Bukan mudah untuk berpisah selamanya dengan suami yang kita cintai. Lebih sedih pemergiannya secara mengejut. Suami yang sihat tiba-tiba meninggalkan kita dan anak-anak tanpa pesan.
Inilah yang berlaku kepada Rokitah Jusoh. Sama sekali Rokitah tidak menduga. Niat suami yang membawanya bersiar-siar melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 dan keluar di susur Durian Mentagau, Dungun selepas menghantar anak balik ke asrama berakhir dengan tragedi pahit.
Pertembungan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang pemuda yang berada di bawah pengaruh dadah dan menaiki kenderaan curi mengakibatkan suaminya, Mohd Jefri bin Ibrahim, 44 maut sehari selepas kemalangan sekali gus menjadikan sambutan hari raya tahun lalu bagi keluarganya dipenuhi dengan kesedihan.
Ciuman Terakhir
Lebih menyayat hati, dengan tulang pinggul patah, diikuti bahu, kedua belah tangan dan lain-lain kecederaan, Rokitah disorong menaiki troli bagi membolehkan dirinya mencium arwah suami buat kali terakhir di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kala umat Islam berpuasa pada hari ke-14.
Ads
Jelasnya, tarikh 18 Jun 2016, akan terus melekat dalam memorinya sampai bila-bila. Pada tarikh itulah kemalangan berlaku dan arwah suaminya maut sehari kemudian. Dia perlu menjalani fisioterapi.
“Saya minta katil kami dirapatkan. Dengan tulang pinggul patah selain bahu dan tangan, saya cium arwah suami buat kali terakhir. Saya berkeras mahu menatap wajahnya kerana saya tahu, ini saja peluang terakhir bertemunya.
Ads
“Kami hidup bersama hampir 20 tahun lamanya dan sama-sama membina impian ke alam syurga tapi kerana kecuaian orang lain, keindahan dunia ini terhenti,” luah Rokitah Jusoh.
Sebelum kemalangan, kata Rokitah, dia nampak kereta dari arah hadapan dipandu terhoyong-hayang. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan dan memasuki laluan orang lain.
Ads
Saya tepuk peha suami untuk suami mengelak tetapi mungkin ketika itu malaikat maut sudah menanti setia di sisinya.
“Hentaman kuat itu mengakibatkan hati suami pecah selain paru-parunya parah tertusuk tulang rusuk. Doktor juga sempat mengeluarkan darah beku sebanyak dua kilo dari perutnya.
“Saya pula alami lima kecederaan termasuk patah kedua belah tangan, patah tulang bahu selain patah tulang pinggul. Lebih sebulan saya dirawat di hospital dan terlantar di katil berbulan lamanya.
“Paling tidak dilupakan, semasa menghantar anak ke asrama, suami, suami sempat memeluk anaknya dan berpesan belajar baik-baik. Memang sedih kerana suami meninggal akibat kecuaian orang lain,” kata ibu kepada empat anak ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kesalnya dan sebaknya hati seorang isteri apabila ditengking suaminya di hadapan orang ramai gara-gara barangan keperluan rumah yang diambil melebihi bajet si suami. Bukan saja diaibkan, malah ditinggalkan pula si isteri dan dua orang anak kecil di kaunter itu dengan duit RM150. Alangkah zalim dan dayusnya suami yang pentingkan diri seperti ini. Kasihan si isteri terpaksa menanggung malu.
Kisah yang dikongsikan di page Kisah Rumah Tangga ini, pasti cukup meruntunkan hati kita, wanita yang bergelar isteri. Semoga si suami sedar akan kesilapannya dan sempat bertaubat sebelum terlambat.
ASSALAMUALAIKUM admin. Saya tiada masalah rumah tangga. Cuma nak berkongsi satu kejadian di depan mata.
Begini, tengah hari tadi saya pergi belanja barang dapur di shopping mall The Mines, Serdang. Selepas saya memilih barangan dapur, saya pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran. Ketika sedang menunggu giliran, di depan saya ada satu pasangan suami isteri bersama dengan dua orang anaknya. Seorang masih bayi dan yang seorang lagi anaknya lebih kurang sebaya dengan anak saya.
Saya terkejut apabila juruwang itu kata mereka kena bayar RM275. Saya dengar dengan jelas. Tahu apa jawapan si suami?
“Kau belanja ape je sampai banyak tu, bodoh!” si suami menengking isterinya di depan orang ramai.
Masa insiden itu berlaku, di belakang mereka ada dalam lima orang termasuk saya yang sedang menunggu giliran membuat pembayaran. Saya tengok wajah si isteri merah padam menahan rasa malu.
Selepas itu si suami terus menghulur duit RM150 dan terus pergi tanpa mempedulikan isteri dan dua orang anaknya. Si isteri terus memberitahu juruwang itu yang duitnya tidak cukup untuk membuat pembayaran. Dia letak barang-barang lain dan hanya mengambil beras, pampers, susu dan telur sahaja.
Saya kasihan melihat dia, lalu saya cakap pada dia, “Akak ambil saja, biar saya yang bayar bakinya.” Pada awalnya dia tidak mahu dan kata, “Takpe dik,”. Saya paksa juga dia menerima sebab di belakang ada ramai yang sedang menunggu giliran untuk membuat pembayaran. Dengan rasa berat hati, dia mengambil barang-barang itu semua.
Hati saya rasa sedih melihat insiden yang berlaku di depan mata. Saya tak sampai hati tengok anak-anak dia. Tanpa sedar air mata saya mengalir pada masa itu. Mungkin di dalam hati dia juga menahan kesakitan dan rasa malu dimaki dan ditengking oleh suaminya di depan orang ramai.
Saya nak sampaikan kepada lelaki di luar sana, jangan kau memalukan isteri di depan orang ramai. Jangan kau hina dia. Sebaliknya hargailah isteri kerana nafkah sesungguhnya adalah tanggungjawab suami.
Itu saja yang saya nak kongsikan. Sampai sekarang saya masih teringat akan insiden itu. Alhamdulillah, suami saya baik dan cukup dalam memberi nafkah kepada saya dan anak-anak.
Terima kasih min.
Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat para suami, tolong jangan aibkan isteri depan orang ramai. Sila kawal emosi dan perasaan amarah. Segalanya boleh dibawa berbincang dan paling penting perlu ingat adalah pemberian nafkah adalah tanggungjawab suami.
Bukan mudah sebenarnya untuk kembali bangkit mengumpul kekuatan dari kegagalan.Cabaran dan dugaan yang dihadapi adakalanya mampu membuatkan diri rasa cukup lemah, mematahkan semangat dan menghilangkan keyakinan diri. Wanita ini pernah salahkan takdir dan rasa diri tidak berguna suatu ketika dahulu tatkala diuji dengan kegagalan dalam perniagaan.Tidak mahu berterusan keadaan demikian, wanita ini kembali mengumpul semangat berjalan terus tanpa menoleh kebelakang.
Perkongsian perjalanan hidup dan kecekalan mengharungi pahit getir dunia peniagaan oleh Azila Mahmood ini, wajar menjadi inspirasi buat wanita lain yang sedang alami detik sukar dalam perniagaan.
Berapa ramai orang yang Kak Ila lihat sangat lemah ketika ini. Mereka hilang semangat yang pernah mereka ada satu ketika dulu. Macam tak percaya kan?
Akan ada satu ketika kita hilang keyakinan pada diri sendiri. Tengok cermin dan langsung tak bangga pada diri.
Benar, dalam hidup sentiasa akan ada fasa. Fasa-fasa yang berlainan dan dilengkapi dengan cabaran dan dugaan yang berbeza.
Sabar. Perkataan yang mudah nak ungkap. Tapi sejauh mana boleh sabar?
Pada zaman susah, family semua tahu keadaan Kak Ila. Mama lah yang akan bagitahu adik beradik yang lain. Semua nampak risau. Semua suruh cari kerja.
Yela, siapa tak risau tengok adik sendiri makan bercatu. Dahla baru ada anak selepas 4 tahun berkahwin. Memang diorang tak konfiden tengok tahap kewangan kami.
Semuanya kerana memilih bidang berniaga. Hidup makin susah. Walaupun suami kerja di Jabatan Audit Negara, tapi gaji dia pun habis gara-gara kena bayar hutang. Takda siapa sokong kami berniaga dah. Segulung Ijazah mula dipersoal?
Kenapa tak guna?
Belajar tinggi tinggi tapi hidup susah. Sampai orang tua mula mempertikai. Pergila kerja. Akak Bronis paham. Orang tua manalah sanggup tengok anak hidup dengan hutang yang keliling pinggang.
Bank call tak henti henti.
Tak cukup dengan call kami, diorang call abah dan juga opis suami. Malu masa tu memang dah takda. Takda pilihan. Terpaksa hadap.
Diluar Kak Ila nampak kuat sekali. Depan keluarga memang takkan tunjuk. Kami masih hidup bahagia walaupun kesempitan hidup.
Namun, tipula kekuatan ini tak pernah hancur. Sesekali tembok besar kesabaran ini roboh juga. Kewarasan akan hilang sebentar.
Bilik tengah dirumah ini menjadi saksi. Raungan Kak Ila. Menyalahkan diri, menyalahkan takdir. Menyalahkan suami. Menyalahkan semuanya. Semangat masa tu dah jadi macam debu dibawa angin.
Hilang.
Kenapa hidup aku susah macamni? Kenapa aku tak pernah senang? Apa salah aku? Apa dosa aku? Soalan soalan macam orang takda agama akan keluar masa tengah meraung. Berkali kali suami ketuk pintu.
“Bukalah pintu ni sayang, abang nak masuk.”
Selepas tenang, akak bronis buka pintu dan suami akan masuk bilik bersama Aisyah yang masih baby. Suami mula memujuk. Sabarlah sayang, ini dugaan hidup kita. Janganlah jadi macamni. Abang tak sanggup nak tengok.
Namun pujukan pun takkan mampu menenangkan hati yang tengah hancur. Hancur menahan sabar sekian lama.
Sabar ketika melihat susu anak hanya bertahan untuk malam ini sahaja tapi taktau nak korek duit kat mana untuk beli susu keesokan harinya.
Sabar ketika tuan rumah datang depan pagar rumah minta duit sewa yang dah tertunggak 3 bulan.
Sabar ketika anak yang masih baby demam panas sebab naik kereta yang aircond rosak dan tak mampu baiki.
Sabar ketika kereta habis minyak masa bawa anak pergi klinik ketika masih dalam pantang.
Sabar ketika setiap kali bawa mama abah naik kereta dan terpaksa lari bila jumpa polis sebab setahun pakai kereta tak bayar roadtax.
Sabar ketika melihat mama dan abah kesempitan wang tapi langsung tak mampu nak tolong.
Allah.
Allah.
Allah
Tenung wajah sorang sorang. Wajah suami. Wajah ibu bapa. Wajah anak. Rasa sungguh tak berguna. Rasa sangat sangat gagal dalam hidup. Kenapa aku tak mampu bahagiakan manusia manusia yang paling aku sayang dalam hidup.
Kadang soal pada suami. Maaflah abang kawin dengan isteri yang takda kerja tetap. Kalau abang kahwin dengan perempuan yang bekerja, pasti hidup abang tak susah macam ni.
Suami macam biasa. Tak pernah sikit pun merungut. Tak pernah sikit pun menyesal. Tak pernah terdetik sedikit pun abang menyesal berkahwin dengan sayang.
Lepas puas meraung. Lepas puas menangis. Terus tido dan lupa semua.
Esoknya bangun macam biasa dan sambung berfikir bagaimana mahu jadi usahawan berjaya. Itu saja yang ada dalam kepala setiap masa.
Bila dah waras, doa pada Allah. Ampunkan aku Ya Allah. Aku tak mampu. Aku penat. Tolong aku Ya Allah. Aku redha Allah ujian ini. Pasti Kau mahu ajar aku sesuatu. Tapi Ya Allah, kesabaran aku makin mengecut dan kekuatan aku makin hilang. Tolong aku Ya Allah. Kalau Allah tak tolong kuatkan aku, aku pasti rebah.
Untuk memujuk diri, Kak Ila selalu akan pandang orang yang lebih susah. Akak Bronis akan cakap. Alhamdulilah. At least aku ada rumah untuk berteduh. Rumah batu. Aku siap ada TV LCD.
Aku ada suami dan anak yang baik. Serta kedua dua belah keluarga yang cukup sempurna. Mama abah serta mertua yang sayang kami. Banyak ja Allah bagi ni. Takkan nak mengeluh lagi.
Bila fikir macam ni terus rasa kuat. Rasa relax.
2 tahun selepas itu. Alhamdulilah. Allah tak kejam. Allah tak zalim. Allah uji sekejap saja. Tak sampai 2 tahun pun. Tapi sebagai manusia biasa memang rasa lama. Rasa macam azab sangat. Itu baru 2 tahun saja Allah nak tengok.
Barangkali kerana tak pernah hilang keyakinan pada Allah, dan sentiasa sabar harungi segala ujian yang tak terjangkau, kini Allah kirim pelangi.
Kini akak sedar. Tak mudah menjadi seoang dewasa. Hidup takkan pernah terlepas dari ujian. Kadang hidup terasa tenang seperti laut yang luas. Kadang laut bergelora dan ombak menghempas. Semua ni takkan berhenti. Inilah kehidupan.
Kini kami dah keluar daripada kesusahan. Pengalaman lepas membuat kami lebih menghargai setiap rezeki yang Allah bagi.
Dapat beli susu anak untuk sebulan terus.
Allah, syukurnya rasa!
Dapat beri keselesaan pada anak. Rumah dari ruang tamu sampai ke bilik ada aircond. Tak perlu berpanas lagi sayang.
Dapat bawa mak abah pergi bercuti dengan selesa tanpa perlu lari dari JPJ lagi.
Dapat hantar mak abah pergi Umrah. Hadiah dari Allah yang terlalu bermakna.
Dapat beli barang dapur untuk sebulan tanpa perlu bercatu.
Allah.
Banyak lagi rezeki yang Allah bagi.
Kalau Allah tak uji dulu, mungkin kami takkan pernah harga setiap nikmat yang Allah bagi.
Pada kami, semua sebab ihsan Allah. Allah terlalu baik. Allah tarik sedikit nikmat sebab nak kami belajar. Kini Allah beri rezeki untuk kami lebih bersyukur dan lebih sabar.
Tipu jika Rasmawati Rashid, 25 tak sedih sebaik menyambut kelahiran bayi sulungnya. Dengan tubuh badan berparut umpama kesan terbakar di seluruh tubuh dan cacat penglihatan.
Namun dia dan suami, Adam bin Hassan, 30, tetap menerima kehadiran Cahaya Imani,5, dengan penuh kesyukuran.
Suami yang bekerja sebagai pemandu lori tak dapat bersama dalam sesi temubual. Dia bertugas di luar daerah.
Kisah Cahaya Imani pernah tersiar di akhbar dan televisyen. Dia penghidap Goltz Syndrome, sejenis penyakit genetik yang cukup asing, mungkin dia satu-satunya yang ada penyakit ini di Malaysia.
Sepanjang mengandung, Rasmawati atau mesra dipanggil Ras, tak alami kejadian pelik.
“Cuma alahan yang agak teruk sehingga pernah dimasukkan ke wad kecemasan. Masa itu penyakit gastrik saya juga teruk hingga pernah muntah darah.
“Tapi semuanya okay setelah usia kandungan tiga bulan. Bila saya membuat imbasan (scan) pun semuanya normal.”
Masa lahir Ras tak perasan anaknya cacat penglihatan. Selepas satu jam, baru jururawat datang dan terangkan keadaan sebenar bayinya.
“Masa itu saya tak rasa apa-apa bila jururawat beritahu Cahaya Imani lahir tak ada bebola mata dengan badannya ada kesan terbakar.
“Perutnya ada kesan luka sedikit. Mungkin sebab masa tu masih terlalu lemah akibat proses bersalin. Saya pegang Imani macam tak ada apa-apa. Saya susukan dia.
“Tapi bila suami tenangkan saya, minta saya bersabar. Barulah sedih tu datang. Susah sebenarnya nak terima masa awal-awal. Tapi suami tak pernah berhenti bagi semangat.
“Sampai akhirnya saya terima dengan hati terbuka. Goltz Syndrome adalah penyakit genetik, bukan penyakit keturunan.”
Kata doktor yang merawat Imani, kes anaknya itu ‘special. Mengikut laporan di negara lain, semua penghidap adalah normal. Tak alami kecacatan anggota yang lain.
Doktor-doktor sendiri pun sukar nak buat rujukan berkaitan penyakit Cahaya Imani.
“Walau apa pun, saya dan suami redha dengan ujian Allah ini. Kami adalah insan terpilih untuk diuji dengan anak istimewa ini.
“Imani juga lahir dengan tiga lubang pada jantungnya. Alhamdulillah, hasil imbasan baru-baru ini, tinggal satu lubang saja lagi. Kata doktor, tak kronik. Jadi, tak perlukan pembedahan, cuma rawatan susulan saja.”
Cahaya Imani dah pun berusia lima tahun. Dia semakin aktif dan boleh berjalan di sekeliling ruang di dalam rumah.
“Dia sensitif sangat dengan haba panas. Kulitnya nipis jadi perlu kerap mandi. Saya juga akan sapukan krim untuk menggelakkan kulitnya kering.
“Bila dia rasa tak selesa, dia akan tarik tangan saya. Fahamlah saya yang dia nak minta dimandikan.
“Imani belum boleh bercakap tapi saya boleh teka keinginannya dari kelakuan dia. Kalau nak makan, dia akan menadah tangan macam orang membaca doa.
“Anak saya ini juga alami masalah pendengaran pada telinga kirinya. Dia cuma boleh dengar 50% saja. Sebab dekat belakang gegendangnya ada air.
“Setakat ini, tubuhnya kecil berbanding kanak seusianya. Tubuhnya cuma boleh terima cecair.
“Bukan saya tak cuba bagi makanan pejal tapi dia tak pandai kunyah nanti akan tercekik. Tak berani saya nak bagi. Imani cuma makan nestum dan bubur.”
Akui ibu ini, tidak sukar menjaga anaknya. “Dia tak ada penyakit kronik lain. Cuma sejak berusia empat tahun, dia kerap demam panas, antara tiga hingga empat kali dalam sebulan.”
Kalau di lihat pada tubuhnya tinggal parut-parut umpama kesan terbakar. Tapi anaknya sukat tidur malam. Tugas Raslah kena berjaga malam mengawasi anaknya.
Sampai setakat ini, anaknya sudah melakukan tiga kali pembedahan pada bahagian mata.
Ras berharap anaknya mampu membesar dengan sihat dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Cahaya Imani inilah penyeri hidup saya dan suami. Kami bersyukur kerana kedua-dua keluarga kami sentiasa menyokong dan memberikan semangat. Mereka pun terima keadaan diri Cahaya Imani dengan tabah dan redha.
“Takkan sekalipun anak ini dipinggirkan. Sering kami bawa dia bersiar-siar. Takkan biarkan dia di rumah saja. Walau pun ada yang pandang semacam, saya anggap itu normal.
“Jika dia mampu bercakap dan tubuhnya membesar dengan sihat, baru kami akan fikir langkah seterusnya. Misalnya membawanya ke pusat pembelajaran untuk kanak-kanak istimewa dan sebagainya.”
Foto: Mohd Izari Rosli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selepas 21 hari dihantar ke penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan dirinya bersalah atas kesalahan rogol, hari ini Mahkamah Rayuan membebaskan sementara Da'i Syed.