Sanggup Buang Kemewahan Demi Kejar Islam

Nurain T Abdullah menerima hidayah Allah sejak awal remaja lagi. Namun perjalanannya untuk mengenali dan mendalami agama Islam tidak semudah yang disangka. Rintangan dan halangan dihadapinya dengan penuh tabah. Kini, Nurain bersyukur kerana hidupnya sudah semakin baik setelah bergelar muslim sejati.

Wanita berusia 46 tahun ini berasal  dari Sabah. Tetapi kini dia menetap di Kuala Lumpur. Apabila diminta bercerita mengenai perjalanan hidupnya mencari agama Islam, mulutnya tidak henti-henti berkata semuanya bermula daripada Allah.

“ Apa-apapun semuanya bermula daripada Allah. Saya dilahirkan dalam keluarga yang taat pada agama Kristian. Tetapi disebabkan sejak kecil  saya banyak membaca, secara tidak sengaja saya terjumpa dengan agama Islam. Melalui pembacaan tersebut saya terjumpa ayat-ayat yang bertentangan dengan ajaran agama yang saya anuti sejak dilahirkan.

” Ayat-ayat tersebut mengisahkan bahawa Allah itu diberanakkan dan tidak diperanakkan. Ayat itu terdapat dalam surah Al-Ikhlas. Terjemahannya sangat indah. Tetapi dalam kepercayaan kami Tuhan itu dilahirkan.

” Apabila saya bertanya pada pakcik yang juga seorang paderi berkaitan hal tersebut, dia cakap pada saya agar berdiam dan tidak banyak tanya. Dia minta agar saya taat sahaja. Jadinya saya sering tertanya-tanya kenapa saya tidak boleh bertanya. Hanya taat sahaja. Dalam Islam tidak begitu. Kita kena jelaskan.

” Setelah dewasa, niat untuk mengenali agama Islam itu sentiasa ada. Tidak pernah padam. Keluarga memang tidak suka bila saya menyatakan hasrat hendak masuk agama Islam. Apabila saya telah berkahwin, suami pun tidak suka bila saya beritahu hasrat saya itu.

” Ketika berkahwin kehidupan saya mewah. Tetapi demi mahu masuk agama Islam, saya korbankan semuanya. Saya minta cerai daripada suami dan berpindah ke Singapura. Saya berani pada masa itu kerana saya ada duit dan kawan saya juga tinggal di sana. Ketika itu saya berusia 23 tahun.

” Selepas nekad mahu masuk agama Islam, saya mula mengkaji mengenai Islam. Masa itu jugalah saya baru kenal dengan orang Melayu yang berasal dari Johor Bahru. Kami berkenalan dan banyak juga saya tanya pada dia tentang agama Islam.

” Ketika di Singapura baru saya sedar bahawa Islam di sana agak lain. Islamnya agak tersembunyi. Tidak begitu Islamik sangat masyarakat Islam di sana. Sukar bagi saya untuk belajar mengenai Islam dengan lebih baik. Sebab itu juga saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Johor Baharu. Selepas itu saya berhijrah pula ke Kuala Lumpur.

Semasa berada di Kuala Lumpur saya berjumpa dengan kawan-kawan yang Islamik dan bawa saya pergi ke Perkim.”

Setelah diajak ke Perkim, hasrat Nurain untuk masuk Islam mula bersinar. Dia telah memeluk agama Islam pada tahun 2000, itupun setelah beberapa kali sesi soal jawab dengan ustaz di sana. Dia masih ingat lagi ustaz Amran dan ustaz Sulaiman yang mengajar di sana ketika itu.

“ Penjelasan kedua-dua ustaz itu telah menyakinkan diri saya bahawa keputusan saya untuk memeluk agama Islam itu agak tepat. Alhamdulillah saya mengucap dua kalimah syahadah di Perkim,” ujarnya.

Bawa Ayah Masuk Islam

Kehidupan Nurain setelah bergelar muslim semakan berubah. Semakin dirinya menginjak usia semakin matang kehidupannya.

“ Kita boleh pilih yang terbaik untuk hidup. Itulah bezanya. Kita juga kena rajin pergi kelas agama sebab kalau tidak iman akan turun naik. Ilmu agak luas dan kita perlu cari. Kalau boleh belajar sehingga kita menghembuskan nafas terakhir. Itulah yang disarankan oleh guru saya.

” Sepanjang belajar agama Islam, saya tahu mana halal dan haram. Sedikit sebanyak belajar berdakwah pada keluarga. Alhamdulillah, lebih dari dua orang ahli keluarga saya telah masuk Islam. Saya ada 10 orang adik-beradik.

” Saya bawa adik-beradik pindah ke Kuala Lumpur. Saya berkorban wang ringit dan tenaga dalam memastikan kehidupan mereka selesa. Saya berniat mahu bawa mereka ke arah kehidupan yang baik seperti yang saya lalui.

” Kini saya bersyukur kerana Berjaya bawa ahli keluarga masuk Islam. Saya Berjaya bawa ayah saya masuk Islam. Pada akhir hayatnya, dia telah masuk Islam walaupun ketika saya masuk Islam dahulu dialah yang paling menentang.

” Selama 10 tahun dia tidak mengendahkan saya. Namun saya sabar. Akhirnya hati ayah terbuka memeluk Islam pada tahun 2016. Sayang sekali saya tidak sempat membawa ibu masuk Islam kerana dia juga telah meninggal dunia.

” Pada mulanya mereka tidak percaya dan membangkang apa yang saya buat. Tetapi mereka akhirnya Mereka tertarik apabila melihatkan kesungguhan saya berdakwah. Sebenarnya berdakwah ini lebih kepada kesabaran. Kita juga perlu tunjuk akhlak yang baik untuk menarik hati orang lain agar berubah seperti yang kita lakukan.”

Demi Islam, Nurain berkorban duit , masa, perasaan dan nyawa. Namun semua itu berbaloi untuk dilakukan.

“ Kalau demi Allah saya sanggup. Kena ikhlas. Untuk hidup sebagai seorang Islam perlu sabar.”

Berdakwah Melalui Nyanyian

Nurain bekerja  di sebuah salun dan spa untuk Muslimah yang terletak di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Namun pada waktu yang sama dia turut menggunakan masa luang untuk bergerak sebagai penyanyi nasyid kumpulan Safiya. Kumpulan ini pada asalnya ditubuhkan oleh Leia Az Zahra Justin. Nurain dan Leia adalah ahli asal kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2017.

Pada tahun 2019, kumpulan ini telah aktif semula dengan menambah dua ahli baru iaitu Julia Lury dan Nur Zee Amani bagi menggantikan dua ahli lama yang menarik diri.

Menyanyi bukan sekadar hiburan. Bagi Nurain menyanyi juga adalah caranya untuk berdakwah.

“ Kami menyanyikan lagu-lagu lebih kepada lagu berdakwah dengan lirik yang baik dan bukan melalaikan. Banyak nasihat dalam lirik lagu nasyid kami. Single terbaru kami adalah berjudul Mudah-mudahan.”

Nurain suka berkongsi ilmu. Dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang ada, dia tidak lokek menyumbang semula kepada masyarakat terutama kepada saudara baru.

“ Apabila ada masa saya akan gunakan untuk mendekati mualaf dan membantu mereka dari segi ilmu atau perkara-perkara yang saya mampu berikan kepada mereka. Kadang-kadang saya menggunting rambut secara percuma kerana itu kemahiran saya.”

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI