Semangat Umpama “Hari Pertama” Mesti Sentiasa Ada, Barulah Kita Kekal Gembira

Semangat yang membeza seseorang dalam tiap apa juga perkara yang dilakukan dalam hidup. Bila kita kekal bersemangat, barulah kita akan sentiasa bersikap positif untuk mencapai apa yang dihajati.

Apabila seseorang ditanya tentang umurnya, jawapan yang diberi merupakan angka dan nombor yang menggambarkan tahun-tahun yang dilalui sepanjang kehidupan sebelum itu. Semakin lanjut umur seseorang, maka semakin sepi kehidupan kerana menghitung hari-hari menuju ke penghujung penghidupan.

Kurang Motivasi

Faktor umur yang diukur mengikut angka dan nombor sering mengundang kenangan silam yang negatif sehingga kurang motivasi dalam urusan kehidupan yang sedang dan bakal dilalui.

Apa kata sekiranya ditanya tentang umur, kita tukar jawapan. Usah sebutkan umur bilangan angka dan nombor, tetapi jawablah, “Umur saya ialah saat ini, ketika ini, ia baru hendak bermula”. Ia membawa kita pada kedudukan hari-hari pertama kita dilahirkan ke dunia ini yang penuh dengan keceriaan dan keazaman yang tinggi.

Semangat Umpama “Hari Pertama” Mesti Sentiasa Ada, Barulah Kita Kekal Gembira

Indahnya Hari Pertama

Bukankah hari-hari pertama dalam hidup kita merupakan detik yang penuh kegembiraan, ceria dan kasih sayang. Hari pertama kita hadir di muka bumi disambut oleh kedua ibu bapa dengan hati yang begitu gembira dan seronok. Bau yang enak dan tersendiri pada bayi yang baru lahir menjadikan ibu bapa merasakan tidak pernah puas menciumnya.

Begitu juga halnya dengan hari-hari pertama (malam pertama) dalam kehidupan berkeluarga. Ketika mula diijabkabulkan sudah tentunya hati kedua mempelai bagai disiram air dari syurga. Satu perasaan yang sukar digambarkan tetapi mudah difahami.

Apa yang tergambar di dalam kotak pemikiran dan sanubari perasaan mereka, kehidupan mereka bakal menempuh saat-saat yang penuh dengan kebahagiaan. Tambahan pula, kehadiran anak-anak yang bakal lahir daripada perkongsian hidup tersebut tambah menyerikan sinar kehidupan hidup berkeluarga.

Semangat Masuk Alam Pekerjaan

Begitu jugalah situasi yang sama berlaku di dalam kerjaya. Hari pertama melangkah kaki ke pejabat penuh dengan segala keazaman malah apa sahaja yang diamanahkan diterima dengan dada yang lapang.

Segala sesuatu yang sukar dianggap hanyalah sebagai cabaran dalam kerjaya tetapi bukan halangan yang boleh menjejaskan prestasi pekerjaan. Ke mana sahaja diarahkan menjadi tempat bertugas bukanlah halangan bagi individu yang sangat kepingin dan mengharapkan pekerjaan tersebut.

IKLAN

Baca artikel menarik di sini:

Jaga Suami Sakit Kena BANYAK SABAR, Sentiasa Beri Sokongan Dan SEMANGAT!

Kesedihan Berlarutan Tak Mampu Memberi Faedah, Selepas Bercerai Bangkitlah Kuatkan Semangat

Konon Nak Bagi Semangat Pada Si Janda, Tup tup Suami Pula Yang ‘Lemah Semangat’!

Bila masa berlalu, Semangat Kian Pudar

Sebaliknya pula, situasi begini akan berubah sekiranya kita melakukan sesuatu kerana orang lain, maka apabila waktu berlalu dan kita merasakan kepenatan, jemu dan bosan maka mula kita menyesal, kecewa dan kadang-kadang menyalahkan takdir.

Ibu bapa mula kecewa apabila anak yang semakin membesar mula nampak melawan, menunjukkan tingkah laku yang negatif, ditambah dengan pencapaian akademik yang mengecewakan. Isteri yang saban hari balik daripada pejabat berkejar ke dapur masak untuk suami yang tersayang, kecewa apabila suami balik ke rumah dalam keadaan kekenyangan tidak menjamah pun masakan isteri.

Mulalah segala yang berlaku selepas itu, semuanya tidak kena mengikut rentak dan api kemarahan yang tercetus dari tajuk ‘suami kekenyangan’.

IKLAN

Bos di pejabat menghentak meja apabila pekerja yang dahulunya berprestasi tinggi kini mula menunjukkan sifat malas, ponteng dan kadang-kadang membentuk pasukan membenci dan kadang-kadang memfitnah seolah-olah meludah periuk nasi sendiri. Tempat kerja sudah menjadi tempat serba tak kena, membosankan dan kelihatan apa yang dirancang untuk menambah produktiviti menjadi target cemuhan. Sudah tentulah segala kesalahan diletakkan pada orang lain kecuali diri sendiri.

Kembalikan Semangat Hari Pertama

Kembalilah pada hari-hari pertama anda waima sebagai apa pun, anda akan rasa dihargai, dikasihi dan merasa sungguh bahagia. Hari pertama lahir ke muka bumi, anda dilimpah dengan kasih sayang, ciuman mesra dan kehadiran anda yang cukup dirasakan.

Hari pertama sebagai suami isteri yang penuh dengan kasih sayang, nikmat dan kebahagiaan yang sungguh mengasyikkan. Sebagai pelajar yang menganggap perjuangan mencari ilmu dan kemahiran merupakan perjuangan yang tidak ada tolok badingnya tentunya kesedaran ini menolak rasa malas, penat dan jemu jauh-jauh daripada diri mereka.

Pekerja di peringkat mana sekalipun, hari-hari pertama penuh dengan kenangan manis, kenangan ini boleh membantu menenggelamkan rasa jemu, bosan, teriniaya. Rasa kasih dan sayang pada orang yang disayangi kita menjelma kembali kekuatan semangat hari pertama.

Anggap “Kita Baru Bermula”

Hari pertama samalah juga Nabi Adam a.s. bermula hidupnya di syurga. Nabi Adam dan Hawa turun ke dunia untuk satu perjalanan kehidupan yang ingin menebus kembali ijtihad mereka yang tersilap. Namun kesilapan inilah yang menyebabkan Nabi Adam terus diangkat menjadi rasul dan turun ke bumi.

Dalam mengharungi apa jua cabaran hidup, semangat hari-hari pertama serta ‘usia baru bermula’ mampu memberi kita kekuatan dan semangat baru dalam meneruskan kehidupan dalam suasana yang penuh keceriaan dan kegembiraan.

IKLAN

Letakkan jiwa dan pemikiran kita pada kedudukan ‘baru bermula’ dalam melaksanakan apa juga tugas dan tanggungjawab, barulah timbul kekuatan dan keseronokan dalam bekerja dan beramal.

Sumber: Dr Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI