Setiap mak ayah pastinya mengharapkan yang terbaik buat anak-anak. Dapat anak yang soleh/solehah, mendengar kata, bijak dan segala ilmu yang dipelajari di sekolah pula mudah di fahami. Rupanya ada ayat-ayat ringkas tertentu yang mak ayah boleh amalkan, terutamanya ketika anak-anak hendak ke sekolah atau sebelum masuk tidur.
Ni sharing dari Ustazah Asma’ Harun. Ustazah kata, dia buat hari hari kat setiap anak anak beliau.Buat dulu dengan konsisten. Nanti kita akan nampak hasilnya.
Amalan ringkas ni kita boleh buat sebelum anak-anak kita pergi sekolah dan sebelum tidur. Ye lah. Kita ni sebagai seorang ibu, mesti nak cuba yang terbaik untuk anak anak.
Caranya pulak memang senang jek kita nak buat. Letakkan tapak tangan kita atas kepala anak kita dan baca 3 ayat ayat ni;
1. Ya ALLAH Ya Hafiz Ya Muhaimin 3x
(Yang menjaga, Yang Memelihara)
(Dalam hati, kita doa; Ya ALLAH yang menjaga, jagalah anakku ini Ya ALLAH. Aku serahkan anakku dalam jagaan dan pengawasan-MU.
2. Baca Ar-Rahman ayat 1-4.
اَلرَّحۡمٰنُۙ
Tuhan Yang Maha Pemurah
عَلَّمَ الۡقُرۡاٰنَؕ
Yang mengajarkan Al-Quran.
خَلَقَ الۡاِنۡسَانَۙ
Dia mencipta kan manusia
(Dalam hati kita doa, Yang menjadikan anakku ini insan, jadikan dia insan)
عَلَّمَهُ الۡبَيَانَ
Mengajarnya pandai berbicara
(Dalam hati, kita doa; Ajarkanlah anakku ini ilmu Al-Bayan, ilmu yang jelas, kemahiran untuk bercakap, kemahiran untuk mendapatkan ilmu, beramal dengan ilmu).
3. Akhir sekali kita pesan pada anak kita, احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ “Jagalah Allah, Allah akan menjagamu”
Bila baca makna ayat ayat ni, memang deep sungguh sungguh kan.Sebenarnya, secara tak langsung, kita turut berpesan pada diri sendiri. Apa apa, serahkan urusan kita pada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Semoga perkongsian ni bermanfaat untuk ibu-ibu diluar sana ya.
Boleh jugak tag ibu-ibu lain agar kita dapat amalkan sama sama, InsyaAllah.
Habibah Badar Bajrai
Ibu 4 puteri
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat mak ayah. Jadikan amalan ringkas ini sebagai panduan setiap kali anak hendak ke sekolah mahupun sebelum masuk tidur. Semoga anak-anak mendengar kata dan segala ilmu yang dipelajari mudah difahami.
Asasnya adalah hubungan kasih sayang yang kukuh dengan anak-anak. Jadi lebih mudah mak,ayah hendak mendidik anak-anak. Bila kena jerkah pun anak-anak boleh terima kalau hubungan mak-ayah-anak itu kukuh.
Mendidik anak dalam dunia sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi anak-anak yang meningkat remaja. Kalau tak kena, mahunya kita pula yang kena jerkah. Oleh sebab itu sedari kecil bina hubungan kasih sayang yang kukuh.
Ikuti perkongsian, Ustaz My Learning Journey ini dan fahami kenapa adanya hikayat batu belah batu bertangkup.
Ada sebab dalam warisan masyarakat kita ada hikayat Batu Belah Batu Bertangkup. Ia mewakili susah payah kita mendidik anak-anak khususnya di peringkat remaja.
Mereka secara semulajadi menjadi ‘self-centered’ dan hanya sedar tentang kemahuan sendiri, tidak peka akibat perbuatan mereka kepada perasaan orang lain.
Kita perlu pastikan hubungan kasih sayang dengan anak-anak kukuh, bukan untuk memanjakan mereka. Tetapi supaya kita boleh mendidik mereka.
Supaya mereka boleh terima, semasa kita jerkah mereka apabila ambil lauk, terus ambil bahagian ayam yang sedap-sedap dan meninggalkan bahagian kurang ‘famous’ kepada orang lain.
Bukannya makanan tidak cukup, tapi nak didik hati dan akal fikiran tu. Fikir sikit orang lain. Jangan ulang episod Pekan dan Melur walaupun kita tidaklah sampai mencari batu belah minta ditelan kerana sedih yang melampau.
Sikap mementingkan diri sendiri anak remaja boleh menyebabkan mak ayah mati dek serangan jantung.
Sebab itu kita kena minta banyak-banyak rahmat daripada Allah, dan tambah ilmu keibubapaan, belajar psikologi dan perkembangan kognitif anak remaja, supaya perangai mereka yang menjengkelkan itu, dapat ditukar menjadi ladang pahala kita.
Dan jangan lupa, kita pun pernah remaja macam mereka. Cuma di zaman yang berbeza dan cabaran yang tak sama.
Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!