Ternyata biar pun makanan sejuk beku, ianya juga mudah tercemar dengan virus Covid-19. Oleh sebab itu mak,ayah seharusnya mengambil langkah pencegahan dan berhati-hati.
Biar pun di luar negara, ia tetap membimbangkan. Selepas dibuat ujian, makanan sejuk beku yang diimport dikesan positif Covid-19.
Makanan Sejuk Beku Dikesan Positif Covid-19
Wuhan: Sampel tiga bungkusan makanan sejuk beku yang diimport ke pusat bandar Wuhan didapati positif Covid-19 selepas ujian saringan dijalankan.
Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan berkata, ia membabitkan dua sampel daging sejuk beku dari Brazil yang disimpan di gudang selain satu lagi membabitkan ikan sejuk beku spesies patin dari Vietnam yang disimpan di gudang berasingan.
Pihak berkuasa turut mengasingkan dan menjalankan saringan asid nukleik ke atas pekerja yang didapati ada kontak langsung dengan produk makanan berkenaan tetapi kesemuanya didapati negatif Covid-19 setakat ini.
Namun, penghantaran stok makanan sejuk beku dari sampel makanan yang tercemar itu belum dipasarkan di pasar basah, lapor portal People.
Ads
Makanan Sejuk Beku Yang Diimport Dikesan Positif
China juga meningkatkan usaha untuk menyekat kemasukan makanan import bagi mengekang penularan Covid-19 terutama selepas terdapat beberapa kes membabitkan produk sejuk beku import disahkan positif virus itu.
Kementerian Pengangkutan China mengeluarkan garis panduan pada pertengahan November lalu bagi mengelakkan penularan Covid-19 menerusi rantaian makanan sejuk beku melalui jalan darat dan air.
Pegawai Kanan Kastam China, Bi Kexin, pada sidang media minggu lalu, memaklumkan lebih 800,000 sampel produk sejuk beku sudah diuji dan kebenaran eksport 99 pembekal luar negara ke China sudah dihentikan.
Ads
MW: Buat masa ini lebih baik mak,ayah membeli stok makanan yang tidak diimport atau ambil tahu dari mana makanan sejuk beku diimport. Walaupun perkara ini berlaku di luar negara, namun apa salahnya mengambil langkah berjaga-jaga.
Wanita sangat cepat berasa sedih dan hatinya mudah rapuh terutamanya bila berkaitan tentang suami dan anak-anak. Apatah lagi bila suami dan beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 dan nasib dirinya dan anak-anak masih samar.
Begitulah yang dirasai oleh isteri kepada penyanyi Alif Satar, Sha Dila Hadid semalam dimana hatinya bercampur baur dan sedih sebelum mengetahui keputusan ujian saringan yang dilakukan pada dirinya dan tiga anak kecil adalah negatif.
Menerusi perkongsian, di laman Instagram miliknya, isteri Alif bertambah sedih apabila dua anak kecilnya Ariana dan Ali menangis ketika swab test dilakukan.
Ibu kepada tiga orang anak ini tidak sanggup menahan sedih dan sebak apabila melihat tiga anaknya Alisha Anugerah, 5 Ariana Mecca, 3 dan Muhammad ‘Ali, 1 sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 di kediamannya.
“Selepas Alif disahkan positif, semua ahli keluarga pergi buat ujian saringan di klinik dan hospital, tapi saya di rumah bersama tiga anak yang masih kecil.
“Saya juga tak boleh nak pandu kereta kerana Alif orang terakhir yang memandu kereta itu. Jadi, saya lakukan ujian saringan di rumah dan doktor datang jam 9.30 pagi.
“Ketika ujian dilakukan, kesiannya tengok anak-anak kerana saya sendiri rasa tak selesa, inikan pula mereka.
“Mereka mula menangis terutama Ariana dan Ali. Jadi, sedih sangat tengok mereka. Tapi, ini tanggungjawab yang mana memang kena buat juga,” tulis Sha Dila.
Isteri Alif juga menerangkan mereka sekeluarga tidak menunjukkan sebarang gejala.
“Kami tidak ada sebarang gejala dan saya berasa keputusannya negatif. Tapi apabila dapat tahu mentua dan adik Alif positif, saya menjadi risau. Alif juga tidak ada gejala, tapi positif.
“Disebabkan belum tahu keputusan, jadi semalam saya kemaskan baju dan keperluan anak-anak dalam beg. Jika keputusan positif, jadi semuanya sudah tersedia, sekiranya ambulans datang mengambil kami” luahnya yang mengakui tidak dapat menahan air mata ketika itu kerana terlalu sedih.
Wanita kesayangan Alif ini juga menyatakan dia tidak boleh tidur semalaman memikirkan pelbagai kemungkinan yang mendatang.
“Macam-macam saya fikirkan. Paling menakutkan bagaimana jika saya positif tapi anak-anak negatif atau seorang anak negatif dan dua lagi positif?
“Saya fikir macamana keadaan ketika itu. Adakah diasingkan atau kuarantin bersama? Kalau diasingkan anak-anak duduk dengan siapa? Siapa nak menjaga mereka? Kiranya semalam memang tak boleh tidur jika terjadi keadaan seperti ini.
“Alhamdulillah, ketika dimaklumkan ujian saringan negatif, tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana.
“Dalam masa sama lega, tapi saya tahu perkara ini belum berakhir apatah lagi Alif dan keluarga lain sedang dirawat di hospital dan melawan virus ini. Jadi, perasaan bercampur baur. Saya nak semua orang akan kembali sihat selepas ini.
“Tahun ini memang tahun mencabar buat semua orang. Jadi, saya berharap semua boleh menyokong pesakit dan sesiapa saja sebab semua terkesan dengan penularan wabak ini.
“Walaupun orang itu tak kena Covid-19, tapi dari segi ekonomi, kerja, keluarga dan macam-macam lagi mereka terkesan. Jadi, kita perlu bersama-sama. Terima kasih pada semua yang mendoakan dan sudi membantu,” kongsinya yang cukup memberi kesan kepada setiap yang membaca.
“Kasihan Bila Pakwan Kena” – Sha Dila
Terbaru Alif Satar telah berkongsi entri di Instagram di mana datuknya yang kini berusia 91 tahun turut disahkan positif Covid-19, Sabtu lalu.
Datuknya, Mohamad Che Noh atau dipanggil Pakwan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. Turut dirawat di sana ialah ibu, bapa dan adik bongsu Alif yang juga dijangkiti Covid-19.
“Pakwan (datuk) saya, 91 tahun juga pesakit Covid-19. Saya minta tolong semua untuk doakan agar Pakwan saya terus kuat dan dikurniakan kesihatan seperti biasa. Semoga Allah merahmati kalian semua.
“Terima kasih warga barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh kerana menjaga keluarga saya dan semua pesakit Covid-19. Anda semua sudah jalankan tugas dengan baik,” tulisnya.
Seperti mana dipetik menerusi Harian Metro Sha Dila berasa simpati dengan Pakwan.
“Pakwan pun disahkan positif pada Sabtu lalu. Dia tidak ada apa-apa sakit kronik, cuma jalan saja kena pimpin atau pakai tongkat.
“Mungkin Pakwan terkena jangkitan sebab semua bergilir-gilir menjaga dia. Kasihan juga apabila dia kena,” üjar Sha Dila.
Sumber: Harian Metro
Sumber/Sumber Foto: Instagram Sha Dila dan Instagram Alif Satar
Sudah tentu bibit-bibit penyesalan mulai timbul setelah suspek hari ini mulai ditahan reman. Apa yang berlaku adalah ujian buat dua-dua belah keluarga sama ada mangsa atau suspek.
Ditahan atas tuduhan membunuh apatah lagi kawan baik bukanlah satu kenyataan yang mudah ditelan.
Rata-rata netizen mula menghukum suspek kerana tergamak membunuh rakan baiknya dari tingkatan biarpun mahkamah belum menjatuhi hukuman.
Hari ini Ketika hadir dimahkamah sambil diiringi polis, air mata remaja ini mula bergenang sebaik masuk mahkamah, malahan suspek hanya tunduk sepanjang prosiding.
Air mata seorang remaja perempuan bergenang ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Nor Surya Ismail, 19, di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong di Hulu Terengganu kelmarin.
Remaja berusia 19 tahun yang merupakan rakan baik Allahyarham itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.10 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan tudung hijau.
Remaja itu hanya menundukkan wajahnya ketika keluar daripada kenderaan polis, bagaimanapun matanya mula bergenang sebaik sahaja masuk ke mahkamah.
Selepas kira-kira 40 minit, suspek yang keluar dari mahkamah masih kekal tunduk di samping matanya yang berair hingga masuk ke kenderaan polis.
Remaja yang tinggal hampir dua kilometer dari kediaman Siti Nor Surya itu ditahan kira-kira pukul 8.15 pagi di Balai Polis Telemong di Hulu Terengganu semasa tampil memberikan keterangan, semalam.
Suspek dikatakan hadir ke balai polis pada pukul 7.30 pagi dengan ditemani ibunya bagi memberi keterangan, namun ditahan susulan hasil keterangan yang mencurigakan di samping terdapat beberapa kesan kecederaan pada tangan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Siti Nor Surya ditemukan mati tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di samping kesan kecederaan lain di muka dan badan.
Sementara itu, polis masih menyiasat sama ada pelajar perempuan tingkatan enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, melakukan jenayah itu bersama individu lain atau berseorangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, siasatan awal mendapati suspek berusia 19 tahun dipercayai melakukan jenayah itu bersendirian hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.
“Setakat ini , kita tidak boleh sahkan sama ada suspek ada rakan jenayah yang lain atau sebaliknya kerana siasatan masih di peringkat awal.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.
Mengenai motif kejadian pula, Mohd Adli berkata, hasil siasatan awal masih menjurus kepada perselisihan faham namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kita akan memanggil beberapa saksi yang boleh membantu melengkapkan siasatan termasuk ahli keluarga suspek dalam masa terdekat.
“Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya juga negatif, ” katanya.
Mohd Adli turut meminta netizen tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kerisauan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berdegil menyebarkan berita tidak benar.
Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman.
Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga Isnin dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.
MW: Siapa pun yang bersalah, biarkan sahaja mahkamah sahaja menjatuhkan hukuman. Semoga kematian Surya mendapat pengadilan sepatutnya.
Suasana pilu terus menyelubungi keluarga Allahyarham Siti Nur Surya, 19. Mangsa pembunuhan kejam yang dipercayai rakan sendiri di ruang tamu kediamannya di Kampung Lubok Batu, Telemong.
Sekitar 8.15 malam Isnin tadi, sudah pun selesai pengebumian jenazah Siti Nur Surya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu.
Ahli keluarga bagaikan dalam mimpi. Sukar untuk membendung rasa rindu pada anak perempuan yang banyak berjasa. Dan kini sudah pun tiada. Sanggup pula melupakan impian hidupnya demi menjaga ibu yang terlantar sakit kanser otak tahap tiga.
“Sedih, rasa macam mimpi kakak dah takde.” Luah Siti Nurliyana Syuhada Ismail, 15 insan pertama yang menemui kakaknya sudah tidak bernyawa lagi.
Waktu hayat arwah masih ada, kakaknya itulah yang selalu menghantar dan menjemputnya pulang sekolah. “Arwah sangat baik. Saya akan merinduinya selepas ini.”
“Saya tak sangka tragedi berdarah ini berlaku pada kakak. Ketika melihat mayatnya dengan pergelangan tangan kiri putis, saya takut dan terus keluar rumah untuk menelefon bapa.”
Arwah punya impian mahu jadi seorang pelukis pelan. “Demi kasih arwah pada ibu, mahu jaga ibu yang sakit, dia sanggup korbankan pelajaran. Tak mahu sambung pengajian sebaik tamat tingkatan lima.
“Sepatutnya arwah sambung pengajian dalam bidang lukisan pelan senibina di Akademi Binaan Negara (ABN) Hulu Terengganu Januari tahun ini.”
Demikian maklum bapanya Ismail Muda, 58 yang sama sekali tidak menyangka anaknya dibunuh rakan sendiri.
Kenalan Allahyarham itu sudah pun ditahan untuk siasatan, namun dia tetap tidak menyangka gadis sebaya anaknya itu sanggup mengambil tindakan sedemikian kejam, jika benar dakwaan berkenaan.
Dari kesan tapak kaki beserta darah di lantai pintu menuju pintu bilik, dia dapat kesan beberapa tapak kaki kecil. Malah, pada pintu almari ditabur bedak. Dipercayai untuk menghilangkan kesan cap jari.
“Arwah dah lama berkawan dengannya. Tapi tak tahu apa yang berlaku sampai jadi pembunuhan.”
Ismail sendiri tak dapat jelaskan sama ada isterinya itu tahu atau tak dengan tragedi yang menimpa anaknya. Secara zahir tak nampak wajah isterinya bersedih, namun dihatinya tiada siapa tahu.
Ketika jenazah diusung keluar dari ruang tamu sekitar jam 6.30 petang, Ismail maklumkan pada isteri. Palingkan muka isteri ke arah keranda. Agar isteri dapat lihat keranda anak buat kali terakhir.
Namun, isterinya hanya memandang tanpa reaksi.
Bagaimanapun, ahli keluarga dan tetamu ketika itu berada di ruang tamu tak dapat menahan kesedihan dan kepiluan hati mereka.
MW : Semoga roh Allahyarham Siti Nur Surya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Dan kematiannya mendapat pembelaan yang setimpal.
Selepas 21 hari dihantar ke penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan dirinya bersalah atas kesalahan rogol, hari ini Mahkamah Rayuan membebaskan sementara Da'i Syed.