duit raya

Sebagai mak ayah, jangan sekali-sekali mengajar anak untuk kutip duit raya dengan sesiapa. Kita tak tahu macam mana keadaan kewangan orang. Kena beringat tak semua orang bertuah ada rezeki lebih bab duit. Dan paling penting sebenarnya jagalah air muka pemberi duit raya.

Sebolehnya didiklah anak supaya menjaga adab apabila dapat duit raya, salah satunya jangan buka sampul depan pemberi. Nak lagi faham tentang DUIT RAYA, renungkan perkongsian daripada Parent Connect Consultancy, Puan Noor Afidah Abu Bakar ini…

DUIT RAYA OH! DUIT RAYA.

Pemberian duit Raya sudah lama menjadi budaya kita. Ia bukanlah satu budaya yang baru. Menurut emak saya, semasa emak kecil 70 tahun lalu kanak-kanak sudah pun diberikan duit Raya. Malah walau bukan musim Raya sekalipun, jika duit diberikan sebagai hadiah kepada kanak-kanak, ia disebut sebagai ‘duit Raya’ juga.

Apa yang baru adalah pemberian duit Raya di dalam sampul yang ditiru dari budaya masyarakat Cina jika tidak silap saya. Masyarakat Cina memberi ang pau dalam sampul merah, masyarakat Melayu memberi duit Raya dalam sampul hijau pada asalnya dan kini menjadi sampul pelbagai warna.

IKLAN

Bagi saya pemberian duit Raya kepada kanak-kanak tidak ada salahnya sebagai meraikan kanak-kanak pada Hari Raya. Sejak zaman-berzaman dan di mana sahaja, kanak-kanaklah yang paling gembira pada Hari Raya. Ia seumpama memberi hadiah kepada mereka. Dalam masyarakat Islam yang lain juga ada budaya memberi hadiah sempena Syawal tetapi tidak semestinya dalam bentuk wang. Hadiah ini diberikan untuk mengeratkan hubungan dan sebagai lambang ukhuwwah dan kasih sayang. Bagi saya konsep pemberian duit Raya juga begitu.

Didik Anak Erti Syawal

Walau bagaimanapun ibubapa perlu mendidik anak pengertian Syawal sebenarnya. Didiklah anak bahawa Hari Raya bukanlah untuk mengutip duit Raya semata-mata walaupun aktiviti itu sangat mengujakan.

Pasal Duit Raya

Janganlah pula ibubapa yang lebih sudu dari kuah memaksa anak meminta duit Raya ataupun menyindir mereka yang memberi jumlah duit Raya tidak sebanyak yang ibubapa harapkan. Duit Raya tidak seharusnya menjadi satu bebanan.

IKLAN

Banyak Sikit Duit Raya

Agak lucu bila mengingatkan ada kanak-kanak yang menolak jumlah duit Raya yang sedikit kerana mahukan yang lebih banyak. Jika tidak beri sekurang-kurangnya RM5, mereka menolak dan berlalu. Ini pemikiran ‘skim cepat kaya’ yang mengharapkan imbuhan yang besar sehinggakan yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Agaknya dari mana kanak-kanak belajar hingga mempunyai mentaliti yang sebegini?

Adab Pergi Beraya Bila Dapat Duit

Sebelum anak keluar konvoi beramai-ramai keliling kampung mengutip duit Raya, berpesanlah kepada anak agar bersyukur dengan apa saja jumlah yang diterima. Sedikit pun syukur, banyak pun syukur. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Jangan mengeluh, jangan menyindir, jangan komplen kepada tuan rumah. Walau tidak diberi duit Raya sekalipun, redholah. Jaga lisan, jaga adab.

IKLAN

Jamah Makanan Walau Tak Banyak

Pesanlah kepada anak supaya menjamah juga makanan dan minuman yang dihidangkan tuan rumah, walaupun sedikit, walaupun perut sudah padat dengan ketupat, rendang, dan air manis.

Belanja Ikut Kemampuan

Bimbinglah anak tentang pengurusan duit Raya. Mungkin ada yang dibelanjakan untuk membeli apa yang diidamkan selama ini, ada jumlah yang disedekah/didermakan kepada tabung pilihan, ada jumlah yang ditabung. Semoga latihan pengurusan kewangan ini menjadi tabiat atau ‘habit’ dan amalan yang berterusan.
Masyarakat kita memang agak terkebelakang dalam soal pengurusan kewangan. Ramai yang suka berbelanja melebihi kemampuan, ramai yang diisytihar muflis pada usia yang masih muda, ramai yang hidup ‘biar papa asal bergaya’, ramai yang tidak tahu menabung.
Semuanya bermula dari kecil.

Beri Duit Ikut Kemampuan

Berilah duit Raya megikut kemampuan dengan niat untuk meraikan kanak-kanak dan menggembirakan mereka. Janganlah jadikan duit Raya sebagai simbol kekayaan atau status symbol’ sehingga ia membebankan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI