakit selalunya akan diberitahu berkenaan masalah pada buah pinggang mereka melalui ujian-ujian air kencing dan darah yang dijalankan.

Antara tanda-tanda lewat kerosakan pada buah pinggang adalah:

-Air kencing yang berbuih

-Bengkak pada kaki / mata

-Loya

-Muntah

-Lesu

-Kurang selera makan

IKLAN

-Kurang buang air kencing

Cara Pencegahan

Penyakit buah pinggang yang disebabkan oleh kencing manis boleh dielakkan sekiranya langkah kawalan dan pencegahan dilakukan pada peringkat awal dengan mengamalkan cara hidup sihat, pengambilan pemakanan yang seimbang, kurangkan makanan manis dalam diet seharian dan sentiasa melakukan senaman.

Pesakit juga perlu mengambil ubatan yang disyorkan oleh doktor yang bertauliah.

Dr. Ruslinda menasihatkan agar 7 perkara tunjang ini dibuat dalam penjagaan buah pinggang.

1-Kekal cergas dan aktif

2-Amalkan pemakanan yang sihat dan sentiasa memastikan berat badan yang ideal

3-Sentiasa pastikan kandungan air dalam badan yang mencukupi, air bukan sahaja baik untuk kulit malahan buah pinggang Ia juga akan mengurangkan risiko batu karang.

4-Jangan merokok

5-Jauhkan diri anda dari mengambil makanan tambahan (suplemen) dan ubatan-ubatan tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

6-Kawal tekanan darah.

7-Pastikan fungsi buah pinggang anda sentiasa diperiksa terutama sekiranya anda penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung.

Artikel sumbangan : Dr. Ruslinda Mustafar, Pakar Perunding Nefrologi  & Ketua, Unit Nefrologi dan Dialisis, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI