Dewasa ini ramai wanita yang dilihat mempunyai status pendidikan yang lebih tinggi berbanding lelaki. Justeru itu, ada dalam sesebuah perkahwinan, sang isteri mempunyai jawatan atau pangkat yang lebih tinggi daripada suami. Apakah keadaan ini akan membuatkan suami selaku ketua keluarga tercabar dengan kedudukan suri hatinya? Bagaimanakah untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga jika ini yang berlaku? Ikuti kupasan lanjut bersama Prof Madya Dr. Mohd Nor Mamat, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM.

Sekufu Atau Setaraf

Menurut Dr. Mohd Nor bukanlah satu kesalahan sekiranya berlaku perkahwinan antara suami dengan isteri yang berpangkat lebih tinggi. Apa yang penting masing-masing sedar dan menunaikan peranan sebagai suami dan isteri secara positif. Namun, pada sudut psikologinya, isteri yang berkedudukan tinggi dibimbangi terbawa-bawa sikap sebagai bos di rumah, menyebabkannya memandang rendah suami yang berpangkat biasa atau rendah. Keadaan ini boleh menyebabkan suami rasa tidak dihormati dan peranan sebagai ketua keluarga yang membuat keputusan dalam rumah tangga akan tercabar. Inilah juga kaitan pentingnya konsep kesesuaian taraf yang sepadan (kufu’) yang digariskan dalam Islam.

“Isteri yang bijak akan menyesuaikan dirinya di rumah dengan sifat-sifat seorang isteri yang menghormati suami. Pangkat di tempat kerja tidak dibawa balik ke rumah, kerana suami adalah ketua jabatan kita di rumah. Hormat, taat dan menguruskan rumah tangga untuk suami dengan layanan mesra adalah faktor yang membahagiakan suami. Meskipun ego suami mungkin rasa tercabar dek kedudukannya lebih rendah berbanding isteri, namun rasa bahagia dihormati, akan menghilangkan rasa rendah diri atau tercabar tersebut.

“Apa yang perlu difahami oleh isteri ialah fitrah lelaki ingin dipercayai dan dihormati berbanding dibantu ataupun dilindungi. Menolong seikhlasnya bukanlah tiket untuk dihargai oleh suami, tetapi jika ditolong dengan penuh penghormatan akan lebih dihargai suami. Contohnya, membayarkan makanan untuk suami di restoran bukanlah sesuatu yang disukai suami, walaupun ikhlas. Tetapi suami pasti lebih gembira jika kita secara diam menyerahkan sebahagian gaji kita sebagai hadiah kerana benarkan kita bekerja. Itu semua tujuan digunakan bagi membayar makanan dan keperluan keluarga. Dengan berbuat begitu di hadapan ramai, kelihatan suami kita yang menanggung belanja keluarga. Elakkan juga menunjukkan yang kita hidup secara mewah, walaupun menggunakan duit kita sendiri kerana suami akan rasa tercabar dan terhina,” terangnya dengan panjang lebar.

Peranan Suami

IKLAN

Suami juga ada peranan tersendiri dalam memastikan tugas sebagai ketua keluarga dapat dilunaskan dengan sumber pendapatan yang ada.

Jelas Dr. Mohd Nor lagi sebagai suami, perlulah berusaha sedaya upaya bagi mengukuhkan pendapatan sebagai ketua yang menyara nafkah keluarga. Walaupun ada sebahagian isterinya lebih tinggi pangkat dan jawatan, tetapi dengan kecukupan untuk menyara keluarga, rasa rendah diri tidaklah begitu mengganggu. Pada masa yang sama, sebagai isteri, elakkan daripada rasa sombong ataupun merendah-rendahkan suami kerana ia mudah mencabar ego suami.

Sebaiknya, harta suami dan isteri dikumpulkan jadi harta keluarga dan diuruskan oleh suami, dibantu oleh isteri. Isu ego akan timbul bila kita mula mempertikaikan hak kita dan tanggungjawab pasangan yang tidak terlaksana. Sebaiknya, tidak ada istilah harta isteri dan harta suami, tetapi lebih kepada harta keluarga bersama dan diuruskan mengikut aturan agama.

IKLAN

Suami soleh akan menggunakan harta yang dicari untuk menyara dan membahagiakan keluarga. Isteri solehah pula bergantung dan akur kepada suami sebagai ketua pengurus keluarga. Jika kewangan harta dianggap sebagai hak milik peribadi, suami yang lebih rendah gajinya akan semakin menjauhkan diri, dan mungkin akan bertemu orang lain yang lebih menghormatinya. Begitu juga isteri, bila dah mula rasa suami seolah tidak bertanggungjawab malah dia yang menyara suami dan mulai merasakan tidak lagi memerlukan suami, ketika inilah hubungan akan mulai bermasalah.

Antara peranan isteri yang lebih berpangkat bagi memastikan keharmonian rumah tangga termasuklah:

  1. Isteri perlu bijak mainkan peranan sebagai isteri di rumah, kerana tidak ada suami yang mengharapkan seorang bos perempuan balik ke rumah dan tinggal bersamanya.
  2. Ikhlaskan diri kita bekerja untuk keluarga, bukannya untuk diri kita sendiri. Seba itulah, Islam tidak mewajibkan isteri bekerja mencari nafkah, tujuan yang dibenarkan apabila tujuan utama membantu suami.
  3. Beri kepercayaan untuk suami mengurus dan membuat keputusan bagi penggunaan dan perbelanjaan harta keluarga yang dikumpulkan bersama. Suami yang diberi kepercayaan dan dihormati keputusannya lebih bahagia dan mudah cenderung untuk membahagiakan orang yang disayangi.
  4. Elakkan wujud hartaku, hartaku jua kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak dipercayai dan curiga satu sama lain.
  5. Elakkan bercerita tentang status kedudukan di hadapan suami dan elakkan bercerita status suami yang lebih rendah di hadapan orang ramai, walaupun kadangkala dalam keadaan bergurau.
  6. Elakkan mengungkit pemberian kepada suami, kerana itu adalah antara yang mudah mencalar ego suami seolah dia tidak mampu menyara keluarga dan bergantung kepada isteri.

Tip Bagi Membantu Suami Secara Positif:

IKLAN
  1. Bagi menjaga kebahagiaan masing-masing, sebagai isteri berilah kepada suami tanpa pengetahuan orang lain.
  2. Elakkan mengungkit pemberian kerana ia amat melukakan suami.
  3. Jangan sampai bantuan yang dihulurkan menampakkan seolah isteri mengambil tugas suami, tetapi pastikannya seperti bantuan, penambahan ataupun perbelanjaan lain dan diberikan dengan mesra, bukannya dalam keadaan merajuk atau menyindir.

Tip Buat Suami:

  1. Kikis rasa tercabar bila isteri membantu sebaliknya hargailah pertolongan tersebut. Uruskan pemberian tersebut untuk keluarga, bukan untuk diri sendiri. Ini akan menambahkan kepercayaan isteri untuk lebih mudah berkongsi hartanya dan memberi kepercayaan suami menguruskannya.
  2. Suami pula, jangan sampai meminta-minta harta isteri kerana ia boleh merendahkan martabat lelaki pada pandangan isteri.
  3. Bekerjalah untuk menyara keluarga dan isteri, kerana inilah tujuan asal kita bekerja.

Inilah hikmah Islam menetapkan konsep ‘sekufu’ iaitu sesuai dan sepadan contohnya pada sudut latar belakang keilmuan, kekayaan, keturunan dan sebagainya agar tidak timbul masalah jurang antara suami dan isteri. Isteri yang mempunyai PHD bercakap dengan bahasa ilmiah yang tinggi sedangkan suami orang kampung yang belajar di pondok, sudah tentu laras bahasanya berbeza. Begitu juga kalau isteri kaya dan suami terbiasa hidup sekadarnya dalam keadaan serba kekurangan, boleh jadi mudah untuk isteri melawan suami atau memperlekehkan malah mungkin berlaku kurang ajar kepada suaminya kerana dia lebih mampu tanpa suami, sedangkan suami adalah walinya.

“Islam bukanlah melarang daripada berkahwin dengan wanita kaya, namun ketentuan Islam tentang hak dan tanggungjawab suami isteri adalah menepati fitrah manusia. Isteri, bekerja utk keluarga dengan keizinan suami dan anggaplah pendapatan yang diperolehi itu sebagai pendapatan untuk keluarga.

Suami, berusahalah sedaya mungkin menjadi ketua keluarga yang mampu menyara hidup ahli keluarga dan sekiranya berharta ataupun kaya dengan sebab pendapatan tersebut dicampur dengan pendapatan isteri, perlu ingatkan diri untuk urus dan belanja harta tersebut hanya kepada keluarga. Suami yang salah guna duit keluarga, menyebabkan isteri tidak percayakan kepada suami menguruskan harta bersama.

Suami, ingatlah bahawa memberi kepada isteri adalah tinggi pahalanya, malah mampu membahagiakan isteri anda. Perlu ada sebahagian untuk hadiah kepada isteri atas pertolongan mencari rezeki bersama.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI