Sel tahanan penjara selalunya digambarkan dengan suasana biliknya yang sempit,panas, ruang terhad, berkongsi bilik air dan serba serbi kurang.Sungguh tak dapat dibayangkan apabila sel tahanan penjara bertukar rupa, jadi bertambah selesa dan mewah, bagai menginap di hotel atau tinggal di rumah sendiri!
Rupanya terdapat banduan penjara Indonesia didapati memberi rasuah kepada pegawai penjara di sini untuk hidup mewah dan selesa dalam sel tahanan yang dilengkapi penyaman udara, peti sejuk, ketuhar gelombang mikro, televisyen dan bilik air persendirian, kata pegawai anti rasuah dalam pendedahan skandal rasuah terbaru di negara itu.
Kakitangan penjara disyaki menerima rasuah antara 200 hingga 500 juta rupiah (RM56,896 hingga RM142,240) daripada banduan untuk menaik taraf dan mengubah suai sel tahanan banduan terbabit, selain turut dibekalkan telefon bimbit, malah ada yang dibenarkan meninggalkan penjara buat sementara waktu.
Menurut Suruhanjaya Pencegah Rasuah (KPK) Indonesia,baru-baru ini pihaknya menahan lima suspek yang dikaitkan dengan skandal di Penjara Sukamiskin,Bandung itu, termasuk banduan dan wadar yang menerima wang tunai serta dua kenderaan.
Ads
Minta Maaf
Dalam satu serbuan Ahad lalu, beberapa sel didapati dilengkapi bilik air moden dengan pemanas air, peti ais bersaiz penuh, pembancuh kopi, ketuhar gelombang mikro dan sistem audio rumah.
Berikutan itu, Ketua Pengarah Penjara Indonesia, Budi Utami, berkata;“Kami memohon maaf kepada rakyat Indonesia. Kami amat memohon maaf kerana tidak mampu memaksimumkan sistem pemantauan, ” katanya.
Sementara itu, seorang bekas pegawai agensi percukaian yang kini menjalani hukuman di penjara itu pernah dirakam gambarnya menonton perlawanan tenis di Bali, malah pernah ke luar negara menggunakan pasport palsu sedangkan ketika itu dia sepatutnya berada dalam penjara lain. Banduan lain di Penjara Sukamiskin itu termasuk bekas Ketua Hakim dan bekas Speaker Parlimen, Setya Novanto, yang didapati bersalah April lalu, menerima rasuah jutaan ringgit berkaitan pengeluaran kad pengenalan Indonesia.Namun, kedua-dua mereka bukan antara yang ditahan dalam serbuan Ahad lalu.
Ads
Hakikatnya ia adalah rahsia yang diketahui umum bahawa banduan Indonesia yang kaya dan berpengaruh boleh membeli kemewahan dalam penjara. Tahun lalu, kerajaan memberi amaran akan memenjarakan pegawai penjara yang mengambil rasuah daripada banduan.
Dalam satu kes, sel seorang ahli perniagaan wanita yang dipenjarakan kerana rasuah dilengkapi tilam spring, sofa, peti sejuk, televisyen dan pendingin hawa, selain bilik karaoke.
Tak sangka sampai tahap begini, kemewahan dan keselesaan duduk dalam penjara yang diberikan.Kalau begitu, apa bezanya dengan tinggal di hotel atau duduk dirumah sendiri? Macam-macam hal.
Bertandang ke kediaman chef selebriti dan pengacara berbadan genit, Anis Nabilah Umaruddin, 32 bagaikan berada di rumah sendiri. Mana tidaknya, melangkah saja masuk ke dalam rumah, Anis dan keluarganya menyambut kami dengan penuh ramah sekali. Hidangan penuh di atas meja buat santapan tetamu. Malah ibunya juga sentiasa manis dengan senyuman tatkala melayan kami.
Anak keempat daripada lapan beradik ini sememangnya cukup berpengalaman dalam industri kulinari dan merupakan chef selebriti yang tidak pernah patah semangat dalam memacu kerjayanya sejak 11 tahun lalu. Malah, berkat kesungguhan dan minat mendalam, kini kakak kepada pelakon dan penyanyi, Aisya Hasnaa ini mampu tersenyum dengan pencapaiannya. Bukan itu saja, berbekalkan kepakaran dalam bidang penyediaan makanan, dia kini mampu berdiri setanding chef selebriti popular dunia yang lain.
Mengacara lebih 35 program masakan, Anis juga menjadi satu-satunya chef selebriti Malaysia dalam program travelog makan-makan My Taste of Hong Kong (saluran TLC Asia), Eating Wild dan Icip-Icip untuk saluran AFC (Asian Food Channel). Terbaru Anis telah menjayakan program TV, Cerita Rasa Anis Nabilah untuk TV2 dan 12 Bakar Musim Ketiga untuk TV3.
“Saya bermula sebagai tukang masak dan kemudian barulah menjadi pengacara. Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap ini. Pada peringkat awal, saya terpaksa bersusah payah untuk diterima. Orang tidak percaya kemampuan saya kerana hanya lulusan diploma. Saya bersyukur usaha selepas terbabit dalam beberapa program masakan di peringkat Asia dan Barat telah berjaya membuka mata banyak pihak.
“Saya juga sememangnya gemar memasak kerana ia mudah dan menyeronokkan. Paling penting, kita tahu apa yang masuk ke dalam badan kita terutama masakan menyihatkan. Setiap kali mengemudi rancangan masakan, perkara pertama terlintas di fikiran ialah mengajar penonton makan secara sihat. Mak pernah cakap, apa saja pekerjaan dilakukan, kena buat perbezaan. Saya pilih jadi chef selebriti sebab mahu ajar orang menghasilkan masakan sihat, sedap dan cantik. Itulah cara saya buat perbezaan. Malah sepanjang 11 tahun dalam bidang ini juga saya berpeluang mengembara banyak tempat seperti Eropah, Afrika Selatan, Australia dan kebanyakan negara Asia. Selain dapat melihat negara orang, paling penting dapat bertukar pendapat serta ilmu mengenai masakan dan cara pemakanan sihat,” terang Anis yang sememangnya gemar menambah ilmu masakan dan mengajar orang cara memasak.
Selain memasak dan mengacara ditanya adakah Anis tidak mahu terlibat dalam lakonan atau nyanyian. Ungkapnya;
“Biarlah saya fokus pada masakan dan mengacara saja. Memang ramai yang bertanya tak nak ke berlakon atau menyanyi. Pada saya kalau nak berjaya kena ada fokus. Saya tak nak buat semua kerja dalam satu masa dan saya lebih suka masa yang ada saya fokus pada dua karier utama saya sebagai chef dan pengacara.”
Cukup dikenali dengan tubuh badannya yang kurus. Anis akui dia sendiri mengawal pemakanan.
“Bekerja sebagai seorang chef memang ramai yang bertanya bagaimana saya boleh kekalkan bentuk tubuh yang kecil dan kurus. Rahsianya, saya kurangkan pengambilan gula. Saya makan nasi seperti biasa cuma saya banyak minum air putih dan elak pengambilan gula yang berlebihan. Sebelum saya amalkan cara ini memang saya akui badan cepat penat, mengantuk dan sememangnya gula punca kepada penyakit. Selain itu saya juga gemar makan buah-buahan,” ulas Anis lagi.
Sewaktu sedang rancak berbual, penulis mengajukan soalan tentang ciri-ciri teman lelaki pilihan dan perkahwinan. Anis terus tersenyum dan berkata, “Kahwin? Saya sedang menunggu waktu. Sebelum ini memang rasa tertekan bila ada yang tanya bila nak kahwin? Pada saya jodoh itu di tangan tuhan dan saya doakan dipertemukan jodoh satu hari nanti. Sekarang ini saya belum jumpa lelaki yang sesuai lagi. Allah mungkin nak saya jaga emak dan ayah dulu. Malah saya percaya Allah mahu berikan yang terbaik buat saya. Apa yang diduga atau dianugerahkan akan saya terima.
“Tentang ciri-ciri lelaki pilihan sudah tentu saya nak yang mempunyai hati yang baik. Kena sedap mata memandang. Paling penting boleh berkomunikasi dan faham dengan diri saya dan ahli kelurga kami yang besar,” terangnya tentang lelaki pilihan.
Ketika kunjungan kami juga, pihak Jubin MML bagi pihak Anis telah menghadiahkan rekaan baru dapur basah di kediaman ibu Anis.
“Saya mahu berterima kasih kepada Jubin MML kerana sudi beri hadiah pada mak. Sememangnya mak sangat gembira dengan pengubahsuaian baru dapur basahnya. Di sinilah tempat saya dan ibu memasak. Sebelum ini jubin dapur basah kami berwana putih dan ditukar kepada hitam sememangnya sangat cantik dan senang untuk dibersihkan.
“Jubin lantai yang bercorak kayu sememangnya cantik dan mudah dibersihkan. Malah semasa memasak pada petang raya kami masak dan bawa kawah dalam rumah. Sememangnya dapur kami nampak cantik dan sedikit sejuk. Ruang ini juga selesa untuk memasak. Walaupun saya tinggal berasingan dengan ibu namun setiap hari saya datang bertandang ke sini. Kadang kala saya masak dan bawa makanan ke rumah ibu,” sambung Anis.
Anis juga menerangkan dia mengambil keputusan untuk berpindah kerana mahu belajar berdikari.
“Saya ambil keputusan berpindah rumah dan tinggal sendirian kerana ingin belajar jaga diri sendiri dan berdikari. Walaupun ibu dan ayah masih merajuk sampai sekarang sebab saya berpindah, namun saya sememangnya perlu berdikari. Saya berpindah ke rumah sendiri sejak bulan November tahun lalu. Walaupun duduk berasingan namun saya datang setiap hari di rumah ibu bapa jika saya tidak ke luar negara. Kami anak beranak cukup rapat, boleh dikatakan saya ni ‘anak emas’ dalam keluarga. Saya dan Aisyah sememangnya rapat dengan ayah dan ibu dan kami selesa berbual antara satu sama lain,” luah Anis.
Sebelum mengakhiri perbualan Anis juga menyatakan kini dia muncul dengan produk baru dari air tangannya sendiri yang diberi nama Tumis By Anis.
“Sebelum ini ramai yang bertanya bila saya nak buka restoran. Tapi saya tak nak dan tak minat. Memandangkan saya lebih suka pada masakan Tha, jadi terbaru saya akan muncul dengan perencah yang dimasak sendiri diberi nama Tumis By Anis. Setakat ini terdapat lima perencah yang bakal dijual kepada pelanggan dan saya cuma promosikan menerusi Instagram sahaja,” akui Anis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Walaupun ada pendapat melarang pengambilan cuka epal dalam usaha untuk menurunkan berat badan, ramai sebenarnya yang masih terus amalkan. Seperti yang dikongsikan Dr Hafiz Sulaiman, ada kajian klinikal akan kesan positif cuka epal ini.
Yang mana, jika betul cara minum cuka epal itu, anda akan mendapatkan kesan yang baik pada tubuh. Dan tidak memudaratkan.
Mungkin ramai yang berani bersumpah dia jadi kurus sebab ambil cuka epal, cuka kurma atau cuka tin tanpa sebarang kesan sampingan. Korang percaya tak?
Betul ke berkesan? Saya nak ulas sedikit dari sudut saintifik. Kajian sebenarnya bercampur ada yang dapat keputusan positif dan ada yang tak dapat kurus seperti diharapkan.
Betul ke tiada kajian klinikal kesan positif cuka epal ini? Tak sampai 5 minit pencarian saya terjumpa kajian bukti yang bagus (RCT) mengenai penggunaan cuka ini.
Kajian RCT ke atas subjek orang Jepun yang obes mendapati berat badan, BMI, lemak dalaman (viseral), ukur lilit pinggang serta paras lemak jahat trigliseride berkurangan secara ketara.
Baru-baru ini, kecoh mengenai perkongsian pengalaman seorang pengguna cuka epal jenama Braggs. Saya rasa baik jika saya ulas beberapa kemungkinan kesilapan penulis bukan untuk mengaibkan tetapi sebagai panduan dan boleh dijadikan iktibar.
Pada waktu bulan puasa, badan kita lazimnya tinggi stress. Stres lebih tinggi bagi mereka yang ada alahan seperti pesakit gastritis, GERD, ekzema dan asma.
Cuka merupakan makanan peram tinggi histamin. Jadi adalah kurang sesuai mula ambil cuka dengan kuantiti sudu. Mulakan dengan perlahan..2-3 titik dan naikkan kuantitinya sehingga toleran. Bukan semu orang boleh mula terus satu sudu.
Kalau perut kita tahap nenek moyang tiada masalah. Namun hakikatnya ramai kita mempunyai perut jenis manja.
Usah berani mengikut saranan ambil cuka epal dengan perut kosong bancuh air ataupun madu (ambil madu lagilah tinggi stres..orang kata tajam). Bukan tak boleh untuk semua orang..tetapi untuk kebanyakan orang, adalah lebih sesuai ambil selepas makan.
Waktu pagi pula adalah lebih sesuai pengambilan cuka ini. Penyakit keradangan seperti radang gastrik lebih biasa menyerang pada waktu malam. Follower saya tentu arif sudah bukan. Ini kerana hormon antiradang kortisol menurun pada waktu malam.
Botol plastik apa gred sekalipun akan luluh apabila terkena asid asetik di dalam cuka. Bahan yang luluh ini bukan sahaja mungkin menggangu hormon, malah meningkatkan histamin dan seterusnya asid perut.
Kenapa sakit macam nak bersalin? Ilmu ini khas kepada follower protokol histamin saya, berlebihan histamin menurut kajian saintifik memang boleh menyebabkan sakit senggugut dan secara teorinya, bengkak peranakan juga.
Kesimpulannya, cuka semulajadi ni makan sihat dan terbukti berupaya membantu kesihatan kita antaranya mengurangkan berat badan. Gunakanlah dengan kaedah yang betul terutamanya bagi mereka yang sudah ada masalah kesihatan. Konsult dulu doktor dan jangan cuba-cuba tanpa ilmu. Selalunya makanan semulajadi ni bila datangkan reaksi, adalah berkait rapat dengan masalah kesihatan kita.
SHARE sebab ramai yang keliru dengan perkongsian viral tu.
Semoga perkongsian merungkai misteri dan menjawab tohmahan dan sangkaan buruk terhadap cuka epal, cuka kurma dan yang seumpamanya.
Cuka ni boleh baiki perut, boleh rosakkan perut juga.
Ini luahan hati Misha Omar ketika menjayakan konsert Hot Kool Jam yang lalu. Betapa lagu ‘berhantu’ Sampai Bila yang menjadi OST lagu tema drama Jangan Benci Cintaku buatnya merinding sendiri. Kerana liriknya kah? Atau melodinya?
Rupanya merinding Misha itu disebabkan dia tersentuh hati dengan sambutan para peminatnya yang turut sama menyanyi dengannya semasa Misha mendendangkan lagu Sampai Bila dalam konsert tersebut. Katanya lagu itu perlahan-lahan meresap ke jiwa pendengar.
Sampai macam itu sekali penangan #janganbencicintaku. “Semalam di konsert Hot Kool Jam, sampai saya tergerak untuk membuka ear monitor untuk kepastian. Sungguh saya tak percaya apabila suara-suara di bawah turut menyanyi bersama lagu SAMPAI BILA.
“Saat itu terasa berat benar menghabiskan nyanyian lagu tu. Tak tau nak nyanyi ke nak nangis je kat situ. Semenjak lagu SAMPAI BILA diperkenalkan dan meresap perlahan-lahan ke jiwa kalian semua, percayalah.. perasaan saya sebenarnya tidak aman.
“Saya sering diburu rasa terharu, dan adakalanya bila saya lihat post / stories di instagram dari peminat-peminat berkenaan SAMPAI BILA, jadi merinding sendiri dan kadang-kadang sampai boleh menitiskan airmata.”
Begini agaknya ya respon dari seorang penyanyi yang telah bekerja selama 16 tahun. Di mana setahun yang lalu masa banyak dihabiskan untuk membesarkan anak-anak dan uruskan rumahtangga.
“Jadi sentimental terus atau kau sebenarnya chengeng dari dulu la Misha Omar! TERIMA KASIH kerana menghargai lagu nyanyian saya, percayalah support dari kalian itu jadi tulang belakang yang hebat untuk saya terus bekerja keras dalam industri muzik.”
“Suara saya hanyalah sebuah instrumen yang kecil tanpa melodi yang indah dan susunan muzik yang besar dari Sharon Paul Penceritaan nyanyian saya takkan dapat dirasakan kalian tanpa kata-kata pujangga yang menusuk jiwa oleh Shah Shamsiri dan Fedtri Yahya.”
“Terima kasih Hot FM dan Kool FM yang mengundang saya dalam siri konsert malam tadi. Terima kasih Suhan Movies kerana menjadikan lagu saya ini, lagu tema drama slot akasia #janganbencicintaku.
“Sekalung tahniah buat pihak produksi penggambaran #janganbencicintaku , to all the main cast, pengarahnya, Pali Yahya di atas kejayaan drama mereka yang trending every single day.”
“Terima kasih rakan-rakan artis yang selalu beri kata-kata semangat, rakan -rakan wartawan media cetak & elektronik.
“Dan sekali lagi, terima kasih atas sokongan kalian yang request lagu SAMPAI BILA sehingga menduduki tangga di carta-carta radio, yang mendengarkan di semua digital platform, yang mengundi lagu ini di carta muzik-muzik.”
“Cuma Allah saja mampu membalasnya. Bila support kalian bersatu, energynya sangat luar biasa.” luah Misha Omar dalam instagramnya