Sebelum Travel Ke Luar Negara, Mak Ayah Wajib Baca Tip Ini Agar Tak 'DIMAKAN' Jerung Celaka

Ramai dah jadi mangsa penipuan syarikat-syarikat pelancongan yang tak bertanggungjawab. Bila orang terlalu ghairah nak bercuti, tapi tersilap memilih agensi. Akhirnya, duit lebur bercutinya tak juga kesampaian.

Sedih, sebab bukan senang nak kumpul duit untuk travel ke luar negara. Lagi-lagi jenis yang simpan duit sampai setahun lamanya. Bila duit dah cukup pergilah deal dengan ejen bagi dapat melancong luar negara bila tiba hujung tahun. Lagi sedih, bila hujung-hujung duit itu lebur.

Sebagai pengguna, mak ayah kena tahu hak yang ada. Sebab itulah, Ikram Al-Banjari yang cukup sinonim dengan gelaran Saudagar Jalanan ini berkongsi tip yang mak ayah boleh praktikkan sebelum set nak melancong ke luar negara. Terutama yang menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Bila Ramai Nak Travel Ke Luar Negara, Memang Akan Wujud Jerung Celaka

Viral lagi hari ini dengan kes penipuan syarikat pelancongan di Malaysia. Saya jarang berkongsi pendapat mengenai hal ini. Namun saya fikir sudah sampai masanya saya menulis sedikit demi manfaat bersama. Kerana nila setitik, habislah rosak susu sebelanga.

Apabila ramai yang mahu travel ke luar negara ( khususnya ) dengan bajet yang amat-amat murah, maka akan wujud jerung-jerung celaka yang mahu menangguk di air yang keruh.

Bila ada permintaan luar biasa, mesti ada penawaran luar biasa. Dan inilah yang terjadi selama ini. Ia bermula dengan permintaan tinggi.

Sebagai pengguna, kita ada dua pilihan apabila mahu travel ke luar negara.

Pertama, travel sendiri ikut bajet sendiri dan itinerary sendiri. Kira rancang semuanya sendiri. Apa-apa pun semuanya kita tanggung saja sendiri. Tiada masalah. Saya juga sering travel begini.

Kedua, kita boleh travel dengan menggunakan khidmat Tour Guide atau agensi pelancongan. Bincang itinerary kita atau ikut saja jadual perjalanan yang sudah disusun oleh mereka.

Sebab Kita Ada Pilihan

Ini biasanya lebih sesuai untuk orang yang tidak mahu pening kepala atau sesiapa yang ada kumpulan besar bila mahu melancong. Guna khidmat orang lain untuk menguruskan percutian kita adalah pilihan terbaik dan boleh jadi ia jauh lebih murah.

Modus operandi orang yang mahu menipu ini sama sahaja. Mereka akan tawarkan harga murah atau harga murah gila-gila yang tak masuk akal.

Benda murah akan menarik sesiapa sahaja yang mahu murah. Pengguna golongan ini akan fokus kepada harga. Mereka hanya tertarik dan terfokus pada angka kecil.
Biasanya mereka akan tawarkan harga tiket murah, pakej murah dan segala macam tawaran murah selagi boleh.

Dahulu, orang cerdik pandai cakap, apabila kita mahu melancong atau mahu pilih agensi pelancongan, kita mesti tengok dahulu syarikat itu berdaftar atau tidak, ada pejabat atau tidak, ada lesen atau tidak.

Sekarang, ini semua tidak pernah membantu ketelusan sebuah urusniaga lagi. Syarikat yang berdaftar, ada lesen dan ada ofis cantik pun berisiko ‘mengencing’ pengguna juga. Dan ini sudahpun terjadi.

 

Sebelum Travel Ke Luar Negara, Mak Ayah Wajib Baca Tip Ini Agar Tak ‘DIMAKAN’ Jerung Celaka

Hadam Tip Ini Agar Dapat Travel Oversea Dengan Tenang

1. Kaji Siapa Person In Charge

Oleh itu, saya dengan rendah diri mencadangkan agar kita sebagai pengguna perlu rajin sedikit membuat kajian tentang siapakah ‘person in charge’ di sebalik sesebuah agensi atau tawaran yang wujud.

Sekarang, mengkaji sejarah syarikat sahaja tidak cukup. Kita mesti benar-benar tahu siapa ‘person in charge’ di sebalik sebuah pakej yang ditawarkan itu. Tanya orang atau tanya pakcik google.

IKLAN

Buat carian namanya di facebook, instagram dan google. Lihat siapakah beliau dan apakah ‘portfolio’ kerja-kerja yang beliau pernah lakukan. Tengok siapa kawan-kawan yang beliau sedang bergaul.

Dan lihat juga komuniti bagaimana yang beliau sedang bercampur. Baca komen dan maklumbalas orang lain terhadap beliau. Paling baik, dapatkan fb beliau dan lihat apakah profile orang tersebut itu tulen ataupun tidak.

‘Person in charge’ di sebalik setiap pakej yang ditawarkan lebih penting berbanding benda lain.

Syarikat terkenal sekalipun belum tentu mampu memberikan khidmat dan layanan terbaik kepada semua pelanggan mereka.

Bahagian ini kita perlu lebih peka dan berhati-hati. Masalah yang berlaku selama ini dalam industri pelancongan bukan disebabkan oleh syarikat, tetapi sikap tamak individu itu sendiri.

Sebagai pengguna, kalian harus bijak membuat carian dan menganalisa maklumat terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa urusniaga dan bayaran. Ini amat penting.

2. Minta Pendapat Dan Dengar Kata Mereka

Tak usah tuding jari dan melalak sana sini lagi jika kalian ditipu dalam urusan travel. Tanyalah kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang pernah ke destinasi yang kalian mahu tuju itu. Minta pendapat dan dengar apa yang mereka cakap.

3. Jangan Malas.. Banyakkan Membaca

Banyakkan membaca. Sekarang ada banyak buku panduan travel, maklumat percuma di laman web, perkongsian di blog, penceritaan travel di facebook dan pelbagai maklumat berguna.

Kena belajar bersabar dan mulakan membaca. Bertenang sahaja bila menghadam maklumat.

Kalian ribut-ribut mahu ke mana ? Perancangan percutian kita akan lebih kenyeronokkan apabila kita ada sedikit sebanyak dapatan melalui hasil pembacaan. Percayalah.

4. Hati-hati Dengan Tawaran Murah Tak Masuk Akal

Jangan mudah terpedaya. Jangan mudah percaya dengan tawaran harga murah tak masuk akal. Setiap ukuran harga mestilah ada ‘value’ yang hadir bersamanya.
Mana mungkin akan wujud pakej yang terlalu murah berbanding harga orang lain. Sebagai contoh, jika harga purata Pakej 4 hari 3 malam ke Vietnam ialah RM1500, mana mungkin ada orang boleh tawarkan benda yang sama pada harga RM599 All in ? Sebab itu kita kena buat kajian.

IKLAN

5. Senario Ini Tak Boleh Dielak.. Inilah Puncanya

Industri travel di Malaysia semakin membesar. Setiap hari KLIA itu amat sibuk dengan begitu banyak penerbangan ke luar negara.

Capaian maklumat memudahkan sesiapa sahaja untuk travel mengikut bajet masing-masing. Permintaan untuk melancong juga semakin meningkat walaupun di dalam keadaan Ekonomi yang dikatakan sedang parah.

Penipuan dalam pakej travel sukar dikawal walau pelbagai mekanisme diperkenalkan oleh pihak berwajib.

Ini berlaku kerana produk travel adalah sesuatu yang tidak berbentuk fizikal. Ia terwujud dalam bentuk sebuah ‘perkhidmatan’. Dan semua orang faham sebelum travel kita mesti kena bayar dahulu. Di sinilah ‘loophole’ penipuan yang sering berlaku.

 

Sebelum Travel Ke Luar Negara, Mak Ayah Wajib Baca Tip Ini Agar Tak ‘DIMAKAN’ Jerung Celaka

Ini 8 Cadangan Daripada Saya

Saya cadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan agar lebih fokus terhadap kegiatan mendidik pengguna melalui pelbagai cara. Sebagai contoh:

√    Lebihkan kempen tentang cara-cara mengenali dan mengatasi penipuan.

√     Blacklist Pengarah syarikat atau individu yang terlibat dalam penipuan sebelum ini. Tak usah tarik lesen, mereka boleh saja buat syarikat baru dan mohon lesen baru. Blacklist sekali ahli keluarga dan staff mereka. Baru sedap. Baru orang takut.

√     Kerajaan juga harus prihatin dan peka terhadap kewujudan individu atau syarikat travel yang telus walaupun mereka ini beroperasi tanpa lesen.

√     Dekati mereka, dengar luahan mereka dan berikan bantuan sepatutnya kepada mereka. Saya percaya semuanya akan murni dan subur sekiranya kita saling memahami, memberi peluang dan saling menyokong antara satu sama lain.

IKLAN

√     Operator pelancongan yang telus harus dibangunkan walaupun mereka kecil. Kerana golongan kecil inilah yang berjaya membesarkan nama negara di luar negara. Mereka adalah duta kecil Malaysia ke luar negara.

√     Pihak berkuasa tak usah bagi muka lagi kepada individu atau syarikat travel yang sudah terbukti menipu pengguna dengan pelbagai cara.

√     Dengan peruntukan undang-undang yang ada, heret mereka semua ke muka pengadilan.

√     Beri peluang baru kepada BBNU ( Budak Budak Baru Nak Up ) di dalam industri. Perbanyakkan pemantauan dan mata-mata. Sediakan saluran mudah untuk pemberi maklumat.

 

Sebelum Travel Ke Luar Negara, Mak Ayah Wajib Baca Tip Ini Agar Tak ‘DIMAKAN’ Jerung Celaka

Mak Ayah Sabarlah Sekejap

Dan semuanya yang dinyatakan di sini akan menjadi sia-sia tanpa kerjasama pengguna.

Selagi wujud permintaan, selagi itulah akan ada penawaran. Selagi masih ramai pengguna yang tidak mahu mendidik diri dengan ilmu dan carian maklumat sebelum travel, selagi itulah akan wujud penipuan setiap hari. Penipuan tiket murah, umrah murah, pakej murah dan segalanya yang pelik-pelik akan terus berlaku tanpa kesedaran pengguna.

Price is what you pay and Value is what you get’. Bayar murah kita dapat murah. Bayar harga mahal kita akan dapat nilai-nilai yang mahal.

Jika terlalu mahu berjimat dan murah, baik tak usah melancong. Kumpul saja dahulu wang ditabung sampai cukup. Sabarlah sekejap. Travellah nanti dalam keadaan yang kita benar-benar bersedia dan lapang dada. Barulah namanya kita betul-betul bercuti.

Akhir sekali, kepada semua rakan-rakan operator Pelancongan, tidak kisahlah kalian bergerak atas kapasiti individu atau syarikat, bergerak solo atau berjemaah, berdaftar atau tidak, berlesen atau tidak. Saya menyeru supaya kita semua lebih telus dan bersatu dalam industri ini.

Kita perlu saling menaikkan imej dan bekerjasama. Tak usah lagi kita berlagak pandai dan ada sikap bodoh sombong.

Tak guna satu sen pun. Berpakat-pakatlah dengan baik. Didik pelanggan kita dengan baik. Berikan maklumat yang betul dan tawarkan sesuatu yang mampu kita laksanakan.

Saya amat yakin dan percaya apabila ada ekosistem baik antara pelanggan, operator, penguatkuasa dan kerajaan, pastinya dunia pelancongan dan industri ini akan lebih subur dan meriah.

Mulai hari ini, semua pihak kena belajar untuk saling mendidik antara satu sama lain. Kita semua kena buang ego dan simpan dalam poket. Apabila budaya pupuk dan bentuk ini berlaku, saya yakin tiada lagi cerita-cerita kurang enak yang kita akan dengar.

Pendapat ini tidak mewakili mana-mana operator. Ini hanya pandangan peribadi saya sahaja ketika dalam penerbangan dari Pulau Jeju ke Seoul sebentar tadi. Moga bermanfaat.

Sumber/Foto : Ikram Al-Banjari

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI