Baru-baru ini,viral gambar seorang pesakit di bawah pengawasan (PUS) wabak koronavirus (Covid-19) sedang makan di sebuah restoran di Meru Raya. Wanita ‘gelang pink’ tersebut telah dikenal pasti dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Menurut sumber, laporan daripada Sinar Harian, wanita berusia 72 tahun itu diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu.
“Saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin.
“Kejadian itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya sedangkan gambar itu baharu sahaja tular kelmarin,” katanya.
Menurutnya, saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita tersebut positif dan telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu.
“Wanita itu kini masih dalam rawatan Covid-19 di hospital terbabit bersama anak lelakinya setelah ujian kali kedua didapati positif.
Ads
“Berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, volume (kandungan) virus adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang,” katanya.
Pelanggaran SOP
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu setelah siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ads
Pada masa sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pelanggaran SOP oleh wanita berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan dan kes Covid-19 juga masih bertambah di negara ini.
MW: Bagi yang sedang menjadi menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah, berlaku jujurlah dan jangan pentingkan diri sendiri. Ingat kita belum menang, jangan jadi punca penyebaran virus ini.
KECEWA. Bayangkan karya seni yang dihasilkan dengan penuh jiwa tidak dihargai. Lebih teruk mereka turut menconteng kata-kata kesat. Bukan mudah untuk menelan apa yang terjadi, lebih-lebih lagi karya seni menjadi tular.
Tiada yang lebih mengecewakan bagi pelukis melainkan karyanya bukan sahaja tidak dihargai tetapi turut diconteng dengan kata-kata kesat.
Pelukis mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di Shah Alam, Muhamad Firdaus Nordin, menjelaskan dia mengetahui mengenai mural yang dihasilkannya diconteng apabila dihubungi orang awam.
Sebaik sahaja mendapat berita itu, dia bergegas ke lokasi apabila dimaklumkan mengenainya apatah lagi sesudah melihat gambar dan video mengenai perbuatan vandalisme itu yang tular di media sosial.
“Sebaik sahaja dapat tahu, saya terus datang ke sini selepas tengok gambar dan video di ‘group whatsapp’, sampai sini sudah ada ramai orang dan lukisan sedang ditutup,” katanya.
Katanya, dia tidak mengesyaki ada pihak yang tidak berpuas hati mengenai karya seni itu susulan ia menjadi tular. Malah sebelum ini Yang Dipertuan Agong turut mencemar duli melawat mural berkenaan.
“Kami syak, semalam petang selepas kedatangan pemimpin dan ahli politik. Malah terdapat beberapa komen berbaur politik yang saya baca di berita semalam,” katanya yang kelihatan kecewa memandang lukisan mereka diconteng.
Sementara itu, menurut seorang saksi dia terkejut dan kesal melihat karya seni anak muda itu diconteng.
“Jam 7 pagi tadi, ketika melalui kawasan ini, mural gergasi ini sudah diconteng, saya terkejut dan terus hubungi pelukis.
“Pelukis tiba setengah jam kemudian, begitu juga polis dan orang awam pun ada ambil gambar.
“Saya sebagai orang awam, kecewa dengan sikap tidak bertamadun orang yang mencontengnya. Ini kerugian yang besar, sepatutnya pandanglah lukisan itu sebagai karya seni bukan dari sudut lain,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Tinjauan di lokasi kejadian kira-kira jam 10.50 pagi mendapati selain pelukis terbabit, polis dan pihak berkuasa tempatan mengawasi kawasan terbabit.
Lukisan itu juga sudah ditutup dengan kanvas dan polis turut melekatkan pita kuning DILARANG MASUK sebelum ia kesemua mural itu dicat semula dengan cat putih oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kawalan pihak polis sekitar 12 tengah hari.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika dihubungi kesal dengan tindakan vandalisme terhadap mural yang dihasilkan bagi menghargai usaha pemimpin negara menangani wabak COVID-19.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata tindakan menconteng lukisan mural di kawasan komersial, Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab.
“MBSA memandang serius terhadap perkara itu. Tindakan vandalisme seperti ini amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang bekerja keras dan komited dalam menangani wabak COVID-19.
“Lanjutan daripada itu, MBSA mengambil langkah segera untuk mengecat semula dinding itu dengan cat berwarna putih.
“Pada masa yang sama satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Seksyen 6 berhubung contengan di mural terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini. Shahrin berkata, MBSA akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan vandalisme di tempat-tempat awam.
“Tindakan akan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 sekiranya didapati mana-mana pihak melakukan vandalisme.
“MBSA juga ingin menasihatkan kepada semua pihak merujuk terlebih dahulu kepada MBSA sebelum melakukan aktiviti mural di tempat awam di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.
MW: Tak mampu bayangkan perasaan pelukis, setelah berpenat-lelah dan karyanya diangkat, akhirnya lukisan yang mencuri tumpuan ramai dirosakkan sebegitu saja, Semoga pesalah dibawa ke muka pengadilan.
Mas kahwin merupakan satu kewajipan yang perlu diberikan pihak suami kepada isteri ketika pernikahan. Tak kiralah apa juga yang mampu diberikan tanpa membebankan. Sepasang suami isteri dari Lombok Tengah, Indonesia, dapat perhatian ramai di media sosial gara-gara mas kahwin hanya sepasang selipar jepun dan sebekas air kosong.
Mereka ialah Yudi Anggata, 40, iaitu pengantin lelaki dari kampung Braim dan Helmi, 20, pengantin perempuan dari kampung Desa Jurit, Lombok Tengah, lapor Kompas.
Menerusi rakaman video yang tular di Facebook, pengantin lelaki menjadi tumpuan di media sosial kerana mas kahwinnya sangat sederhana.Helmi seorang model yang cantik mengahwini Yudi pada 3 Julai lalu.
Dalam video tersebut, Yudi melafazkan ijab kabul beberapa kali kerana gugup.Menurut Helmi, mas kahwin itu atas permintaannya kerana tidak mahu membebankan pihak lelaki.
“Benar, saya tak mahu menyusahkan suami dan keluarga. Jadi hanya meminta selipar jepun dan sebekas air kosong.
“Sebaik majlis akad nikah selesai, saya minum air tersebut dan selipar itu akan disimpan. Saya juga akan tunjukkan kepada anak nanti,” katanya.
Helmi juga menolak dakwaan sesetengah pihak mengenai selipar dikatakan mempunyai nilai sentimental buat mereka sebaliknya dia memberitahu, tiada sebarang maksud tetapi sekadar untuk dikenang.
Yudi merupakan seorang youtuber yang memiliki akaun channel di Youtube bernama Yudi Anggata. Dan channel yang didominasi dengan konten klip musik Sasak milik Yudi itu telah mempunyai subscribers 22,8 ribu.
Pasangan ini berkenalan menerusi laman sosial youtube. Helmi selalu memberi komen di video yang dikongsikan oleh Yudi di laman tersebut. Channel Youtube itulah yang akhirnya menyatukan kedua pasangan ini sebagai suami isteri.
“Dulu aku komen di videonya (Yudi). Terus lanjut di Facebook. Dulu jadi subscribers,” kata Helmi.
Setelah menjadi semakin rapat, Helmi bahkan terlebih dulu yang mengajak Yudi menikah dan rela meminta mahar yang tidak membebankan Yudi kerana Helmi tahu Yudi hanyalah seorang youtuber.
Sementara itu, Yudi pula mengaku bersyukur dapat menikahi Helmi yang sangat cantik dan ayu. Dia mengaku saat pertama bertemu dengan Helmi rasa sangat malu dan segan memandangkan dia telah menikah sebanyak tiga kali sebelum ini.
Berkongsi perancangan masa hadapan, Helmi mengaku akan membantu suaminya itu dalam mengembangkan channel YouTube, yakni dengan menjadi modelnya. Helmi juga akan mengikuti langkah sang suami dengan membuat channel YouTube sendiri.
“Saya akan bikin konten tentang make up dan masakan,” ujarnya.
MW: Mungkin agak ‘unik’ apabila hanya meminta selipar Jepun dan sebekas air sebagai mas kahwin. Selamat melayari rumahtangga dan berbahagia. Semoga perkahwinan yang dibina ini diberkati, mendapat sakinah mawaddah dan rahmah.
Manis sungguh, Puan Sri Normala Samsudin ini. Walaupun tanpa secalit colekan, wajah berpeluh dek penat buat kerja rumah, bersenam mahupun berkebun. Tetap cantik, awet muda. Cuma lilit kain lampin baby buat selendang pun menawan betul.
Jangan tak tahu, mantan pengacara dan personaliti TV terkenal ini tak reti duduk diam. Ada saja aktiviti yang akan buatnya bergerak, walaupun cuma berada di rumah.
Akuinya, “Apabila berusia 50-an, wanita cepat berpeluh bila buat kerja rumah, bersenam dan berkebuh dan pelbagai lagi. Berpeluh bagus untuk kesihatan.
Tapi kena sedia kain lap peluh dan jangan guna sebarangan kain, ia boleh radangkan kulit. Kulit saya sensitif jadi saya selesa guna kain lampin baby. Ia lembut dan bau amat sedap. Macam bau baby.”
Pesan beliau lagi,
“Janganlah guna yang terpakai. Beli baru untuk kegunaan sendiri. Murah je kain lampin. Dan kain lampin ini, tak ada sapa sudi guna kalau dalam rumah.”
Ujarnya, “tak semua orang suka kain lampin, sebab stigma untuk baby. Sebenarnya apa juga barangan untuk baby teramat baik untuk orang dewasa.
Saya jenis yang tidak suka ‘share’ towel muka atau apatah lagi towel mandi. NO, saya amat peka!. Musim Covid ini lagilah kena jaga jangan sebarang share betul tak. Ada keterbatasan yang perlu di jaga tentang kebersihan.” Kongsinya yang dah bertahun guna kain lampin bayi untuk lap peluh.
Haa.. patutlah walau sudah mencecah 56 tahun malah dah bergelar nenek, isteri kepada bekas menteri, Tan Sri Azmi Khalid ini bagaikan tak dimamah usia.
Kulitnya tetap cantik dan flawles. Malah, wanita kental ini sebenarnya cukup gemarkan aktiviti lasak. Masuk hutan, mendaki dan meneroka hutan Belantara. Jika tak, masakan Gunung Tahan, Pahang, Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Batur, Indonesia sudah dijejakinya.
Malah, membesar dalam suasana kampung menjadikannya wanita berjiwa kental. Selamba saja berdepan ternakan kambing di kampung halaman. Serba boleh sungguh!
Kongsinya, “Umur 7 tahun saya dah belajar mengaji Quran, emak guru kami. Bila mak ajar Quran ada je lakonan malas ku drama macam-macam sampai menangis… nauzubilah.. emak sabar sangat. Dia tuntun sikit-sikit walaupun dia keletihan.
Masa itu pengaruh Nasyid kuat, saya join sebab mak-mak sedara yang ajak. Seronok pulak, mak-mak sedara semua johan Qariah Daerah Segamat malu aihh kalau tak katam Quran. Pederas belajar sampai katam.
Pun dah lambat sebab umur 17 baru katam.Mak-mak sedara pesan kita kena katam Quran sebab nanti bila nak kawin kena buat majlis katam Quran. Nawaitu pun kelaut gak.. kini aku baca Quran dan aku hadamkan maksudnya. InsyaAllah.
Sejarahku, bila mula bekerja kita makin hanyut, baca Quran bila perlu dan bila terdesak. Lama juga hanyut di lautan sepi dan bergelora tidak bertemu pantai dan tebing sering melorot. Aku lalui semua itu, aku akui zaman lara itu, zaman yang kalau boleh tidak mahu aku kenang, tidak mahu di ingat kembali walaupun ada manisnya.
Namun siapalah aku untuk mengedit masa lalu itu. Hanya Allah saja yang boleh edit, delete and reset. Moga Allah ampun dosa ku yang lalu dan akan datang.
Sejak 2006, Allah jentik hati ini perlahan-lahan. Bermula dengan pelbagai ujian kecil yang hanya diri sendiri yang faham. Bertatih mengaji, menangis bila teringat bantah emak. Allah mulakan perasaan ini dengan sentuhan Mimpi yang sangat menginsafkan berkali-kali.
Aku perbetul solat, perbetul bacaan dalam solat, dan nekad jangan tinggal solat walau apa terjadi sekali pun. Berjalan lah ke pelosok mana pun. Jauh di sudut hatiku tak cukup dengan itu, aku solat sunat, puasa sunat Isnin Khamis. Kuliah mingguan dan Jemaah di masjid, zakat, fitrah dan segala hutang dan tunai Haji.
Kuliah ustaz-ustazah Youtube pun tak miss. Semua ini untuk memperbetulkan jalan hatiku ini menuju pada Allah. Aku masih bertatih dan masih belajar sebab tak pandai-pandai.
Apa yang nak ku kongsi ini, jadikanlah perjalanan kehidupan Normala Samsudin ini sebagai teladan dan jangan ikut perkara tak baik yang pernah aku lalui. Maafkan aku dan doakanku.”
Nak cantik kena rajin kan.. bersenam salah satunya. Tengok sini Normala ajar cara buat ‘cooling down’ selepas lakukan senaman. Katanya ’Cool Down’ ini wajib dibuat selepas bersenam. Macam mana perut lapar sekalipun.. kena juga buat.
Dari muda Normala gemar menanam pokok bunga, terutama bunga kenanga yang banyak nostalgia dengannya. Katanya walau di mana pun, beliau menetap baik di Perlis, Kuala Lumpur mahupun Segamat pokok bunga Kenanga inilah yang akan ditanamnya.
Tradisi orang dulu, bunga kenanga inilah antara bunga yang dicampur untuk buat bunga rampai. Sekarang ini, minatnya mula mahu menanam sayuran pula. Bermula dengan sawi yang dihadiahkan teman.
Walaupun percubaan pertama buat topeng muka (mask) tetap kemas jahitannya. Teliti sungguh. Dah tak larat nak beli mask pakai buang, sudahnya jahit sendiri mask yang boleh cuci dan jemur untuk anak bujangnya yang sudah pun bekerja.
Ibu kepada Asyraf Roslan, Dr Ruhila Roslan dan Rubilla Roslan ini bukan saja lemah lembut dan manis orangnya, malah karismanya sebagai ikon ‘Wanita Melayu Terakhir’ tetap menawan hati peminatnya sampai hari ini.
Menjadi juri tetap program Ratu Hijabista sekaligus membuat kemunculan semula dalam dunia penyiaran ini pun selepas beliau mendapat ‘lampu hijau’ atau keizinan daripada suami.
Bak kata suaminya, ‘Dalam program itu nanti, dirinya bukan sekadar juri malah umpama seorang ibu yang akan berkongsi pengalaman dengan peserta.”
Program pencarian bakat pengacaraan, Ratu Hijabista ini menampilkan gandingan Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim sebagai pengacara yang disertai 12 peserta berusia di antara 21 hingga 30 tahun.