“Bagaimana caranya untuk saya yakinkan hati untuk mempercayai kembali suami yang pernah curang?”
“Saya telah memaafkan segala perbuatan curangnya terhadap saya tetapi masih tidak berjaya untuk melupakannya terus. Saya sedaya upaya cuba untuk mempercayainya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.”
Jawapan :
Persoalan dikongsi pada awal perbincangan kali ini adalah luahan klien yang bertemu janji bersama saya menerusi e-mel.
Ingin saya menarik perhatian para pembaca semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.
Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan.
Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.
Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda.
Cara Kembalikan Kepercayaan Pada Pasangan Yang Curang
Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
1. Biarkan Saja Ingatan Itu Kekal, Anda Yang Perlu Ubah Situasi
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut.
IKLAN
Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.
2. Beri Peluang Kepada Pasangan
Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya MEMBERIKAN PELUANG kepada sesiapa sahaja apatah lagi kepada pasangan sendiri.
Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu.
Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra.
Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.
3. Beri Kemaafan Kepada Pasangan
Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas BERIKANLAH KEMAAFAN kepadanya.
IKLAN
Anda dan pasangan anda adalah insan biasa, sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.
Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut.
4. Syarat Maaf Yang Sebenar-benar Ikhlas
Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.
Rasulullah s.a.w, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista. Malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat.
Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.
IKLAN
Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali.
Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.
5. Teruslah Doa Agar Diberi Kekuatan Diri
Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah…. anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang.
Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.
Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula.
Mohon juga agar anda mampu membiarkan pengalaman perit yang lalu berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.
Penulis : Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, kolumnis ruangan Resepi Hidup di majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Rupanya dengan pasakkan ‘zero dendam’ ibu anak lima ini, Dzuriasikim Dzulkefli dapat keluarkan dirinya dari belenggu tekanan kata-kata orang sekeliling yang merendah-rendahkan status ibu tunggal yang terpaksa digalas.
Kerana bukan semua ibu tunggal itu kerjanya minta simpati. Mereka berusaha demi anak-anak. Buat apa saja demi anak-anak. Dan ibu ini berkongsi tip, bagaimana dia dapat peroleh kekuatan diri. Dari wanita yang tak punya apa-apa sehingga mampu bergelar usahawan hebat.
Tulisnya,
Jangan Menangis…
Semalam saya berjanji untuk tulis sesuatu kepada para pembaca semua. Sebab saya tahu di sebalik senyuman dan status yang hebat ada banyak orang sedang melalui kegagalan dalam hidup.
Gambar berpelukan dengan suami, namun di sebaliknya mungkin tidak semua orang sedang berbahagia. Bukan buruk sangka, tapi realitinya ada suami yang membuat posting yang indah hanya untuk mengambil hati isteri kerana tahu isterinya suka begitu dan sang suami kemudian dengan terang menceritakannya kepada rakan-rakan. Ini kisah benar…
Gambar berbahagia sedangkan hati sedang remuk. Hilang pekerjaan, menghadapi masalah kewangan, lelah bekerja siang malam untuk menyara keluarga hinggakan tidur malam pun tidak tenang, penat memikirkan masalah hidup, sedang berjauh hati dengan seseorang, anak lari rumah, ditinggalkan suami gantung tak bertali, diberikan kemewahan hidup oleh suami tetapi suami jarang lekat di rumah, menganggur terlalu lama walaupun ada double degree.
Pernah Dilabel Sombong
Jika saya nak senaraikan dugaan yang datang di sepanjang kehidupan kita, sampai ke esok pun saya mungkin belum habis menulis lagi. Jika saya tanya dan minta disenaraikan masalah anda di sini, mungkin tak ada yang mahu menjawab. Kerana ramai di antara dari kita suka malu tidak bertempat.
Saya suka kongsikan kisah lampau saya. Bukan mengadu tentang kesusahan hidup, kerana sewaktu saya susah, saya tidak pernah mengadu dengan sesiapa. Sehingga ada yang anggap saya sombong pada waktu itu.
Gambar pertama hingga gambar ketiga adalah diri saya 9 tahun lalu. Waktu itu Iman baru berusia 3 tahun. Baru bergelar ibu tunggal ketika itu. Tidak mempunyai sebarang pekerjaan langsung.
Dengan anak 5 orang yang masih bersekolah. Iman masih perlu minum susu dan pakai pampers.
Antara 2 keperluan yang paling mahal untuk anak kecil (para ibu pasti tahu ini). Ke hulu ke hilir dengan mendokong anak, pakai baju mana yang ada. Handbag pemberian orang. Berselipar sahaja setiap hari. Tudung yang saya pakai RM10 sehelai, saya beli di Pasar Tani. Tak ada kereta. Tinggal di rumah sewa atas ikhsan bekas suami sehingga suatu hari kami dihalau kerana sewa tidak dibayar.
Ulang Pakai Baju Yang Sama..
Pendek kata, saya tak ada apa-apa waktu itu. Baju yang anda lihat ni adalah antara baju yang saya ada. Pakai basuh pakai lagi.
Usah kata perit, malah lebih dari itu saya sudah lalu. Itu belum masuk lagi dengan tekanan dari kata-kata sindiran orang. Orang bercakap kerana mereka tidak tahu hal yang sebenar.
Jadi jika hari ini anda rasa susah, ingatlah bahawa ada orang lain yang seribu kali lebih susah dari kita dekat luar sana. Dan dugaan seperti yang pernah saya hadapi ini bukanlah besar sangat berbanding dengan mereka.
Dugaan yang anda sedang hadapi hari ini juga hanyalah hiccups dalam hidup. Dan ubat terbaik untuk menjadikan kita redha, kuat, sabar, ceria, bertenang adalah dengan menjadi dekat kepada Allah.
Bersyukur Ketika Tak Punya Apa-apa
Percayalah bahawa kalau hari ini anda sedang kaya dan berbahagia dengan ramai orang, tapi waktu kita susah semua orang akan lari. Tetapi Allah sentiasa ada. Sebab itu bila kita cintakan manusia atau dunia, sentiasalah berpada-pada.
Pada saat saya tidak punya apa-apa, saya masih mahu bersyukur kerana masih mampu lihat anak-anak ketawa. Itu “ubat” bagi segala duka saya waktu itu.
Tak mampu bawa anak-anak bercuti, saya buat makanan yang mudah. Picnic di sungai. Ianya percuma dan murah. Anak-anak masih boleh main gelongsor macam di water theme park juga. Ada gelongsor batu, malah lebih adventures sebab boleh tangkap ikan dan dekat dengan nature.
13 Tindakan Ini Bantu Ibu Anak 5 Ubah Diri
Dari mana saya dapat kekuatan? Bagaimana?
1. Perkara pertama yang saya buat, lap air mata. Kemudian saya maafkan semua orang termasuk orang yang menghina saya berstatus janda. Hina saya miskin. Termasuk orang yang menyakiti saya. Maafkan dengan ikhlas. Zero feeling. To the level bila mereka datang peluk saya suatu hari nanti, saya akan peluk mereka kembali. Zero dendam.
2. Dan saya juga sentiasa berbahagia dengan kesenangan orang lain. Selalu baca berita gembira tentang pencapaian orang di group sekolah, group family, Facebook, rasa yakin bahawa InsyaAllah suatu hari nanti saya akan dapat rasa itu semua. Feel the blessings always. Biar dalam keadaan manapun kita sedang berada. Jika kita sentiasa ada dengki dengan kejayaan orang lain, ianya akan menjadi blockage kepada rezeki dan kebahagiaan diri.
3. Ubat sendiri hati kita yang remuk. Sebab jika bukan kita sendiri yang bahagiakan diri, tak akan ada orang lain yang akan berbuat demikian dengan ikhlas untuk kita. Melainkan jika kita masih ada ibu. Kerana kasih ibu tidak ada sempadan. Malangnya saya sudah tidak punya ibu lagi.
Umur 41 Baru Jelas Hebatnya Tahajjud
4. Bercerita dengan Allah. Menangis kepadaNya. Kerana Dia Maha Mendengar dan Mengasihi. Jika kita susah, kemudian bercerita kepada orang, ianya akan menunjukkan kita sangat lemah. Jangan…
5. Jika kita pernah buat salah, usah segan untuk cepat-cepat minta maaf. Tak rugi untuk jadi orang pertama meminta maaf. Tidak semestinya orang yang meminta maaf itu bersalah. Tetapi menjadi orang pertama untuk minta maaf itu adalah sangat menenangkan. Boleh buat kita rasa happy…bahagia.
6. Tahajjud, jangan tinggal. Itu adalah salah satu senjata terbaik untuk berdoa dan berjaya. Waktu saya tak punya apa-apa, pada usia 41 tahun, barulah saya nampak fadhilat Tahajjud dengan jelas. Sebelum itu saya hanya dengar tapi tak pernah buat. Sehingga suatu hari saya terbaca:
“Satu satu doa yang tidak lari daripada sasaran walau seinci ialah DOA pada waktu 1/3 malam. Pembuktian dalam Al-quran satu-satunya Solat Sunat yang diabadikan dalam Al-quran adalah Solat Tahajjud:- “Dan pada sebagian malam hari bersalat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (Q.S. 17:79).”
Dan lagi…
“Doa di saat Tahajjud itu umpama anak panah yang tepat mengenai sasaran…”
(Iman Asy Syafi’i)
Jangan Lupa Doakan Untuk Diri Sendiri
7. Ketika berdoa, doa untuk diri sendiri. Doakan yang baik-baik. Usah doa untuk membalas dendam. Doakan yang 100% baik. Ingat tu.
8. Mestilah ada ikhtiar. Jangan malas. Mesti yakin bahawa ada sebab Allah hantar kepada kita sakit, sedih, jatuh, perpisahan, perceraian dan apa juga yang sedang kita hadapi. Semuanya adalah untuk menjadikan kita lebih kuat. Ingat tak waktu kita mula-mula belajar kayuh basikal dulu? Jatuh sampai berdarah lutut pun kita angkat basikal dan kayuh lagi. Dari beroda tiga, jadi roda dua. Kemudian barulah pandai. Lama-lama dah boleh kayuh dengan lepas tangan! Sebab apa? Cari balik semangat begitu.
9. Malu biar bertempat. Kalau ada masalah wang, tidak ada pekerjaan, jangan malu untuk keluar menjual. Itu lebih mulia dari meminjam-minjam atau menumpang orang. Tak apalah jual nasi lemak sekalipun. Jual air, jual goreng pisang. Asalkan tidak menumpang orang.
10. Ingatlah dengan yakin 200%. Bila Allah ingin mengangkat darjat mu, Dia mampu melakukannya dengan cara yang tidak munasabah sekalipun. Kita selalu berfikir dengan had tertentu. Kerana minda kita berfikir dengan penuh limitations. Buang rasa itu. Sebab ianya akan melemahkan semangat diri.
Biar Tak Cantik, Tapi Berilmu
11. Fokus pada diri. Upgrade diri, dari segi ilmu dan pengetahuan. Selalu membaca. Jika tidak mampu untuk beli buku di kedai, baca dari carian di internet. Sekarang ilmu dan teknologi di hujung jari. Upgrade diri penting untuk membuatkan orang selesa bercakap dengan anda. Ambil tahu serba sedikit isu semasa. Biar kita miskin, tak cantik tetapi berilmu. Jika anda sediakala cantik, jadilah seorang yang cantik dan berakal tinggi.
12. Pilih kawan yang boleh membawa kepada kebaikan. Tidak kiralah kebaikan dari segi berkongsi resepi, ilmu perniagaan, motivasi, panduan menanam pokok sekali pun, asalkan mendatangkan faedah. Jauhkan diri dari mereka yang tidak mendatangkan kebaikan dalam hidup. Menghasut anda untuk membenci orang lain contohnya.
Orang begini satu hari nanti akan buat perkara yang sama kepada kita juga. Jauhi juga segala jenis group yang boleh membuatkan anda berfikiran negatif. Contohnya group yang suka memaparkan masalah rumah tangga. Penuh dengan komen yang ditulis tanpa berfikir. Bahasa yang tidak baik. Posting yang melampau seperti isteri curang dan suka bertukar pasangan. Semua ini boleh menghasut minda unnecessarily.
13. Ini khusus untuk wanita. Mesti be realistik. Wanita selalu lemah bab ini. Wanita bila sayang seseorang, mereka akan sayang dengan sepenuh hati walaupun diri mereka tidak dihargai. Kadang ada isteri yang dipukul setiap hari, kena tinggal dengan suami tanpa nafkah berbulan malah bertahun lamanya pun masih setia lagi. Suami penagih, kaki perempuan. Malah suami dipenjarakan.
Macam-macam lagi. Ingatlah, dalam perundangan syariah, anda ada hak untuk dilindungi. Dalam Islam juga ada limitation dan hak sebagai isteri. Ambil tahu tentang itu. Usah malu dan merana seorang diri terlalu lama. Usah malu hanya kerana anda berjaya dan memegang jawatan tinggi di pejabat, jadi anda perlu pamerkan rumahtangga yang bahagia kepada orang lain. Jika tidak tahu dan tidak mampu untuk mengupah peguam, buat carian di internet dan rujuk kepada Biro Bantuan Guaman.
Jangan Niatkan Berjaya Untuk Menunjuk Kepada ‘Musuh’
Ada orang yang membaca sharing saya dengan vibes negatif. Mereka akan anggap saya menulis dan keep on writings sebab tidak boleh move on. Ada juga yang menganggap saya bodoh kerana sering menulis kisah rumahtangga saya yang lampau. Itu salah.
Gambar terakhir adalah antara gambar terbaru saya. Saya mahu semua sahabat tahu bahawa kita mampu jika kita benar-benar mahu. Malah ada banyak success stories yang anda boleh baca dari orang yang pernah tidak ada apa-apa pada suatu ketika dahulu.
Orang yang ada big why InsyaAllah akan selalu berjaya dengan syarat jangan pernah berhenti berlari. Jangan give up dalam hidup.
Big why kita, jangan pula kita letakkan yang kita nak berjaya sebab nak menunjuk kepada orang yang pernah menjatuhkan kita. Itu tidak betul. Sebaliknya akan jadi blockage nanti.
Keluar Dari Kemurungan Hidup
Saya sendiri masih belum cukup berjaya. Tetapi saya sudah mampu keluar dari kemurungan hidup. Berdiri di atas kaki sendiri. Dari tidak punya apa-apa langsung. Jalan kaki ke kedai. Duit ada sen sen sahaja. Sampailah kepada apa yang anda lihat hari ini. Punya ramai sahabat yang baik budi. Yang selalu mendoakan saya dari Mekah selalu. Dan setiap tahun ada sahaja sahabat yang mendoakan saya dari Padang Arafah. Yang sponsor saya ke Mekah. Yang sponsor percutian ke luar negara pun ada. MasyaAllah, sampai macam tu Allah beri. Nak berniaga pun, ada yang nak sponsor juga. Dan saya tidak mahu berhenti.
Jangan sedih tika diuji. Jangan bongkak tika dipuji. Ingat, segala bentuk rahmah Allah boleh berikan dan Allah juga boleh tarik semula dari kita nanti.
Ikhlaskan hati. Redha. Berbaik sangka. Allah nak berikan sesuatu yang lebih baik dan lebih hebat. Sebab itu anda diuji agar lebih kental dan kuat.
Jika mahu, nanti Kak Zue tulis lagi. Jangan menangis.
MW : Semoga kisah ini menjadi inspirasi untuk ibu-ibu yang sedang diuji.
Seronok dan beruntungnya seseorang itu bila ada mak ayah lagi di dunia ini. Teruslah berbakti sehingga ke hujung nyawa sebab mereka inilah orang yang sanggup bersusah payah masa kita kecil.
Bila ada mak ayah, pasti tidak sabar untuk pulang ke kampung menjenguk mereka, melayan dan berada ‘di bawah ketiak’ seperti kita kecil dulu.
Peliknya, ada sesetengah kita yang tidak mnggunakan peluang yang ada ini untuk berbakti pada orang tua. Tak terkecuali ada yang bermusuh dan berkecil hati dengan mak ayah.
Siapa kita kalau mak ayah kita tak ada. Belum tentu kita akan hidup di dunia yang penuh pancaroba ini. Sebab itu, bagi yang masih ada mak ayah, gunalah peluang ini sebaiknya untuk berbakti pada mereka. Peluang ini hanya sekali, jangan lepaskan.
Siapa yang masih ada ibu ayah, jangan terlepas peluang ini.
1. Kata guru saya, peluang hanya datang sekali dan peluang yang paling hebat adalah mempunyai ibu dan ayah.
2. Kita dapat impikan macam-macam dengan Allah selagi ada ibu ayah. Boleh hajatkan macam-macam dengan Allah selagi ada ibu ayah. Peluang yang Allah sediakan dalam setiap doa seorang ibu sangat amazing. Setiap lafaz kata yang keluar dari mulut ibu ayah adalah sangat tulus.
3. Jangan lepaskan peluang, Hari-hari call ibu ayah.. Hari-hari, sekalipun masa terlalu sempit dan sibuk dengan urusan kerja. Menyantuni ibu ayah sedekah yang paling besar dan membuka segala ruang kesempitan yang kita rasai sebelum ini.
4. Rugi orang yang berdendam dengan ibu ayah. Hilang doa yang mustajab, hilang keberkatan, hilang rezeki yang diredhai, hilang kasih sayang Allah, hilang juga ketenangan. Ibarat kata hilang segala nikmat yang kita ada.Tidak layak untuk menyimpan dendam kepada dua insan yang menyintai kita saat ada orang Membenci. Tidak layak untuk terasa hati dengan mereka yang menyokong kita saat adanya orang yang nak menjatuhkan. Tidak layak juga untuk memandang rendah pada ibu ayah yang berkorban segala, saat ada orang hanya memandang sebelah mata.
5. Pesan guru saya lagi, setiap kali dapat gaji sebelum kita langsai hutang rumah, kereta, beli keperluan, bayar sekolah dan pengasuh anak, dulukan duit itu pada ibu ayah. Jadikan priority dalam belanja kita. Lihat dan lihat. Rezeki datang melimpah ruah, dari sisi, depan dan belakang. Subhanallah.. Betapa Allah muliakan dan berkati usaha yang disulami dengan ketaatan dan kehormatan kepada ibu ayah.
6. Ibu ayah yang dah tua, selalu jengah sekalipun kita merantau jauh. Sentuh badannya tanya apa yang boleh kita lakukan untuk ringankan rasa sakit, apa yang boleh kita bantu untuk mereka terus kuat dan bertahan.
7. Ibu ayah kita, Jangan sekali-kali tinggalkan mereka kerana saat kita memerlukan, mereka sentiasa ada.
Ya Allah sembuhkanlah sakit ibu dan ayah kami..
Ringankan segala beban dan berkatilah umur mereka.
Mingguan Wanita : Semoga Allah permudahkan segala urusan mak ayah. Buat yang sudah tiada mak ayah, lapangkanlah kuburnya dan tempatkan mereka di kalangan orang beriman. Aamiin.
Tekanan dan kemurungan wanita beranak kecil adalah perasaan sedih yang melampau, mudah penat secara mental mahupun fizikal atau cepat marah atas perkara kecil. Ini sering terjadi pada ibu yang baru melahirkan anak.
Kadang ketika ini wanita mungkin mengalami kesukaran dari segi emosi untuk menjaga dan mengasihi anak dengan baik.
Agaknya apa perasaan dan kenapa mak-mak ini boleh bertindak macam-macam pada anaknya sendiri? Untuk faham dan jentik hati kaum sebilangan suami, jemput baca perkongsian Puan Salwa Mohd Saleh ini…
Kisah Benar Wanita Yang Alami Tekanan Dan Kemurungan
Jika anda kenal saya, mungkin sangat-sangat susah anda nak percaya 2 cerita yang saya tulis ini.
Kenapa?
Sebab saya sentiasa bersemangat, orang kata selalu menginspirasikan, bermotivasi tinggi, always positive, tak peduli caci maki orang lain, and any good things orang selalu katakan. Saya pun mengaku saya jenis yang begitu.
Tidak juga bermakna saya tidak stress. Atau tidak tahu hendak rasa down dan hilang waras seketika. Kadang, itu lebih sukar kerana sentiasa memotivasikan diri sendiri sehingga hilang ruang untuk melepaskan stress.
Meroyan Ke?
Cerita pertama jadi baru je lagi. Orang kata ketika berpantang, akan mudah meroyan. Dan ramai juga tak amik peduli sangat bila diceritakan. Sebab di atas lah, saya kan tahu jaga diri. But let me tell you what, sometimes only a little spark could trigger such a big mess.
Saya tak pernah angkat tangan sedikit pun pada Israa’. 3 tahun umurnya sangat-sangat susah untuk saya tinggikan suara pada dia, dengan keadaan dia yang istimewa lagi la dijaga rapi dan manja. Memang rapat dan selalu berlembut dengannya.
2 minggu lepas, suami saya tiada kerana ada urusan. Saya dan 4 orang anak dirumah. Baby pula sentiasa melekap. Saya lapar sangat dan letih. Waktu lunch pun goreng ayam sahaja yang sempat. Itupun sebab campak dalam air fryer dan tekan masa. Dalam kelam kabut baru berjaya tidurkan baby Iyaad, duduk lah 4 beranak lagi cuba makan.
Saya suapkan nasi, Israa’ mengamuk. Menangis kuat. Kerana Israa’ masih tak boleh bercakap, susah nak faham apa yang dia nak tapi saya selalu dapat meneka. Bagi air, bagi dia suap sendiri, bagi sudu, bagi ayam sahaja, dan biasanya di diam tapi tidak kali ini.
Menangisnya sangat bingit sampai baby terjaga dan menangis sekali. Saya pula letih dan lapar sangat. Mula tinggikan suara. Israa’ masih menangis keras. Imran dan I’jaaz pujuk pun tak reda. Iyaad pula makin kuat tangisan sedang saya makan pun baru dua tiga suap.
Entah apa angin nya saya tampar pipi Israa’. Wallahi itu pertama kali. Walaupun tidak keras tamparan tu, sampai sekarang saya menyesal. Lagi kuat tangisannya. Saya dengar ada semacam melintas dalam fikiran saya:
“Kau siram je air kat kepala dia. Nanti dia diam”
Tak sampai beberapa saat, tangan saya sudah mencapai segelas air dan saya siram di kepala Israa’. Basah lenjun. Imran dan i’jaaz terdiam. Terus tunduk mereka berdua makan, tak berani cakap apa pun. Saya masih marah-marah. Saya ambil video dan hantar kepada ayah mereka. Saya basuh tangan, tanggalkan baju Israa’ dan biarkan dia di atas kerusi. Saya arahkan Imran yang turunkan dia sambil saya ke hadapan, mengambil Iyaad yang sudah kering suara menangis.
Waktu saya tulis ini pun, masih mengalir air mata saya. Saya fikir belum ada orang dapat faham betapa sayangnya saya pada Israa’ dan saya pun tak tahu bagaimana saya dapat buat semua tu. Sekelip mata. Mujur yang saya dengar tu siram aja air. Kalau yang saya dengar tu, tikam la dengan pisau? Tak mustahil saya boleh buat.
Itu just a random moment yang memang tak teringat dah apa-apa.
Cerita kedua waktu mengandung. Saya jadi sangat stress sampai jadi depress kerana saya rasa tak ada orang faham saya, kepenatan, kesusahan dan segala macam yang saya tanggung. Bila suami saya cuba pujuk saya yang macam hilang akal, dia suruh istigfar. Selawat. Ingat Allah.
Tahu saya rasa apa?
Menyampah betul. Like rasa nak tutup kan mulut dia.Rasa nak tendang. Bila dia cuba peluk, lagi kuat saya nak lepaskan pelukan sebab saya rasa benci sangat. Waktu orang nak attention tak nak bagi, sekarang baru sibuk. Rasa kalau boleh mati pun lagi bagus. Bila dengar anak nangis waktu tu, saya tekup telinga. Rasa bingit. Rasa terganggu.
Akhirnya bila penat, saya terdiam. Suami bawa saya ke bilik air, bersihkan diri. Syampu kan rambut. Cakap lembut-lembut. Bisik kata-kata semangat. Bisik dia cintakan saya. Baru saya ok balik dan dapat bertenang.
Sebab tu bila orang nampak macam hilang waras, tak usah jadi ustaz sangat. Bahaya juga. Kita konon nak tolong dan bagi dia ingat semula, tapi kita sebenarnya simbah petrol pada dia. Lagi memuncak kebencian bila kita ingatkan pada tuhan. Dia nak kasih sayang, dia nak tahu ada orang sayang pada dia.
Kenapa saya cerita perkara ni walaupun seems macam memalukan diri sendiri?
Saya tak rasa ianya memalukan.
Itu stigma orang biasa. keyboard warriors yang akan acah-acah islamik perfect hidupnya tanpa masalah.
Atau orang-orang prejudice yang amal ibadah seolah confirm masuk syurga.
Kalau ada komen seperti itu, saya akan delete sebab awk bukan manusia. Awak malaikat. Sebab jika awak manusia ada perasaan dan tahu ada masanya orang tak dapat fikir normal.
Saya nak kata, stress dan depression adalah real. Kalau tak diurus dengan baik, stress akan jadi depress. Memang saya bukanlah dalam kategori orang yang di diagnos stress. Tak. Nauzubillah dan saya cukup kagum semangat kental mereka-mereka ini. Tapi saya nak orang buka mata. Sikit-sikit itulah yang kadang jadi bukit!
Sebab tu juga satu lagi, berhentilah judge orang. Kalau dia bunuh diri sekalipun mana tahu dia masuk syurga atau neraka? Orang yg hilang waras dia jd gila. Perbuatan dia tidak dikira tau.
Saya pun tak tahu lah sudahnya orang dapat tangkap atau tidak apa yang saya cuba sampaikan.
I hope so…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Zizan Razak hadiahkan Mercedes Benz GLC300 buat ibu tercinta, penuhi kereta impian sejak lama. Direzekikan kemewahan membuatkan Zizan Razak menunaikan impian ibu dikasihinya apabila...